Home Novel Umum Stigma (SELESAI)
Stigma (SELESAI)
ae0907
12/10/2021 21:15:47
94,446
Kategori: Novel
Genre: Umum
BAB 16

Amirul melangkah masuk ke perkarangan asrama tanpa segan silu. Hal itu membuatkan beberapa junior yang berada di persekitaran asrama hanya memerhatikan tingkah si exco itu hanya gelenggan kepala.

Mana tidaknya? Exco datang lambat ke asrama siapa yang tidak puas hati?

Sebaik sahaja kakinya menapak ke dalam dorm, perkataan pertama yang didengar oleh Amirul daripada buah mulut pelajar adalah Wajdi. Baik rakan setingkatan mahupun junior.

Seketika Amirul berasa hairan. Apa yang mereka bualkan? Namun Amirul tidak terasa berminat untuk mengambil tahu. Buat apa kisahkan orang yang kita tidak suka? Dia segera meletakkan begnya yang dibawa pulang itu di atas katil. Kemudian merebahkan diri di sebelah beg itu.

Dalam fikirannya, terbayang-bayang reaksi Mikayla melihat dan membaca surat yang telah dia kirimkan di bawah meja gadis itu. Mesti speechless kan? Membayangkan hal itu membuatkan Amirul tersengih-sengih keseorangan sehingga tidak sedar ada seseorang memerhatikan gelagatnya yang 'kurang waras' itu.

"Lambat betul kau datang," entah dari mana Hilman muncul sambil menyilangkan tangannya di dada. Dia mengekori setiap pergerakan Amirul sejak remaja itu keluar dari perut kereta sehinggalah remaja itu masuk ke asrama.

"Alah, lewat 30 minit je." ujar Amirul acuh tak acuh. Seperti apa yang dilakukannya bukan kesalahan yang besar.

"Suka hati je kau. Kau tu exco, mana boleh datang lambat! Semua exco kena datang awal weh!" tenang Hilman membalas dengan nada tegas. Sungguh dia berasa muak dengan perangai Amirul. Ini bukan kali pertama dia menegur remaja itu.
Bahkan sejak Amirul diangkat menjadi exco, remaja itu sering datang lambat ke kelas ataupun perjumpaan dengan alasan ada guru yang meminta bantuan. Hilman tahu Amirul menipu namun dia hanya bersangka baik. Fikirnya, mungkin setelah dirinya beredar, barulah Amirul diminta tolong oleh mana-mana guru.

Namun agak mustahil kerana perkara begitu berlaku setiap hari. Hilman sendiri kesal bagaimana Si Amirul ni mampu 'membutakan' mata guru-guru untuk melantiknya sebagai Qudwah yakni pengawas sekolah di situ.

"Alah, semua orang pernah buat salah... Tak sempurna." ucap Amirul tidak mahu kalah.

Hilman mendengus halus. Jujurnya dia malas membidas mulut dengan Amirul. Buang masa.

"Tapi aku nak tanya, asal budak-budak ni cakap pasal budak Wajdi tu erh? Dia pukul orang lagi ke?" soal Amirul dengan berbinar.

"Kau ni dah kenapa? Cakap elok-elok!" Hilman sedikit terkejut melihat reaksi Amirul yang tampak agak melampau.

"Mana tahu? Dia tu kan jenis panas baran kan? Kau tak ingat ke dia pukul aku masa awal tahun tu?"

Ya, Hilman sangat tahu mengenai kes awal tahun tersebut memandangkan dia ketua Asrama. Segala apa kes yang melibatkan rakan-rakan dan anak buahnya dia perlu cakna dan Faizlah yang menceritakan hal itu kepadanya.

Tipulah jika dia mengatakan bahawa dia tidak terkejut mendengar kes itu. Dia kenal sedikit sikap Wajdi dari tingkatan satu meskipun tidak terlalu banyak. Sebab itulah dia lebih mempercayai Wajdi berbanding Amirul yang baru dikenalinya tahun lepas.

"Aku kenal Wajdi tu. Dia tak akan cari pasal dengan orang yang cari pasal dengan dia,"

Kata-kata Hilman membuatkan Amirul terdiam. Entah kenapa dia merasakan dia seolah pernah mendengar ayat yang dilontarkan oleh ketua asrama itu.

Sangat familiar. Bukankah itu ucapan yang sama dilontarkan oleh Mikayla semasa mereka berjumpa dengan di mesin water cooler pada malam kejadian itu?

Apakah Hilman dan Mikayla mempunyai apa-apa hubungan? Tidak, hal itu membuatkan Amirul mula berasa cemas.

"Weh, kau kenapa? Terasa la tu. Betul ke apa aku cakap?" soal Hilman tanpa mempedulikan raut wajah Amirul yang tampak tegang kerana ucapannya tadi.

"Ha? Ikutlah apa kau nak cakap. Dah aku nak mandi!" ujar Amirul lalu mengambil tuala dari begnya dan menuju ke arah tandas.

"Betul ke apa aku cakap? Dia yang cari pasal dengan Wajdi kan?"

Hilman mengeluh perlahan sebelum menuju ke dorm lain untuk memberi arahan kepada mereka yang berbual atau yang masih berada di dalam dorm supaya bersiap-siap untuk ke musolla.

~~~

Suasana hening pada kumpulan halaqah yang disertai Wajdi mendadak sunyi. Bahkan ramai pelajar yang seakan terkejut dengan kehadiran Wajdi di situ buat pertama kali.

Dan sepanjang keheningan itu, Wajdi  terpaksa menahan nafas dan amarahnya kerana dirinya menjadi pusat perhatian. Wajdi akui tindakannya ini nampak aneh di mata orang lebih-lebih lagi beberapa rakan seformnya tampak memandang sinis ke arahnya.

Azhar dan Fahmi hanya mampu memandang Wajdi dari jauh. Tidak seperti pelajar yang lain, kedua rakannya itu terlihat sangat senang kerana mendengar cerita Wajdi daripada Johan sejak mereka tiba di asrama beberapa jam lalu. Namun, melihat keadaan pelajar yang seakan melihat Wajdi secara 'asing' turut mengundang rasa hiba pada diri mereka.

"Assalamualaikum, maaf semua menunggu."

Bolehkah Wajdi sujud syukur sekarang? Sungguh Nurhan datang pada waktu yang cepat, membebaskan dirinya yang berada dalam keadaan canggung bukan main. Nurhan duduk bersebelah dengan Wajdi kerana ruang di sebelah remaja itu tampak kosong.

Setelah membaca doa, semua pelajar diarahkan untuk menghafaz. Suara alunan Al-Quran memenuhi segenap penjuru dewan itu.

Sejujurnya Wajdi berasa amat janggal. Dia tidak pernah duduk ramai-ramai sebegini kecuali waktu perhimpunan rasmi. Ditambah dengan cahaya putih lampu yang menerangi setiap penjuru membuatkan dia berasa sangat pening. Al Quran yang dipegangnya langsung tidak dibuka.

Wajdi menunduk. Dia berasa, dia tidak boleh menghafaz di sini.

Nurhan menyedari keadaan Wajdi yang kelihatan tidak dalam keadaan baik.

"Kenapa Wajdi?" Nurhan memegang bahu Wajdi membuatkan remaja itu sedikit tersentak.

"Maafkan saya, ustaz. Saya rasa pening sikit."

Nurhan mengangguk faham. "Pergilah kat tempat biasa kamu kalau tidak terbiasa hafaz kat sini,"

"Takpa ustaz,"Wajdi menggeleng. "Saya akan cuba biasakan diri,"

Nurhan tersenyum kecil. Dia faham, Wajdi perlu diberikan sedikit ruang. Kelama-lamaan pasti remaja itu akan terbiasa.

"Ustaz, izinkan saya pergi bilik wudhu' sekejap."

Mendapat anggukan daripada Nurhan, Wajdi lantas meluru ke arah bilik wudhu' namun langkahnya terhenti apabila mendengar suara seperti bisikan di dalam bilik itu.

"Kau perasan tak budak masalah tu nak jadi baik?" salah seorang dari mereka berbicara.

Wajdi tersentak. Apakah mereka berbicara tentang dirinya? Wajdi kenal mereka kerana mereka adalah rakan seformnya

"Si Wajdi tu? Huh, biasalah bila dapat bala baru nak taubat." sinis kedengaran si pembalas.

"Aku syak dia mimpi kena seksa,"

Suara tawaan mereka membuatkan Wajdi mengepal tangannya erat. Amarahnya memuncak. Belum sempat dia melangkah masuk untuk menerjah, ada satu suara menghentikan tindakannya.

"Memang manusia ni kerjanya nak menghukum erh?"

Suara itu adalah suara Johan yang baru sahaja keluar dari tandas. Jelas dari awal dia mendengar kritikan mengenai Wajdi itu. Pandangannya menatap tajam ke arah tiga rakan setingkatannya itu.

"Ala, Johan. Betul la apa yang kiteorang cakap. Wajdi tu rasa bersalah je dekat kau, lepastu dia buat balik. Sekejap je tu." balas seorang rakan tanpa segan silu.

"Kau tak kenal Si Wajdi tu tak payah nak hukum-hukum. Kau tu bukannya Tuhan nak menghukum sudut hati seseorang,"

Ketiga-tiga orang itu diam termasuk Wajdi yang menjadi pemerhati di sebalik tembok.

"Ingmgat! Allah tak tengok pun rupa paras hamba-hambaNya, yang Allah tengok adalah hati. Hati yang tulus nak berubah, perbaiki diri ke jalanNya, yang mendorong orang lain membuat kebaikan.

Meskipun orang itu dilihat buruk dari sudut mata kasar, namun kita tak tahu mungkin banyak kebaikan yang dia buat."

Entah mengapa air mata Wajdi tumpah juga. Mendengar segala teguran dan belaan Johan terhadapnya membuatnya sebak.

"Aku nak korang minta maaf dengan Wajdi kalau korang jumpa dia nanti. Ingat, Allah takkan maafkan seseorang hamba bila mana seseorang hamba itu melakukan kesalahan kepada hambaNya yang lain tanpa memohon kemaafan."

Tidak sanggup mendengar lagi ucapan Johan, Wajdi mengambil langkah menuju ke port biasanya di belakang musolla.

Tiada gangguan. Tiada suara.

Dia hanya mahu tenang.

"Ya Allah, kenapa ujian ni berat buat aku?" Wajdi cuba menahan esak.

"Kenapa susah sangat aku nak berubah kearah jalanMu?"

"Adakah disebabkan terlalu banyak kesalahan yang aku buat?"

Tanpa Wajdi sedar, ada sepasang mata memerhatikannya dari sebalik dinding.

"Wajdi, kesalahan kau tak besar. Kau kena kuat. Aku tahu kau boleh. Cuma kau perlukan teman, untuk kongsi masalah kenapa kau macam ni." monolog Johan dalam hati. Sebenarnya, dia perasan dengan kehadiran Wajdi di bilik wudhu'. Sebaik sahaja Wajdi berlari, Johan mengekori langkahnya.

Baginya, Wajdi ialah orang yang baik. Sikap dinginnya yang kurang mesra itu adalah faktor utama yang menyebabkan semua orang jauh darinya. Dia perlu membantu supaya menjadi orang yang bermanfaat dan menebus semula kesalahfahaman orang lain terhadap dirinya.

Tiba-tiba dia teringatkan kertas yang pernah menjadi saksi pergaduhan besar mereka.

Yang mengatakan Wajdi anak haram.

Apakah itu yang menyebabkan Wajdi menjadi begitu? Adakah ia benar?

Johan tidak perlu menuduh melulu. Dia harus mencari jalan bertanyakan tentang peribadi Wajdi. Dia hanya memerlukan kesabaran sahaja.

~~~

Sudah menjadi kebiasaan bagi Faiz untuk meronda setiap dorm. Semua pelajar sudah diberi arahan untuk tidur tepat jam 11.00 malam, manakala bagi pelajar tingkatan tiga dan tingkatan lima diberi kelonggaran untuk belajar lebih masa sehingga pukul 11.45 malam memandangkan dua tingkatan itu bakal menghadapi peperiksaan terbesar pada tahun ini.

Selesai menyapa beberapa pelajar yang mengulang kaji di bilik khas, Faiz berjalan di sekitar belakang asrama untuk memeriksa pintu belakang sudah dikunci atau tidak. Namun langkahnya terhenti apabila melihat sebatang tubuh yang sedang duduk mencangkung di atas simen, sambil pandangannya dihalakan di atas taburan bintang yang cantik di langit malam.

Meskipun agak tersorok dari cahaya lampu malam, Faiz sudah mengagak siapa figura itu.

"Cantik kan, ciptaan Allah?" soal Faiz lalu melabuhkan punggungnya di sebelah Wajdi.

Wajdi sedikit tersentak. Mujurlah mulutnya tidak mengeluarkan kata-kata 'ilmiah' yang sering dia berikan kepada Azhar dan Fahmi jika kedua rakannya itu mengejutkannya.

"Ha? Hurmm..." balas Wajdi tidak semangat. Dia menguis batu-batu kecil di permukaan simen sambil wajahnya ditundukkan.

"Kenapa ni? Ada masalah?" soal Faiz tenang.

Wajdi tidak menjawab membuatkan Faiz tersenyum. Tangannya dipautkan pada bahu Wajdi.

"Nak kongsi cerita? Ustaz boleh dengar. Semuanya. Dari awal sampai akhir. Tanpa ada rasa bosan, tanpa ada pertanyaan di tengah penceritaan,"

Tersentak Wajdi mendengarkan. Dia tidak salah dengar bukan?

"Kenapa tengok ustaz macam tu? Tahu la ustaz ni kacak," kata Faiz tersengih.

Wajdi mencebik mendengarkan kata Faiz membuatkan jejaka itu terkekeh.

"Macamana, ok tak dengan dieorang?" soal Faiz, cuba memulakan perbualan. Sebolehnya, dia mahu mengorek sedikit sebanyak masalah yang dihadapi pelajarnya itu.

"Hurm, seperti biasa. Apa yang saya duga tu semuanya benar belaka," ujar Wajdi tanpa reaksi. Faiz mengangguk-angguk sambil tersenyum nipis.

"Sabarlah Wajdi, tak semua yang kita dapat akan manis. Apa yang kita hadapi ni perumpaannya macam kopi. Mula-mula pahit, lama-lama jadi manis."

"Boleh ustaz tahu apa masalah kamu? Kenapa kamu jadi begini?"

"Maksud ustaz?"

"Ustaz nak kamu ceritakan, semuanya. Apa yang membuatkan keadaan diri kamu menjadi begini. Asal usul kamu. Beritahulah, supaya ustaz dapat membimbing kamu. Kalau kamu simpan sahaja, tanpa memberitahu, bagaimana ustaz dan yang lain menolong kamu?

Kami tak tahu apa masalah kamu menjadi begini, kami tidak mahu menghukum. Cubalah bagitahu serba serbi kekurangan kamu supaya kami dapat memperbetulkan diri kamu. Kamu seorang yang baik.

Tiada manusia di dunia ini yang layak menghukum kamu. Hanya Allah sahaja yang layak. Kamu perlu dibimbing melalui seseorang. Dan ustaz rasa, Allah telah hantar pembimbing itu kepada kamu. Iaitu ustaz sendiri.

Wajdi terdiam cukup lama. Kedua jemarinya digenggam pelan. Johan dan Faiz hadir ke dalam dirinya. Setelah lima tahun bergelut dengan pelbagai masalah, Allah SWT telah menghantarkan kepadanya beberapa orang hamba seperti dirinya untuk membimbinginya ke jalan yang benar.

Perlahan-lahan Wajdi mengangkat wajah sebelum memulakan bicara.


Previous: BAB 15
Next: BAB 17

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.