Bab 20 : Nuar Tertipu
Hampir setengah jam aku berada di dalam masjid Agung Demak Indonesia. Rasa kagum dan teruja mengalir dalam tubuhku. Aura masjid yang hebat itu terasa menyelubungi tubuhku. Sebaik keluar dari masjid, aku terlihat Anuar sedang duduk di tepi tiang. Dia sedang leka berbicara dengan seorang lelaki muda dalam lingkungan umur 20an. Aku nampak mereka bersembang dalam suasana yang agak serius juga. Aku tak tahu apa yang mereka kongsikan.
‘Emm! Nuar dah jumpa kawan baru agaknya...’ kataku dalam hati.
Aku menghampiri mereka. Sebaik sahaja melihat aku, Nuar terus memperkenalkan aku kepada kawan barunya itu. Kami bersalaman dan beberapa ketika kemudian budak lelaki itu minta diri untuk beredar.
“Hai bukan main rancak lagi aku tengok kau bersembang dengan dia. Ada apa-apa ke?” tanyaku sambil tersenyum.
“Aku kena tipu ler Meran!.” muka Nuar bertukar jadi masam mencuka.
Aku mengerutkan kening mendengar kata-katanya. Aku memandang mukanya, seolah-olah tidak percaya dengan apa yang aku dengar.
“Kena tipu? Siapa yang tipu?” tanyaku dengan nada yang penuh persoalan.
Nuar mengeluh berat. Dia memandang ke satu arah. Lalu mengangkat jarinya ke arah itu. Aku lihat ada seorang lelaki yang sedang berdiri dihujung sudut masjid. Lelaki itu berbadan agak gempal. Aku tidak kenal lelaki itu, yang aku perasan sebelum ini. Lelaki itu menjual buku dan risalah tentang masjid Agung Demak. Setiap kali ada orang lalu berhampirannya, dia pergi ke arah orang itu. Sambil berkata sesuatu dan menghulurkan buku. Lagaknya seperti pemandu pelancong sahaja.
“Apa yang dia tipu kau? macam mana dia boleh tipu?” tanyaku berulang kali.
“Tadi masa kau tengah solat...aku duduk didepan sana. Entah tiba-tiba dia datang dan berbual dengan aku. Aku tak kenal diapun, tapi dia memang peramah. Jadi akupun layan lah. Aku rasa seronok juga bila dia dok cerita tentang sejarah masjid ini dan kaitan dengan Wali Songo. Memang menariklah dengar cerita dia, sebab dia tahu dengan terperinci tentang sejarah masjid ni. leka betul aku mendengar ceritanya.
Kau tahu tak... lepas habis dia bercerita, tiba-tiba dia minta duit upah dari aku. Aku tanya duit upah untuk apa? Dia kata upah untuk cerita tentang masjid dan Wali Songo. Aku terkejut juga sebab bukan akupun yang suruh dia bercerita. Dia yang datang dan bercerita pada aku. Aku dengar jer. Mati-mati aku ingat dia saja nak bersembang. Tapi lepas habis dia bercerita rupanya nak duit pula. Kau tahu tak apa dia kata?”
“Apa katanya?” aku memandang Nuar yang bersemangat bercerita,
“Dia kata tak kisah berapa aku nak bagi pada dia. Siap dia kata ‘mesti ikhlas dari hati.’ Sebab aku fikir dah berbuih dia dok bercerita dan kesian. Aku pun bagi lah dia dalam 1000 rupiah. Kau tak tak? dia... tak mahu terima...siap buat muka bengang lagi. Lepas tu dia kata kalau bagi derma lebih dia akan hadiahkan aku buku tentang sejarah Wali Songo. Dengar dia kata macam tu aku bagi lah dia 10 ribu rupiah. Bila aku hulur 10 ribu pun dia tak mahu ambil, katanya sikit. Pening aku kata ikhlas tapi kita bagi seikhlas hati, dia tak mahu pulak. Dia terus mendesak suruh aku bagi lebih. Kalau ikut hati aku bukan aku nak bagi lebih, aku rasa macam nak debik aja dia ni sebijik. Tapi aku risau juga sebab tempat orang. Akhirnya sebab malas panjang cerita akupun keluarkanlah dompet nak bagi dia lebih sikit. Tapi kau tahu tak, Masa aku buka dompet tu. Tiba-tiba dia terus sambar duit 50ribu rupiah. Dia siap cakap ‘ini barulah derma Ikhlas.’ Aku tergamam sekejap lihat tindakan dia tu. Nak minta balik segan dan tak sampai hati. Lepas dia ambil duit tu...kau tahu dengan selamba jer dia berjalan tinggalkan aku. Memang celaka betul.” luah Anuar pada aku dengan panjang lebar.
Berkerut keningku, Aku tak percaya dengan apa yang berlaku.
“Yang bercakap dengan kau tadi siapa pula?” tanyaku lagi.
“Oh dia tu pengunjung di sini. Masa mamat tu cuba nak tipu aku dia ada dekat situ. Masa tu dia cuba juga tolong aku. Tapi dia kena marah dengan mamat tu. Dia kata mamat tu memang suka tipu orang terutama orang luar. Dia minta maaf sebab tak boleh tolong aku. Tapi nak buat macam mana dah tersurat aku kena tipu. Terima ajalah, Tapi tak pa lah... sebab apa yang budak tu kata betul juga.”
“Apa yang betulnya?” tanyaku dengan hairan.
“Budak lelaki itu nasihatkan aku...katanya ‘Itu sudah rezeki dia kalau bapak marah dan tak halalkan bapak tidak dapat apa-apapun. Tapi jika bapak halalkan dan anggap sebagai sedekah moga itu menjadi pahala untuk bapak.’ Kau tahu Meran... terkedu aku mendengar kata-kata budak itu. Apa yang dia kata memang benar.” luah Nuar pada aku.
“Wah! Hebatnya budak tu” Aku cuba mencari budak lelaki tersebut, tapi tidak kelihatan di mana-mana pun. Kata-katanya ringkas sahaja tetapi mempunyai maksud yang dalam.
“Aku dah halalkan Meran.” kata Anuar dengan ringkas dan senyuman.
Peristiwa itu berlaku begitu singkat tetapi amat mengesankan Anuar dan juga aku. Ianya bukan tentang Anuar ditipu...apalah nilai sangat RM18 atau 50 rupiah berbanding dengan kesedaran yang kami dapat dalam memaafkan dan redha. Manusia memang sukar meminta maaf dan juga memaafkan. Ianya memerlukan kekuatan yang bukan sedikit. Sikap memberi dan menarima itu sangat hebat kesannya. hari ini kami belajar tentang perkara itu.