BAB 1 – LEMBAGA HITAM JATUH DARI LANGIT
Halaman Rumah Azim.
Pagi. Cuaca mendung sangat luar biasa.
“Putri, jangan pergi Putri, hari dah nak hujan ni. Duduk
rumah saja.” Begitulah aku, Azim, menasihati adik kesayanganku yang comel,
berwajah bulat dan berlesung pipit itu. Usianya baru sepuluh tahun.
“Alah, Abang, Kak Isma kan ada. Nanti Putri bawa payunglah.”
Putri menempelkan mukanya di lengan Isma, gadis tingkatan satu yang lincah,
bertudung merah jambu.
Isma tersenyum memandang Putri, sambil mengangkat keningnya
beberapa kali. Biarpun baru tingkatan satu, tetapi badan Isma sudah menyerupai
wanita yang dua tahun lebih tua berbanding usianya. Aku cuma mampu
menggeleng-gelengkan kepala melihat gelagat dua sahabat akrab itu. Yang kecil
itu memang susah hendak berenggang dengan si gadis ramping itu. Aku mengalah.
Aku merupakan pelajar tingkatan lima tahun ini. Biarpun
sepatutnya tahun ini aku lebih fokus terhadap buku-buku untuk menghadapi SPM,
ibu aku menggesa aku untuk mengambil lesen kereta. Adakah ibu bapa pelajar lain
sama seperti ibu bapa aku?
Ayah aku? Ayah aku seorang yang aku sendiri pun tidak kenal.
Aku cuma tahu hidup aku ditemani oleh dua orang wanita. Ibu aku dan adik aku.
Ayah aku cuma tinggalkan sebuah rumah dan sebuah kereta.
Tiba-tiba hon berbunyi. Sebuah kereta dengan huruf L merah
berlatar belakangkan petak biru berhenti di depan laman rumahku. Rupa-rupanya Pak
Mat, cikgu sekolah memandu aku sudah sampai. Beruntung aku dapat cikgu sekolah
memandu sebaik ini. Sampai ke rumah aku dicarinya. Aku ada ujian memandu hari
ini.
“Putri, jangan lupa bawa payung!” Aku melaung sebelum
melangkah masuk ke dalam kereta.
“Dah, kita gerak sekarang.” Pak Mat bersuara garau dan
lantang. Jambangnya dicukur kemas. Berbaju kelabu cair dan seluar hitam.
Aku mengangguk. Kereta Pak Mat bergerak perlahan-lahan
meninggalkan laman rumahku. Putri dan Isma melambai-lambai sambil tersengih ke
arahku, sebelum berjalan beriringan meninggalkan rumah.
Tiba-tiba aku terbayangkan wajah ibuku. Dia berada di tempat
kerja sekarang. Aku tidak pasti apa reaksi ibu aku jika dia tahu aku benarkan
Putri berjalan-jalan di taman pada waktu cuaca mendung begini. Adakah aku
seorang abang yang tidak bertanggungjawab? Entah kenapa, aku rasa
berdebar-debar. Aku rasa tidak sedap hati kerana membenarkan Putri dan Isma
pergi ke taman hari ini. Lain macam rasanya perasaan aku hari ini. Gelisah ada,
murung pun ada. Sayu, sayu sekali.
“Pak Mat dah biasa tengok budak-budak berdebar. Berdoalah
banyak-banyak, Azim. Moga lulus kali ini.” Sambil memandu, Pak Mat menjeling ke
arah aku.
Betulkah perasaan kacau bilau aku ini disebabkan kerana aku
bakal menghadapi ujian memandu sekejap lagi? Aku makin tidak sedap hati.
Sekitar bandar.
Tengah hari. Cuaca mendung luar biasa.
Aku telah berjaya menyempurnakan ujian meletakkan kereta di
parkir kereta dengan mudah. Aku juga telah berjaya melepasi ujian memandu kereta
di atas bukit dengan sekali buat. Sekarang aku berada di ujian yang terakhir,
memandu kereta di kawasan bandar.
Abang Ropi, yang duduk di sebelah kiri aku adalah penilai
aku. Orangnya berwajah serius. Pendiam. Sekali-sekala dia mengomel
perlahan-lahan sambil memandang helaian kertas permarkahan di papan bersais
kertas A4. Usianya aku anggarkan sekitar 40 tahun. Muda lagi.
“Cuba kau belok kanan.” Sekali-sekala Abang Ropi akan
mengeluarkan arahan. “Cuba potong kereta itu.”
“Tak boleh, Bang.” Cepat-cepat aku membalas.
“Eh, dah kenapa?” Abang Ropi membeliakkan matanya memandang
ke arahku.
“Garisan berkembar, Bang.” Aku menjawab perlahan. Menjeling
ke arahnya sekali. Aku rasa Abang Ropi cuba menguji aku.
“Bagus... bagus...” Abang Ropi mengangguk-angguk dengan
wajah yang masih kelihatan serius. Dia menulis sesuatu di kertasnya.
“Eh, apa tu?” Abang Ropi tiba-tiba membongkok memandang ke
cermin depan. Dia menghulurkan lehernya, kelihatan begitu takjub memerhatikan
sesuatu di langit.
Aku rasa Abang Ropi sedang menguji daya tumpuanku memandu,
jadi aku buat-buat tidak peduli. Aku terus memandu dengan tenang.
“Eh! Eh! Apa benda tu? Makin banyak pula yang jatuh dari
langit? Pelik betul ni!” Kali ini Abang Ropi bersuara agak kuat seolah-olah dia
betul-betul terkejut.
Aku menahan nafas, tidak mahu terpengaruh. Kuat betul cubaan
Abang Ropi. Betul-betul mahu gagalkan aku!
“Brek! Brek!” Tiba-tiba Abang Ropi menjerit. “Boleh pula kau
tenang dalam keadaan macam ini ya?”
Aku brek serta-merta. Kereta yang sedang aku pandu bergegar.
Aku terkejut. Takkanlah dengan brek sebegini pun kereta boleh bergegar. Aku
berpaling ke kiri, memandang ke arah Abang Ropi. Abang Ropi memandang ke arahku
dengan mulut membulat membentuk huruf O. Rupanya kelihatan sangat terkejut.
“Kau nampak apa yang aku nampak?” Abang Ropi berpaling ke
arah kirinya. Dia mengangkat tangannya, dan menunjukkan ke arah sesuatu, tidak
jauh daripada kami dengan tangan kirinya. “Itu... kau nampak tak tu?”
Aku mengerutkan kening, cuba sedaya-upaya melawan kekuatan
tali pinggang keledar yang menahan badanku untuk melihat ke tempat yang
ditunjukkan oleh Abang Ropi. Aku nampak ada gumpalan seperti rumput-rumput
kering yang sangat besar di situ.
“Benda tu.... jatuh dari langit!” Kata-kata Abang Ropi
membuatkan aku terkejut. Aku tidak percaya.
“Tengok tu. Makin banyak tu!” Abang Ropi menunjukkan ke
langit. Aku dapat melihat kebenaran kata-kata lelaki berusia 40 tahun itu.
Beberapa gumpalan berwarna hitam bersaiz sebuah kereta berpusing-pusing gugur
menembusi awan hitam dan jatuh ke bumi. Sebaik-baik sahaja gumpalan awan itu
menghempas tanah, bumi bergegar. Jadi inilah puncanya, gegaran tadi.
Taman Permainan.
Tengah hari. Cuaca mendung luar biasa.
“Kak Isma, kenapa semua orang lari sambil terjerit-jerit?”
Putri terjun dari buaian lalu mendapatkan Isma. Isma yang masih terpinga-pinga
memeluk Putri yang setinggi aras dadanya.
Isma cuba mengamati sekeliling taman permainan. Kedengaran
bunyi angin bersiul-siul. Kawasan taman itu dipenuhi dengan pokok-pokok yang
besar-besar dan rimbun-rimbun belaka. Ini menyebabkan pandangan Isma
terlindung. Isma memimpin Putri yang masih ketakutan berjalan-jalan melepasi
beberapa orang kanak-kanak dan dewasa yang berlari-lari ketakutan.
“Kak Isma, apa tu?” Tangan Putri menggigil semasa menunjukkan
ke arah satu gumpalan rumput berwarna hitam yang bergolek-golek di atas padang.
Lebih menakutkan apabila gumpalan rumput gergasi itu mengeluarkan bunyi bergempa
dan bergetar seperti bunyi selepas guruh berdentum.
Bulu roma Isma meremang. Nalurinya menyuruh dia menarik
Putri untuk menjauhi gumpalan rumput itu dan lari.
“Lari... Putri... kita kena lari!” Lutut Isma menggeletar,
tetapi dengan secara spontan dia menggenggam pergelangan tangan Putri dengan
kuat dan berlari. Putri kebingungan. Tiba-tiba dia tersadung lalu jatuh.
Ketika itulah gumpalan rumput kering berwarna hitam itu
bergolek-golek ke arah Putri dan Isma. Apabila semakin dekat gumpalan rumput
itu berhenti dan perlahan-lahan berubah kelihatan seperti satu lembaga
berbentuk manusia yang sedang duduk mencangkung. Lembaga hitam dengan beribu-ribu
urat-urat hitam kasar dan halus yang menjalar bersimpang siur di seluruh
badannya bangkit, dan kemudian berdiri tegak di depan Putri dan Isma. Tingginya
seperti pokok kelapa.
Putri menjerit ketakutan. Isma tercengang melihat raksasa
hitam yang tinggi lampai itu. Raksasa hitam itu berwajah lonjong, dan kepalanya
bersambung terus dengan dadanya. Dia membuka rahang mulutnya perlahan-lahan,
menampakkan gigi-gigi runcing yang panjang-panjang.
“ Jhinnnn...” Makhluk hitam itu berbunyi. Suaranya bergetar,
sangat dalam dan garau.
“Ghaaaaaaa... lhahhh...” Kemudian makhluk hitam itu membuka
mulutnya, terhembus nafas berbahang panas dari mulutnya, menyapa wajah Isma dan
Putri. Rahang raksasa itu terbuka sangat luas seperti mahu menelan Isma dan
Putri.
Jin Galah. Itulah perkataan yang terlintas di fikiran Isma.
Makhluk yang berupa buruk dan dahsyat seperti jin dan tinggi menggalah!
Isma dan Putri berundur perlahan-lahan. Ketika itulah Isma
terpandang ke arah satu sudut yang lain. Dia ternampak seekor lagi raksasa
kira-kira seratus meter dari situ. Raksasa yang rupanya lebih kurang sama
dengan raksasa yang sedang dihadapi oleh mereka berdua. Raksasa itu sedang
menggenggam sesuatu di kedua-dua belah tangannya yang berjari panjang dan
runcing. Di genggaman kirinya kelihatan sepasang kaki dengan badan, dengan
sedikit usus perut yang terburai. Di genggaman kanannya pula kelihatan kepala dan
badan manusia yang sudah remuk dikunyah dengan dua lengan yang terkulai layu.
Raksasa ini makan orang!
Isma lari. Lari lintang-pukang sambil menjerit perkataan
‘jin galah’ berulang-ulang kali. Isma lupa tentang Putri. Di dalam otaknya, cuma
terbayang mata Jin Galah yang terbeliak dengan rahang yang menganga luas
seperti mahu menelannya.