Home Novel Umum JANGAN IKUT AYAH
JANGAN IKUT AYAH
AD Rahman Ahmad
23/11/2014 09:39:47
4,816
Kategori: Novel
Genre: Umum
Senarai Bab
BAB 1
Bab 1 Jangan Ikut Ayah



"Jangan ikut ayah, sayang."

Azlan berusaha memujuk, mencangkung menghadap anaknya, Izwan. Anak tunggal yang berusia lima tahun itu tidak henti merengek-rengek mahu ikut ayahnya. Ditarik-tarik seluar ayahnya tidak mahu melepaskan, tidak mahu dirinya ditinggalkan pergi.

Air mata yang tumpah bagaikan hujan membasahi pipi mungil anak itu, dengan kedua belah tangan Azlan menyekanya. Direnung anak semata wayangnya itu, diusap kepalanya. Lembut. Bintang hati, hari ini dan selamanya, anak itu ditatang dengan penuh kasih-sayang.

"Ayah mahu pergi kerja, sayang. Kalau ayah tak kerja macam mana Iwan nak minum susu? Macam mana Iwan nak makan sedap-sedap nanti? Cuba Iwan beritahu."

Mengusap kepala anak itu, Azlan menantikan jawapan. Namun tidak ada sepatah kata pun keluar dari mulut anak itu. Anak itu hanya berdiam, melawan sendunya. Azlan meneruskan pujukan.

"Hah... jadi, ayah harus kerja, kan? Betul tak ayah cakap?"

Shima, isterinya hanya berdiam memerhatikan Azlan membujuk. Berdiri di belakang anaknya, di wajah tidak memperlihatkan apa-apa riak. Wajahnya seperti biasa, tenang tetapi mendung.

Bernikah di usia muda, di waktu itu Shima baru sahaja berumur sembilan belas tahun, manakala Azlan tiga tahun lebih tua daripadanya. Kini setelah hampir tujuh tahun menjadi seorang isteri, menjadi suri rumah, Shima sedar, bercinta di bawah pohon tidak seindah bercinta di bawah satu bumbung. Kenyataannya, tidak seperti yang diangankan. Begitu sekali berbeza larinya, antara alam khayalan dan kenyataan.

Lebih-lebih lagi Azlan hanya bekerja sebagai pam atenden di salah sebuah kedai syarikat minyak tempatan, hanya mampu kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Kesempitan ekonomi yang ditanggung mereka, kadangkala membuatnya berasa tertekan. Apa lagi apabila Azlan menghalangnya dari bekerja untuk meringankan beban keluarga, kenyataan itu dalam diam terpaksa ditelan.

"Okey, Iwan dengar sini ayah cakap. Iwan dengar baik-baik ye," anak kecil itu berdiam dan memberi telinga. Tangisannya sudah mereda. Terpancing dengan bujukan Azlan. "Nanti ayah balik kerja, ayah belikan Iwan gula-gula. Mahu?"

Izwan mengangguk, tetapi wajahnya tetap kusam. Bersama sedu-sedan masih lagi bersisa, dengan mimik-mimik muka dia bersuara, "Ayah, Iwan nak gula-gula yang besar sekali. Nak banyak-banyak. Banyaaakk sekali."

"Nak yang besar? Nak banyak-banyak? Wahh... kalau gitu ayah harus pergi kerja sekarang ni cari duit. Kalau tak ada duit, tak boleh belilah, kan? Betul tak ayah cakap?"

Izwan matanya membesar. Mulai bersinar. Hanyut di dalam imaginasi dunianya sendiri. Azlan tersenyum. Anaknya itu didakap. Erat-erat. Terasa lengkap dirinya sebagai seorang ayah di saat Izwan berada di dalam pelukan. Terasa jauh lebih lengkap apabila dia dapat mencari wang buat menyara keluarga, dan mampu menunaikan tanggungjawab sebagai seorang suami juga ayah. Walaupun kadangkala dia terpaksa bekerja lembur hingga ke jauh malam, Azlan tidak peduli dan berkeluh demi mencukupkan keperluan keluarga.

"Ayah pergi kerja dulu, ye sayang. Iwan duduk rumah jaga ibu. Iwan kan anak lelaki? Anak lelaki harus berani, kan?" Bisik Azlan di telinga comel itu. Izwan mengangguk setuju dan mengizinkan.

Mencium pipi anak itu, Azlan bangun. Wajah tidak bercahaya isterinya itu ditatap sebentar. Tidak segaris senyuman pun ada bertukar. Masing-masing bagaikan memendam rasa.

"Abang pergi dulu. Jaga Iwan baik-baik."

Shima mengizinkan lewat sinar mata. Mencapai tangan Azlan dan dicium. Tanpa membuang masa Azlan beredar. Kapcai yang terpacak di halaman rumah sudah siap membawanya berlari ke tempat kerja, dipanjat. Memasang topi keledar dan mempertanggungjawabkan batang hidungnya dengan kacamata hitam, wajah Izwan dilirik. Berat hati melihatkan wajah anaknya yang seperti tidak merelakan dia pergi. Azwan menepis perasaan itu jauh-jauh. Dipaksakan senyuman. Sekilas wajah isterinya dipandang. Anak mata mereka berlaga. Entah kenapa, renungan Shima bagaikan memberitahunya sesuatu. Sinar matanya bagaikan mengirim pesan. Menepis juga perasaan tidak enak itu jauh-jauh, kapcai itu dipacu meninggalkan kedua-dua orang yang tersayang di belakang.

Seperti biasa, kenderaan-kenderaan yang dahagakan minyak buat memastikan sampai ke arah tujuan tanpa sebarang masalah, menyambut Azlan sebaik dia sampai di tempat kerja. Memakir kapcainya di tempat khas, dia menuju ke stor.

Sebaik dia sampai di stor itu, kerusi yang tersedia ada dihempaskan prnggungnya melepaskan lelah. Nass rakan kerjanya yang sedang menyalin pakaian melayangkan senyuman saat mereka bertentang mata. Senyuman itu tidak dibalas Azlan.

"Hey, Lan... tadi Amir cari kau. Dia nak jumpa," Nass memberitahu. Nada sura kedengaran cemas.

"Ada apa cari aku? Apa cerita?" Tanya Azlan. Dahinya sedikit berkerut. Berasa pelik, Amir penyelianya seperti buru-buru mahu berjumpa. Tidak pernah berlaku perkara seperti ini selama dia bekerja di situ.

"Kau tanya aku, manalah aku tahu apa cerita. Mestilah pasal kerja. Tak kan cari kau nak ajak pergi petik buah mangga pulak. Kau ni pun!"

Azlan tidak menjawab. Sendaan Nass pun tidak diendahkan. Tidak terasa menggeleteknya sama sekali. Dia terus sahaja menyalin pakaian. Tetapi di dalam hati tertanya-tanya.

"Eh, Lan... entah-entah kau nak naik pangkat tak? Mana tahu rezeki kau. Tapi kalau betul jangan lupa aku. ABC spesial baik punya!" Usik Nass lagi dengan gelak-ketawa lalu beredar meninggalkan Azlan sendirian.

Kembali duduk di kerusi setelah menyalin pakaian kerja, Azlan bermenung. Jauh memikirkan apa yang diingin penyelianya itu. Terasa benar-benar pelik. Semenjak dia bekerja di situ hampir dua tahun lamanya, tidak pernah pula walau sekali dia dicari penyelianya seperti ada sesuatu perkara yang sangat mustahak. Hatinya mulai menebak-nebak.

'Mungkin betul tak si Shukri tu cakap aku nak dinaikkan pangkat? Hmm, manalah tahu rezeki Iwan,' bisik hatinya.

Dengan senyuman kecil menggaris wajah, Azlan melangkah keluar. Langkah santai tetapi bersemangat dihayun ke pejabat Amir. Di hati penuh harapan, sendaan Shukri itu akan menjadi satu kenyataan.

Di sebalik pancaran sinar matahari yang menyilaukan, kelihatan di hujung sana berdiri di tepi pam minyak, Zaid rakan kerjanya melambai. Pantas Azlan membalas dengan isyarat tangan akan bertemunya nanti. Tetapi lambaian Zaid semakin keras memanggil. Wajahnya tampak tegang. Mahu tidak mahu, Azlan hampiri.

"Hah, Zaid apa cerita. Macam penting sangat aja kau panggil," tanya Azlan sebaik dia mendekati. Bangku kecil yang ada di situ, dilabuhkan punggngnya.

"Pasal pentinglah aku panggil nak beritahu kau ni," beritahu Zaid dengan wajah serius.

"Kenapa? Apa cerita?" Tanya Azlan dengan dahi berkerut. Seperti dapat mencium ada sesuatu yang tidak kena.

"Eh Lan, duit tu macam mana? Ni dah dua minggu kau tangguh. Tak kan lupa, brader! Bunga bukan saja tambah berlipat, tapi aku yang jamin kau jugak nanti yang susah kena cari. Bahaya ni, brader! Siapa nak pergi tanggung ni semua? Ni benda kau jangan main-main," ujar Zaid. Memberitahu dengan wajah cemas.

Terdiam Azlan mendengar. Panjang dan dalam nafas ditarik. Raut wajahnya perlahan kegelisahan mulai menular. Zaid dipandang lurus-lurus. Anak matanya diamati. Cemas yang terpalit di wajahnya, Azlan mengerti alasannya. Wajar di dalam keadaan sebegitu dia berasa cemas. Sebagai penjamin, dia mengerti, Zaid turut bertanggungjawab di dalam soal ini.

"Zaid, tak boleh tangguh lagi ke? Sampai minggu depan ke? Aku bukan sengaja tak nak bayar. Tapi... kau tahulah aku sekarang ni betul-betul tengah tersepit. Dekat mana aku nak cekau duit?"

"Lan... kau ingat sikit. Sedangkan pinjam bank pun kalau kau tak boleh bayar, habis harta kau dia orang angkut, inikan lagi 'ah long'? Jangan cari penyakit, brader. Dengan 'ah long' ni kau jangan main-main. Bukan saja harta aja dia orang boleh angkut, dengan nyawa kau sekali pun dia orang berani angkut! Silap haribulan, dengan keluarga kau sekali nanti dijadikan mangsa! Binatang ni apa dia orang peduli! Duit aja yang dia orang ingat."

Kecemasan di wajah Zaid kini sudah menjangkiti Azlan. Gerun mendengarkan apa yang mampu dilakukan peminjam wang haram itu. Lebih-lebih lagi saat teringatkan anak-isteri, hatinya jadi kecut. Malah bukan itu sahaja, dia juga tidak mahu Zaid turut menjadi mangsa gara-gara membantunya.

Fikiran Azlan jauh melayang, ke segenap pelusuk dan ruang akalnya dia cuba menembusi, mencari lubang menggali wang untuk membayarnya. Tetapi hanya jalan buntu yang diketemui. Di manakah dia harus mencari wang sebanyak lima ratus ringgit? Itu belum termasuk lagi wang bunga yang bayaran pokoknya tertunda!

"Lan, apa macam... lusa boleh adakan tak duit tu?"

Tersentak Azlan apabila Zaid tiba-tiba bersuara mengingatkan. Darahnya berderau memecut ke kepala. Seluruh badannya terasa dingin. Sebentar dunianya terasa gelap.

"Lan!" Panggil Zaid lagi, "Kau dengar tak apa aku cakap ni? Kau jangan main-main, brader!"

"Aku dengar, aku dengar. Errr... gini Zaid, aku akan usahakan. Nanti aku fikir dekat mana nak cari duit tu. Hmm, okey, nanti aku jumpa kau lagi kita boleh bual panjang. Aku sekarang nak pergi jumpa Amir sekejap. Ada hal."

"Aku tak tahu nak cakap apa lagi, Lan. Cuma aku harap lusa duit tu kau boleh adakan. Kau sendiri tahu, apa-apa terjadi aku pun kena. Harap kau faham."

Azlan mengangguk. Mengerti apa yang dimaksudkan Zaid. Tanpa banyak bicara lagi, Azlan beredar dengan langkah berat menuju ke pejabat Amir. Di sepanjang jalan dia menunduk, memikirkan di mana dan bagaimana mahu mengadakan wang itu. Di dalam kekalutan, terlupa apa maksud tujuan Amir ingin bertemunya.
Previous: PROLOG

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.