Home Novel Thriller/Aksi JIN GALAH
Bab 4 - MUNCULNYA BAYANG-BAYANG MALAIKATUL MAUT

BAB 4 - MUNCULNYA BAYANG-BAYANG MALAIKATUL MAUT

“Siapa tu, Azim?” Kedengaran suara ibu dari ruang tamu.

“Isma...” aku menjawab lemah. Lemah kerana aku diserang perasaan sedih secara mendadak. Keakraban Isma dengan Putri, membuatkan aku semakin terkenangkan arwah adikku itu.

Ibu muncul di dapur. Ibu berkerut dahi memandang Isma.

“Kenapa datang ke sini, Isma? Ada apa-apa yang berlaku?” Ibu memandang Isma dengan wajah sayu. Sudah pasti, Ibu terkenangkan Putri. Putri sudah anggap Isma seperti seorang kakak. Ibu sangat maklum tentang hal itu.

Isma teragak-agak untuk menjawab.

“Kau jawab soalan ibu aku, Isma.” Suara aku kedengaran tegas. Aku tahu, hati aku masih marah, tidak puas hati dengan Isma. Ternyata, aku masih kalah dengan emosi. Sifat Isma yang teragak-agak itulah, barangkali penyebab kematian Putri. Ops! Azim, sabar. Sabar, Azim. Suara hatiku memujuk lagi.

“Kami kehabisan makanan.”

“Dan kau datang ke sini, nak habiskan makanan kami pula?” Pantas, aku mempersoalkan tindakan Isma. Azim, jangan begitu, Azim. Suara hatiku ternyata bertentangan dengan amarahku. Aku sebenarnya sedang teragak-agak. Aku langsung tidak memberi peluang kepada Isma untuk menerangkan apa yang berlaku pada hari itu dengan jelas.

“Okay... tak apalah, kalau macam itu. Maaf sebab datang mengganggu.” Isma tunduk, sedikit terkilan.

“Isma, emak kamu sihat?” Tiba-tiba Ibu bertanya.

“Emak sakit sedikit, sejak ayah tak pulang dua hari lepas.” Isma menggigit bibir.

“Sakit apa?” Ibu merenung tepat ke wajah Isma. Ibu memang prihatin. Setidak-tidaknya Ibu amat menghargai hubungan Isma dengan Putri.

“Sakit biasa. Demam. Mungkin sebab tak cukup tidur.”

“Ayah kamu pergi ke mana?” Bertalu-talu soalan daripada Ibu.

“Ayah tidak balik sejak pergi bekerja tempoh hari.”

“Kamu tak tahu tempat mana dia pergi?”

“Ayah sepatutnya ke Dubai.”

“Dia tak pesan apa-apa untuk kamu sebelum pergi?”

Isma menggeleng. Wajahnya tampak bertambah risau.

Ibu menarik dan kemudian menghembuskan nafas. Dia berjalan mendekati Isma.

“Ayah kamu tentu selamat. Dia pasti akan pulang.” Ibu menepuk bahu Isma.

Ibu membuka almari. Terdapat sedikit bungkusan plastik berisi biskut.

“Ambil ni. Untuk seketika. Semoga bencana ini cepat tamat.” Ibu mengunjukkan bungkusan plastik tersebut kepada Isma.

Isma serba-salah mahu mengambilnya. Namun, Ibu terus memujuk. Isma mengalah.

“Terima kasih.”

Isma berpusing, menghadap pintu dapur. Kemudian dia berpaling semula ke arah Ibu.

“Makcik... saya minta maaf... sebab saya... Putri...” Suara Isma tersekat-sekat. Sebak.

“Tak perlu kata apa-apa, Isma. Ajal maut di tangan Tuhan.” Ibu membelai pipi Isma. Mata Ibu bergenang.

“Kita semua rindukan Putri, tetapi Tuhan lebih sayangkan dia. Kita terpaksa terima...”

Aku tiba-tiba rasa berat di dada. Sebak. Putri satu-satunya adik perempuanku. Apabila Ibu berkata demikian, aku mula terasa kehilangannya. Suara Putri terngiang-ngiang di telingaku. Senyuman Putri, mengusik pandanganku. Abang Azim! Suara Putri seakan-akan bermain-main di sekelilingku.

“Terima kasih, Makcik.”

Aku menolong membukakan pintu untuk Isma. Aku langsung tidak mahu memandang Isma. Aku rasa aku belum betul-betul memaafkan Isma.

“Hati-hati,” pesan Ibu.

Isma mengangguk. Isma menjenguk ke luar pintu, menoleh dan mengintai ke kiri dan ke kanan sebelum keluar.

Aku memandang Ibu. Ibu kelihatan sedang menekup mulutnya dengan tangan. Mata Ibu terpejam. Ibu sedang menenangkan diri. Kehilangan Putri memang satu kehilangan besar. Semua orang rindukan dia. Apa lagi sejak ketiadaan ayah. Dulu keluarga ini ada tiga orang. Aku, Ibu dan Putri. Kini, cuma tinggal aku dan Ibu. Ayah dah bertahun-tahun tak ada. Rumah semakin sunyi dan terus sunyi.

Aku mengeluh. Menghembuskan nafas, cuba melegakan rasa berat dan sebak di dada. Aku menarik kerusi, dan duduk. Tunduk.


Rumah Azim. Malam.

Jeritan seorang gadis mengejutkan aku dan Ibu. Aku tahu, itu suara Isma dan emaknya. Kedengaran juga suara garau mengaum. Itu bunyi Jin Galah! Kedengaran bunyi perabot terbalik dan benda pecah.

‘Kita kena buat sesuatu!’ Itulah saranan suara hatiku. Namun aku kelu. Mati akal. Aku tidak tahu apa nak dibuat. Rumah Isma kira-kira 50 meter dari sini. Itu jarak yang sangat dekat.

Aku memandang Ibu. Ibu kelihatan seperti sedang berdoa.

Aku menjenguk ke celah-celah papan di tingkap. Nampaknya ada seekor Jin Galah sedang cuba masuk menerusi salah satu tingkap di rumah Isma. Sayang sekali rumah ini tak ada senapang.

Aku melihat apa-apa yang boleh digunakan. Aku ternampak botol. Minyak. Ya, pemetik api. Aku boleh buat bom dan baling kepada Jin Galah. Aku tak pasti apa akan berlaku ke atas aku selepas itu. Ada kemungkinan Jin Galah akan marah dan menyerang rumah kami pula. Apa pilihan yang aku ada sekarang? Terus membiarkan Jin Galah menyerang Isma dan emaknya yang sedang sakit, atau menyerang Jin Galah dan kami menjadi mangsa seterusnya? Ini memeningkan kepala. Kami semua terdesak sekarang.

Jeritan Isma dan emaknya tidak lagi kedengaran. Barangkali mereka bertindak mendiamkan diri. Namun Jin Galah bukanlah makhluk yang bodoh. Sedangkan Jin Galah sendiri bijak menyamar sebagai pokok untuk menunggu mangsanya. Jika Jin Galah tahu ada orang di dalam rumah itu, ia akan terus mencari dan mencari sehingga bertemu mangsanya.

Aku nampak Jin Galah sedang cuba mengopak tingkap rumah Isma. Kuat sungguh tenaganya. Nasib baik rumah Isma diperbuat daripada batu-bata. Badan Jin Galah yang besar dan tinggi tidak muat untuk masuk ke dalam rumah Isma menerusi tingkap itu. Terdapat jirai-jirai besi yang melindungi rumah Isma.

“Oh, tidak!” Aku ternampak Isma dan emaknya sedang keluar senyap-senyap dari pintu dapur rumahnya.

‘Jangan! Jangan!’ Aku sendiri pun tidak tahu apa hendak dikata. Isma dan emaknya sudah nekad untuk meninggalkan rumah itu. Aku yakin, mereka bercadang untuk datang ke mari.

“Ibu, saya jaga pintu dapur. Isma dan emaknya mungkin akan ke mari! Mereka sedang menyorok di belakang rumah sekarang!”

Ibu terpinga-pinga. Selepas berfikir seketika, Ibu mengangguk.

Aku sudah membuka kunci dan penghadang pintu dapur. Aku bersiap sedia untuk berteriak jika perlu.

“Isma dan ibunya sedang berlari ke mari,” kata Ibu. Nada suaranya kedengaran cemas.

“Baik.” Aku mengintai dari celah papan tingkap yang terdekat dengan pintu dapur.

Aku ternampak kelibat Isma dan emaknya. Mereka tidak mahu ke rumahku! Aku tersilap anggar. Mereka mahu pergi ke arah kereta. Mereka mahu melarikan diri dari kawasan ini!

Isma dan emaknya selamat masuk ke dalam kereta. Namun, mereka masih gagal menghidupkan enjin kereta. Jin Galah sudah sedar, mangsa-mangsa buruannya sudah tidak ada lagi di dalam rumah. Jin Galah menghampiri kereta tersebut. Isma dan emaknya pasti mati kali ini! Jin Galah menghampiri kereta dari depan. Mengaum sekuat-kuatnya di cermin depan. Aku yakin, Isma dan emaknya sedang terkencing di dalam seluar. Mereka betul-betul dalam bahaya.

Aku rasa aku tidak ada pilihan. Botol berisi minyak petrol. Pemetik api. Aku harus membakar Jin Galah itu. Aku sudah hilang akal agaknya. Aku tiba-tiba jadi berani. Aku membuka pintu dapur, keluar dari rumah, dan terus menghampiri Jin Galah. Aku tidak ingat apa-apa lagi. Apa yang ada dalam fikiran aku, aku mahu cuba menarik perhatian makhluk ganas itu dari terus mengancam Isma dan emaknya.

Jin Galah kelihatan bingung. Berang dengan tindakanku. Makhluk itu bergerak dan berjalan terhenjut-henjut ke arahku sambil mengaum. Mata hijaunya bulat menonjol keluar. Rahangnya ternganga luas menampakkan barisan gigi berduri dan lendiran air liur berwarna hitam pekat. Lidahnya sesekali terjelir keluar seperti lidah biawak. Badannya berwarna hitam umpama daun teh hitam yang dikisar. Atau barangkali seperti padang rumput yang terbakar. Itulah rupa fizikal Jin Galah.

Tangannya yang kurus panjang dengan jari-jari yang besar dan runcing dihayunkan ke arahku. Aku mengelak. Aku berundur sedikit demi sedikit. Kemudian aku memusingkan badan, membuka langkah dan berlari membelakanginya.

“Azim!!!!” Isma menjerit dari dalam kereta.

Ya. Aku tahu keadaan aku sekarang sangat bahaya. Aku berlari mengelilingi rumah Isma.

“Isma. Cepat lari!”

Isma tidak menjawab. Bunyi enjin kereta sedang dihidupkan kedengaran beberapa kali. Kereta itu kereta lama. Sudah lima hari tidak dihidupkan enjinnya. Baterinya sudah tentu menjadi lemah. Ini satu lagi masalah!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.