Home Novel Umum JANGAN IKUT AYAH
JANGAN IKUT AYAH
AD Rahman Ahmad
23/11/2014 09:39:47
5,492
Kategori: Novel
Genre: Umum
Senarai Bab
PROLOG

Prolog

Jangan Ikut Ayah



Berkeringat. Sedangkan kamar berukuran dua kali tiga meter persegi itu semakin dingin. Di luar hujan turun dengan begitu lebat. Lakhnat atau pun rahmat Tuhan yang ditumpahkan dari langit, dapat dilihat dengan jelas dari jendela kecil yang duduknya tinggi hampir mencecah siling. Tumpah bagaikan air mata kesal yang sedang membasahi pipinya. Tumpah seolah-olah turut merasakan apa yang sedang dirasakannya.

Hari esok semakin mendekat. Malam perlahan merangkak. Merangkak mengheretnya ke sebuah gerbang destinasi yang sudah pun ditetapkan buat semua yang bernyawa, iaitu kematian. Hari terakhir di dalam hidup yang selama ini telah meminjamkannya nafas untuk hidup, hanya tinggal beberapa jam lagi masih bersisa. Tidak lama lagi, jasad dan jiwa yang sejak lahir bersama setiap detik dan saat bagaikan isi dan kuku, akan ketemu saat berpisah buat selamanya. Jantungnya berdegup, seiring detikan waktu yang tidak membawa apa-apa erti lagi di dalam hidupnya, sekarang, dan juga yang akan mendatang.

Setelah hampir dua tahun lamanya semenjak Azlan dijatuhkan hukuman mati, hidupnya diasingkan. Bersendirian di kamar itu hanya berteman secawan plastik dan dua helai selimut buatan Negara China, sehingga ke saat yang telah ditetapkan. Semenjak itulah dinding kamar menjadi teman bicara. Setia meminjamkan telinga, tempat Azlan berkongsi rasa dan meluahkan apa yang terpendam. Hanya dinding sepi itu sahajalah yang mengetahui segala cerita, juga apa yang selama ini menjadi sebuah rahsia.

'Mati? Apa itu sebenarnya mati? Bagaimana sebenarnya rasa mati? Seperti tidurkah mati?'

Bersila di atas lantai dingin itu yang tidak beralaskan apa-apa, dada dinding kamar itu direnung Azlan. Gementar memikirkan kematian. Gementar memikirkan sesuatu yang selama hidupnya tidak pernah dia bersemuka. Tidak tahu apa itu sebenarnya mati dan bagaimana rasanya, tetapi dia berasa begitu sekali gementar hendak menghadapinya.

'Kenapa aku harus takut bersemuka dengan sesuatu yang belum pernah aku bersemuka? Kenapa? Bukankah setiap yang hidup itu pasti akan merasakan mati? Tapi kenapa aku begitu sekali takut? Kenapa?'

Azlan menangkup wajahnya. Di dalam debaran hati dia cuba membayangkan apa itu kematian. Bagaimana rasanya? Tetapi terganggu saat terdengar ada bunyian di pintu kamarnya. Mengangkat muka, Azlan memaling ke arah pintu itu. Anak matanya berlaga dengan sepasang mata yang ada di luar.

"Jangan takut! Aku orang Islam! Aku tak kan bunuh diri aku sendiri sampai engkau orang sendiri yang nanti akan bunuh aku! Faham?"

Azlan membentak. Marah saban waktu dipantau, diintip lewat 'Judas hole' (tingkap kecil di daun pintu) oleh pegawai-pegawai yang bertugas. Diri terasa terganggu dengan kedatangan tetamu-tetamu yang tidak diundang itu. Dia lebih senang ditinggalkan bersendirian dengan teman bicaranya, dan bersendirian mempersiapkan diri menghadapi Tuhannya.

Azlan kembali menghadap teman bicaranya sebaik lubang 'Judas hole' itu ditutup. Teman yang akan ditinggalkan buat selamanya dalam beberapa jam terdekat ini. Teman yang telah menjadi teman setia orang-orang yang senasib dengannya, dan dia, adalah teman yang entah ke berapa dia sendiri pun tidak dapat mengagak.

"Kau mahu mendengar sesuatu yang engkau tidak pernah tahu? Mahu? Mungkin apa yang aku ceritakan nanti boleh dijadikan satu pengajaran buat anak-cucu kau. Mahu? Mahu tak?"

Next: BAB 1

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.