Home Novel Umum MASIH ADA CINTA
MASIH ADA CINTA
Mat Lawi Hassan
18/7/2015 15:08:34
109,689
Kategori: Novel
Genre: Umum
BAB 12

Selepas memarkir motosikal, Ihsan bergegas masuk ke unit kecemasan. Keadaan di ruang menunggu pada ketika itu tidak terlalu sesak. Kakitangan Hospital Jeli yang bertugas di unit itu kelihatan lebih tenang. Mungkin kes hari ini tidak terlalu banyak seperti hari-hari yang lain. Di penjuru ruang, berhampiran pasu bunga Yamin sedang bersandar di kerusi berangkai. Ihsan meluru ke arah Yamin, bunyi nafasnya jelas kedengaran. Badannya lencun oleh peluh.

“Mana Iman bang? Kenapa dengan Iman bang?” soal Ihsan, kepalanya dipusing ke kiri dan ke kanan.

“Bertenang... bertenang dulu San. Duduk dulu. Iman masih dirawat di zon kuning,” terang Yamin, cuba menenangkan Ihsan yang sudah kelam-kabut.

“Zon Kuning? Apa sakitnya?” soalan Ihsan bertalu-talu, dia sudah seperti cacing kepanasan. Masih berdiri. Berpusing-pusing. Badannya menggigil-gigil.

“Entah la... tapi kata mak ngah, Iman demam. Batuk-batuk… lepas tu ada ruam di badan,” beritahu Yamin.

“Kalau ya pun, duduk dulu...” tegur Yamin, Ihsan masih mundar-mandir. Mukanya berkerut-kerut. Jari jemari kedua-dua tangannya berselang-seli. Dia mematah-matahkan sendi-sendi jari tangan. Meletup-letup bunyinya. Perasaannya sudah tidak keruan.

“Perhatian... waris kepada Iman Nadira binti Yusron Ihsan, sila masuk ke Zon Kuning. Terima kasih,” suara petugas unit kecemasan lantang kedengaran melalui alat pembesar suara. Diulanginya sebanyak dua kali.

Ihsan mula kelam-kabut. Seolah-olah tidak ketemu jalan yang boleh membawanya ke Zon Kuning. Dia memandang ke muka Yamin yang masih bersandar di atas kerusi. Yamin mengangguk-angguk. Jari telunjuk diarahkan ke lorong sebelah kanan Ihsan. Terus Ihsan berlari-lari anak sambil mendongak ke kiri kanan , mencari-cari Zon Kuning. Pandangannya dilemparkan ke atas sekeping papan tanda, terlekat di atas bingkai pintu. Besar tulisannya. Ditulis dengan warna hitam. Berlatar belakang dengan warna kuning. ZON KUNING.

Ihsan menolak daun pintu. Dia menjengahkan muka di celah-celah daun pintu masuk. Matanya melilau-lilau. Dia nampak emaknya sedang berdiri di sebelah katil Iman. Seorang doktor perempuan yang dibantu oleh seorang jururawat sedang merawat Iman. Di belakang telapak tangan kiri Iman disuntikkan jarum ke saluran darahnya. Di situlah air dimasukkan ke dalam badan Iman. Air dari botol yang digantung pada cangkuk besi di hujung sebatang besi yang beroda.

Perlahan-lahan Ihsan masuk. Salam ditutur penuh sopan. Memohon kesejahteraan untuk semua. Dia mula merasa kurang selesa menghampiri doktor dan seorang kakitangan hospital. Pakaian yang melekat di badan itu berbau peluh. Memanglah. Pakaian itu adalah pakaian yang selalu dipakainya ke kebun. Peluh yang membasahi pakaian itu sudah beberapa kali kering dan basah. Dia tergesa-gesa tadi. Tidak sempat pulang ke rumah. Apa lagi untuk mandi dan menukar pakaian.

“Ni... ayah?” tegur Doktor Hani setelah menjawab salam. Doktor yang berkulit putih bersih, bertudung coklat cerah itu memakai baju kurung rona coklat tua. Di atas baju kurung itu tersarung pula baju basterop rona biru nila.

Ihsan mengangguk-angguk, mengiakan. Dia cuba menjarakkan badan, jauh sikit dari tempat berdiri doktor itu. Dia seboleh-boleh tidak mahu bau kurang enak dari badan dan pakaiannya mengganggu tumpuan doktor itu. Walhal dia juga tahu, doktor itu sudah sebati dengan berbagai-bagai bau. Bahkan lebih daripada itu. Setiap hari menatap dan merawat manusia. Sakit, luka, patah, putus dan macam-macam penyakit lagi. Bukan dia tidak pernah dirawat di unit ini dahulu. Ya, dahulu semasa dilanggar Azza. Di bilik inilah dia ditakdirkan bertemu jodoh. Mula malu-malu. Pertengahan malu alah. Akhirnya rindu-rinduan.

“Begini... hasil ujian makmal ke atas sampel darah. Darah yang kami ambil daripada anak encik, kami dapati darahnya... positif dijangkiti virus demam denggi,” beritahu Doktor Hani, sopan. Mata Ihsan mula berkaca. Sayu hatinya melihat Iman yang terbaring, tidak bermaya. Mata Iman tertutup rapat. Lena. Dadanya berombak.

“Untuk makluman encik, simptom-simptom penyakit virus denggi ni kita boleh tahu apabila anak-anak kita demam, hidung berair, batuk dan ruam kulit yang ringan,” jelas Doktor Hani, terperinci.

“Encik boleh ikut saya sekejap?” tanya Doktor Hani, matanya yang di bawah cermin mata berbingkai perang itu memandang tepat ke muka Ihsan.

“Boleh... boleh doktor...” sahut Ihsan, akur. Dia melangkah mengekori doktor muda itu sehingga ke meja yang terletak di penjuru bilik itu.

“Silakan duduk encik...” pelawa doktor itu lagi.

Doktor perempuan itu membelek-belek kad rawatan di hadapannya. Sehelai kertas putih selebar kertas A4 dengan garisan dan tulisan warna hijau ditelitinya lagi.

“Anak encik ni... bilangan platelet dalam darahnya berkurangan. Jadi terpaksa kami tahan masuk wad untuk rawatan lanjut,” ujar Doktor Hani, jari telunjuk diletakkan pada catatan di kertas putih di hadapannya .

Ihsan hanya mengangguk-angguk, setuju. Apa lagi kudrat yang mampu dilakukannya selain membiarkan Iman dirawat di dalam wad. Pandangan matanya tertarik kepada brosur yang di letakkan sebelah kiri doktor perempuan itu, ‘JOM BANTERAS DENGGI HABIS-HABISAN’. Ihsan pernah membaca tentang demam denggi, virus denggi disebarkan oleh nyamuk harimau betina (Aedes aegypti). Nyamuk-nyamuk ini membiak di dalam air bertakung dan selalunya menggigit pada hari siang. Apa yang dia tahu, virus denggi tidak bermusim, tetapi pada musim monsun, jumlah kes demam denggi meningkat kerana cuaca panas dan lembap. Pada musim panas dan lembap itu terdapat air bertakung dan nyamuk dapat membiak dengan baik.

“Kami akan ambil sampel darahnya lagi untuk ujian lanjut , rawatan akan kami beri untuk kurangkan simptom-simptom,” terang Doktor Hani memandang tepat ke muka Ihsan.

“Jika perlu, ubat antiradang untuk sakit sendi dan ubat-ubatan lain untuk menurunkan suhu akan dipreskripsikan,” beritahu Doktor Hani, tangan mencatat sesuatu di atas kad rawatan di hadapannya itu.

Beberapa minit setelah urusan dokumen kemasukan ke wad Iman selesai, dua orang pembantu perawatan kesihatan lelaki menolak katil Iman keluar dari bilik Zon Kuning. Seorang di antara mereka menjulang botol air yang tiubnya bersambung dengan jarum yang disuntik di belakang telapak tangan kiri Iman. Ihsan dan emaknya mengekori dari belakang. Semasa mereka melalui ruang pelawat, Yamin masih bersandar di kerusi. Ihsan menggerakkan kepala ke kanan, memberi isyarat. Meminta Yamin mengekori sama. Yamin mengangguk-angguk, faham.

Iman dimasukkan ke wad kanak-kanak. Dia masih lena di atas katil yang berpagar besi. Jantungnya berdegup kencang.

“Ihsan... baliklah dulu... ambil pakaian Iman, pakaian emak. Lepas tu Ihsan bawa termos, sudu, gelas plastik, pinggan plastik. Berus gigi dan sabun mandi jangan lupa,” minta Mak Lela perlahan, tangan kanan melurut-lurut ubun-ubun Iman.

“Baiklah emak, Ihsan pulang dulu... sekejap lagi Ihsan datang,” tutur Ihsan, dia dan Yamin mula melangkah meninggalkan katil Iman.

“Ihsan... Yamin!” panggil emaknya, separuh berbisik. Dia tidak mahu mengganggu pesakit-pesakit lain yang berada di dalam wad itu.

Langkah Ihsan dan Yamin terhenti. mereka menoleh serentak.

“Tak usah tergesa-gesa... lepas maghrib nanti baru Ihsan datang ya,” pesan Mak Lela.

“Ya lah...” sahut Ihsan, akur. Kemudian dia terkocoh-kocoh keluar dari wad kanak-kanak itu.

*****

Semenjak Iman dimasukkan ke wad tiga hari yang lalu, selama itulah Ihsan tidak ke kebun. Hatinya tidak senang untuk meninggalkan Iman. Dia hanya mencari rezeki dengan mengambil upah memanjat dan mengait buah kelapa di sekitar kampung. Dia tidak mengambil upah dalam bentuk wang ringgit, tetapi upah dikira mengikut bilangan biji kepala yang dipanjat. Atau dikait. Lima biji kelapa yang dipetik akan diambil sebiji sebagai upah. Sama ada kelapa tua ataupun kelapa muda. Semua kelapa yang menjadi upahannya itu akan dijualkan kepada Cik Yah, tauke kedai santan kelapa di simpang empat.

Ihsan akan mencari kerja di sekitar kampung. Dia tidak peduli akan ejekan. Cemuhan. Ada yang masih melabelkan dia dengan bahasa yang menyentuh hati. Pernah singgah di kupingnya.

“Siapa yang mengait kelapa di belakang rumah Pak Usop tu, kak?” Tanya seorang permpuan, apabila kedengaran setandang kelapa tua menghempap ke bumi.

“Siapa lagi... doktor la...” jawab kakak yang tinggal di sebelah rumah Pak Usop.

“Hah! Doktor? Doktor mana?” perempuan itu kehairanan.

“Hahaha... kau ni. Tu pun tak faham. Doktor yang injek lengan sendiri la... penagih,” mulutnya dimuncungkan.

Ihsan hanya bungkam. Dia tahu, penghijrahan menuntut kesabaran. Bukan manusia yang menilai tetapi Allah yang menilai. Nilaian Allah pada ketakwaan. Bukan nilaian semata-mata kepada amalan yang zahir. Allah pandang kepada hati.

Ihsan tidak masuk ke kebun pisang kerana dia tidak selesa. Bimbang pasal Iman. Selagi Iman ditahan di dalam wad, hatinya sentiasa bergetar. Dia mahu sentiasa berjaga-jaga. Takut-takut ada panggilan daripada pihak hospital, perlukan apa-apa maklumat atau apa sahaja berkaitan Iman. Dia juga menunggu panggilan bagi memberitahu Iman sudah dibenarkan keluar. Apabila Iman dibenarkan keluar wad. Ini bermakna Iman sudah bebas dari Demam Denggi. Bebas dari Demam Denggi bermakna Iman sudah sihat. Itu yang didoa. Dan itu yang diharapkan.

Pada waktu siang, emaknya yang akan menjaga Iman. Ihsan pula menjaga pada waktu malam. Apabila Iman tidur, dia akan menapak ke bilik yang dikhaskan untuk simpanan kerusi malas sumbangan NGO. Dia akan meminjam kerusi itu, dibawa dan diletakkan di sebelah katil Iman. Dia akan terlelap di atas kerusi itu dengan berselimutkan sehelai kain sarung pelikat. Ada ketikanya Iman terjaga pada waktu malam. Meracau-racau. Memanggil-manggil mamanya. Luruh air mata Ihsan. Luluh hatinya sewaktu mendengar panggilan Iman dengan mata terkunci rapat itu.

Biasanya, Yamin yang akan menghantar Ihsan ke hospital. Kemudian, emaknya akan pulang dengan Yamin. Begitulah pada waktu siang, dia akan balik menumpang kereta Yamin setelah emaknya mengambil tempatnya menjaga Iman.

Petang itu, sebelum maghrib dia dan Yamin sudah sampai ke katil Iman. Emaknya sedang menyuapkan Iman sehiris epal. Di atas meja kecil sebelah katil Iman, terdapat beraneka jenis buah-buahan. Di situ juga terdapat sebuah vas dengan jambangan bunga yang cantik. Wangi. Tentu ramai kawan-kawan emak yang datang melawat, fikirnya.

Iman sudah mampu membuka mata. Namun, air masih dimasukkan ke dalam badannya. Dia sudah boleh mengorak senyum. Merengek-rengek apabila dilihatnya Ihsan.

“Papa… papa... Iman nak mama. Mana mama? Mana mama papa?”

Ihsan sebak. Bebola matanya terperit-perit. Air hangat tergenang di kelopak mata. Emaknya membungkam di sebelah. Yamin pula memalingkan muka ke luar tingkap.

“Papa… mama suap Iman bubur nasi. Mama cium dahi Iman,” Ihsan tidak dapat menahan sendu, tentu Iman terlalu merindui mamanya. Lantaran itu, dia banyak bermimpi tentang mamanya. Fikir Ihsan. Bahu Ihsan terhinggut-hinggut. Yamin menggosok-gosok belakang Ihsan. Mak Lela menyeka kedua-dua belah mata dengan lengan baju kurung.

‘Di mana kau Azza? anak kita sakit, anak kita rindukan mamanya…’ rintih Ihsan, di dalam hati. Dia teresak-esak. Matanya tidak terdaya untuk melihat muka Iman yang masih pucat cengkung itu lama-lama.

Dia tidak tahu macam mana hendak hubungi Azza. Nombor telefon Azza pun tiada dalam simpanannya. Dia malu hendak menelefon keluarga Azza. Apatah lagi hendak berjumpa dengan bekas mentuanya itu. Lebih-lebih lagi ibu Azza. Sebenarnya, dia tahu ibu Azza bukanlah cerewet sangat. Ibu mana sanggup lihat anak mereka hidup susah, sedangkan anak gadisnya itu berpelajaran, ada kelulusan? Ibu mana boleh sabar, apabila melihat anaknya lebam-lebam dipukul suami yang ketagih dadah? Bahu Ihsan semakin kuat turun naik. Dia cuba tenangkan sendiri walang hatinya itu. ‘Semua ini ujian Allah ke atasku,’bisik hatinya, memujuk.

Sekonyong-konyong, seorang doktor lelaki muda berbangsa cina menghampiri katil Iman. Mereka mengundur, memberi ruang kepada doktor itu memeriksa Iman. Doktor itu berpaling kepada mereka.

“Anak sudah semakin aktif?” tanya doktor itu yang ketara pelat cinanya.

“Ya, doktor…” jawab Ihsan, jujur. Tangan kanannya memicit hidung.

Doktor itu mengalihkan pandangannya kepada Ihsan. Rambutnya tebal beralun. Tubuhnya lanjai. Pandangannya dibantu oleh kanta cekung yang tebal dengan bingkai plastik berwarna hitam.

“Ayah?” soalnya, minta kepastian.

“Ya, saya.”

“Macam mana dengan batuk anak? demam? sudah kurang?”

“Ya… ya…” sahut Ihsan, kedua-dua mata berpaling ke muka emaknya yang sedang mengangguk-angguk.

“Selera makan? anak sudah ada selera makan?”

“Ya… ya… ada.”

“Bagus… bagus, anak pun nampak semakin berisi.”

“Kalau boleh, ayah biarkan anak rehat banyak-banyak, makan makanan ringan yang ada khasiat dan lap badannya. Biar anak rasa selesa,” nasihat doktor itu, muka menghadap Ihsan. Dia kemudian berpusing dari Ihsan dan berjalan menuju ke meja pasukan petugas di tengah-tengah ruang wad kanak-kanak itu.

Ihsan memandang ke arah emaknya lagi. Tangan emaknya asyik menepuk-nepuk bahu Iman melalui celah batang besi pagar katil. Tiba-tiba telefon bimbit emaknya berdering lagi. Semenjak Iman ditahan dalam wad, Ihsan perhatikan emaknya bagaikan seorang wartawan yang sering berlintas langsung di lokasi. Sentiasa dihujani panggilan telefon. Emaknya seperti biasa, akan bangkit dari kerusi dan melangkah ke bilik solat. Mungkin dia tidak mahu tutur katanya mengganggu Iman atau mengganggu pesakit-pesakit yang lain.

“Kakak ya emak?” sapa Ihsan, apabila dilihat emaknya melangkah masuk dan menghampiri mereka. Emaknya hanya tersenyum. Segaris senyuman emaknya itu sungguh cantik di matanya. Boleh meleraikan kekusutan di jiwanya. Dia tahu, emaknya sudah letih lesu menjaga Iman di dalam wad.

*****

Hari ketujuh Iman sudah boleh bangun. Melompat-lompat seperti selalu. Tiub yang menyalurkan air ke dalam badannya sudah dibuka. Mukanya semakin ceria. Sudah boleh bertegur sapa.

Ketika Ihsan menghampiri katil Iman, Mak Lela telah siap mengemas semua barang.

“Macam mana? dah boleh keluar?” soal Mak Lela, minta kepastian.

Ihsan mengangguk-angguk, mengiakan.

Yamin yang berdiri di sebelah Ihsan mengangkat beg pakaian dan raga yang sendat dengan peralatan makan-minum. Mak Lela menjinjit beg pakaian solatnya. Ihsan menggendong Iman.

Iman melambai-lambai ke arah kawan-kawannya yang masih di katil pesakit.

Ketika kereta Myvi hijau pucuk pisang Yamin memasuki halaman rumah, telefon Mak Lela berdering. Ihsan lihat emaknya menyelongkar ke dalam beg pakaian solatnya. Sebaik sahaja Yamin memberhentikan kereta betul-betul di hadapan tangga rumah, emaknya tergesa-gesa membuka pintu. Lebih kurang lima minit emaknya bersembang melalui telefon di atas pangkin, bawah pokok Pulasan.

“Panas telefon emak… asyik berdering aje,” gurau Ihsan, Mak Lela yang baru melangkah masuk ke dalam rumah itu tersengih-sengih.

“Papa… papa... Iman makan pizza…” beritahu Iman, jujur.

“Ya? Kenapa tak simpan untuk papa?” gurau Ihsan, tubuh kecil Iman dirangkulnya kemas.

“Mama yang belikan… mama suapkan Iman,” Ihsan tertunduk. Kelopak matanya berkelip-kelip laju. ‘Kesian Iman, rindu sangat akan mamanya… terbawa-bawa dalam tidur,’ sela Ihsan di dalam hati.

Ihsan memaling muka kepada Yamin yang mula bersandar di sofa. Kemudian berpusing ke arah emaknya yang duduk di sebelah Yamin.

Mak Lela bangkit perlahan-lahan, sebelum sempat tubuhnya ditegakkan, Kak Imah sudah terpacul dari dapur. Kedua-dua tangannya menatang sekeping dulang dengan kopi O panas dan sepiring kuih bingka.

“Eh! ah! Oh! Mana anak aku? Eh... eh... kau ada Imah…” latah Mak Lela yang terkesima dengan kemunculan Kak Imah secara mendadak itu.

“Mak ngah rehatlah… Imah dah masak untuk makan tengah hari,” tutur Kak Imah, tergelak-gelak.

“Ya lah mak ngah, rehatlah,” sampuk Yamin yang turut mengekeh-ngekeh.

Ihsan hanya tersenyum sambil meriba Iman, emaknya kembali duduk di sebelah Yamin.

“Terima kasih Imah, kami ni banyak susahkan kau sekeluarga...” tutur Mak Lela, menggaru-garu kepala.

“Hish... kenapa cakap macam tu mak ngah. Kita sekeluarga,” kata Kak Imah, tidak senang dengan perasaan merendah diri ibu saudara suaminya itu.

“Petang ni, orang jabatan kesihatan nak sembur kabus lagi di lajur kawasan sini,” beritahu Kak Imah.

“Pukul berapa?” tanya Mak Lela, memandang Kak Imah yang mula melabuhkan punggung ke atas kerusi di hadapannya.

“Katanya pukul enam petang,” jawab Kak Imah, tangannya menarik hujung tudung di bawah dagu. Kepala dipusing ke kiri kanan.

Mentari mula tegak di atas bumbung rumah, bahangnya perit terasa. Cuaca di Kampung Ayer Lanas sekarang ini tidak menentu. Panas pada waktu pagi sehingga tengah hari. Namun, hujan lebat pada waktu petang membawa ke dinihari. Cuaca yang panas dan lembap ini menyebabkan banyak terdapat tempat air bertakung. Di situlah nyamuk aedes membiak. Apabila air hujan tidak dapat mengalir dengan baik pada musim monsun, kebanyakan nyamuk dan serangga akan memasuki rumah.

Previous: BAB 11
Next: BAB 13

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Mat Lawi Hassan