Suasana
di perkarangan Masjid Hidayah hingar-bingar dengan pekikan kanak-kanak yang
sedang berkejar-kejaran. Lampu neon di sekeliling masjid menambahkan lagi
kemeriahan kepada kanak-kanak pada malam itu. Di beranda masjid, atas lantai
mozek kelihatan beberapa kelompok ahli-ahli jemaah masjid sedang berborak,
sementara menunggu masuknya waktu solat isyak. Malam itu, sepatutnya giliran
Ustaz Zailani yang mengajar. Namun, apa yang diberitahu oleh Haji Rokiman,
ustaz itu tidak dapat hadir kerana berkursus di Kuala Terengganu.
Ihsan
menyandarkan badan di dinding bersebelahan dengan almari buku-buku agama. Di
atas ribanya terdapat sebuah buku setebal dua inci yang masih ternganga.
Benaknya menjelajah jauh. Hanya batang tubuh sahaja yang berada di dalam masjid
itu. Jiwa, perasaan dan akalnya terbang jauh. Dia masih memikirkan tentang
nasib yang bakal diterimanya. Bukan dia tidak percayakan qadak qadar, tetapi
dia masih sangsi dengan kemampuan dirinya. Dia takut dia tidak dapat menghadapi
tekanan hidupnya lagi.
Dia
akui, sebagai manusia yang lemah hanya kepada Allah tempat dia bersandar.
Namun, kerana dia manusialah dia khuatir keyakinan dirinya terhadap diri
sendiri akan goyah. Selama lebih dua tahun, dia hidup tanpa isteri. Membesarkan
anak dengan bantuan emaknya. Bertungkus lumus mengusahakan tanah kebun arwah
ayahnya. Apabila dia mula di ambang kejayaan, semua hasil pertaniannya mula menjana
pendapatan, tanah kebun itu pula menjadi mangsa pembangunan. Air matanya tidak
dapat ditahan lagi. Deras menitis di pipi.
“Hai,
jauh mengelamun...” tegur Haji Rokiman yang mula menghampiri Ihsan.
Ihsan
menarik kain serban bercorak petak halus, berona hitam yang disebai ke bahu.
Disapu-sapu ke muka. Dia tidak mahu Haji Rokiman melihatnya menangis. Dia mesti
tunjuk yang dirinya masih tabah. Masih boleh menerima kenyataan yang tanah
kebun kesayangannya itu akan diambil kerajaan.
“Bapak
tahu, tentu Ihsan fikirkan pasal tanah kebun tu lagi,” teka Haji Rokiman. Ihsan
terperanjat. Namun, cepat-cepat disembunyikan, agar tidak dapat dihidu oleh
Haji Rokiman.
“Nabi
kita, Nabi Muhammad s.a.w berdakwah menyampaikan ajaran Islam selama 23 tahun.
23 tahun... baru berjaya membentuk Negara Islam. Itu nabi... manusia terpilih.
Kenapa Allah tak terus kurniakan kejayaan kepada baginda? Tentu saja Allah berkuasa melakukan itu,” Haji Rokiman mencuit
paha kanan Ihsan. Menepuk-nepuk, perlahan. Lelaki yang sudah banyak menghirup
pengalaman dalam hidup itu sentiasa tenang. Tidak jemu-jemu meniupkan semangat
juangnya kepada Ihsan.
‘Bapak
tau, semua ni Ihsan dah tau... Ihsan orang ngaji kan? Cuma bapak nak ingatkan
saja. Semua yang berlaku tu bersebab. Allah sayangkan kita, Allah nak angkat
darjat kita... orang sekarang cakap naik pangkat. Bila nak dinaikkan pangkat...
mestilah kena ditemuduga dulu, bukan gitu?” soal Haji Rokiman, bibirnya sentiasa
manis dengan senyuman.
Ihsan
beristighfar di dalam hati. ‘Ya, Allah... ampunkanlah kekhilafan aku tadi,’
getus hati kecilnya.
“Semua
orang kena uji, yang berjaya dinaikkan pangkat. Mana-mana yang kandas disuruh
mengulang...” ujar Haji Rokiman lagi. Dia memusingkan badan ke belakang,
matanya terpandang kepada seorang lelaki pertengahan umur yang baru lepas solat
sunat. Badannya tegap, berkulit cerah. Berketayap putih bersih.
“Mat...
Mat, sekejap!” panggil Haji Rokiman, menggamit lelaki yang berjanggut tanpa
kumis itu.
Lelaki
berjubah kelabu berlengan pendek itu menghampiri mereka. Mereka bersalaman
sambil bersedekah senyuman di bibir masing-masing.
“Ha...
bapak kenalkan Ihsan, ni menantu bapak. Mat! ni Ihsan, anak arwah Karim... kawan
bapak,” kata Haji Rokiman, dia mula bangkit perlahan-lahan.
“Tak
apalah... kamu sembanglah dulu, bapak nak ke tandas kejap,” ungkap Haji
Rokiman, kakinya mula melangkah dan meninggalkan Ihsan bersama-sama menantunya
itu.
“Abang...”
suara Ihsan, memulakan bicara.
“Panggil
aje Abang Mat,” kata menantu Haji Rokiman itu.
“Ooo...
ya! Ya!” Ihsan mengangguk-angguk.
“Katanya...
Ihsan usahakan tanaman pisang?” tanya Abang Mat, memandang tepat ke muka Ihsan.
Ihsan
mengangguk-angguk lagi, mengiakan.
“Tapi...
tanah tu dah nak diambil kerajaan,” beritahu Ihsan, lemah.
“Ooo...
pasal projek jalan raya tu,” tuntas Abang Mat, Ihsan terpinga-pinga. Tentu Haji
Rokiman telah beritahu menantunya ini pasal projek itu. Fikir Ihsan sendirian.
“Sekarang,
apa yang Ihsan nak buat?”
“Entah
la!”
“Ihsan
macam putus asa aje...” teka Abang Mat, matanya yang tenang itu turut
menenangkan Ihsan.
“Maaflah...
abang nak cerita sikit tentang berniaga ni.”
“Abang
Mat berniaga ke?” Ihsan sedikit terperanjat, tertarik dengan kata-kata Abang
Mat itu.
“Ada
la... kecil-kecil aje,” jawab Abang Mat, merendah diri.
“Orang
berniaga ni, macam juga nelayan di laut. Kena ada keyakinan diri. Kepakaran
boleh kita dapat dari keyakinan kita. Apa yang penting kita kena peka kepada
persekitaran,” Abang Mat membuka bicara,
tuturnya itu bagaikan seorang usahawan yang telah berjaya.
“Ihsan
tak yakin, Ihsan boleh buat? Berniaga macam orang lain?” soal Abang Mat,
menguji.
Ihsan
menggeleng-geleng, mengiakan.
“Ihsan
kena bina keyakinan diri dulu. Kata orang bijak pandai, keyakinan diri boleh
kita bina dengan melakukan tiga perkara...” terang Abang Mat bagaikan seorang
penceramah motivasi pagi di dalam televisyen. Tiga puntung jari tangan kiri
diangkat.
Ihsan
mula khusyuk mendengar. Matanya tidak berkelip-kelip memandang Abang Mat. Tutur
katanya tersusun indah. Alunan suaranya lunak didengar. Air mukanya sejuk mata
memandang.
“Perkara
pertama, kita kena berhenti mendengar kritikan yang tidak membina... yang boleh
membunuh keyakinan kita,” jari telunjuk tangan kanan Abang Mat menekan ke permukaan
jari telunjuk tangan kirinya.
“Kedua,
kita kena sentiasa berisytighfar kepada Allah... minta ampun. Kita sebagai
hamba-Nya, tentu banyak melakukan kesilapan. Bila hati bersih... insya-Allah,
dapat menyakinkan diri kita,” kali ini jari telunjuknya menekan permukaan jari
tengahnya pula.
“Dan
ketiga,” Abang Mat menekankan jari telunjuknya ke atas permukaan jari manis.
“Kita
kena cari ilmu. Mudah cakap, kena belajar. Tak kiralah dari mana sumbernya...
yang penting, belajar. Bila kita ada ilmu, tentu kita yakin... bukan gitu?”
soalnya, tersengih. Menampakkan barisan gigi yang putih bersih.
Ihsan
turut tersengih. Hatinya sangat tenang bersembang dengan Abang Mat. Lelaki ini
sungguh baik hati. Mudah mesra dan tidak lokek berkongsi ilmu dan pengalaman
yang dia ada. Ya! Abang Mat dirasakan seperti seorang yang banyak pengalaman
dalam dunia perniagaan. Ihsan berasa beruntung berkenalan dengan Abang Mat.
“Ihsan
minat berniaga?” soal Abang Mat lagi, minta kepastian.
“Ya!”
sahut Ihsan, mula ada keyakinan diri.
“Kalau
begitu, mulakan sekarang... Abang Mat akan bantu, insya-Allah.”
“Tapi...
mana saya ada modal?” rungut Ihsan, mohon simpati.
“Abang
Mat rasa... Ihsan sudah ada modal. Cuma Ihsan tak perasan barangkali.”
Ihsan
terpinga-pinga. Dia terkulat-kulat memandang Abang Mat. Lelaki di depannya itu
ketawa terbahak-bahak.
“Abang
Mat rasa, Ihsan lebih beruntung daripada orang lain.”
Ihsan
bungkam. Dia mendengar sahaja. Dia belum faham apa yang dimaksudkan oleh Abang Mat.
“Maksud
Abang Mat, orang lain kena buat kertas kerja. Lepas tu terpaksa naik turun bank
untuk buat pinjaman. Untuk apa? Untuk dapatkan wang modal,” sela Abang Mat,
matanya jernih memandang Ihsan.
“Ihsan...”
Abang Mat sengaja menggantungkan kata-katanya di situ. Dia seolah-olah dapat
membaca fikiran Ihsan ketika itu. Tidak sabar menunggu.
“Maksud
Abang Mat?” akhirnya Ihsan tewas.
“Hahaha...
satu lagi nilai yang perlu ada pada seorang yang ingin berjaya dalam berniaga.
Sabar...” ungkap Abang Mat sambil ketawa. Rupa-rupanya dia hendak melihat
reaksi Ihsan. Boleh sabar atau sebaliknya.
“Maksud
Abang Mat tadi, Ihsan tak perlu buat pinjaman. Sebab... ya sebab... Ihsan dah
ada modal,” Abang Mat menelan liurnya.
“Wang
pampasan tanah kebun tu nanti boleh buat modal, Ihsan setuju,” soal Abang Mat.
Ihsan
masih teragak-agak. Buntu. Dia masih keliru dengan keputusan yang patut
diambilnya itu. Berniaga mesti berani. Mesti berkeyakinan. Mesti berusaha
keras.
“Tak
apa... itu Ihsan boleh bincang dengan keluarga Ihsan. Abang Mat cuma buka
jalan. Nak tolong Ihsan berfikir di luar kotak,” tokok Abang Mat lagi.
Abang
Mat melihat jam di pergelangan tangan kanannya. Kemudian, dia memandang ke muka
Ihsan.
“Lepas
isyak nanti Abang Mat bagi nombor telefon Abang Mat, kalau Ihsan ada apa-apa
yang boleh Abang Mat bantu, telefon aje,” pelawanya, mesra.
*****
Usai
bersolat sunat selepas isyak, Abang Mat mengajak Ihsan ke rumah Haji Rokiman.
Dia benar-benar mahu menolong Ihsan. Kata Abang Mat, besok pagi-pagi lagi dia
terpaksa balik ke Kuala Lumpur. Sebelum Ihsan ke rumah Haji Rokiman, dia
menghantar emak dan anaknya pulang dahulu.
“Abang
Mat percaya, tentu Ihsan pernah tengok filem Laksamana Do Re Mi, betul?” Abang
Mat memulakan ‘sesi kaunselingnya’. Lagaknya bersahaja sambil menyandar
belakang ke kerusi jati rona coklat tua.
Ihsan
yang duduk di sebelah kanannya ketawa sambil mengangguk-angguk, setuju.
“Berapa
kali?”
Ihsan
menjuihkan bibir. Kedua-dua bahu diangkat, tidak pasti.
“Okey,
apa pengajaran yang Ihsan dapat daripada filem itu?”
Ihsan
masih menggeleng-geleng, kurang pasti. Abang Mat mengekeh-ngekeh. Sikap Abang
Mat itu membuatkan Ihsan selesa dan cepat mesra bersembang.
“Abang
Mat pun minat tengok cerita P. Ramlee. Tapi seeloknya, kita ambik manfaat dari
apa yang kita minat itu,” Abang Mat masih tersenyum-senyum.
“Biar
Abang Mat cerita dari kaca mata orang berniaga macam Abang Mat ni,” kata Abang
Mat.
“Orang
lain... Abang Mat tak tau, tapi apa yang abang dapat dari filem Laksamana Do Re
Mi, Abang Mat akan ceritakan kepada Ihsan,” kata menantu Haji Rokiman itu.
Perbualan
Ihsan terhenti seketika apabila isteri Abang Mat keluar menatang jus oren dan kuih-muih. Suara Haji Rokiman
sedang mengaji al-Quran sayup-sayup kedengaran dari bilik hujung. Haji Rokiman
sengaja meninggalkan Ihsan bersama-sama menantunya. Dia mahu Ihsan belajar berniaga
dengan menantunya itu.
“Sambil
tu, jemput makan...” pelawa Abang Mat, mesra.
“Kalau
kita tengok filem tu, apa yang pari-pari tu berikan kepada Do, Re dan Mi?” soal
Abang Mat macam seorang tutor yang sedang mengajar.
“Pari-pari
tu beri bangsi hikmat, teropong ajaib dan tikar terbang, kenapa dia tak bagi
terus harta... biar senang Do, Re dan Mi?” tanya Abang Mat, menguji.
“Ihsan
rasa, dia tak mahu bagi ikan... tapi nak bagi kail,” jawab Ihsan, cuba
mengagak.
“Hmm...
akhirnya Ihsan dapat tangkap apa yang Abang Mat cuba nak jelaskan ni,” tutur
Abang Mat, puas hati.
“Dalam
berniaga, kita perlu ada ketiga-tiga benda tu,” beritahu Abang Mat.
“Tikar
terbang itu kita tafsirkan sebagai kenderaan. Bangsi hikmat kita tukar kepada
aliran tunai kita. Teropong ajaib, Abang Mat terjemahkan sebagai komputer yang
siap dengan talian internet.” Abang Mat berhenti seketika.
“Ketiga-tiga
benda ni penting bagi seorang usahawan yang nak berjaya,” sela lelaki itu,
tangannya mencapai jug jus oren. Dituangnya ke dalam kedua-dua gelas kaca yang
berada di atas meja kecil di depannya itu.
“Minum
dulu Ihsan,” pelawa Abang Mat lagi sambil menyuakan gelas ke bibirnya.
“Perkara
pertama yang Ihsan kena buat... kenalpasti jenis perniagaan yang Ihsan nak
daftar,” Ihsan tidak berkelip-kelip memandang Abang Mat.
“Apa
yang Ihsan tahu buat? maksud Abang Mat... er, kerja?”
“Ihsan
boleh buat kerja-kerja letrik... “ jawab Ihsan, jujur.
“Bagus!
Ihsan kena daftar perniagaan dulu. Daftar kerja-kerja letrik, cuci kawasan,
bekalan makan-minum, masakan islam... banyak lagilah. Daftar aje dulu.
Kerja-kerja dan tenaga kerja akan difikir kemudian.”
“Tapi
Ihsan tak tau semua tu?”
Abang
Mat ketawa, dia menepuk-nepuk paha Ihsan.
“Minggu
depan, Abang Mat balik lagi... Abang Mat temankan Ihsan,” janji Abang Mat.
Ihsan
terharu. Syukur dia kepada Allah kerana ketemukan dia dengan Haji Rokiman dan
menantunya yang berhati mulia. Di dalam hatinya, tidak putus-putus memuji
Allah.
“Macam
ni la, Ihsan kerja dulu dengan Abang Mat,” cadang Abang Mat, dia menepuk bahu
Ihsan.
“Abang
Mat ada satu projek di Jeli. Nanti Abang Mat daftarkan Ihsan masuk kursus
kontraktor, lepas tu baru Ihsan boleh daftar kontraktor gred G1,” jelas Abang
Mat, memberi jalan.
“Abang
Mat nak tengok... suatu hari nanti, Ihsan berjaya,” kata Abang Mat, membina
harapan.
Hampir
dua jam mereka bersembang pasal perniagaan. Ihsan dan menantu Haji Rokiman itu
semakin mesra. Sebelum Ihsan meminta diri untuk pulang, Abang Mat sempat
berpesan dengan berbagai-bagai pesanan yang boleh membakar semangat Ihsan.
Malam sudah semakin larut.