Home Novel Umum MASIH ADA CINTA
MASIH ADA CINTA
Mat Lawi Hassan
18/7/2015 15:08:34
109,707
Kategori: Novel
Genre: Umum
BAB 13

Suasana di dalam Masjid Hidayah hingar-bingar dengan suara ahli jemaah yang sibuk belajar mengaji al-Quran. Setiap malam Isnin, Ustaz Syamil yang merupakan guru agama di sekolah menengah agama akan datang mengajar mengaji al-Quran. Ustaz Syamil sudah tiga kali menjadi johan dalam tilawah peringkat daerah.

Kebanyakan ahli jemaah yang berani menghidangkan bacaan di hadapan ustaz terdiri daripada golongan yang sudah masuk usia senja. Ada yang masih merangkak-rangkak, ada yang sudah lancar tetapi hukum tajwid lintang-pukang. Namun, ada yang sudah mahir tetapi mahu belajar bacaan bertaranum.

Ramai dari kalangan golongan muda yang datang ke masjid lebih suka berbual pasal bola, pasal filem, pasal motosikal, pasal politik dan isu-isu semasa yang lain. Sementara menanti masuk waktu solat isyak, mereka akan mencari sudut-sudut selesa di luar dari bangunan masjid. Sungguhpun begitu, masih ada sebilangan kecil golongan belia yang berani tampil menghadap guru al-Quran itu. Ihsan salah seorang daripada mereka. Dia bersungguh-sungguh menggali ilmu daripada ustaz itu. Dia benar-benar mahu membaiki kelemahan bacaannya.

Sebelum ini, semasa di CCSC Ihsan telah belajar mengaji dengan seorang ustaz. Guru agama yang ditempah khusus untuk mengajar semua pesakit di sana. Memandangkan ustaz itu berkebolehan dalam selok-belok bacaan al-Quran, Ihsan mengambil peluang itu. Banyak dia belajar daripada ustaz itu. Jadi, tidak sulit bagi Ihsan untuk membaca al-Quran dengan bertaranum. Dia boleh membaca al-Quran dengan beberapa lagu, seperti saba, ajam, baiyati, hijazdan nahwand. Dia juga berjaya menghafal beberapa surah sebagai bacaan di dalam solat.

Sewaktu Ihsan berada di dalam tandas masjid, dia terdengar sekumpulan ahli-ahli jemaah muda yang leka bersembang di belakang tandas. Bau asap rokok menyelinap masuk sehingga ke dalam tandas.

“Aku dengar, Haji Rokiman nak bawa masuk Ihsan tu ke dalam kumpulan Rakan Belia Masjid,” beritahu seorang lelaki menghidung dengan suara mencerit.

“Bagus la... suaranya pun bagus, nanti boleh jadi solo dalam kumpulan marhaban,” celah pula seorang lelaki yang bersuara serak.

“Dah kena ganja bertiub-tiub... mana tak sedapnya,” marah lelaki yang bersuara kecil, penuh emosi.

“Eh... eh... kau ni Saiful, cakap macam orang tak ada iman. Apa guna kau datang solat jemaah tiap-tiap malam? Dah semua tu kelebihan dia. Berdosa kita nak nafikan apa yang Allah kurnia kepada dia. Kau marah sangat kat Ihsan tu, kenapa?” tegur lelaki suara serak itu lagi.

“Ya... lah, apa kau ni Saiful... cakap ikut sedap mulut aje,” sokong lelaki menghidung, menempelak.

“Saiful...” bisik Ihsan seakan-akan memikirkan sesuatu.

Tiba-tiba, Ihsan teringatkan anak Pak Su Jenal. Saiful yang disebut-sebut tadi tentu anak Pak Su Jenal. Ya! Tidak syak lagi. Dialah Saiful yang disebut-sebut tadi. Apa yang menjadi tanda tanya di kotak fikiran Ihsan, mengapa dia marah sangat? Dia dengki ke? Tetapi dengki pasal apa pula? Irihati? Apa keistimewaan yang aku ada? Sampai boleh mengundang perasaan irihati si Saiful tu pula? Tidak! Tidak mungkin. Semua itu tidak mungkin. Mustahil. Tetapi... dari nada suara Saiful itu semacam ada benda yang dia tidak puas hati dengan aku. Ihsan cuba sedaya upaya untuk meleraikan teka-teki itu. Gagal. Tiada jawapan yang logik. Jawapan yang boleh memuaskan hati atas sebab-musabab tindakan Saiful itu. Jawapan yang agak-agak boleh merungkaikan semua persoalan yang bermain di minda Ihsan.

Ihsan sengaja melengah-lengah. Sengaja dia tidak keluar terus dari dalam tandas. Sebaliknya, dia menunggu sehingga dipastikan semua lelaki yang sedang bersidang. Berdialog di belakang tandas itu telah bersurai. Setelah dipastikan tiada lagi bunyi suara atau geseran tapak selipar, barulah dia keluar dari tandas. Kaki kanan diangkat. Biar ia melangkah dahulu. Belum pun sempat kaki kiri menginjak lantai simen di luar tandas. Tiba-tiba muka Aman tersembul dari tepi bangunan tandas. Bau rokok masih melekat di pakaiannya. Ihsan melemparkan sebuah senyuman, ikhlas. Aman pula membalas. Kemudian dia mematikan langkah. Seolah-olah terlupakan sesuatu.

“San...” panggil Aman, sahabat Ihsan semasa sama-sama bersekolah rendah. Dia lulusan universiti. Agak pintar juga orangnya. Kini mengajar di sekolah menengah. Suara serak itu memang suaranya yang asli.

Ihsan berpaling. Pemuda berbaju kurta berwarna ungu muda, berkain sarung pelikat kotak-kotak kecil dan berketayap putih tajam di puncak itu direnung. Aman kelihatan serba salah.

“Tadi... kau dengar...”

Ihsan mengangguk-angguk. Bibirnya tetap menguntumkan senyuman. Dia tidak salahkan Saiful kalau pemuda itu membencinya. Sikapnya dahulu memang teruk. Namun, dia seolah-olah merasakan yang Saiful berdendam dengannya. Apa yang dia tidak faham, kenapa? Setahunya, dia tidak pernah rapat dengan Saiful. Hanya kenal jauh-jauh sahaja. Jadi macam mana boleh dia mengguriskan hati pemuda itu.

“Kau tak usahlah ambil hati dengan kata-kata Saiful tu. Dia tu memang sensitif selepas dia kemalangan,” cerita Aman, tangan kanannya mengulung-gulung lengan baju sehingga ke atas siku.

“Kemalangan?” tanya Ihsan, kehairanan.

“Kau kan tahu, dulu dia tu normal. Macam kita jugak. Selepas dia terbabas semasa menunggang motosikal... lututnya pecah. Sebab tu la dia tempang,” beritahu Aman, terperinci. Dahinya dikerutkan.

Ihsan mendengar dengan simpati. Matanya tidak lepas dari memandang Aman. Persoalan yang sedang meronda-ronda di kotak fikirannya itu belum terungkai.

“Dia marah sangat dekat kau sebab kemalangan tu... lah.”

Terperanjat Ihsan apabila diberitahu Aman yang dia menjadi punca kemalangan yang menimpa Saiful. Huh! Bila masa pula akan langgar dia? Protes hati Ihsan.

“Apa... kaitan aku dengan kemalangan tu?” soal Ihsan, dia benar-benar tidak tahu.

Aman mendengus. Dia tunduk. Kemudian, pandangannya kembali ditumpahkan ke muka Ihsan. Sebaris senyuman terukir di bibirnya.

“Memang kau tak tahu. Sebab bukan salah kau. Tapi... si Saiful tu tak dapat terima kenyataan,” jelas Aman, perlahan-lahan.

“Masa tu... dia tunggang motosikal. Roadtax pulak tamat tempoh. Tak pakai topi keledar pulak tu… bila dia belok ke selekoh nak masuk depan sekolah tu, dia terbabas. Dia terkejut bila lihat ramai anggota polis sedang kejar sekumpulan penagih...” beritahu Aman, merungkaikan misteri amarah Saiful.

‘Termasuk aku?”

Aman mengangguk-angguk,mengiakan.

Ihsan mendengus. Matanya ditutup rapat-rapat. Dia tidak mahu lagi mengingat zaman gelap itu. Zaman yang telah meragut semua kebahagiaannya dahulu. Zaman itu, biarlah berlalu. Berlalu dengan meninggalkan banyak pengajaran. Dia tenang dalam kehidupannya kini. Bukan mudah untuknya menghilangkan ketagihannya dahulu. Hanya Allah yang tahu.

“Kesian Saiful...” ucapnya secara spotan, melahirkan simpati.

“Itu sudah nasibnya San, macam kau juga... tapi yang penting kau tidak macam dulu lagi...” tingkah Aman, cuba menyedapkan hati Ihsan.

Ihsan kemudian meninggalkan Aman yang mula mengambil wuduk. Semasa dia melangkah masuk ke dalam masjid, Bilal Pak Usop mula melaungkan azan isyak.

*****

Jam dinding menunjukkan pukul sembilan malam apabila Ihsan melangkah masuk ke dalam rumah pusaka kedua orang tuanya itu. Iman yang sedang rancak bersembang dengan neneknya di dalam bilik berlari-lari keluar mendapatkan Ihsan.

“Wow! lawa la anak papa ni… baju baru ya?” tegur Ihsan dengan nada mengada-ngada. Kedua-dua tangannya mengangkat tubuh kecil itu. Dijulangnya tinggi-tinggi. Iman meronta-ronta. Lalu digendongnya. Iman tersengih dan mengekeh-ngekeh.

Ihsan menghampiri sofa, direbahkan tubuhnya ke atas sofa. Iman masih di atas ribaannya. “Iman sudah makan?” tanya Ihsan, kepalanya ditundukkan. Pipinya dan pipi Iman bergesel.

“Sudah,” jawab Iman, jujur.

“Papa… Iman ada dua ni, baju,” beritahu Iman, tiga batang jari tangan kanan diangkat menghadap muka Ihsan.

Ihsan ketawa. Dia memegang jari manis Iman sambil menolak lembut. Rapat ke telapak tangan Iman.

“Ni baru dua sayang, tadi tiga,” ajar Ihsan, dia menggosok-gosok kepala Iman.

Mak Lela yang sedang menghampiri kedua beranak itu tersenyum. Dihulurkan beg kertas berwarna merah hati yang masih dijinjitnya itu kepada Ihsan.

“Eh… eh! apa pulak ni emak?” tegur Ihsan, tangan kanannya menyambut pemberian emaknya itu. Mak Lela merebahkan badan di sebelah Ihsan.

“Laaa… apa ni emak, tak usahlah bazirkan duit. Kak ngah hantar duit tu untuk emak,” kata Ihsan, dia terasa serba salah untuk menerimanya. Sehelai jubah putih yang masih berlipat kemas di dalam plastik putih jernih itu diangkat. Kemudian, dia mengeluarkan sehelai ketayap putih yang keras. Di kelilingnya pula dihiasi dengan corak sulaman benang berona keemasan. Sungguh cantik.

“Emak… emak, Ihsan malu. Tiap-tiap bulan, emak yang belikan beras. Sepatutnya Ihsan yang tanggung emak. Ni terbalik pulak, emak yang belikan Ihsan… Iman pakaian lagi. Ihsan yang patut belikan untuk emak semua tu…” Ihsan tidak dapat meneruskan kata-kata. Air matanya mula menitis. Dadanya sebak.

“Ihsan… ni rezeki daripada Allah, cuma melalui tangan emak aje. Emak pun dapat…” beritahu emaknya.

“Emak dapat?” tanya Ihsan, ingin tahu.

“Eh... eh! pahala… ya, emak dapat pahala,” ujar Mak Lela seakan-akan cuba menyembunyikan sesuatu.

“Pasal duit beli beras tu, tak usahlah kau risau. Emak ni dah tua… makan banyak mana sangat. Duit tu tak boleh bawa mati pun,” kata emaknya, cuba mengalihkan perbualan mereka.

“Tapi emak… kalau emak simpan, sekurang-kurangnya emak boleh pergi buat umrah,” kata Ihsan. Tangannya menepuk-nepuk perlahan Iman yang sudah terbaring di dalam pelukannya.

“Panjang umur… murah rezeki, kalau diizinkan Allah, dapat pergi la tu… hish, sudahlah. Ihsan pakai aje jubah tu nanti. Tak baik menyekat orang nak buat baik. Menyekat pahala yang orang lain patut dapat,” pujuk emaknya lagi sambil memandang kepada jubah yang berada di atas meja kecil di hadapan mereka.

Ihsan mengangguk-angguk, setuju.

“Kesian Iman tu, letih sangat… sepanjang hari ni, asyik main dengan Noni,” cerita Mak Lela lagi. Ihsan bangun sambil mengangkat Iman yang sudah lena itu ke bilik emaknya.

Seminit kemudian, Ihsan kembali. Duduk di sebelah emaknya.

“Esok, Ihsan nak masuk kebun. Dah lebih seminggu Ihsan tak ke sana. Entahlah! macam mana agaknya,” kata Ihsan, tangan kanannya menutup mulut yang ternganga itu. Matanya mula terasa pedih.

“Ihsan masuk tidurlah, emak tengok muka Ihsan pun pucat tu,” arah emaknya.

“Baiklah emak, Ihsan masuk dulu ya…”

“Ya lah.”

Ihsan bangkit, dengan langkah longlai dia menuju ke biliknya.

Previous: BAB 12
Next: BAB 14

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Mat Lawi Hassan