Home Novelet Cinta Lelaki Terlajak Setia
Lelaki Terlajak Setia
ayubalqishah
27/11/2016 19:55:07
9,571
Kategori: Novelet
Genre: Cinta
Senarai Bab
Bab 1

Dilla berjalan perlahan menuju ke biliknya. Malam ini dia mahu tidur awal. Mahu lepaskan segala benda yang membelenggu otaknya sejak siang tadi. 

"Apa benda ni?" Dahi Dila berkerut. Lalu perlahan-lahan dia merapati dinding bersebelahan katilnya. Kelihatan ada kertas-kertas bersaiz A4, tertampal di situ. Dia mula membaca sepatah demi sepatah perkataan yang tertulis di kertas itu. 

"Move On Cinta." Seakan tajuk cerita sahaja yang tertulis di kertas pertama.

Lalu dia menyambung membacanya lagi. "Cinta itu sebenarnya penyakit. Sampai masa, kau terpaksa berkorban. Kalau tak kau, dia. Lagi satu, kau sabarlah macam mana sekali pun, ada aje benda yang tak kena. Nak-nak bila kau dah bertunang, lagilah banyak ujian yang kau kena tanggung. Tak percaya? Tak percaya sudah! Cuba kau tengok apa jadi kat kau, masa kau angkat sangat mamat tu?" Dila terpempan. Seolah-olah ada seseorang yang sedang bercakap dengan dirinya. Video memori langsung bermain di kepala.

 "Memanglah boleh nikah dulu. Tapi... apa guna kita bernikah, kalau kita saling berjauhan?" Suara pujuk Nasrul kedengaran di hujung telefon pintar Dila.

"Saya boleh aje ikut awakkan?" Dila juga cuba memujuk. Entah kenapa sejak akhir ini, ada sahaja yang tidak kena pada hubungan mereka. 

"Kat sana sejuk wak... Awak pun, bukannya selalu sihat. Takkan saya nak tinggalkan awak sorang-sorang kat rumah. Awak ingat saya boleh tenang macam tu?" Sekali lagi Nasrul menolak cadangan Dila yang mahu bernikah, sebelum Nasrul menyambung pelajarannya di Jordan.

Nasrul. Apa jugalah yang lelaki itu fikirkan sebenarnya. Ramai aje yang bernikah, dan tak duduk sebumbung dengan isteri. Elok aje bahagia. 

"Saya bawak ajelah ubat-ubat saya tu. Masalah saya cuma asma aje awak. Setakat hidung berdarah tu, biasalah. Panas. Bukan ada apa pun. Awak tu aje, yang risaukan sangat."  Dila tetap juga mahu menang. Kenapa Nasrul, sukar sangat nak faham. Dia sangat mencintai lelaki itu, sejak dari bangku sekolah lagi. Bagi Dila, Nasrul sudah sempurna untuk menjadi imamnya. 

"Cuba awak bayangkan, dengan keadaan saya tak bekerja kat sana, siapa nak tanggung semua perbelanjaan kita?" 

"Kalau macam tu... biarlah saya dok Malaysia. Saya buat ajelah kerja macam saya buat sekarang. Kerja online. Awak kat Jordan. Habis belajar nanti, awak kerjalah. Apa yang susah sangat awak nak fikir?" 

" Memanglah awak boleh kerja kat sini, tapi saya sebagai suami awak masa tu, saya tak tahu, apa awak buat, apa awak pakai. Semua tu tanggungjawab saya tahu tak? "  Nasrul tinggikan sedikit suaranya, mudah-mudahan Dila boleh faham apa yang dia cuba sampaikan.

"Selama awak belajar kat pondok, saya hormat keputusan awak. Awak kata, tak boleh call saya selalu. Saya sabar, walaupun sebenarnya hari-hari saya rindu. Dan sekarang, awak sedang mencipta beribu alasan untuk saya selalu dekat dengan awak. Saya cuma nak kita halal, itu aje. Selebihnya pandailah saya jaga status saya sebagai isteri orang." Dila matikan kata-katanya di situ. Sungguh dia memang selalu rindu. Tatkala bercakap di telefon pun, hatinya masih rindukan Nasrul. Untuk melegakan hatinya, bagi Dila mereka harus segera bernikah. Dia takut, kalau-kalau nanti Nasrul beralih arah pada perempuan lain pula bila di Jordan nanti.

"Mmm..." Kedengaran keluhan dari Nasrul.

"Lepas tu sekarang, awak nak kata, kita tak boleh nikah dulu, disebabkan awak nak ke Jordan. Apa ni?" Dila tahan amarah. Sebenarnya lebih kepada sedih. Sebak. Perasaannya sudah bercampur-baur.

"Janganlah marah. Kita bincangkan..." Nasrul tetap tenang mendengar kecelaruan Dila. Dia tahu Dila runsing memikirkan ke mana hala tuju cinta mereka.

"Awak sayangkan saya ke tak sebenarnya?" Akhirnya terhambur juga persoalan yang sudah lama ingin ditanya pada lelaki itu.

Nasrul kaget. Lidahnya kelu. Sesekali terdengar nafasnya dihembus perlahan. Sekarang dia juga nanar. Dia cuba menggali ke lubuk hatinya yang paling dalam, mencari jawapan yang dinantikan Dila.

"Awak dengar tak ni saya tanya?" 

"Ya... ya saya dengar." Acuh tak acuh Nasrul menjawab.

"Habis tu?" Sambung Dila lagi.

"Kredit awak... banyak ke ni? Dah lama kita bercakap ni." Nasrul alih topik.

"Lantaklah berjuta sekali pun kredit saya habis. Sekarang saya nak tahu, awak sayangkan saya, atau tidak?" Tanpa lelah Dila menuntut jawapan.

"Ya, saya sayangkan awak." Laju perkataan sayang keluar dari mulut Nasrul.

"Cinta?" Dila meneruskan lagi misinya. Dia perlu tahu isi hati lelaki itu. Bukan mudah untuk dia dapatkan masa begitu panjang seperti ini bersama Nasrul. Walaupun bukan bersua empat mata, biarlah... Asalkan dia boleh dapatkan jawapan pasti dari Nasrul meskipun hanya di corong telefon. 

Jeda. 

"Nasrul Tamjidi?" Nama penuh Nasrul disebutnya sekali. Dia harus mendapatkan jawapan yang benar-benar pasti dari mulut lelaki itu sendiri.

"Saya dengar. Nanti saya bincang dengan abah saya dulu pasal ni. Apa-apa saya beritahu awak. Kalau jadi nanti, kita akan bernikah. Ada jodoh, takkan ke mana."

"Saya tanya, awak cinta saya atau tidak?"  Dila tak puas hati dengan jawapan Nasrul. Apa susah sangat ke nak ucapkan perkataan cinta tu. Dari awal menjalinkan hubungan, tak pernah sekalipun Nasrul mengucapkan kata-kata cinta buatnya.

"Insya-ALLAH, ada jodoh, takkan ke mana. Assalammualaikum." Nasrul matikan panggilan begitu sahaja. Terpinga-pinga Dila memandang skrin telefon pintar digenggaman.

"Long..."

"Ooo... Long," Damia duduk berteleku di hadapan kakaknya.

"Hish! Dia nikan. Lain kali bagi salamlah dulu. Ni ikut suka dia aje main terjah." Dila gosok dada. Sememangnya Damia berjaya mengejutkannya dari lamunan masa lalu.

Dila sambung lagi membaca bait-bait kata yang bertulisan tangan itu. Damia yang baru sahaja menganggunya tadi, terus dibiarkan termangu sendiri.

"Dan cinta itu sebenarnya kadangkala langsung tidak berpatutan. Bila masakah cinta itu menjadi keindahan yang mengasyikkan? Tak ada.." Sampai tergeleng-geleng Dila membacanya. Damia memerhati dengan senyuman.

"Dalam percintaan tak ada pun yang indah-indah. Manusia yang kata cinta itu boleh membuatkan kita berada di langit ke tujuh itu, sebenarnya pembohong! Kau tolonglah jangan percaya." Dila lepaskan keluhan di hujung kata.

"Move On Cinta," ucap Damia tiba-tiba.

Sengaja Damia tulis kata-kata kalis cinta itu. Gigih dia menampalnya ke dinding bilik tanpa pengetahuan Dila. Satu sahaja harapannya, agar kakaknya celik mata sahaja, dia akan terus membacanya. Dan melupakan Nasrul. 

"Kak long kena lupakan dia. Move onlah long... Jangan ingat dia lagi," perlahan suara Damia menasihati kakaknya. Lirih suaranya, seakan faham apa yang Dila sedang rasa. Sakitnya hati Dila, sakit jugalah hati Damia.

"Nasrul Tamjidi... kau benar-benar meninggalkan kesan dalam hidup aku. Harap-harap lepas ni, aku takkan jumpa lagi spesis lelaki macam kau!" Tiba-tiba Dila luahkan perasaan. Dia kelihatan termengah-mengah menahan peritnya ditinggalkan.

"Relaxlah long. Kumbang bukannya seekor. Sekarang ni, kalau nak pilih lelaki, kita ambik spesis tiram." Damia yang selalu mengelirukan, membuatkan Dila kerut dahi seribu. Pada masa yang sama, belakang tubuh kakaknya diurut perlahan. Dia khuatir sekiranya tiba-tiba penyakit kakaknya datang menyerang. 

"Macam tak ada benda lain kau nak jadikan perumpamaan. Apa pasal tiram pulak?" Otak Dila cuba mentafsir apa yang cuba disampaikan adiknya. Wajah selamba Damia diperhatikan penuh teliti.

"Yalah... cuba tengok tiram. Luar bukan main buruk, dengan kulit warna hitam. Kadang-kadang payah gila nak jumpa. Kalau nasib baik, siap ada mutiara lagi. Ha... had nilah kita kena simpan elok-elok, had yang ada mutiara ni. Kenalah jaga baik-baik, jangan sampai terlepas ke tangan orang lain. Ingat senang nak jumpa orang yang luar nampak biasa, dalam ada mutiara."

Dila garu kepala. "Rasanya, banyak lagi benda yang senang jumpa, yang had jenis elok kau nak bagi perumpamaan. Tapi had yang dalam dasar laut jugak, kau nak petik. Mia... Mia..." 

Damia menyengih. 'Maafkan aku long. Aku tak mampu ceritakan apa yang sebenarnya terjadi. Aku tak mahu menambah luka di hati kau. Aku harap, kau ditemukan dengan lelaki yang betul-betul cintakan kau.' Kata-kata itu bagaikan tersekat di kerongkong, tidak mampu Damia luahkan. 



Tetikus digerakkan dengan laju. Satu persatu gambar profile gadis itu dibukanya. Arman terpanar. Ya! Dia tidak salah kali ini. Itu adalah gadis blogger  yang sama menulis di blog Warkah Buat Kamu, yang selalu diikutinya.

"Bad! Bad!" Ke kiri ke kanan kepala Arman berpusing-pusing mencari kelibat teman serumah merangkap sahabat sejati yang tidur sebantal sampai keluar air basi. Mana juga Si Bad ni. "Bad!"

"Kau dah kenapa? Terjerit-jerit. Rosak nikmat aku tengah melabur," rengus Bad yang terkial-kial membetulkan kancing seluar paras lutut yang dipakainya.

"Ni.., Tak sia-sia usaha aku. Jumpa juga akhirnya facebook minah ni." Arman tunjuk skrin komputernya pada Bad. 

Reaksi Bad? Hanya kerut dahi.

"Aduh... kau ni, cepat sangat hilang ingatan. Tadi masa membuang, kau buang semua kenangan kita semalam ke?" Soal Arman yang berusaha cuba mengingatkan semula apa yang dia ceritakan malam tadi pada Bad. Punya panjang lebar, terangguk-angguk kepala Bad masa dengar cerita Arman, tapi sekarang, Bad hanya kerut dahi dengan apa yang dia dah jumpa. 

Bad sua muka ke skrin komputer. "Gadis Buntu?" Bad mengangkat mukanya semula sambil Bad tahan gelak. "Apa punya orang guna nickname cenggitu? Ingat zaman MIRC ke apa? Ni facebook kot." 

"Aku tak suruh pun kau komen pasal nickname dia. Aku cuma harapkan ucapan tahniah aje." Arman tenung muka Bad lama. Sengaja dia lakukan begitu. Sah mamat ni lupa pasal gadis blogger yang dia gilakan itu.



Next: Bab 2

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.