Home Novel Umum My Handsome Prince
My Handsome Prince
zoi mou
8/2/2024 23:08:46
25,538
Kategori: Novel
Genre: Umum
Bab 17

Jika semua orang boleh mengotakan setiap kata-kata indah yang mereka lafazkan dunia akan menjadi lebih mudah. Malah hidup akan jadi lebih bermakna bagi mereka yang berharap. Setiap kata-kata yang memberi harapan itu juga mampu menghidupkan hati yang sudah hampir mati. Namun harapan juga mampu membunuh banyak jiwa jika berakhir dengan kecewa. Tetapi, aku bukan sekadar memberi harapan....keputusan ini diambil kerana aku mahu melakukan apa yang betul.  Aku tahu aku ada banyak hati yang perlu ku jaga dan  aku tidak sampai hati mahu melukakan hati-hati yang mengharapkan secebis kasih sayang dariku...

Derapan langkah Mahadi bergema di lobi yang sunyi itu ketika dia melangkah menghala ke lif.  Sampai di level 18, dia melangkah perlahan di koridor yang dihampar dengan permaidani tebal, menghampiri bilik suite hotel 5 bintang di mana Hilda sedang menunggunya. Sebagaimana pernah mereka lakukan berbelas tahun lalu. Sekiranya dia ditugaskan menerbangkan pesawat ke destinasi, sesekali dia akan membuat tempahan bilik untuk bertemu dengan Hilda memadu kasih mereka sebagai suami isteri. Namun, kali ini, dia tahu perbualan mereka akan menjadi sukar. Tetapi, dia telah membuat keputusan. 

Ketika sampai di depan pintu bilik itu, dia menarik nafas panjang, mengetuk pintu perlahan-lahan, dan melangkah masuk. 

Hilda mendongak dari bukunya, matanya bertemu dengan susuk Mahadi,penuh fihrasat.

"Rose," dia memulakan,suaranya jelas tetapi bercampur dengan ketegangan. "Ada sesuatu yang perlu saya beritahu awak."

Jantung Hilda berdegup kencang,udara di dalam bilik itu terasa tiba-tiba menjadi suram dan berat. Dia menutup bukunya dan meletakkannya di atas meja di tepi katil. Dia duduk di birai dengan tegak, meletak tangannya di riba.

"Ada apa, Di?" dia bertanya, menguatkan dirinya untuk apa jua pendedahan yang akan tiba.

Mahadi berhenti seketika, mencari perkataan yang sesuai. Mahadi tahu apa yang bakal diucapkan itu akan mengejutkan Hilda, tetapi dia juga tahu dia harus berterus terang dengan wanita itu. Straight to the point.

"Saya telah membuat keputusan," perkataan itu diucap akhirnya. "Saya akan berkahwin dengan Candrima."

Hilda berasa seperti rohnya telah terkeluarkan dari dirinya. Kesunyian yang terhasil selepas lontaran kata Mahadi itu bagaikan membingit di gegendang telinganya. Bagaikan ada bunyi nyaring yang memekakkan telinga sambil dia cuba menghadam kata-kata Mahadi.

"Apa?" dia akhirnya menguak keluar suaranya, bagaikan seekor katak puru yang terjatuh ke dalam parit. Suaranya sendiri terasa asing dan keluar entah dari mana.

Pandangan Mahadi tajam bagai bersiap untuk membela diri. Mungkin sudah bersedia dengan apa saja bangkangan yang bakal kunjung tiba.

"Awak faham kata-kata saya, Rose? Saya akan kahwin dengan Candrima. Dia perlukan saya, dan saya perlu buat ini untuk dia. Dan untuk diri saya sendiri."

“In the first place, siapa Candrima?” tanya Hilda dengan muka tiada ekspresi. Dia sudah mati rasa dan tidak peduli lagi dengan apa yang bakal dikatakan Mahadi. Dia boleh menduga siapa Candrima berdasarkan maklumat yang diberikan Lilith. Tetapi dia sengaja mahu mendengar luahan Mahadi.

“Dia wanita yang awak nampak bersama saya tempoh hari. Di parkir shopping complex itu.” jelas Mahadi.

“Awak kata awak telah putusdengannya…” dia mahu penjelasan.

“Saya telah cuba Rose…tapi saya hanyalah manusia biasa…”

“Maksud awak?”

“Takdir kerap menemukan kami dan…saya tak mampu menolaknya…”

Takdir...mudah sekali kau ya Mahadi. Sedangkan seorang pembunuh mampu mengatakan dia ditakdirkan membunuh…demi mahu menyelamatkan diri daripada hukuman dan dilanda perasaan bersalah?

Wajah Mahadi direnungnya. Tiada keraguan atau penyesalan dalam mata itu. Yang dia dapati hanyalah lelaki yang penuh dengan keazaman yang meluap-luap untuk meneruskan hasratnya.

"Tapi kenapa? Apakah kekurangan saya?" tanyanya, dia tahu itu soalan yang tidak bermakna. Jika Mahadi berterus terang tentang kekurangan dirinya, sudah pasti akan juga berlaku perang dunia.  Perasaannya tersinggung. Sesungguhnya dia tahu Mahadi sememangnya sekian lama berhubungan dengan wanita lain, tetapi dia masih mampu hidup dalam pura-pura kerana menganggap, mungkin tubuh Mahadi tersadai bersama wanita lain di sana sini tetapi hati Mahadi masih kuat mencintai dia seorang sahaja.

Bercinta tidak sama dengan kecurangan. Itu yang dia fahamkan. Lelaki ada kehendak yang perlu dipuaskan.Pernah neneknya berkata, lelaki mampu aktif di katil, walaupun sudah berusia 100 tahun. Main cinta dan bercinta bukan dua perkara yang sama. Dan dia menyangka Mahadi hanya cintakan dia dan hanya bermain cinta dengan wanita-wanita lain itu. Mahadi tidak cinta dengan mereka.

Sekarang Mahadi mahu mengahwini wanita lain pula. Apakah Mahadi ada dua hati dan mampu bercinta dengan dia dan Candrima? Dan … di mana pula Mahadi letakkan Lilith Athalia?  Adakah sesiapa lagi yang berkongsi mengetahui kedudukan tahi lalat di segenap tubuh Mahadi?

Dia merasa sakit dan perasaan itumembara di dadanya. Apakah mereka semua hanya pelepas nafsu Mahadi. Jari jemarinya menggenggam dengan perasaan yang semakin menyesak.

Mahadi mengambil tempat, duduk di sebelahnya. Matanya memandang  wajah Hilda dengan pandangan yang sukar diterjemah.

“Tiada apa kurangnya awak Rose…Hanya…seperti awak, Candrima seorang wanita yang baik, Rose. Dia telah melalui trauma, dan saya ingin membantunya.." Dia berhenti, memilih kata-katanya denganberhati-hati. "Hatinya terbuka untuk  bernikah dengan saya. Saya juga mendapat hidayah dan saya percaya bahawa dengan mengahwininya, saya boleh membimbingnya dalam hal agama...sambil mencari ketenangan dan kebahagiaan...Saya pernah berasa sesat, dan kini saya rasa inilah jalan yang betul untuk saya."

Mata Hilda tidak berkelip mendengar penjelasan Mahadi. Dia sentiasa mengenali Mahadi sebagai seorang yang berprinsip, tetapi ini adalah sesuatu yang baharu dan tidak pernah dilihatnya mendatang. Hidayah? Apakah Mahadi mahu mengajar ilmu agama kepada Candrima? Sedangkan apa yang dipaparkan sebelum ini amat menjengkelkannya. Apakah Mahadi mahu mengubah cara hidupnya seratus peratus kepada yang lebih baik?   

"Bagaimana pula dengan janji awak dengan saya?" dia bertanya, suaranya menggeletar. “Hari tu awak kata awak mahu kembali menjadi Mahadi yang saya kahwini 15 tahun lalu…”

"Janji saya dengan awak itu telah dibuat sebelum saya menemui diri saya yang sebenar," jawab Mahadi lembut."Dan sekarang saya insaf, saya mesti kembali kepada agama. Saya setia dengan awak, Rose, tetapi saya juga ada tanggungjawab terhadap Candrima."

Rahangnya diketatkan apabila dia cuba mengawal emosinya. "Jadi, awak pilih dia daripada saya? Apakah kesetiaan saya bersabar dengan awak ketika awak diuji ketika tidak lagi menjadi pilot, awak tidak hargai?" Kata-kata itu terasa kelat di lidahnya. “Dan setelah awak kembali menjadi pilot, awak hadiahkan saya dengan seorang madu yang perlu awak bimbing? Sekarang awak mahu jadi orang baik beriman selepas puas awak melampias nafsu awak, buat maksiat, check in ke sana ke mari dengan dia?”

“Pangggg!!!”

Tangan Mahadi melayang ke pipinya.

Hilda terkaku seketika. Tangannya menyentuh pipi yang terasa perit.

Mahadi mencapai pergelangan tangan Hilda, bagaikan kesal dengan tindakannya sebentar tadi. Hilda membiarkansahaja. Tiada bezanya jika tangan Mahadi menyentuhnya demikian atau menamparnyalagi. Semuanya sudah menjadi mangli.

"Ini bukan tentang memilih, Rose.Ini tentang melakukan apa yang betul."

Mata Hilda merah, air mata berkolam tetapi masih tidak tumpah, hanya berkolam di tubir matanya.

"Dan bagaimana dengan apa yang betul untuk saya?" 

"Cinta kita amat indah, Rose.Tetapi kadang-kadang cinta tidak mencukupi. Kadang-kadang kita perlu berkorban untuk kebaikan yang lebih besar."

Bilik itu terasa amat sunyi,kecuali bunyi jam di dinding. Hilda merasakan berat kata-kata itu menekannya.Dia sentiasa mengenali Mahadi sebagai seorang yang berpegang pada kata-katanya.Sekarang Mahadi sesungguhnya berpegangkan janji, tetapi dengan orang lain pula.Jadi apakah itu membuatkan Mahadi seorang yang tidak menghormati kata-kata sendiri?

Fikirannya berkecamuk dengan persoalan dan tuduhan. Apakah dia yang terlalu kejam kerana marah dengan Mahadi yang mahu berubah? Untuk seketika, satu-satunya bunyi detik jarum jam yang tidak henti-henti yang seolah-olah menghitung detik hubungan mereka yang sudah lama hancur dan kini menjadi lebur.

Akhirnya, dia menemui suaranya.

"Bagaimana pula dengan kita?" dia bertanya, nadanya sejuk dan tajam. "Apa yang berlaku kepada kita sekarang? Awak rasa awak boleh berlaku adil dengan saya dan anak-anak?"

Mahadi menarik nafas dalam-dalam.

"Saya tahu ini bukan mudah untuk awak, Rose. Tetapi saya harap awak boleh faham yang ini bukan tentang awak atau saya. Ini tentang mencari ketenangan dalam diri saya dan membantu Candrima mencari miliknya."

Hilda merenung Mahadi. Wajah itu di matanya perlahan-lahan berubah menjadi sesuatu yang lain - kebencian yang amat dalam.

"Jadi, awak akan tinggalkan saya?" dia bertanya, suaranya tanpa emosi.

Mata Mahadi memerhati mata Hilda,mencari pemahaman.

“Saya takkan tinggalkan awak, Rose…”katanya, suaranya perlahan dan bersungguh-sungguh. "Saya hanya... mahu menyingkap satu bab yang berbeza dalam sebuah naskhah kehidupan saya. Satu yang saya benar-benar percaya adalah jalan yang betul untuk saya. Saya mahu berubah menjadi lelaki yang mampu menjadi imam kepada rumahtangganya…dan saya mahu bertanggungjawab dengan semua makmum saya. Saya mahu bertanggungjawab dengan awak. Begitu juga Candrima."

Bunyi deti jarum jam di kamar itu semakin kuat dalam kesunyian yang menyusul. Dada Hilda terasa sesak, seakan-akan batu berat diletakkan di atasnya. Dia tidak pernah menyangka dia akan mendengar kata-kata itu daripada Mahadi, lelaki yang pernah dia kongsi bersama segala kebahagiaan dalam hidupnya. Tetapi inilah mereka, di atas jurang masa depan yang tidak pernah dia bayangkan.

"Macam mana awak boleh buatsaya macam ni?" dia berbisik, suaranya serak. “Mengapa awak tidak boleh berubah sahaja tanpa membawa orang lain ke dalam keluarga kita?”

Mata Mahadi penuh dengan kekesalan, tetapi tekadnya tetap teguh.

"Saya tidak melakukan ini  untuk menyakiti awak, Rose. Ini adalah sesuatu yang saya perlu lakukan."

"Bagaimana dengan cinta awak pada saya? Adakah itu tidak bermakna?"

“Awak tetap ada dalam hati saya,Rose.” Kata Mahadi. “Saya hanya mahu awak faham.”

Kata-kata Lilith Athalia bergema dalam fikirannya.

Mereka perlu hilang saja dari muka bumi ini…



Note that this is unedited version...abaikan typos di sini. I am tired to edit the entire  mss right now here. nanti free saya betulkan. Siapa yang pernah upload kat sini tahu lah apa masalahnya. 

Previous: Bab 16
Next: Bab 18

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh zoi mou