JIN GALAH
0.1: SPESIES
Penulis:
Amiene Rev
Blog: http://dukeamienerev.blogspot.com
NOTA: Karya kedua dalam koleksi cerpen JIN GALAH.
Langit. Masih gelap seperti biasa. Sesekali kilat
sambar-menyambar. Namun, hujan tidak pula turun. Awan segan menangis. Sudah
sembilan hari, matahari tidak dapat memancarkan cahayanya. Awan terlalu tebal.
Tidak ada pasukan tentera, tidak ada polis, apa lagi RELA atau JPAM. Apa yang
berlaku sebenarnya?
“Kita isi minyak di sini.”
Sebuah stesen minyak yang lengang, menjadi perhatian kami.
Ini adalah hari ketiga pencarian kami. Ibu masih belum pulang. Ayah Isma juga
masih belum pulang. Bandar ini sudah lengang. Aku tidak tahu kenapa, tetapi aku
pasti akan tahu juga suatu hari nanti.
Pintu kedai yang terdapat di stesen minyak itu aku tolak.
Tidak berkunci. Tidak ada satu pun kelibat manusia. Namun, masih banyak stok
makanan. Emak Isma tertarik pada telefon di meja kaunter.
“Dapat?” Aku begitu mengharap.
Emak Isma menggeleng-gelengkan kepala. Talian kecemasan juga
tidak dapat dibuat. Aku menghembus nafas kecewa. Semua peralatan komunikasi
kini tidak lagi berfungsi.
Emak Isma, kami patut berikannya nama. Puan Damia. Puan
Damia, Isma dan aku – Azim, merupakan tiga manusia yang masih wujud di sekitar
daerah ini. Sejak seminggu kebelakangan ini, kami tidak menemui manusia lain,
bahkan, kami kehilangan beberapa orang. Ayah Isma. Ibu. Ibu aku.
“Televisyen, internet, radio... semuanya tidak berfungsi.
Apa nak jadi ni?” Isma mengeluh.
Guruh berdentum. Gemanya merebak hingga ke dalam bangunan.
“Sabar, Isma.” Puan Damia menenangkan anaknya.
“Barangkali ini permulaan kiamat,” selamba sahaja, aku
luahkan pernyataan itu.
“Kita patut pergi.”
“Ya..”
Maka kami pun berangkat meninggalkan stesen minyak itu.
=O=
Kumpulan seramai tiga orang itu pun menaiki kereta dan
meninggalkan tempat itu. Pintu tandas tiba-tiba terbuka. Bukan. Ia dibuka. Satu
lembaga manusia kelihatan keluar dari tandas itu. Kemudian keluar satu lagi
lembaga manusia. Berambut panjang. Sudah tentu wanita.
Lembaga manusia yang pertama mengintip ke luar kedai. Dia
mendapati kereta yang dinaiki oleh Azim, Puan Damia dan Isma telah berlalu
pergi.
“Mereka dah pergi, kita dah selamat sekarang.”
“Tapi bang, mereka bercakap macam manusia betul,” ujar
wanita berambut panjang itu.
“Buat masa ni, kita tak boleh percaya sesiapa. Kemungkinan
mereka itu juga jelmaan Jin Galah.”
“Tapi bang, mereka betul-betul macam manusia.”
“Diam! Jangan mudah terperangkap.” Lelaki itu tampak begitu
beremosi. “Mereka mungkin akan datang lagi. Kita mesti tinggalkan tempat ini.”
Wanita itu mengangguk. Tempat ini mungkin tidak selamat
lagi.
=O=
Kabus tebal menyelubungi kawasan di tengah bandar. Sunyi. Lengang. Itulah dua perkataan yang boleh
disebutkan apabila kami bertiga tiba di tengah bandar ini. Ini pertama kali,
kami mencari sejauh ini.
Isma ternampak banyak pokok di satu kawasan taman.
Pokok-pokok itu sangat tinggi tetapi tidak berdaun. Batangnya berwarna hijau
dan dipenuhi akar-akar yang menjalar hingga ke dahan.
“Eh, sejak bila di sini ada ditanam pokok-pokok setinggi
ini?” Isma rasa pelik. Dia pernah berkunjung ke sini dengan keluarganya dua
minggu lepas tetapi ketika itu belum ada pokok-pokok seperti ini.
“Ya, ini pelik,” sokong Puan Damia. Dia memandang ke
sekeliling. Kabus begitu kuat menjajah di kawasan sini.
Isma mendekati pokok-pokok itu. Kerisauan secara tiba-tiba,
kuat mengetuk pintu hatiku.
“Isma, aku rasa elok kita beredar. Ada sesuatu tak kena,”
Isma bagaikan terpukau. Dia mendekati salah satu pokok
tersebut. Dia tidak sedar, salah satu dahan pokok itu, mula perlahan-lahan
membengkok, tunduk dan seperti sedang cuba menyentuhnya dari arah kepalanya.
“Isma!!! Cukup, ke mari!” Isma tersentak mendengar ketegasan
suaraku. Entah kenapa, bencana yang telah menimpa kami selama beberapa hari ini
telah merapatkan hubungan kami. Seperti adik-beradik.
Isma berpaling ke arahku sambil berpeluk tubuh. Dia menunjukkan
wajah tidak senang.
“Tak perlu garang sangat, Azim. Aku tau....”
“Pergi dari situ!!!” Puan Damia bertempik apabila melihat
pokok yang didekati Isma itu mula berubah bentuk. Dahan-dahannya umpama
jari-jari, cuba menyambar Isma.
Naluri aku pantas mengatakan Isma dalam bahaya! Aku mencapai
sebilah parang yang terselit di pinggang aku, lalu meluru ke arah Isma.
“Pergi!!!” Aku menolak Isma ke arah emaknya. Satu demi satu,
pokok-pokok di situ mula berubah rupa. Ini semua bukan pokok betul! Ini semua adalah
Jin Galah.
Jadi, kini aku tahu, Jin Galah boleh menyamar menjadi pokok.
Tapi kali ini aneh, kerana mereka berwarna hijau, tidak hitam seperti yang kami
mula-mula bertembung dulu. Ini Jin Galah
Hijau!
Kami mula berlari. Langkah kami tidak tersusun. Kami tidak
peduli. Tempat ini adalah perangkap! Jin Galah ada di mana-mana. Kami mesti
terus lari. Auman Jin Galah kedengaran. Auman itu disambut oleh Jin Galah yang
lain. Auman Jin Galah terus bergema. Mereka sedang memberi isyarat kepada
setiap Jin Galah yang ada di situ. Mereka bersepakat!
“Masuk ke dalam kereta!”
Enjin kereta dihidupkan. Kali ini Puan Damia memandu. Tidak
kisahlah sesiapa yang memandu, asalkan kami semua selamat. Dunia ini tidak ada
lagi undang-undang manusia. Dunia ini sekarang berpandukan undang-undang rimba.
Undang-undang Jin Galah.
Kereta kami memecut ke jalan raya. Kami boleh nampak
beberapa ekor Jin Galah sedang mengejar kami dari belakang. Auman mereka,
raungan mereka memang mengecutkan jantung kami. Mereka sangat laju. Kami mesti
lebih laju dari mereka.
“Aaaaahhhh!!!” Puan Damia dan Isma menjerit serentak apabila
melihat seekor Jin Galah bersaiz besar sedang menghalang jalan raya di depan
kami.
“Kita akan mati? Tidak!!!” Entah kenapa, suara hati kami
berteriak pendapat yang sama!
Puan Damia memutarkan stereng kereta, cuba mengelak Jin
Galah tersebut. Kereta kami berjaya melepasinya, dan belum sempat kami menarik
nafas lega, tiba-tiba kereta kami tersangkut. Kami semua terhantuk ke tempat duduk
depan. Aku dapat lihat akar-akar hijau sedang meragut kuat bahagian belakang
kereta kami. Jin Galah itu berjaya menangkap kereta kami. Makhluk itu mengaum,
garau sekali suaranya! Bulu roma kami meremang.
“Jangan mengalah!!!” Puan Damia kuat menekan pedal minyak.
“Lepaskan, kami! Bangsat kamu.” Aku mencapai bom petrol di
tempat duduk belakang. Botol kaca berisi petrol.
“Isma, buka tingkap!” Isma akur tanpa suara. Dia memutar
pembuka tingkap kereta. Aku menyalakan bom petrol. Aku berjaya. Aku nampak
semakin banyak Jin Galah menghampiri.
“Yahhh!!” Aku melontar bom petrol ke arah Jin Galah yang
mencengkam kereta kami. Botol berisi petrol itu pecah, dan api mula merebak di
dada Jin Galah itu. Jin Galah itu meraung! Cengkamannya dilonggarkan.
“Pecut!!! Emak, pecut!!” Isma menjerit.
Puan Damia mendapat semangat. Semangat untuk terus hidup!
Pedal minyak ditekan sekuat-kuatnya. Enjin kereta mengaum sedalam-dalamnya.
Kereta kami terus meluncur ke depan, menjauhi Jin Galah yang sedang terbakar
oleh api bom petrol kami.
“Nasib baik kita berdua duduk di belakang kali ini.” Spontan
kata-kata itu terucap dari mulutku, sebaik-baik sahaja kami menjauhi kawasan
bahaya itu.
Isma memandang aku. Tersenyum hambar. Badannya masih
menggeletar. Kami mungkin sudah selamat sekarang. Naluri kuat mengatakan, ya.
=O=
“Sekarang kita semua tahu, Jin Galah boleh menyamar menjadi
pokok.” Puan Damia mendiamkan diri, semasa aku bercakap demikian.
“Jin Galah Hijau,” ujar Isma. Pendek.
“Makhluk ini bijak. Yang hijau ini lebih bijak daripada yang
hitam.” Aku berkongsi pemerhatianku. “Mereka bergerak dalam kumpulan, tidak
seperti yang hitam, bergerak seorang diri.”
“Ini bagus, kamu semua patut berkongsi pengetahuan tentang
makhluk ini. Semakin banyak kita tahu, semakin banyak cara untuk kita
selamatkan diri.” Suara Puan Damia tampak tenang. Kami sudah berjaya menyingkir
rasa gementar kami akibat serangan Jin Galah tadi.
“Kita baru jumpa dua spesies Jin Galah. Mungkin ada spesies
yang lain.”
“Kalau ada pun, harap-harap spesies yang ketiga itu, spesies
yang baik.”
Kami semua diam. Kami semua senyum. Kami semua mungkin
sedang mengharapkan sesuatu yang tak mungkin berlaku.
“Lihat. Ada orang di depan.” Dalam keadaan kabus yang tebal
itu, kami dapat melihat satu lembaga manusia. Dia sedang melambai-lambai ke
arah kami.
“Ini patut berita gembira untuk kita semua. Kita mungkin
dapat maklumat tentang apa yang sedang berlaku.” Puan Isma begitu positif.
“Hentikan kereta.”
Kereta kami berhenti betul-betul di tepi lembaga tersebut.
Seorang wanita. Rambutnya berjurai, kusut dan kasar. Matanya merah. Mukanya
masam.
“Puan, kamu seorang diri?” Wanita itu tidak menjawab
pertanyaanku. Dia merenung kami bertiga.
“Ini menyeramkan,” bisik Isma kepadaku. Isma kelihatan
gelisah.
“Shhh... dia mungkin sedang trauma.” Puan Damia cuba
mententeramkan keadaan.
Wanita itu merenung kami seperti sedang terkejut. Dia
menggerakkan kepalanya perlahan-lahan, memandang ke arah kami seperti tidak
pernah melihat manusia.
“Puan, kamu selamat bersama kami. Mana yang lain? Puan dari
mana?” Bertubi-tubi soalan keluar dari mulutku. Sebenarnya, aku sendiri pun
rasa tidak tenang apabila melihat sikap wanita tersebut yang jelas
mencurigakan. Aku meneliti wanita itu dari hujung rambut ke hujung...
“Kita... kita patut pergi, sekarang.” Puan Damia
terpinga-pinga. Keningnya dikerutkan apabila melihat suaraku agak menggeletar.
“Tolong beredar sekarang!” Suaraku mendesak. “Pecut
sekarang!!!”
Puan Damia akur! Dia rasa tidak sedap hati. Kereta kami
memecut laju.
“Kenapa dengan kamu Azim? Perempuan tu mungkin tengah trauma.”
“Ya, Azim kenapa?” Isma mendesak.
“Ketika aku melihat kakinya, aku nampak bukan jari kaki...
tetapi akar-akar yang menjalar!”
“Jin Galah? Spesies ketiga?” Isma bijak meneka.
“Mungkin...” Aku mengangguk. Badanku masih menggeletar.
Sekarang kami tahu, Jin Galah juga boleh berubah bentuk menjadi manusia. Atau,
mungkin juga ada sebab lain?
Aku yang paling hampir dengan tingkap kereta. Bersebelahan
betul-betul dengan perempuan itu. Aku sangat yakin apa yang aku lihat. Dunia
ini sudah tidak selamat lagi. Hari ini, sudah dua spesies baru Jin Galah telah
kami temui. Bencana apakah yang sedang menimpa dunia ini?
Kami berharap, masih ada manusia yang bakal kami temui.
Manusia yang betul-betul manusia.
BACA KARYA PERTAMA JIN GALAH: Cerpen Jin Galah