Home Novelet Cinta Lelaki Terlajak Setia
Lelaki Terlajak Setia
ayubalqishah
27/11/2016 19:55:07
10,838
Kategori: Novelet
Genre: Cinta
Senarai Bab
Bab 2


Sudah jam dua pagi. Damia lena berbantalkan lengan di atas permaidani. Dila leka mengadap laptopnya. Jika tadi dia sibuk kemas kini facebook page perniagaan onlinenya, dan selesaikan assignment yang terbengkalai gara-gara nak kahwin awal, sekarang tinggal sedikit sisa masa sebelum masuk tidur, Dila buka pula facebook peribadinya.

Arman Batrishah? Dila tekan butang accept. "Mujur ada profile picture, kalau tidak, hai-hai bye-bye," bebel Dila seorang-seorang. Pantas jari telunjuknya melarikan anak panah di skrin laptop ke butang about milik lelaki berkaca mata itu.

"Wow! Bahasa dan Lingusitik Melayu. Mesti jiwang ni." Menyepet matanya Dila membayangkan kejiwangan Arman. Bibirnya tersenyum sumbing.

"Amboi... belum apa-apa lagi dah ke awan nano ke..?" Suara Damia memecah sunyi, benar-benar memaranjatkan Dila yang sudah terbang ke langit. 

"Hei! kau nikan. Nasib baik kak long tak tertonggeng ke belakang," rungut Dila. Ya, nyaris sahaja dia terbalik ke belakang. Sempat juga tangan berpaut ke sisi meja. Kalau tidak, silap hari bulan, kaki kerusi pun boleh patah dibuat Dila.

Damia katup mulut dengan tapak tangan. Kalau dibiarkan hamburan ketawa meledak, mahu terjaga jiran tetangga. "Kak long tu... yang berangan tak sudah, pasal apa? Tengok jam dah pukul berapa? Esok mulalah, asal kejut subuh aje tak larat."

"Kejut ajelah macam biasa. Mia kan jam loceng bergerak." Habis cakap, Dila sambung belek profile facebook kawan barunya itu. Lelaki itu benar-benar ada aura tersendiri. Kuat pula rasa hati nak berkenalan.

"Jangan nak mengadalah long... luka lama pun, dok berdarah lagi. Ni kang bernanah, siapa yang nak tolong?" Damia bingkas bangun dari duduknya, lalu merapati Dila yang sedang duduk di kerusi. Anak matanya meliar melihat skrin laptop Dila.

"Lelaki jiwang ni, selalunya bermulut manis. Kalau dah manis, nanti dihurung semut," bahasa kiasan cuba dihantar buat si kakak.

"Semut hitam tak apa. Gigit tak sakit pun," jawab Dila yang faham dengan sindiran adiknya sendiri. Setakat perempuan mendekat, apalah sangat buat Dila. Lainlah kalau nak dirampasnya hak kita, itu ya perlu bertindak.

"Kalau semut api, nak buat macam mana?" soal Damia.

"Adoi... kau ni pun, jauh sangat pu berfikirnya. Kawan aje kot. Jumpa pun tak pernah lagi. Kak long baru aje accept dia jadi friends." 

"Mula-mula kawan. Nanti lama-lama, tup-tup dah jadi kekasih. Baik-baik long, jiwang karat ni, selalunya kaki temberang, kaki perempuan, kaki penipu. Senang cerita segala jenis kaki, bagilah ke dia." Damia nampak serabut. 

"Mesti pernah sangkutkan?" Giliran Dila pula mengenakan adiknya. Dalam diam, Dila tersengih nakal.

"Ya... sebab pernah kenalah Mia takut kak long pun terkena sekali. Tolonglah long... Mia tak nak tengok lagi kak long Mia ni terluka." Wajah sendu dibuat-buat. Sedih sangatlah kononnya.

"Mia pun sweet talker apa..." sengaja Dila meneruskan misi kenakan adiknya lagi.

"Sengajakan!" Damia lari masuk bilik. Bantal kepala ditepuk berkali-kali sebelum menyambung buat tahi mata.

"Cakap sikit merajuk. Tulah, pagi-pagi buta dah membebel pasal cinta. Jangan risaulah, kak long tak ada sepantas kilat jatuh cinta aih..." Dila tinggikan sedikit suaranya dari luar. Seketika itu juga dia bingkas bangun dari kerusi, membetulkan urat pinggang. 

Setelah suis yang tidak digunakan dimatikan, perlahan langkah kakinya di atur menuju ke bilik tidur yang serba kekurangan itu. Hanya ada tilam beralas cadar yang sudah tiga tahun berkhidmat dengannya dan juga sebiji kipas dinding yang sudah lama tidak dibuang sawangnya. 

"Dah jom tidur," ujar Dila lalu merangkul pinggang Damia. Serupa bantal peluk sahaja dia diperlakukan.

"Mia tahu... kak long tengah cari pengganti Nasrulkan?" Tidak lama kemudian, Damia menyoal separa berbisik. Cukup sekadar mereka dua orang sahaja yang mendengar. Badannya dipusingkan mengadap Dila.

"Entahlah Mia... walaupun kak long rasa cinta lelaki tu sebenarnya tak guna satu sen pun, tapi hakikatnya, kita ni semua dijadikan berpasang-pasangan. Perasaan nak ada seseorang tu memang selalu ada. Tambahan lagi, kak long perlu lupakan Nasrul." Dila membuang pandang ke siling bilik tidur mereka. 

"Walaupun tak banyak kenangan yang tercipta antara kami, tapi apa yang kak long tak boleh lupa, kami pernah merancang untuk hidup bersama," sambung Dila lagi dengan suara mendatar. Lalu bintang palsu yang bertaburan di siling bilik dan mengeluarkan cahaya di dalam gelap, dikiranya satu persatu. Matanya semakin layu, dan sekejap sahaja Dila sudah lena dipeluk mimpi penuh pengharapan.

Damia mengeluh panjang. Tangannya dimain-mainkan di hadapan wajah kakaknya. "Emm... tidur dah. "

Good night long... moga kau jumpa lelaki yang betul-betul sayang dan jujur dengan kau. Aku tahu, suatu hari nanti, pasti kau akan tahu juga kisah yang sebenarnya. Maafkan aku, sebab tak mampu nak ceritakan apa-apa lagi buat masa ni. Damia tarik selimut, mata dipejamkan rapat. Memaksa untuk tidur adalah satu penyeksaan perasaan juga.


Tit! Tit!

Telefon bimbit Arman berbunyi. Pandangan matanya ditalakan sekilas ke skrin tidak berwarna itu. Arman hela nafas panjang, tangannya langsung tidak beralih dari memegang tetikus. Lebih baik dia siapkan kerjanya yang bertimbun, dari melayan perempuan meroyan tak sudah-sudah.

"Aku rasa dah juta kali dia call kaukan?" Bad disebelah dah mula bersuara. Serius dia rimas. Kenapalah Arman tak matikan sahaja telefon bimbitnya itu dari terus membingitkan telinga sendiri dan orang lain.

"Malas aku nak layan. Lantaklah dia meroyan sesorang," geram bunyi suara Arman. Marah sudah tiada ada. Hatinya sudah beku untuk perempuan bernama Afira itu.

"Maafkan ajelah Afira tu. Kesianlah kat dia. Bukan besar mana pun salah diakan?" soal Bad yang tak tahu keseluruhan cinta sahabatnya itu. Dia cuma tahu Afira curang, tapi sejauh mana kecurangan itu, Bad tak tahu. Tapi bagi Bad, curang-mencurangi ni perkara biasa. Orang zaman sekarang, susah nak dapat yang setia. Dia sendiri pun pernah lalui. Yang bezanya Sarah tak gila talak macam mana Afira sekarang. 

"Wohooo!" terkejut staf yang ada satu pejabat dengan mereka dengar suara Arman yang tiba-tiba sahaja meninggi.

"Kau ingat... curang tu, macam pijak semut api bagi mati?" Arman menyoal perlahan. Mata masih tertancap pada skrin komputer. Remeh juga buat kartun ni, walaupun hanyalah animasi 2D. Renyah kerjanya!

"Bukannya banyak kali Si Afira tu curang, baru sekali kot," gaya cakap Bad seolah nak menangkan Afira. Tapi Bad tak salah pun dalam soal ni, diakan tak tahu semua cerita.

"Yang sekali tulah, aku akan ingat sampai mati." 

"Cuba cerita apa sebenarnya yang jadi kat kau. Aku tak boleh blah, bila dia tak dapat bercakap dengan kau, aku pula yang dia telefon." Bad lepas geram apa yang sudah lama terbuku di hati. Memang sebenarnya dia rimas mendengar rengekan Afira mahu bercakap dengan Arman. Sampai dah tak ada ayat dah yang dia mampu tipu pada Afira.

"Nanti-nantilah aku cerita kat kau. Aku tengah pening ni dengan software yang kita baru guna ni." Arman berdalih.

"Tulah jadinya budak yang bersastera pujangga macam kita ni, pergi masuk bidang animasi. Memang kejang otak dibuatnya," Bad gelang dihujungnya. Pendek kata dia gelakkan untuk diri sendiri juga.

"Tapi otak kita kira bergeliga jugalah. Belajar photoshop, illustrator semua dekat youtube. Tak payah masuk kelas. Siap boleh kerja jadi animator lagi tu," terasa bangga pula di benak hati Arman.

"Animator 2D aje pun. Bukan 3D. Itu pun nasib baik encik bos minta Wukong train kita dari bawah," terangguk-angguk Bad bercakap. Ada betul juga kata dia, mujur majikannya beri peluang pada dia orang untuk bekerja di situ. Wukong pula sebagai senior di Makmur Merak Sdn. Bhd. ditugaskan melatih mereka berdua dari peringkat bawah. Dari mula lukisan terhasil dan sehinggalah ke final render.

Tit! Tit!

Arman capai telefon bimbit nokianya. Pandang sahaja ke skrin, "adoi... dia lagi." 

"Angkat ajelah. Tanya dia nak apa. Beritahu dia, yang ni last kau pickup call dia," cadang Bad.

"Okey... okey." Pantas Arman bangun dari kerusi. Dia segera beri isyarat pada Wukong untuk ke belakang sebentar.

Dalam diam ada seseorang mengekorinya dari belakang. Dia memasang telinga seluas-luasnya. Mendengar setiap butir bicara yang keluar dari mulut Arman, sesekali membuatkan dia mengurut dadanya sendiri. Riak wajahnya juga berubah-berubah mengikut intonasi suara Arman.


Previous: Bab 1
Next: Bab 3

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.