bab 2: perjalanan baru bermula.
Kami berkayuh menyusuri jalan utama Bandara
Ahmad Yani. Aku lihat jalannya agak baik dan lebar. Nampaknya jalan sepanjang
lapangan itu dijaga dengan baik.
’Mungkin agaknya laluan ini adalah jalan utama
dan pertama kali bagi pelancong melihat wajah Semarang apabila tiba di sini
maka ianya di jaga dengan baik.’ aku membuat andaian sendiri.
Semakin lama kami berkayuh makin terasa bahang
matahari membakar kulit kami. Angin yang bertiup dari arah hadapan juga terasa
bahang kepanasan.
’Panas betul angin ni... rasa macam tempat ini
dah lama tak hujan.’ getus dalam hatiku.
Mataku memerhatikan keadaan sekeliling dan
melihat pokok-pokok dan rerumputan ditepi jalan dan sekitar laluan kami. Daunnya sudah mulai kekuningan dan ada yang
sudah luruh.
’Bukan sahaja daun pokok yang kuning dan
luruh, rumput dan lalang yang tumbuh ditepi jalan juga sudah mati kekeringan.
Memang tengah musim panas agaknya.’
Suhu yang panas
terasa terus menggigit daging lenganku. Aku pun menjeling pada meter kelajuan
di handlebar basikalku. Aku lihat
suhu pada ketika ini mencecah 35 Celsius.
’Amboi! sampai 35 celsius...memang panas
betul. Kalau berkayuh di Malaysia biasanya dalam 28 hingga 32 darjah celsius
sahaja.’ gumamku dalam hati.
Suhu ketika itu
agak panas berbanding dengan di Malaysia. Jarang benar suhu mencecah tahap
seperti ini. Sekali sekala angin yang bertiup... membawa debu dan habuk jalan.
Aku terpaksa memejamkan mata dan menahan nafas. Bau aspal jalan juga menyengat
hidung bersilih ganti dengan bau asap disel dari lori dan bas yang memotong
kami.
’Adoi! nampaknya kenderaan besar di sini
banyak yang tidak diselenggarakan dengan baik. Tak tahan betul aku dengan asap
yang hitam dan bau busuk menyimbah ke arah aku.’ rungutku dalam hati.
Aku lihat berbagai
jenis pengangkutan yang menggunakannya jalan raya tersebut dari basikal, beca,
kereta kuda, lori, van dan berbagai jenis kenderaan lagi. Aku rasa agak
terhibur dan seronok dengan pemandangan yang pertama kali aku lihat.
’Memang lain dari yang lain tempat ini.’ getus
dalam hatiku.
Semakin lama dan
semakin jauh kami mengayuh. Semakin kami dapat melihat kehidupan di daerah
Semarang ini. Aku mendapati laluan yang kami selusuri itu adalah laluan utama
kerana kenderaan di sini sangat banyak dan tidak putus-putus.
”Nuar kayuh baik-baik sikit. Jangan ke tengah
sangat. kenderaan dekat sini laju-laju ni.” ujarku memberi ingatan pada Anuar.
Kami terpaksa berkayuh dengan lebih
berhati-hati kerana kebanyakkan kenderaan di sini dipandu dengan laju terutamanya
lori kontena. Beberapa kali juga kami terpaksa turun hingga ke bahu jalan
kerana dihimpit oleh mereka.
”Bahaya lah Nuar...driver kat sini semuanya
gila lah. Kalau kayuh ke tengah sikit, silap-silap nanti disapu dengan
kenderaan mereka.” jeritku pada Anuar yang berkayuh dibelakangku.
”Ye lah...Meran laju betul lori dekat sini.
Dah lah laju siap himpit kita lagi. Tak bertimbang rasa betul.” balas Nuar pada
aku.
Ini adalah satu
pengalaman yang baru bagi kami kerana terpaksa menangani masalah di jalan raya
yang agak merbahaya itu. Aku ingin menyarankan pada sesiapa yang ingin berkayuh
basikal ke Tanah Jawa ini pada masa yang akan datang. Anda mesti mempunyai
kekuatan mental dan fizikal yang kuat. Di Malaysia kita tidak akan menghadapi
masalah pemandu yang tidak memperdulikan penunggang basikal. Di Malaysia
kebanyakkan pengguna jalan raya akan menghormati pengguna yang lain terutamanya
penunggang basikal. Tetapi bukannya di Indonesia ini. Nyawa anda mungkin tidak
akan panjang dengan cara kenderaan di sini dipandu.
Sedang asyik kami mengayuh basikal dalam penuh
berhati-hati. Tiba-tiba mataku terpandang sesuatu yang kejadian yang agak pelik
jauh dihadapan kami. Aku tertarik pada benda yang sedang bergerak itu. Kami
berkayuh menghampiri kenderaan yang sedang bergerak agak perlahan disebelah
hujung jalan.
Aku lihat dihujung
jalan ada sebuah kenderaan seperti kereta api siap dengan gerabaknya lagi.
Kenderaan ini menggunakan tayar biasa bukan tayar kereta api. ’Gerabak kereta
api dijalan raya!’ sesuatu yang pelik dan tidak pernah berlaku di Malaysia.
Kenderaan kereta api itu adalah kenderaan yang sama seperti yang pernah kita
jumpa dan lihat tempat-tempat ’Fun Fare’ atau di dalam Zoo. Dalam kereta api
kecil itu aku lihat penuh dengan penumpang dari kanak-kanak hinggalah orang
dewasa. Mereka kelihatan gembira dan teruja.
“Nuar kau tengok tu. Kereta api yang biasa
dalam Zoo pun dia orang pakai kat jalanraya.” kataku pada Anuar dan kami
berdua ketawa kelucuan.
Banyak perkara yang
diluar pemikiran dan keadaan yang biasa kita lihat ditempat kita ada ditempat
yang baru. Jika kami tidak berkayuh di sini kami tidak akan melihat keadaan
seperti ini. Kami terus mengayuh dengan kelajuan di antara 18 hingga 20km
sejam. Bandara Ahmad Yani telah jauh kami tinggalkan. Semakin lama kami
berkayuh semakin jelas kehidupan rakyat Indonesia yang kami dapat lihat. Secara
kasarnya kehidupaan dan cara hidup mereka sama seperti kita di Malaysia cuma
ada sedikit perbezaan dari kita. Yang berbeza mungkin cara berfikir dan budaya
sahaja.