Home Novel Thriller/Aksi JIN GALAH
Bab 3 - KETUKAN PINTU PADA TENGAH MALAM

BAB 3 - KETUKAN PINTU PADA TENGAH MALAM

Televisyen, telefon, internet, radio dan sebarang peralatan media elektronik tidak lagi berfungsi. Barangkali, sistem telekomunikasi di seluruh dunia sudah lumpuh. Semuanya bermula sejak peristiwa awan mendung yang aneh ini. Kami tidak berani keluar rumah sesuka hati. Jin Galah sedang merayau-rayau memburu mangsa.

Makhluk berwarna hitam ini seolah-olah pokok kayu yang dipenuhi akar. Mereka kelihatan keding, berjalan terbongkok-bongkok dengan kepala yang berpaling ke kiri dan ke kanan mencari mangsa. Sesekali mereka kelihatan seperti menguap, membuka rahang mulut mereka seluas-luasnya. Sesekali lidah bercabang mereka terjulur seperti lidah biawak. Mata mereka terbeliak besar, berwarna merah darah. Tangan dan kaki mereka juga panjang. Jari-jari mereka runcing. Kuku mereka sangat tajam dan berbisa. Mereka akan menyambar mangsa, sebelum membunuhnya secara terus tanpa belas kasihan. Aku tidak dapat bayangkan, bagaimana Jin Galah telah menangkap dan membunuh Putri. Setiap kali mengenangkan hal ini, air mataku mengalir. Perasaan kesal dan marah menyerangku. Aku cuma akan makin membenci Isma. Aku tidak faham kenapa dia boleh terselamat, tetapi adikku ditinggalkan begitu sahaja. Jawapan Isma tidak menyenangkan hatiku.

Ibu? Ibu juga kelihatan sangat sedih, tetapi dia seperti tidak mahu menyalahkan Isma. Jiwa Ibu semakin kuat sejak kematian Ayah beberapa tahun lepas. Ibu tidak pernah merancang untuk berkahwin lain. Aku tahu, Ibu sangat setia kepada Ayah. Mungkin Ibu sudah dapat menerima ketentuan Tuhan. Kematian Putri adalah kehendak Allah.

Dalam dunia ini, ada tiga perkara yang tidak boleh kita, manusia mencabarnya. Pertama, kelahiran. Kedua, jodoh dan yang ketiga, kematian. Secara logiknya, ketiga-tiga ini amat berkait rapat. Kerana jodoh, baru ada kelahiran. Kerana ada kelahiran, baru ada kematian. Kita tidak boleh mempersoalkan ketiga-tiga ketentuan ini. Ibu juga pasti sedar akan hal ini. Aku? Aku sedang cuba menyedarkan diriku tentangnya. Cuba memahamkan diri, cuba menerimanya seikhlas mungkin. Namun, aku rasa, jiwa aku belum sekuat jiwa Ibu. Aku masih bencikan Isma. Walhal, jauh di sudut hatiku, timbul rasa kasihan dan simpatiku terhadap Isma, kerana telah pernah melalui satu pengalaman ngeri dan sadis. Setidak-tidaknya, aku telah lama mengenali Isma. Dia cuma seorang gadis dan keluarganya berjiran dengan keluargaku.

Dahulu Aku telah kehilangan Ayah. Kemudian, aku kehilangan pula seorang adik. Kini cuma tinggal aku dan Ibu. Ah, dunia pun seperti sudah hendak kiamat! Aku tidak faham kenapa Jin Galah turun menyerang bumi pada ketika ini. Aku tidak pasti sama ada aku masih dapat mengambil peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia tahun ini. Suasana tidak begitu memihak kepadaku.

Aku memiliki bakat dalam bidang sains komputer. Aku juga berminat untuk menjadi seorang doktor. Subjek biologi adalah subjek wajib untuk seseorang itu bergelar doktor. Selepas ini aku mungkin akan masuk ke Matrikulasi untuk mengambil bidang Sains Hayat atau Sains Perubatan. Kemudian, melanjutkan pengajian ke Universiti Sains Malaysia dalam bidang perubatan. Belajar selama lima atau enam tahun untuk mendapatkan ijazah, kemudian bergelar seorang doktor. Aku mahu, menjaga, merawat dan menyembuhkan adik aku. Sekarang, wujud lagikah cita-cita ini? Putri sudah tidak ada lagi. Dunia sekarang pula dihuru-harakan oleh Jin Galah. Mampukah lagi aku untuk menggapai cita-cita aku? Masa depan aku seolah tidak ada lagi. Gelap, segelap awan di langit.


Rumah Azim. Malam.

Malam. Setiap malam adalah umpama mimpi ngeri. Tidak ada rumah yang berani menyalakan lampu. Memancarkan cahaya bererti memanggil maut. Jin Galah akan tertarik terhadap rumah yang bercahaya. Aku percaya, tidak ada lagi rakan-rakan sekolahku yang dapat mengulangkaji pelajaran. Perlu lagikah aku fikirkan tentang peperiksaan SPM? Aku tak tahu!

Beginilah nasibnya, apabila manusia terlalu bergantung kepada peperiksaan. Ramai orang ingat peperiksaan itu masa depan. Kalau jadi begini, di mana nilai semua markah peperiksaan itu?

Realitinya, apabila berlaku bencana seperti peperangan atau huru-hara berpanjangan seperti ini, bukan lagi skema atau markah peperiksaan menjadi ukuran keselamatan tetapi sejauh mana seseorang pelajar itu mampu menggunakan ilmu yang dipelajarinya untuk menyelamatkan dirinya. Menyelamatkan fizikal daripada kecederaan. Menyelamatkan mental daripada diserang kebingungan dan putus asa. Ilmu agama menjadi penenang jiwa, membantu aku untuk redha dengan apa yang berlaku. Ini semua salah satu ujian Tuhan.

Apa yang aku perlu pelajari dalam masa yang singkat ini, adalah keupayaan untuk meneruskan hidup. Aku perlukan lebih banyak kemahiran. Kemahiran untuk keluar mencari makanan secara senyap-senyap. Kemahiran untuk berdepan dengan Jin Galah. Kemahiran untuk mempertahankan diri. Kemahiran untuk mengubati sakit dan kecederaan. Kemahiran untuk menguruskan orang mati? Oh, Tuhan, betapa mencabarnya kehidupan aku sekarang ini.

Bersyukurlah! Suara hati aku bertempik. Kau masih memiliki anggota-anggota badan yang sempurna, Azim. Cuba kau fikir pula tentang manusia yang pekak, bisu, buta, cacat anggota badan atau lumpuh. Bagaimana mereka hendak menyelamatkan diri mereka dalam keadaan seperti ini? Orang-orang tua yang sudah lemah dah tidak berdaya, mampukah mereka melarikan diri jika dikejar oleh Jin Galah? Fikirkan semua itu, Azim. Mereka lebih malang daripada kau, Azim.

Oh, Tuhanku. Maafkan aku. Aku terlalu pentingkan diri sendiri. Memandang kelebihan diri dan melihat kekurangan orang lain akan membuatkan kita bersyukur. Itu yang patut aku buat.


Rumah Azim. Di bahagian dapur.

“Jangan! Jangan buka!” Ibu berbisik dengan suara perlahan, tetapi tegas. Sudah lama bunyi ketukan di pintu itu kedengaran. Aku bertambah risau.

“Tak boleh Ibu. Kalau kita biarkan, nanti Jin Galah akan datang ke sini.” Aku menyatakan kerisauanku.

Menentang kata-kata ibu. Bukan niat untuk menderhaka, tetapi aku rasa perlu berbuat demikian. Aku tidak mahu keadaan menjadi semakin teruk. Bunyi ketukan itu akan menarik perhatian Jin Galah. Aku berpendapat, daripada dibiarkan, baik aku menghentikannya. Memberi peluang kepada orang di luar untuk berdepan denganku.

“Biar saya pergi tengok, Ibu.” Aku memberanikan diri. Aku mencapai sebilah parang panjang. Aku mendekati pintu.

“Siapa?”

Tiada orang menjawab. Ketukan terhenti seketika.

“Siapa di luar?”

Tiada suara. Aku mengambil keputusan mengintai ke luar tingkap. Aku terlihat seorang gadis. Aku kenal gadis itu. Isma! Jahanam! Berani mendiamkan diri pada saat yang genting ini. Kebencianku membuak-buak, aku cuba tahankan. Satu suara kebaikan, membisikkan kata-kata supaya aku bersikap rasional. Mungkin ada hal yang penting, sebab itu barulah Isma berani datang ke sini. Sabar, Azim. Sabar. Aku terus membuka pintu.

“Maafkan aa...”

“Masuk!” Aku pantas memotong percakapannya. Isma melangkah masuk.

“Maafkan aku. Aku betul-betul nak minta maaf, Azim.”

Aku diam. Mengetap bibir. Geram. Pintu dikunci semula.

“Aku tak tahu nak buat apa pada masa tu.”

“Benda dah berlalu. Kau manusia. Aku manusia. Semua manusia buat silap.” Aku menghembuskan nafasku. Tiba-tiba rasa lega mententeramkan perasaan benciku. Benar, adakalanya memaafkan itu lebih baik, jika kita percaya, hidup dan mati itu adalah urusan Allah. Ajakan Isma, cuma penyebab. Putri memang ditakdirkan untuk pergi buat selama-lamanya, pada hari itu. Namun sekali-sekala, perasaan marahku membuak-buak juga.

“Kau maafkan aku, Azim.” Gadis itu menangis teresak-esak. Ada riak kesal di wajahnya.

Dapatkah sesiapa bayangkan apa yang sedang aku fikirkan sekarang?

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.