Home Novel Thriller/Aksi INFERNO BODYGUARD
INFERNO BODYGUARD
Angel_k20
11/5/2020 15:51:47
248,272
Kategori: Novel
Genre: Thriller/Aksi
BAB 9

RAYYAN melihat jam tangan. Jam baru menunjukkan pukul 9 pagi tetapi perutnya sudah berkeroncong minta diisi. Ini semua gara-gara dirinya terlampau sibuk sampaikan terlupa mahu sarapan pagi. Sudahnya, waktu begini pun perutnya sudah menjerit lagu rock kapak.

“Falcon, ikut aku,” panggil Rayyan kepada Syafiq yang sedang tersengguk-sengguk di meja. Nampak mengantuk sangat kan, mari dia bawa keluar jalan-jalan.

“Kita nak ke mana?” tanya Syafiq seraya menguap lebar.

Semalam dia terpaksa tidur lewat kerana berlawan dengan penceroboh yang cuba menceroboh pangkalan data Campbell Corporation. Seluruh pasukan sekuriti siber syarikat itu dikerahnya habis-habisan untuk berlawan dengan musuh alam maya mereka. Aksi mereka di dunia maya semalam membuahkan kemenangan besar.  Hasilnya, mereka berjaya menghalang kemaraan musuh. Tak lupa juga dia kasi “hadiah” kepada penceroboh itu.

“Aku rasa nak makan roti canai terbang. Alah yang tengah viral tu. Nampak sedap pula. Lagipun warung dia dekat aje dengan ofis kita. Kau juga yang kata teringin nak makan hari tu. Dah alang-alang ni…” jawab Rayyan sambil berdiri di muka pintu pejabat Syafiq.

“Boss nak belanja ke?” tanya Syafiq dengan tersengih-sengih.

"Ke kau nak bayar sendiri?” balas balik Rayyan.

“Okey Boss belanja!” Terus Syafiq bangun dari kerusi lalu membuntuti langkah Rayyan keluar dari pejabat dan menuju ke lot parkir.

Seperti biasa, kereta BMW i8 menjadi pilihan Rayyan untuk ke mana-mana. Dia selesa dengan kenderaan itu dan jujur, dia sayangkan kereta tersebut. Padanya, kereta itu sangat sesuai dengan imejnya.

“Nak drive?” tanya Rayyan kepada Syafiq.

Mendengar pertanyaan itu, pantas Syafiq menggeleng beberapa kali. Bukannya dia tiada lesen kereta tapi itulah, dia tidak suka memandu. Tambah-tambah lagi dalam kota raya, lagilah dia tidak mahu memandu. Penat nak hadap jem!

Melihat reaksi Syafiq, Rayyan ketawa. Tahu sangat kenapa Syafiq mengelak daripada memandu di kota raya. Padahal, bukannya dia tidak tahu yang Syafiq alah dengan hon. Sekali orang hon, sepuluh kali Syafiq hon balik. Alih-alih jalan raya jadi pesta perang hon.

Syafiq dan barannya berpisah tiada. Jadi, tak apalah. Biarlah dia jadi budak baik dengan kekal low profile dan selalu senyum.

Rayyan memandu dengan tenang menuju ke lokasi yang dikehendaki. Kedai roti canai terbang itu sebenarnya sebuah warung sarapan pagi sahaja tapi popular di sekitar kawasan tersebut. Hidangan aneka pilihan sarapan pagi membuatkan orang ramai sentiasa bertumpu ke kedai tersebut.

“Boss kenapa tak ajak Ace dan May sekali?” tanya Syafiq. Matanya fokus ke luar cermin, memerhati gelagat manusia pada awal pagi.

“Mereka dua tu kena guard Cik Muda Natalie. Awal pagi lagi keluar,” jawab Rayyan sambil pemanduannya semakin berhati-hati. Jalan yang dilalui itu sesak dengan orang ramai yang berjalan kaki, dan tidak kurang juga kereta dan motosikal yang padat di kawasan tersebut.

“Oh…” angguk Syafiq.

Mata Syafiq terarah kepada Rayyan yang tenang memandu. Dia suka naik kereta dengan bosnya itu. Rayyan seorang pemandu yang berhemah berbanding Ren Hau dan Grace. Kalau nak naik kereta dengan mereka tu, dia kena mengucap siap-siap sebelum naik. Mereka memandu lebih laju daripada pelesit! 

Teringatkan gaya pemanduan Ren Hau dan Grace, fikiran Syafiq terus tertarik ke beberapa tahun lepas, iaitu ketika awal-awal melapor diri sebagai pegawai teknologi maklumat di bawah Jabatan Sumber Manusia Campbell Corporation.  

Imbas kembali…

Sejak dia menjejakkan kaki di lobi syarikat hinggalah naik ke tingkat 13 iaitu di pejabat Rayyan, dia terasa di awang-awangan. Mulutnya melopong. Matanya tak berkelip-kelip. Takjub! 

Sebelum ini, dia tidak pernah tahu pun identiti sebenar orang yang menyelamatkannya pada malam itu. Orang misteri itu juga yang selama ini membiayai pengajiannya di peringkat universiti dengan syarat mesti berkhidmat di Campbell Corporation setelah habis belajar. Kini setelah melapor diri di syarikat ini, barulah dia tahu siapa Rayyan Razien yang sebenarnya. 

Dia tidak menyangka yang lelaki itu sebenarnya pengarah Jabatan Sumber Manusia Campbell Corporation. Nak lagi best, punya kuasa penuh terhadap sekuriti syarikat. Ketua bodyguard yang bertugas mengiringi CEO dan pengerusi syarikat!

Jadi, tak hairanlah kalau Rayyan sangat handal berlawan. Sudahlah hebat, baik hati pula. Bosnya sangat berkebolehan dalam semua benda.  

Ting!

Lif yang dinaiki akhirnya sampai di tingkat 13. Sebaik sahaja dia keluar dari lif tersebut, mulutnya sekali lagi terlopong luas. Cantik betul ruangan pejabat tingkat 13 ini. Ini kalau hari-hari masuk kerja pun dia sanggup.

“Tutup sikit mulut kau tu brader. Masuk lalat aku tak tahu.” Satu suara separa mengusik berjaya mengembalikannya ke alam realiti.

Kini berdiri di depannya ialah seorang lelaki tegap dan seorang wanita berpakaian ranggi. Kedua-duanya tersenyum memandang Syafiq.

“Kenalkan Ace dan May. Mereka berdua ni rakan sekerja kau dalam unit elit jabatan kita,” ujar Rayyan kepada Syafiq.

“Helo, Falcon,” sapa Ren Hau dan Grace serentak.

“Hai.” Syafiq tersengih segan.

“Nanti kau berdua bawa budak ni round bangunan. Tunjukkan juga tempat kerja dia. Aku tak nak ada kes budak sesat dalam bangunan ni,” arah Rayyan kepada Ren Hau dan Grace seraya melihat jam tangan. Dia sudah terlewat untuk masuk mesyuarat.

“Baik, Boss!” Grace dan Ren mengangguk serentak.

Pemergian Rayyan dipandang lama. Lepas Rayyan masuk ke dalam lif, dia mengalihkan pula pandangan kepada figura Ren Hau dan Grace di depannya. Air liurnya ditelan berkali-kali. Jadi, di pejabat serba mewah inilah tempat dia bakal bekerja? Wah, bertuah betul!

“Jom, budak baru. Kita fly.” Ren Hau merangkul bahu Syafiq lalu mengheretnya keluar dari pejabat.

Sepanjang aktiviti menjelajah bangunan syarikat bersama Ren Hau dan Grace, tak habis-habis perasaan takjub menerpa hatinya. Serba mewah dan berteknologi tinggi. Pendek kata, syarikat ini merupakan syarikat idaman untuk bekerja. Suasana tempat kerja pun ceria.

“Weh, kau nak try naik kuda moden tak?” Tiba-tiba, Ren Hau melontarkan pertanyaan.

“Kuda moden?” Syafiq mengerutkan muka. 

“Ya. Kalau kau nak tahu, Boss suka gila dengan benda ni. Dia pro weh,” ujar pula Grace.

Lantas, tanpa menunggu dia bersetuju, Ren Hau terlebih dahulu mengheret tangannya ke lif. Dia yang masih terpinga-pinga hanya menurut tanpa membantah. Kuda moden? Apa bendalah mamat ini cakap.

Ting!

Pemandangan pertama yang menyambut matanya setelah pintu lif terbuka adalah beberapa deretan barisan kereta mewah di lot parkir bawah tanah. Kali ini, Syafiq betul-betul takjub sampai ternganga. Mak aih, kaya gila!

Ren Hau menunjuk ke arah sebuah kereta mewah berjenama BMW i8 berwarna hitam metalik yang diparkirkan di tengah-tengah ruang parkir. Mulutnya tak habis-habis tersenyum megah.

“Tu baby i8 Boss. Kereta kesayangan dia,” ujarnya. 

“Ni pula kuda moden kita.” Dia menepuk pula bumper kereta GTR-2020 di sisinya.

“Jom. Masa untuk happy!” jerit Grace kesukaan.

Tanpa menunggu lama, pantas dia membuka pintu belakang lalu menyuruh Syafiq masuk ke dalamnya. Manakala, dia pula mengambil tempat di sebelah Ren Hau. Hari ini, mereka berdua perlu membawa rakan baru mereka itu “berlumba” kereta.

Wohoo! Ren, go!” tempik Grace. Mukanya berseri-seri teruja.

Mula-mula, perlahan lagi Ren Hau memandu kuda moden tersebut. Dapatlah Syafiq menikmati pemandangan kota raya dengan sepenuh hati. Namun, apabila kereta tersebut tiba di sebuah litar lumba, Syafiq mula menelan air liur.

‘Weh, weh!’ Syafiq memegang kejap pemegang pintu.

Vrom vrom vrom!

Vrom!

Kuda moden tersebut berdesup laju masuk ke litar dengan kelajuan maksimum tanpa sempat dia bernafas! Ya Allah, laju kereta itu membuatkan dia menjerit dan mengucap siap-siap dalam hati. Kalau berlanggar dengan kereta lumba lain, macam mana?

“Aku takut!” jerit Syafiq sekuat hati.

Vrom!

Kereta yang dinaikinya berselisih sipi dengan kereta dari arah bertentangan. Enjin kereta mengaum hebat dan tayarnya berdecit di atas tar. Namun, dengan ketangkasan Ren Hau mengawal stereng, kemalangan dapat dielakkan.

“Fuh!” Grace ketawa galak.

“Woi aku tak nak mati lagi!” protes Syafiq.

Mak aih. Bapak gila dua orang anak Cina di depan. Kalaulah dia tahu begini layanan mereka berdua, tak adanya dia bersetuju untuk naik kuda moden ini. Sumpah menakutkan! Rohnya terasa melayang. Bawa kereta macam pelesit. 

“Kau kena biasa dengan benda ni, Falcon, Makanan rohani kita ni,” gelak Ren Hau lalu memberhentikan kereta di parkir litar. Sempat lagi dia mempromosikan makanan rohaninya yang boleh membawa maut itu.

Sebaik sahaja kereta berhenti, Syafiq segera membuka pintu lalu keluar dari kereta. Perutnya berasa bergulung. Tekaknya kembang. Kepalanya pening. Tak semena-mena, mulutnya memuntahkan isi perut. 

Bluerk!

“Apa ni Falcon. Tak rock betullah kau ni.” Ren Hau menepuk-nepuk belakang Syafiq. Tapi, sempat dia ketawakan anak muda itu.

“Hahaha.” Giliran Grace pula mentertawakan Syafiq.

‘Tak guna betul dua ketul ni…’ Syafiq terduduk di atas tar. Nasibnya malang sungguh!

Previous: BAB 8
Next: BAB 10

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Angel_k20