BAB 2 – USUS-USUS YANG TERBURAI
Bumi. Cuaca mendung
luar biasa.
Orang kata, suatu masa nanti bumi ini akan ditimpa hari
kiamat. Apabila hari kiamat melanda, alam ini akan musnah, semua manusia akan
mati. Apakah bencana luar biasa yang sedang berlaku ini adalah hari kiamat?
Tidak ada lagi hari siang. Sepanjang masa suasana adalah
gelap. Tidak ada lagi cahaya matahari yang mampu menembusi lapisan awan hitam
yang tebal-tebal itu.
Makhluk-makhluk raksasa yang dipanggil Jin Galah telah
berkeliaran memburu manusia di bumi. Di mana ada cahaya, di situlah mereka
pergi. Makhluk-makhluk ini akan menjenguk menerusi tingkap rumah atau bangunan yang
terbuka dan menyambar penghuni di dalamnya. Jika mereka tidak berjaya, mereka
akan merangkak masuk ke dalam rumah tanpa mempedulikan saiz badan mereka yang
tinggi lampai. Selepas puas menyelongkar satu-satu rumah, Jin Galah akan
meraung kecewa jika mereka gagal menemui apa-apa hidupan.
Bangkai manusia, anjing, kucing, kambing, lembu dan
lain-lain hidupan di bumi bersepah di merata-rata dengan sebahagian besarnya
telah dikunyah sehingga menampakkan tulang-tulang yang patah. Bau busuk bangkai
dan hanyir darah meloyakan tekak. Segala bentuk kegiatan manusia kini sudah
tergantung, tidak ada orang lagi berani keluar dari rumah atau apa-apa
bangunan. Dengan begitu banyak mayat dan bangkai di jalan-jalan, tidak dapat
dipastikan dengan tepat berapakah jumlah manusia yang masih wujud di muka bumi
ini. Alam ini sunyi dan sepi.
Kereta kebal dan segala jenis pengangkutan tentera telah pun
mula bergerak dari satu tempat ke satu tempat. Askar-askar kini sibuk berperang
dengan makhluk-makhluk yang dipanggil Jin Galah itu. Bunyi tembakan peluru
raifal dilepaskan kedengaran bertalu-talu serentak dengan pancaran cahaya
berkelip-kelip. Jeritan, laungan semangat dan raungan kesakitan silih berganti.
Peluru biasa tidak mampu membunuh Jin Galah. Kekuatan tentera telah dilumpuhkan
sama sekali.
Tengah lautan. Di atas
sebuah pelantar minyak.
Beberapa hari lepas, Syamsul yang berusia 43 tahun adalah
seorang juruterbang komersil. Kapal terbangnya terhempas dan terpaksa mendarat
di tengah lautan selepas bergeser dengan awan hitam di angkasa. Ketika
melanggar awan itu, Syamsul berasa seperti ada sesuatu yang menghalang kapal
terbangnya daripada terbang lebih tinggi, seolah-olah langit sudah ditutup
dengan sesuatu. Dinding luar bahagian bumbung kapal terbangnya mengeluarkan
percikan api semasa pergeseran itu, dan kapal terbangnya bergegar dengan teruk.
Syamsul tidak tahu apa yang sedang berlaku. Tiba-tiba
sahaja, kapal terbangnya hilang kawalan, dan terpaksa mendarat di lautan. Nasib
Syamsul dan berpuluh-puluh orang penumpangnya sangat baik apabila sebuah kapal
yang berada berhampiran ternampak kapal terbang yang dipandu Syamsul
terapung-apung menanti tenggelam di tengah lautan.
“Kami tak berani nak turunkan kamu di daratan. Kamu semua terpaksa
ikut kami ke pelantar.” Begitulah kata salah seorang penyelamat, seorang lelaki
berbadan tegap.
“Kenapa? Apa yang berlaku? Ada serangan lanunkah?” Seorang
penumpang berasa cemas.
“Tidak. Susah untuk dijelaskan.” Lelaki itu menundukkan
kepalanya.
“Apa yang berlaku?” Syamsul terus memaksa.
“Serangan makhluk asing.” Lelaki itu masih menunduk. Dia
menjangkakan gelak ketawa.
“Kamu bergurau?” Syamsul menepuk bahu lelaki itu.
“Sungguh, tidak. Satu dunia sedang diserang. Daratan tak
selamat buat masa ini.”
Syamsul menyeluk saku bajunya. Terdapat sebuah telefon
pintar yang nipis. Dia menyelak telefon bimbit, kelihatan wajah seorang gadis,
Isma dan seorang wanita berusia yang diyakini adalah isterinya menjadi latar
belakang skrin telefon pintar itu.
Dia cuba menelefon. Gagal.
“Semua sistem satelit sudah disekat.” Lelaki berbadan sasa
itu memberitahu.
“Tolong hantar saya ke daratan, Tuan!” Syamsul merenung mata
lelaki itu dengan cahaya mata yang penuh mengharap. Di matanya terbayang wajah
isterinya dan Isma, gadis berusia tiga belas tahun yang seperti model itu.
Ombak terus bergelora, cuba melambungkan bot yang berada di
bawah pelantar itu. Pelantar minyak itu tetap kelihatan gah di tengah lautan
yang gelap seperti malam.
Daratan. Rumah Isma.
Seorang gadis duduk mencangkung di biliknya tanpa sebarang
lampu dan cahaya. Suasana murung menyelubungi tempat itu. Sudah beberapa hari
air matanya tidak berhenti-henti mengalir. Jeritan budak kecil yang bernama
Putri menjerit-jerit memanggil namanya terngiang-ngiang di telinganya.
Setiap kali jeritan itu bermain-main di mindanya, gadis itu
menangis. Begitu perit rasa di hati. Seperti ratusan jarum mengguris
jantungnya.
“Maafkan Akak, Putri. Akak tak dapat selamatkan Putri.” Imej
Putri yang terjatuh dan menghulurkan tangan minta disambut ke arahnya
terbayang-bayang, sebelum satu tangan runcing mencakarnya dari belakang,
serentak dengan satu jeritan kesakitan bersalut ketakutan yang sukar
digambarkan.
“Azim... aku tak sengaja... Azim...” Isma rebah di atas
lantai. Untuk kali ke berapa, dia pun tidak pasti. Badannya lemah.
Seorang wanita berusia 40 tahun, dipanggil Damia meluru ke
arah Isma. Dia memapah Isma yang lemah naik ke atas katilnya, lalu dibaringkan
dan diselimutkan. Dia mengucup lembut dahi anak gadisnya itu, sambil
mengeluarkan kata-kata untuk memujuknya.
Bumi semakin sejuk selepas beberapa hari tanpa cahaya
matahari. Sedingin hati Azim terhadap Isma.
Seminggu kemudian.
Isma semakin kuat. Dia sudah mula menerima kenyataan. Putri
sudah tidak ada lagi. Tidak ada lagi pendengar untuk bercerita. Putri suka
dengar Isma bercerita tentang adik-beradik tiri, Bawang Putih dan Bawang Merah.
Ibu Isma, Puan Damia pula kini yang kurang sihat. Barangkali
kerana Puan Damia sering berjaga malam, risaukan suaminya. Sejak pergi bertugas
memandu kapal terbang tempoh hari, Puan Damia tidak lagi mendengar apa-apa
berita tentang suaminya. Tidak dapat dipastikan apa yang telah berlaku ke atas suaminya.
Kebimbangan terhadap keselamatan anak gadisnya pula telah
mengatasi rasa mengantuk, membuatkan Puan Damia sentiasa rasa ingin berjaga. Setelah kehilangan berita tentang suaminya,
Puan Damia sangat takut sekiranya tiba-tiba Isma pula hilang dari pandangannya.
Begitulah kasih seorang ibu yang mengandungkan anaknya di
dalam rahimnya selama sembilan bulan. Tidak mudah baginya untuk mengalah dengan
takdir dan malaikatul maut yang kini sering mengintai peluang untuk merampas
anak gadisnya, atau dirinya sendiri!
Namun, kini ada sesuatu yang menambahkan lagi kerisauan Puan
Damia. Bekalan makanan di rumah mereka sudah habis. Jin Galah pula sedang
berkeliaran di luar sana. Kedua-dua beranak itu akan mati kebuluran, jika
mereka tidak berani keluar untuk mencari makanan.