Home Novel Thriller/Aksi INFERNO BODYGUARD
INFERNO BODYGUARD
Angel_k20
11/5/2020 15:51:47
248,267
Kategori: Novel
Genre: Thriller/Aksi
BAB 13

DARI jauh, Rayyan memerhatikan gerak-geri Hana yang memasuki gudang tinggal itu seorang diri. Jauh di sudut hatinya, terbit rasa kagum dengan keberanian perempuan itu. Walaupun polis, Hana semestinya tidak dapat menolak hakikat bahawa dirinya itu seorang perempuan biasa. Perlu ada rasa takut sedikit, mungkin? Entahlah, Rayyan tidak dapat menebak fikiran wartawan celup tersebut.

“Falcon, macam mana?” Melalui earbud di telinganya, Rayyan bertanya kepada Syafiq.

“Setakat ni, tak ada pergerakan dalam gudang tu,” jawab Syafiq.

“Kau pasti ke?” tanya Rayyan lagi. Pelik.

“Betul, Boss. Dari drone peninjau ni, aku tak nampak apa-apa pergerakan pun,” jawab Syafiq yakin.

“Pihak polis pula?” tanya Rayyan.

“Pun tak nampak kehadiran mereka. Mungkin mereka ada rancangan lain,” jawab Syafiq.

Mendengar jawapan tersebut, Rayyan semakin tidak sedap hati. Terasa ada sesuatu saja yang akan berlaku jika Hana tersilap langkah. 

“Kalau 15 minit aku tak keluar, beritahu Ace dan May,” arahnya lalu mematikan talian.



HANA masuk ke dalam gudang dengan langkah berhati-hati. Sekali sekala, kakinya terpijak kayu dan besi buruk. Rupa dalaman gudang itu sangat menakutkan dengan kesan koyakan dan tembakan rambang. Suram dan kelam, suasana tersebut terasa menyeramkan dengan tiada sebiji lampu pun yang menyala. 

Dalam kesuraman gelap malam, Hana mengeluarkan lampu picit dari beg sandangnya lalu menyuluh ke sekeliling. Namun, belum pun sempat dia meneroka lebih jauh kawasan dalaman ruangan gudang tersebut, deringan telefon miliknya tiba-tiba membejatkan langkah kakinya.

“Helo,” jawab Hana.

“Kau dah sampai? Bagus, sangat menepati masa,” gelak si pemanggil.

“Mana Maira?” soal Hana, tegas.

“Slow down sweety, chill,” jawab penculik.

“Hei, kau jangan main-main dengan aku!” Hana mula berang.

“Garangnya cik adik kita.” Semakin galak si penculik menghamburkan tawa.

“Kau nampak kotak sebelah kiri kau? Letakkan beg di dalam tu,” sambungnya. 

Mendengar arahan tersebut, Hana berpaling ke sebelah kiri. Betul, ada kotak yang masih baru di sebelah kirinya. Kotak itu kosong, jadi dia yakin bahawa kotak tersebut memang sengaja diletakkan di situ. Tinggal saja, dia perlu meletakkan begnya ke dalam kotak tersebut.

“Mana Maira?” soalnya tegas sambil mengetap bibir.

“Letakkan dulu beg tu!” tegas pula penculik.

Tiada pilihan, Hana akhirnya akur lalu meletakkan begnya yang berisi duit ke dalam kotak tersebut. Perasaan geramnya bertandang, tetapi dia terpaksa. Nampaknya, melayanglah duit RM 200 ribu malam ini di tangan penculik. Gigih dia dan Cik Kiah kumpul duit itu semata-mata mahu menebus Maira.

“Kenapa kau minta duit tebusan dengan aku? Maira tu bukan anak aku pun,” tanya Hana.

“Sebab boleh,” jawab si penculik seraya ketawa terbahak-bahak.

Mendengar itu, Hana mendengus kasar. Geram pula dia. Kalaulah dia dapat si penculik ini, mahunya dia cili-cilikan mulut bangsat itu biar bengkak macam digigit tebuan.

“Kau nampak pintu kat depan kau?” tanya si penculik lagi.

“Ya.” Hana melihat ke depan. 

Di hadapannya, terdapat sebuah pintu besi yang sudah berkarat. Warna pintu itu pun sama seperti dinding dan jika tidak diperhatikannya dengan betul, memang orang tidak akan perasan pun ada pintu di situ. Sawang dan debu juga tebal menyelimuti pintu besi, tetapi pemegang pintu nampak agak bersih. 

“Bagus. Sekarang, tinggalkan telefon kau kat dalam kotak tadi. Itu pun, kalau kau nak jumpa budak tu,” arah penculik itu lagi.

Dasar! Kali ini, Hana mengepal penumbuk apabila mendengarkan arahan menjengkelkan tersebut. Mendongkol geram hatinya, tetapi dia tidak boleh bertindak sembarangan jika mahu menyelamatkan Maira. Nyawa gadis itu dalam taruhan sekarang ini.

“Kau takut? Tak apalah kalau kau takut. Budak ni, bye bye,” ejek pula si penculik seraya memperdengarkan kepada Hana suara tahanannya.

“Akak... tolong Maira kak... akak!” Jeritan meminta tolong kedengaran di hujung talian.

‘Kau dengar tu? Kau lambat, aku bunuh budak ni,” ugutnya.

‘Cis!’ Hana menggigit bibir. 

Dia pasti, penculik itu tahu segala pergerakannya di dalam gudang itu. Dari pintu masuk tadi, dia ternampak kerlipan cahaya merah di segenap penjuru. Kamera CCTV! Jadi, amat berbahaya untuk Maira jika dia bertindak melulu ataupun pasukan polis menyerbu masuk sekarang. 

“Okey, aku ikut arahan kau,” kata Hana lalu mematikan talian. 

Lantas, dia memasukkan telefonnya ke dalam kotak. Hatinya berdebar, tetapi semangatnya dikuatkan. Dengan berhati-hati, dia membuka pintu lalu masuk ke dalam bilik yang menempatkan Maira. Pemandangan pertama yang menyapa matanya adalah satu figura kaku yang diikat di kerusi tetapi seluruh tubuhnya berbalut dengan plastik putih.

“Maira?” panggilnya.

Senyap. 

Hana berjalan mendekati figura kaku tersebut. Hatinya semakin berdebar-debar tetapi segala prasangka buruknya ditepis laju. Sekali lagi, dia memanggil nama gadis itu tetapi hampa. Maira tidak menyahut bahkan kekal statik seperti tadi.

“Maira!” 

Berasa dipermainkan, kali ini laju Hana menyelak plastik yang membaluti tubuh figura di depannya. Namun, hasilnya membuatkannya terhenyak. Itu bukan Maira, tetapi patung mannequin. Cis, dasar penculik tak guna! Memang sah dia ditipu malaun itu. Sudahnya, terburu-buru dia berlari laju ke arah pintu.

Namun, belum pun sempat dia keluar, pintu besi itu ditutup kasar dari luar. Berdentum bunyi daun pintu berhentam dengan bingkai pintu, namun ritma bunyi rantai besi diseret dan dililit ke pintu semakin menambahkan debaran ke dalam hatinya. Habislah, dia dikunci dari luar. Ditumbuk-tumbuk dan disepaknya pintu itu tetapi tetap juga tidak berhasil!

“Kau bodoh budak! Otak tak berapa geliga.” Keras suara ketawa di luar mentertawakan Hana.

“Lepaskan aku! Mana Maira?” jerit Hana.

“Bila masa pulak aku culik dia?” jawab si penculik selamba.

Mendengar jawapan tersebut, Hana terkedu. Jadi, suara tadi? Dalam panik, matanya melilau ke sekeliling bilik lalu pandangannya jatuh ke sebuah kotak hitam. Rupa-rupanya, di dalam kotak itu lengkap dengan radio, kaset dan pembesar suara serta telefon yang dikawal dengan alat kawalan jarak jauh!

Hana tertawa perlahan menyesali kesilapan dirinya sendiri. Dia sepatutnya sedar bahawa Maira sukakan video game dan akan menghabiskan masa sehari suntuk di pusat permainan video kalau diberi kebenaran untuk keluar. Jadi, pasti penculik ini mengambil kesempatan untuk merekod suara si gadis ketika dia sedang seronok bermain. 

Tapi suara Cik Kiah pula macam mana? 

“Kenapa kau minta duit tebusan dengan aku?” Sekali lagi Hana cuba mendapatkan jawapan sebenar setelah berusaha bertenang sebaik mungkin.

“Aku perlukan duit. Sebab ayah kau, hidup aku merana. Bangsat! Kau ingat seronok ke duduk dalam penjara? 15 tahun aku dalam penjara, memang aku benci gila ayah kau. Kau pun, sepatutnya mati 15 tahun lepas!” kata penculik itu dengan nada berang.

‘15 tahun lepas?’ Hana mengerutkan dahi.

“Jadi, kaulah yang hantar surat dan pendrive tu dekat aku?” soal Hana.

Teringat dia akan sampul surat yang berisi keratan akhbar mengenai kes kemalangan ayahnya pada 15 tahun lepas. Di dalam pendrive pula, berisi rakaman video liputan berita yang disampaikan oleh pemberita TV pada masa itu. Turut dimasukkan sama di dalam pendrive adalah fail-fail lama projek pembinaan yang dilakukan oleh Campbell Corporation.

“Ya. Akulah tu,” jawab si penculik.

“Kenapa kau bagi benda tu dekat aku?” soal Hana lagi.

“Saja. Tu hadiah aku kepada kau. Manalah tahu boleh guna sebagai topik menyembang dengan bapak kau kat dalam neraka nanti.” Si penculik ketawa lagi. 

“Aku cuma nak cakap yang bapak kau tu bukan mati sebab kemalangan, tapi sebab dia pembelot. Kau faham pembelot? Dasar…” keluhnya pula.

Hana yang mendengarkan kata-kata si penculik itu semakin pening. Dia tahu yang ayahnya bukan mati kerana kemalangan tetapi dibunuh dengan kejam. Itulah sebab utama dirinya menjadi polis. 

“Kau siapa?” Sambil mengetuk-ngetuk pintu, Hana menyoal geram. Cara malaun itu bercakap seolah-olah sudah lama mengenali ayahnya dan dirinya sendiri.

“Aku? Adalah…” leret si penculik lalu ketawa terbahak-bahak.

“Okeylah. Aku dah puas sembang dengan kau. Kau sembang dengan bapak kaulah pula. Mana tahu dia boleh bagi hint orang yang bunuh dia. Tu pun kalau dia ingatlah hahaha. Bye, sweety,” ujarnya pula lalu menyepak pintu sekuat hati.

Tujahan padu tersebut menghasilkan gegaran maha kuat di pintu. Terperanjat Hana dibuatnya, namun ia tetap tidak mampu untuk menahan suara jeritan dan laungannya ke luar. Hasilnya, dengan nada memetir marah, si penculik menjerkah garang kepadanya.

“Diamlah betina!”

“Lepaskan akulah!” Sama naik, Hana membalas dengan nada dua oktaf lebih kuat.

“Mati ajelah kau dalam tu. Malam ni dendam aku akan terbalas. Selamat bersemadi di neraka bersama bapak kau yang tak guna tu. Hahaha!" sambungnya pula seraya ketawa jahat.

Serentak dengan gelakan kejam tersebut, telinga Hana menangkap satu bunyi desiran halus seolah-olah bunyi gas dilepaskan di bahagian atas. Automatik dia mendongakkan kepalanya ke atas. Seperti yang dijangka, terzahir pada pandangannya sesuatu yang menakutkan! 

Asap putih berkepul-kepul keluar dari lubang pendingin hawa di siling. Asap tebal tersebut juga membuatkan hidungnya mula terhidu bau yang tidak enak. Pantas, dia menekup hidung dengan jaketnya lalu dengan kekuatan yang masih tersisa, dia menyepak-nyepak dan menendang pintu. Karbon monoksida, asap berbahaya itu memburu nyawanya!

Previous: BAB 12
Next: BAB 14

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Angel_k20