Home Novel Umum MASIH ADA CINTA
MASIH ADA CINTA
Mat Lawi Hassan
18/7/2015 15:08:34
111,934
Kategori: Novel
Genre: Umum
BAB 31

Tidak pernah terfikir pun di dalam tempurung kepala Ihsan. Semua itu bagaikan mimpi. Atau ilusi di siang hari. Namun, itulah hakikatnya. Sebuah impian yang dicipta arwah ayahnya dahulu semakin menjadi kenyataan. Amanah yang baru dibisikkan oleh Haji Rokiman pada awal pagi tadi begitu berat baginya.

“AJK masjid udah setuju, sebulat suara melantik Ihsan,” bisik Haji Rokiman, selepas solat subuh tadi.

Ihsan terkesima. Dia memandang Haji Rokiman. Matanya dikerutkan sedikit.

“Lantik Ihsan?” soalnya, tidak faham.

“Ya… AJK mahu lantik seorang daripada ahli rakan belia masjid jadi imam. Jadi pelapis,” jelas Haji Rokiman, tangannya menepuk lembut bahu Ihsan.

“Tapi... bukankah masjid kita dah ada dua orang imam?” tanya Ihsan lagi, mohon kepastian.

Haji Rokiman ketawa. Tangannya masih memegang bahu Ihsan.

“Betul… tapi Ihsan seorang daripada tiga orang tu,” terang Haji Rokiman, tangannya yang masih di bahu Ihsan itu diturunkan.

“Tapi... saya rasa, saya tak layaklah pak cik,” kata Ihsan, merendah diri.

Dia cuba menolak dengan cara yang paling berhemah. Dia tahu, salah satu prasyarat hendak dilantik sebagai imam, mesti diterima oleh semua ahli kariah. Dia merasakan dirinya tidak seperti itu.

“Ihsan, AJK tak lantik kalau orang tu tak layak…”

“Pak cik, saya ni bukan…”

“Kalau Ihsan tolak, maknanya Ihsan nafikan pilihan AJK,” pintas Haji Rokiman, kata-katanya itu mematikan alasan yang sedang disusun oleh Ihsan.

‘Ya Allah, permudahkanlah segala urusanku…’ getus hati Ihsan, dia tidak dapat menolak lagi. Segala-galanya dia serahkan kepada Allah.

“Orang kampung kita ni perlukan orang yang mahir macam Ihsan. Mereka nak sangat belajar baca al-Quran. Bapak harap, Ihsan tak hampakan permintaan AJK. Dalam seminggu… cuma satu malam… cukuplah,” sambung Haji Rokiman, memujuk.

“Bapak tau… Ihsan sibuk, tapi AJK tak mahu bebankan Ihsan. Lagi pun, ni hanya tugas sukarela,” jelas Haji Rokiman lagi.

Ihsan Bungkam. Dia bukan tidak mahu mengajar al-Quran tetapi dia takut masyarakat kampung masih tidak dapat menerimanya. Dia tahu, itu salah satu amalan yang boleh dibawanya ke ‘sana’. Kemudian, dia mula mengangguk-angguk. Setuju.

Haji Rokiman yang bersila di sebelah kanan Ihsan itu kelihatan gembira. Dia menepuk paha Ihsan, sekali.

“Terima kasih…” ucapnya, puas.

“Eh… ! sepatutnya… Ihsan yang berterima kasih dengan pak cik. Pak cik sudah banyak buka peluang kepada Ihsan,” sela Ihsan, cepat-cepat.

Dia tidak menyangka sejauh ini Allah s.w.t anugerahkan kelebihan dan kebaikan kepadanya. Kadangkala, terasa malu dia dengan dirinya sendiri. Apa tidaknya, dia selalu gelisah dan berkeluh kesah apabila ditimpa musibah tetapi Allah s.w.t sentiasa mendengar rintahannya. Allah s.w.t sentiasa mengampuni dosa-dosa hamba-Nya. Allah s.w.t sentiasa menyediakan rezeki untuk hamba-Nya. Dia yakin. Betul-betul yakin.

Masih terngiang-ngiang di kupingnya, lafaz nasihat daripada seorang ustaz semasa berceramah di CCVC dahulu.

“Orang yang tahu tak semestinya dia sedar, orang yang sedar… insya-Allah, dia tahu,” ungkap ustaz muda yang berambut kerinting itu. Kulitnya, sawo matang. Sentiasa bersongkok hitam di atas kepala. Suaranya, memang lantang dan lunak menjamah kuping yang ternganga. Apabila dia membaca al-Quran, masya-Allah merdu sungguh suaranya. Apa yang Ihsan dengar, ustaz muda itu bekas vokalis sebuah kumpulan muzik rock.

“Lihat saja sahabat Rasulullah s.a.w, contohnya, Saidina Umar. Apabila dia sedar tentang kebenaran agama yang dibawa oleh Nabi Muhammad s.a.w, dia tahu… apa yang dilakukannya selama ni silap. Lalu, dia jadi hamba Allah yang bertaubat. Kuat ibadat.”

Semasa itu, perasaan Ihsan masih lagi menggelodak. Benci. Marah. Kesal. Dia bencikan sikapnya. Dia marahkan dirinya. Dia kesal dengan segala perbuatannya. Semua perasaan itu menggelodak selepas dia menerima surat kiriman Azza.

“Satu contoh lagi… saudara-saudara kenal Abu Lahab?” tekan ustaz itu dengan lenggok suara semakin meninggi.

“Kenal… !” sahut para pelatih CCVC serentak.

“Bohonggg… !” tingkah ustaz itu, suaranya sengaja dibuat-buat dengan nada orang sedang marah. Kedua-dua biji mata dicelik. Luas-luas. Membengis. Macam rupa singa lapar.

“Pasal apa saya kata bohong?” dia melilau, biji mata masih dicelik luas-luas.

“Saudara pernah jumpa Abu Lahab?” jari telunjuknya menghala kepada salah seorang pelatih yang berada di hadapannya. Pelatih itu menggeleng-geleng. Tersipu-sipu. Ditanya lagi dengan soalan yang sama kepada dua, tiga orang lagi pelatih di hadapannya. Masih menggeleng-geleng. Tersengih-sengih macam kerang busuk.

“Hah! pasal tu la saya kata bohong… saudara-saudara tak pernah jumpa pun dia. Macam mana pula boleh kenal…” ungkapan ustaz itu disambut dengan hilai tawa para pelatih. Ada ketawa sampai keluar air mata.

Tiba-tiba, kedengaran ustaz muda itu membaca surah al-Lahab dengan bertaranum. Ayat demi ayat yang dilagukan dengan suara merdunya itu menyentuh kalbu. Dihuraikan pengertian ayat demi ayat. Diceritakan sebab surah itu diturunkan. Dikisahkan tentang perihal Abu Lahab.

“Abu Lahab ni orang yang tahu… tapi dia tak sedar. Sebab tu... lah kita dengar, selalu orang-orang yang baru masuk Islam kata, sekiranya dia lihat orang Islam dulu… belum kenal agama Islam tu lagi… mungkin dia tak terpikat nak masuk Islam,” ucap ustaz itu, menggeleng-geleng.

“Sebab apa… ? sebab ramai sangat orang yang mengaku Islam, nama Islam, agama dalam kad pengenalan Islam, ayam yang dicurinya… kalau tak sembelih dengan nama Allah, marah. Takut berdosa,” jelas ustaz itu lagi. Para pelatih tergelak-gelak mendengar ungkapan ustaz itu.

Ihsan mendengus. Lembaran kertas putih digenggamnya dengan kemas.

‘Ya, jika kita sedar… kita akan tahu. Macam orang yang baru terjaga dari tidur… dia akan tahu yang mana nyata dan yang mana sekadar mimpi,’ sela hatinya, sendirian.

Dia melangkah. Kemudian bersandar pada tiang berdekatan tangga rumah. Berkalih sedikit ke tepi. Punggungnya dilabuhkan ke atas gelegar papan yang tingginya paras paha. Disediakan oleh arwah ayahnya dahulu sebagai pangkin di beranda rumah.

Matanya mula memandang sekeliling. Halaman rumah pusaka itu agak bersepah dengan timbunan pasir, batu kerikil dan batu bata di sebelah pohon pulasan. Selalunya, pada pagi sebegini sudah bingit di halaman dengan bunyi enjin mesin pembancuh simen. Namun, pada pagi ini mesin pembancuh simen yang berada di bawah pohon pulasan itu seakan-akan masih berdengkur. Diberikan rehat setelah hampir seminggu bekerja.

Kerangka rumah barunya di sebelah kanan rumah pusaka itu dipandang. Rumah batu dua tingkat yang dalam proses pembinaan itu diuruskan sendiri oleh Syarikat Aspalela Enterprise. Tingkat bawah sudah pun siap diikat dengan batu bata tanah merah.

Selepas penat merayau ke serata sudut. Pandangan matanya kembali berlabuh ke atas lembaran kertas putih yang terselit kemas di celah jari-jemarinya. Bibirnya kumat-kamit. Menghafal ayat-ayat yang tertera di lembaran itu. Lembaran yang diserahkan oleh Haji Rokiman itu diteliti satu persatu. Dia cuba menghayati segala yang telah dicatatkan itu. Biar apa yang tercatat itu dapat disampaikannya nanti dengan sepenuh hati. Biar dia berkhutbah. Bukan membaca teks khutbah. Khutbah untuk diri sendiri. Bukan hanya untuk makmum Jumaat nanti.

“Apa yang Ihsan hafal tu?” tegur Mak Lela yang baru menginjak bendul. Di tangan kanannya tergenggam pisau nipis yang selalu digunakan untuk mengupas bawang. Tangan kiri pula menggenggam beberapa batang serai. Matanya memandang ke arah lembaran di tangan Ihsan.

“Oh! Emak... tak ada apa. Cuma... Haji Rokiman minta Ihsan baca khutbah jumaat hari ni…” beritahu Ihsan, tangan kanannya mengangkat lembaran teks khutbah itu sedikit.

“Ooo… macam tu,” sahut Mak Lela, sambil melangkah masuk terus ke ruang dapur.

*****

Selepas Bilal Pak Usop membaca pesanan daripada petikan hadis nabi, meminta para jemaah menahan diri daripada bercakap-cakap semasa khatib membaca khutbah. Ihsan bangkit. Mengatur langkah dengan berhati-hati. Dia perlu melakukan yang terbaik. Walaupun ini merupakan kali pertama dia memanjat ketiga-tiga anak tangga mimbar. Berdiri di hadapan ratusan ahli jemaah. Langkahnya dihenti seketika. Betul-betul di sisi Bilal Pak Usop yang sudah bersedia menggenggam sebatang tongkat kayu sepanjang lima meter. Di hujung tongkat itu disalutkan dengan tembaga berbentuk kubah masjid. Ihsan mencapai tongkat yang dihulurkan itu dengan sopan. Perlahan-lahan dia menggerakkan langkah. Mendaki anak-anak tangga sehingga ke atas mimbar. Selesai memberi salam, Ihsan duduk. Menunggu Bilal Pak Usop menghabiskan laungan azan kedua.

Peluang sebegini mesti dimanfaatkan sepenuhnya. Meskipun pengalaman pertama Ihsan menghadap orang ramai secara begini membuatkan dadanya tidak berhenti-henti bergetar. Jantung berdegup kencang. Terasa dirinya terlalu kerdil. Bebola matanya pula melilau-lilau ke segenap ruang masjid. Melimpah-ruah dengan para jemaah di setiap ruang. Tangannya mula menggigil. Kedua-dua betis bergoyang-goyang. Jubah putih, hadiah daripada Azza yang dipakainya itu bergerak-gerak mengikut rentak ayunan kedua-dua betis itu. Menggigil. Di bahunya pula tersebai sehelai serban hitam, berkotak-kotak kecil. Kepala ditutupi ketayap putih, hadiah daripada Azza. Dililitkan pula dengan serban putih. Kaca mata ditolak ke atas sedikit.

Gelora di dalam dirinya itu cuba ditenangkan. Bibirnya semakin rancak berkumat-kamit. Membaca selawat dan doa-doa penenang yang dihafalnya. Pada ketika itu, dia cuba mempraktikkan semua teori yang pernah dibacanya. Semua itu bagi menangani darah gemuruh yang meyerangnya kini.

Ihsan mencapai tongkat di sisi kirinya. Diketatkan genggamannya. Ditekan kuat ke lantai mimbar. Punggungnya diangkat dari kerusi. Tangan kiri masih menggenggam erat tongkat dengan hujung jari telunjuk dan ibu jari bertemu.

“Alhamdulillah…” ucapnya lantang. Suaranya itu bergema di setiap ruang masjid. Suaranya itu jelas dapat didengar melalui corong-corong suara di setiap penjuru menara masjid. Bergema membelah angkasa raya.

Ihsan mula tenang. Mula beryakinan. Darah gemuruh semakin hilang. Dia melafazkan ayat demi ayat yang telah dihafalnya itu seperti seorang pelakon drama. Penuh penghayatan. Dia mengalunkan ayat-ayat al-Quran dengan lenggok suara yang menyentuh perasaan. Dia seolah-olah berbicara dengan dirinya sendiri. Mengajak diri, bertaqwa kepada Allah. Mengingatkan dirinya mendekati Allah. Menjauhi semua perkara yang boleh mengundang kemurkaan Allah.

Pada khutbah yang kedua, dia bangkit lagi. Membaca hadis-hadis nabi. Tiba-tiba matanya terpaku kepada sekujur tubuh di hujung masjid. Wajah itu bersih. Mengukirkan senyuman yang teramat menarik. Pakaiannya serba putih. Di dalam hati, Ihsan berbisik, ‘ayah!’. Namun, tidaklah lama. Lembaga itu telah sirna dari pandangannya. Dia tahu, ayahnya selalu datang dalam dirinya. Dia tahu, bayangan itu hanya berada di dalam tempurung kepalanya sahaja. Arwah ayahnya sentiasa berada di dalam ingatan. Sentiasa hadir dalam mimpinya. Sampai bila-bila.

Semasa mengimami dua rakaat solat Jumaat, Ihsan mengumandangkan bacaan ayat-ayat suci al-Quran. Persis bacaan Sheikh Abdelkarim Edghouch, dengan maqam ajam. Hatinya bagaikan disapa rasa pilu, diamanahkan memimpin makmum bermunajat di hadapan Allah s.w.t. Dirinya dirasakan terlalu kerdil. Terlalu banyak dosa yang perlu pengampunan Allah. Kehangatan air jernih, yang baru merembes di celah-celah bebola matanya itu luruh ke pipi.

Semasa keluar dari kawasan masjid, Ihsan tidak terus pulang ke rumah. Motosikal arwah ayahnya itu dibelokkan ke arah jalan kebunnya dahulu. Lebih kurang satu kilometer dari kawasan masjid. Dia membelok ke kanan. Memasuki kawasan perkuburan. Bibirnya mengucapkan salam sejahtera buat semua penghuni alam barzarkh. Penghuni yang sentiasa menanti. Menunggu. Malah mencari-cari hadiah. Sedekah. Dalam nilaian pahala. Dari bacaan ayat-ayat suci al-Quran. Atau zikrullah daripada insan-insan yang masih hidup.

Dia mencapai kendi dari gelegar wakaf. Diisikan dengan air dari paip yang berada di situ. Langkahnya diayun mencelah-celah batu nisan. Melangkah menuju ke bawah rimbunan pohon rumia yang tinggi lebih kurang 15 meter. Kendi air yang masih di tangan itu diletakkan ke atas bibir belindan. Konkrit yang melingkari kedua-dua batu nisan kubur arwah ayahnya. Dia bertinggung menghadap ke belindan kubur ayahnya. Bacaan ayat-ayat suci daripada surah fatihah dan diikuti oleh surah yasin. Surah yang kedua puluh tujuh di dalam al-Quran itu terpacul dari bibirnya.

Ketika dia menadahkan kedua-dua tangan ke langit. Cahaya matahari begitu setia memancarkan sinar. Percikan cahayanya yang jatuh melalui celah-celah dedaunan itu bertaburan ke bawah pohon rumia. Namun, masih ada ruang redup yang dilindungi dedaun rumia untuk Ihsan berteduh. Sungguhpun begitu, badannya lencun jua oleh peluh. Kendi di bibir belindan itu dijangkau. Dijirus ke dalam belindan, dari batu nisan kepala hingga ke kaki.

“Ayah… !” terpacul panggilan itu dari bibirnya. Suasana ketika itu terlalu hening. Namun, keheningan itu sekali-sekala dirampas jua oleh deruman motosikal pemuda-pemuda kampung yang melintas di situ.

Matanya memandang ke arah bibir belindan. Nama ayahnya terukir di situ. Tarikh lahir dan tarikh kematian ayahnya tercatat di situ. Semenjak dia keluar dari CCVC beberapa tahun yang lalu, setiap minggu dia akan menziarahi pusara ayahnya itu. Keadaan di kawasan tanah perkuburan itu sekarang tidak seperti kali pertama dia menziarahinya dahulu. Keadaan sekarang lebih terurus. Tanah perkuburan itu telah dipecahkan kepada tiga bahagian. Bahagian A, B dan C. Setiap pusara ditandakan mengikut bahagian dan turutan nombor. Senarai itu digantung di keliling wakaf. Supaya senang ahli keluarga yang datang menziarah mencari pusara kaum keluarga mereka nanti.

“Terima kasih… kerana doa ayah dulu, Ihsan mampu bangkit,” katanya, air mata bercucuran di pipi.

“Kami tak pernah lupakan ayah… semakin hari berlalu, semakin kuat rindu kami kepada ayah,” ujarnya lagi. Angin lembut tiba-tiba menyapa. Mengibas-ngibaskan hujung kain serban di bahunya.

Di dalam benaknya, dia seolah-olah mampu melihat. Ayahnya tersenyum dengan mata berkaca. Mengharapkan doa daripada anak-anak yang ditinggalkannya. Dia teringatkan satu cerita yang pernah dibacanya. Kisah penghuni-penghuni alam barzakh sedang mencari-cari pahala. Pahala yang mungkin disedekahkan oleh setiap manusia yang masih bernafas. Hampir sejam dia di situ. Mendoakan dengan alunan doa-doa yang syahdu, kerana dia tahu. Doa anak kepada kedua-dua ibu bapanya itu tiada hijab.

Previous: BAB 30
Next: BAB 32

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Mat Lawi Hassan