Home Novel Thriller/Aksi JIN GALAH
Bab 2 - USUS-USUS YANG TERBURAI

BAB 2 – USUS-USUS YANG TERBURAI

Bumi. Cuaca mendung luar biasa.

Orang kata, suatu masa nanti bumi ini akan ditimpa hari kiamat. Apabila hari kiamat melanda, alam ini akan musnah, semua manusia akan mati. Apakah bencana luar biasa yang sedang berlaku ini adalah hari kiamat?

Tidak ada lagi hari siang. Sepanjang masa suasana adalah gelap. Tidak ada lagi cahaya matahari yang mampu menembusi lapisan awan hitam yang tebal-tebal itu.

Makhluk-makhluk raksasa yang dipanggil Jin Galah telah berkeliaran memburu manusia di bumi. Di mana ada cahaya, di situlah mereka pergi. Makhluk-makhluk ini akan menjenguk menerusi tingkap rumah atau bangunan yang terbuka dan menyambar penghuni di dalamnya. Jika mereka tidak berjaya, mereka akan merangkak masuk ke dalam rumah tanpa mempedulikan saiz badan mereka yang tinggi lampai. Selepas puas menyelongkar satu-satu rumah, Jin Galah akan meraung kecewa jika mereka gagal menemui apa-apa hidupan.

Bangkai manusia, anjing, kucing, kambing, lembu dan lain-lain hidupan di bumi bersepah di merata-rata dengan sebahagian besarnya telah dikunyah sehingga menampakkan tulang-tulang yang patah. Bau busuk bangkai dan hanyir darah meloyakan tekak. Segala bentuk kegiatan manusia kini sudah tergantung, tidak ada orang lagi berani keluar dari rumah atau apa-apa bangunan. Dengan begitu banyak mayat dan bangkai di jalan-jalan, tidak dapat dipastikan dengan tepat berapakah jumlah manusia yang masih wujud di muka bumi ini. Alam ini sunyi dan sepi.

Kereta kebal dan segala jenis pengangkutan tentera telah pun mula bergerak dari satu tempat ke satu tempat. Askar-askar kini sibuk berperang dengan makhluk-makhluk yang dipanggil Jin Galah itu. Bunyi tembakan peluru raifal dilepaskan kedengaran bertalu-talu serentak dengan pancaran cahaya berkelip-kelip. Jeritan, laungan semangat dan raungan kesakitan silih berganti. Peluru biasa tidak mampu membunuh Jin Galah. Kekuatan tentera telah dilumpuhkan sama sekali.


Tengah lautan. Di atas sebuah pelantar minyak.

Beberapa hari lepas, Syamsul yang berusia 43 tahun adalah seorang juruterbang komersil. Kapal terbangnya terhempas dan terpaksa mendarat di tengah lautan selepas bergeser dengan awan hitam di angkasa. Ketika melanggar awan itu, Syamsul berasa seperti ada sesuatu yang menghalang kapal terbangnya daripada terbang lebih tinggi, seolah-olah langit sudah ditutup dengan sesuatu. Dinding luar bahagian bumbung kapal terbangnya mengeluarkan percikan api semasa pergeseran itu, dan kapal terbangnya bergegar dengan teruk.

Syamsul tidak tahu apa yang sedang berlaku. Tiba-tiba sahaja, kapal terbangnya hilang kawalan, dan terpaksa mendarat di lautan. Nasib Syamsul dan berpuluh-puluh orang penumpangnya sangat baik apabila sebuah kapal yang berada berhampiran ternampak kapal terbang yang dipandu Syamsul terapung-apung menanti tenggelam di tengah lautan.

“Kami tak berani nak turunkan kamu di daratan. Kamu semua terpaksa ikut kami ke pelantar.” Begitulah kata salah seorang penyelamat, seorang lelaki berbadan tegap.

“Kenapa? Apa yang berlaku? Ada serangan lanunkah?” Seorang penumpang berasa cemas.

“Tidak. Susah untuk dijelaskan.” Lelaki itu menundukkan kepalanya.

“Apa yang berlaku?” Syamsul terus memaksa.

“Serangan makhluk asing.” Lelaki itu masih menunduk. Dia menjangkakan gelak ketawa.

“Kamu bergurau?” Syamsul menepuk bahu lelaki itu.

“Sungguh, tidak. Satu dunia sedang diserang. Daratan tak selamat buat masa ini.”

Syamsul menyeluk saku bajunya. Terdapat sebuah telefon pintar yang nipis. Dia menyelak telefon bimbit, kelihatan wajah seorang gadis, Isma dan seorang wanita berusia yang diyakini adalah isterinya menjadi latar belakang skrin telefon pintar itu.

Dia cuba menelefon. Gagal.

“Semua sistem satelit sudah disekat.” Lelaki berbadan sasa itu memberitahu.

“Tolong hantar saya ke daratan, Tuan!” Syamsul merenung mata lelaki itu dengan cahaya mata yang penuh mengharap. Di matanya terbayang wajah isterinya dan Isma, gadis berusia tiga belas tahun yang seperti model itu.

Ombak terus bergelora, cuba melambungkan bot yang berada di bawah pelantar itu. Pelantar minyak itu tetap kelihatan gah di tengah lautan yang gelap seperti malam.


Daratan. Rumah Isma.

Seorang gadis duduk mencangkung di biliknya tanpa sebarang lampu dan cahaya. Suasana murung menyelubungi tempat itu. Sudah beberapa hari air matanya tidak berhenti-henti mengalir. Jeritan budak kecil yang bernama Putri menjerit-jerit memanggil namanya terngiang-ngiang di telinganya.

Setiap kali jeritan itu bermain-main di mindanya, gadis itu menangis. Begitu perit rasa di hati. Seperti ratusan jarum mengguris jantungnya.

“Maafkan Akak, Putri. Akak tak dapat selamatkan Putri.” Imej Putri yang terjatuh dan menghulurkan tangan minta disambut ke arahnya terbayang-bayang, sebelum satu tangan runcing mencakarnya dari belakang, serentak dengan satu jeritan kesakitan bersalut ketakutan yang sukar digambarkan.

“Azim... aku tak sengaja... Azim...” Isma rebah di atas lantai. Untuk kali ke berapa, dia pun tidak pasti. Badannya lemah.

Seorang wanita berusia 40 tahun, dipanggil Damia meluru ke arah Isma. Dia memapah Isma yang lemah naik ke atas katilnya, lalu dibaringkan dan diselimutkan. Dia mengucup lembut dahi anak gadisnya itu, sambil mengeluarkan kata-kata untuk memujuknya.

Bumi semakin sejuk selepas beberapa hari tanpa cahaya matahari. Sedingin hati Azim terhadap Isma.


Seminggu kemudian.

Isma semakin kuat. Dia sudah mula menerima kenyataan. Putri sudah tidak ada lagi. Tidak ada lagi pendengar untuk bercerita. Putri suka dengar Isma bercerita tentang adik-beradik tiri, Bawang Putih dan Bawang Merah.

Ibu Isma, Puan Damia pula kini yang kurang sihat. Barangkali kerana Puan Damia sering berjaga malam, risaukan suaminya. Sejak pergi bertugas memandu kapal terbang tempoh hari, Puan Damia tidak lagi mendengar apa-apa berita tentang suaminya. Tidak dapat dipastikan apa yang telah berlaku ke atas suaminya.

Kebimbangan terhadap keselamatan anak gadisnya pula telah mengatasi rasa mengantuk, membuatkan Puan Damia sentiasa rasa ingin berjaga. Setelah kehilangan berita tentang suaminya, Puan Damia sangat takut sekiranya tiba-tiba Isma pula hilang dari pandangannya.

Begitulah kasih seorang ibu yang mengandungkan anaknya di dalam rahimnya selama sembilan bulan. Tidak mudah baginya untuk mengalah dengan takdir dan malaikatul maut yang kini sering mengintai peluang untuk merampas anak gadisnya, atau dirinya sendiri!

Namun, kini ada sesuatu yang menambahkan lagi kerisauan Puan Damia. Bekalan makanan di rumah mereka sudah habis. Jin Galah pula sedang berkeliaran di luar sana. Kedua-dua beranak itu akan mati kebuluran, jika mereka tidak berani keluar untuk mencari makanan.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.