Home Novel Travelog Kembara berbasikal ke Indonesia 2012 - Semarang - Bali
Bab 1 - Bandara Ahmad Yani Semarang

Aku dan Anuar terpapam mendengar kata-kata Yanto...ringkas, ikhlas dan amat menusuk hati. Serta-merta tembok kesangsian dan kerisauanku pecah hancur berkecai. Aku tak tahu adakah dia ini mewakili semua warga Indonesia atau hanya dia sahaja. Tetapi yang aku tahu semasa keluar dari Imigresen dan Kastam tadi mereka juga tidak meminta sebarang duit rasuahpun. Aku tak tahu adakah kerana mereka terlupa atau tidak. Tanpa banyak bicara aku terus memeluk Yanto dan merasakan erti persahabatan di antara dua negara. Tiada rasa curiga dan membenci sesama kami. Aku rasa sangat terharu dan rasa bersalah juga kerana membuat andaian yang bukan-bukan.

’Pasti bila aku balik nanti akan aku ceritakan tentang apa yang aku alami ini.’ tekad dalam hatiku.

Pandanganku tentang siapa sebenarnya warga Indonesia mulai berubah sedikit. Sebenarnya kita ini hidup penuh dengan prasangka. Ianya tidak semestinya benar hanya dengar khabar angin atau cerita orang kita terus percaya. Aku berharap apa yang ALLAH tunjukkan di sini akan membenarkan kata hatiku yang diluar sana ada orang sebaik Yanto. Aku mesti berterus terang pada Yanto apa yang aku fikirkan semasa dia menolong aku tadi.

“Yanto maafkan saya kerana bersangka buruk pada kamu. Sebelum datang ke sini teman-teman di Malaysia sering ingatkan pada saya bahawa berurusan dengan warga Indonesia ini kita kena bagi duit. Tetapi sebetul dan sejelasnya mereka dan aku sudah silap. Tidak kira apa bangsapun, jika mereka mahukan habuan tetap mereka mahukan. Rasuah dan duit kopi ini tidak kira apa bangsa pun tetap ada...Tetapi hari ini kamu menyedarkan saya bahawa bukan semua orang Indonesia seperti itu.” kataku dengan rasa kesal dan malu.

Yanto menepuk-nepuk bahuku dan tersenyum,

“Udahlah bapak...manusia ini dilahirkan dengan sifat penuh prasangka sehinggakan ada ramai juga yang berprasangka buruk pada ALLAH sekalipun. Berprasangka itu baik kerna membuatkan kita lebih berhati-hati tetapi jangan sampai ianya mempengaruhi pandangan kita. Sebenarnya bukan bapak sahaja ramai juga orang luar malahan orang Indonesia sendiri sering salah faham. Minda kita ini memang udah disetkan sentiasa lihat benda yang negatif dulu. Udahlah aku harap selepas ini bapak akan melihat bangsa jawa ini orangnya ikhlas dan mulus pada tetamu...” luah Yanto dengan panjang lebar.

Aku tersenyum padanya, ”Sudah semestinya Yanto...kamu menyedarkan saya.”

”Sekarang bapak rencananya mahu ke mana? Jika ada kelapangan ayoh! mampir sahaja ke rumah aku barang sehari dua. Nantinya bisa aku bawa mutar-mutar lihati bandar Semarang ini.” Yanto mempelawa kami.

Sekali lagi aku terkejut dengan tawaran Yanto itu. Bukan senang dalam sejam sahaja berjumpa kita boleh mempelawa orang asing datang dan tinggal di rumah kita. Tetapi Yanto ini berlainan sekali. Aku agak terkejut juga dengan cara layanan Yanto itu. Aku memandang ke arah Anuar untuk mendapatkan pandangan. Anuar mengelengkan kepalanya dan berkata,

”Kembara kita masih jauh lagi...”

Aku faham apa yang Nuar maksudkan itu.

“Yanto saya sangat berterima kasih atas budi baik Yanto. Sebenarnya perjalanan kami masih jauh... kami mahu ke Bali. Semuanya sudah kami rencanakan program setiap hari. Jika kami tidak ikut program yang kami rancangkan itu mungkin kami tidak akan sampai ke Bali. Jika diikutkan hati mahu sahaja kami ke rumah Yanto. Tapi masa tidak mengizinkan. Begini sahaja... Jika dilain masa dan di izinkan ALLAH. Kami pasti akan datang lagi ke sini dan kami akan pergi ke rumah Yanto.” kataku dalam senyuman.


Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.