Home Novel Thriller/Aksi INFERNO BODYGUARD
INFERNO BODYGUARD
Angel_k20
11/5/2020 15:51:47
242,069
Kategori: Novel
Genre: Thriller/Aksi
BAB 8

SELAMAT pagi, Boss.” Ren Hau, Grace dan Syafiq serentak menyapa Rayyan yang baru sahaja masuk ke pejabat mereka.

"Pagi..." balas Rayyan bersahaja sambil kakinya laju melangkah ke pantri.

Dia rindu kepada kopi pejabat jenama AraLatte Coffee. Tanpa membuang masa, terus tangannya mengoyak paket minuman itu lalu menuangnya ke dalam cawan. Cawan itu kemudiannya diletakkan di bawah mesin air yang boleh dipilih sama ada air sejuk ataupun panas. 

Setelah air panas memenuhi cawan, dia mengacau perlahan air kopi itu. Semestinya bau semerbak aroma harum kopi memenuhi ruangan pantri. Dengan lafaz bismillahirrahmanirrahim, Rayyan menyuakan cawan ke bibir.

Namun, belum pun sempat air kopi itu dicicip, muncul Eve di muka pintu dengan muka masam mencuka sambil bercekak pinggang. Melihat situasi itu, Rayyan terus sahaja meletakkan cawannya di dalam piring lalu menumpukan perhatiannya kepada Eve. 

“Boss. Rayyan. Rayyan Razien,” tutur Eve dengan tegas. Muncungnya ditarik panjang. Itu dia, angin moody minah ini sudah datang. 

“Ya. Ada apa, Cik Eve Campbell,” balas Rayyan dengan tenang. Dia sudah masak dengan perangai majikannya yang seorang ini.

You pergi ke mana semalam? Kenapa I call you tak jawab? I tanya tiga ketul ni pun mereka tak tahu,” serang Eve sekali gus menuntut penjelasan. Laju sahaja serangan soalannya dibedil kepada sahabat kereknya itu.

“Er...” Rayyan terjeda kata. Takkan nak cakap yang dia terlalu sibuk sampai tak sempat nak angkat call? 

Tapi dia memang sibuk sungguh pun. Sibuk mengintip jejak Hana yang bertemu dengan seorang wanita di restoran. Berdasarkan gaya Hana dan wanita yang dipanggil Puan Gayah, dia pasti wanita itu merupakan saksi kejadian pembunuhan Inspektor Khalid. Tapi, kenapa perempuan itu nampak bersungguh untuk menyelesaikan kes tersebut?

Sebenarnya bukanlah niatnya ingin mengintip perempuan itu. Namun, entah kenapa perasaan ingin tahu mengenai Hana kian lama kian membuak-buak dalam hatinya. Jujur, dia tidak pernah berasa begini kepada mana-mana perempuan. Dia tidak minat perempuan. Tapi dia bukan gay. Hanya saja dia tidak suka melayan. Kawan perempuannya begitu limited. Itu pun semuanya mulut bagai minta penampar. 

Tapi Hana ini dirasakan lain. Jantungnya berdetak laju apabila melihat si wartawan. Semalaman dia sukar untuk melelapkan mata dek terbayangkan wajah itu. Jenuh dia Google, jawapannya hanya satu. Jatuh cinta!

Dia rasa dirinya sudah tidak betul. Macam mana dia semudah itu boleh jatuh cinta sedangkan hatinya keras macam batu. Ini mesti Google yang salah sebab dia sentiasa betul. Tapi kalau Google yang betul, adakah sebenarnya dia sudah terjatuh cinta kepada wartawan sombong itu? Tapi itu mustahil. Hana bukan type dia. Sudahlah sombong, menjengkelkan pula. Galak betul mereka berperang mata semalam. Entahlah, tak tahu nak kata. Yang pasti, dia sudah ada nombor telefon peribadi wartawan itu. 

Hana sendiri yang tulis nombor telefon itu di kertas nota dan beri kepadanya semalam. Katanya mereka akan berjumpa lagi pada lain waktu untuk berbincang panjang. Lagipun, wartawan muda itu nampak macam tergesa-gesa ingin keluar dari pejabat.

“Aku ada kerja sikit. Kau tahu kan berita pasal syarikat kita? Kecoh kan masa sidang media hari tu?” jawab Rayyan dengan tenang sekali gus memancing perhatian Eve. Gadis baran ini tidak boleh dibiarkan lama rajuknya, nanti lagi parah semua orang di sini dikerjakannya.

“Hmm,” jawab Eve sambil menyilang tangan di dada tetapi mukanya tetap dipalingkan ke arah lain. 

“Sekarang, dah tak ada bunyi kan pasal berita tu? Pandai aku buat kerja,” soal Rayyan seraya memancing lagi perhatian Eve. 

Pada agakannya, Eve membuat perangai sekarang kerana sudah tentu dia telah bergaduh besar dengan tunangnya. Dia gadis berkaliber, tidak mudah goyah dengan masalah yang menimpa. Hanya saja jika berkaitan masalah peribadi, dia jadi lembik macam jeli. 

Eh, minah ini pun satulah. Sudah tahu Steven seorang yang sibuk menguruskan syarikat sebagai CEO Maya Construction iaitu syarikat pengilangan pembekalan bahan binaan, lagi mahu dikacau lelaki itu. Namun, Steven pun salah juga dalam hal ini sebenarnya. Kenapalah dia boleh tertunang dengan CEO Campbell Corporation, iaitu syarikat pembinaan yang sekali gus menjadi pelanggan syarikatnya? Haru biru betullah merpati dua sejoli ini!

“Ha’ah. Tak dengar dah,” jawab Eve lalu muka ketatnya dilonggarkan semula. 

I stres dengan dia tu. Banyak sangat ke kerja sampai tak nampak I yang cantik ni. Ajak makan malam aje pun. I kan tengah stres sebab kejadian tu. Takkan dia tak tahu,” adu Eve. Rajuknya kepada Steven bagai tidak mahu sirna dari jiwa. 

“Alahai, chill. Jangan diikutkan sangat rajuk itu nanti Steven cari lain. Nak ke?” ugut Rayyan lalu melemparkan senyuman kepada Eve yang semakin dilihat tenang.

Choi mulut you. Simpan sikit jahat mulut tu ke anak cucu. Jangan tapau semua,” marah Eve.

“Tak naklah macam tu. I love Steven. And you know? Steven loves me too! It’s all because I’m so gorgeous, dan berkaliber,” jawab Eve jengkel. Sempat lagi dia angkat bakul memuji diri sendiri tanpa mempedulikan pandangan pelbagai rasa daripada orang di sekelilingnya.

“Hah, yalah. Okey pasal kes hari tu pula, aku rasa kau kena berterima kasih kepada seseorang,” kata Rayyan lalu menghirup kopinya. Sudah sejuk sangat kopi itu tetapi tak apalah, tak baik membazir. 

“Siapa?” tanya Eve seraya menjongketkan kening. 

“Hana Mikayla,” jawab Rayyan selamba. 

“Hana Mikayla? Wait, wait. Dia wartawan yang serang I dengan soalan merepek tu kan? Jahat betul dia. Kalau I jumpa dia depan-depan, I botakkan kepala dia terus! Dah tu kenapa I kena berterima kasih dekat dia pula?" Berdas-das Eve melemparkan soalan kepada Rayyan.  

Melihat lagak Eve, Rayyan menggeleng perlahan. Lantas, tanpa segera menjawab soalan Eve, dia menghirup air kopinya yang sudah dingin. Hilang sudah nikmat air kopi panas yang diidamkannya sejak tadi.

“Boss,” tekan Eve.

Semakin Eve berasa tidak sabar, semakin Rayyan melambatkan sudahan minumannya. Dia memejam mata dan menikmati keenakan air kopi yang sudah tidak berapa enak baginya. 

Dia melemparkan senyuman nipis kepada Eve. Sengaja berbuat begitu bagi mengajar gadis itu supaya mengawal baran. Eve dan barannya berpisah tiada. Kerana itu dia dan Steven selalu juga bergaduh walaupun hal kecil.

“Sebab dia tanya macam tu, nama syarikat kita naik di carian utama internet. Memang nama baik syarikat kita tercalar sikit, tapi tak apa sebab lepas tu, dia memuat naik artikel baru,” jawab Rayyan dengan panjang lebar.

“Artikel apa? Yang kita stres semalam tu ke?” Ren Hau tiba-tiba menyampuk. Terpancing dia untuk join sama perbincangan bos-bos besarnya itu. Dia nak tanya semalam, tapi terlupa. 

“Artikel fitnah tu bukan kerja dialah,” balas Rayyan seraya meletakkan telefon pintarnya di atas meja pantri.

“Habis tu?” 

“Orang HR Holding,” jawab Rayyan. Syafiq yang memberitahunya semalam mengenai maklumat itu setelah berjaya menjejaki alamat IP pemuat naik artikel. 

“Cis, mereka tu memang sengaja cari pasal! Hidup tak pernah rasa cukup kalau tak jatuhkan orang lain!” Eve mengepal penumbuk. Geram! Mana tak geramnya apabila syarikat tersebut suka betul mencanang berita buruk tentang syarikatnya. 

“Ya. Jadi Hana counter serangan tu dengan artikel ni,” balas Rayyan seraya menghulurkan telefon pintarnya kepada Eve. 

Artikel itu baru sahaja dimuat naik ke dalam talian pada empat jam yang lepas. Sehingga jam ini, ia sudah mendapat 5,000 likes dan 200 perkongsian dengan 700 komen. Jelas di sini bahawa skil Hana dalam menulis berita sensasi pun tidak kurang hebat.

Eve menyambut huluran tersebut lalu membaca artikel atas talian itu dengan teliti. Buat seketika, terbit senyuman manis di bibirnya. Ternyata artikel yang ditulis oleh Hana itu berjaya mengembalikan nama baik Campbell Corporation.

I love betullah dengan artikel ni. Rasa nak peluk aje si Hana tu,” kata Eve.

“Amboi, tadi kemain berapi marah,” perli Rayyan.

You diam,” balas Eve.

Matanya kembali menyorot kandungan artikel yang membalas kenyataan daripada malaun yang dihantar oleh HR Holdings. Hana menulis kenyataan balas dengan mengatakan bahawa Campbell Corporation tidak seperti yang digembar-gemburkan seperti dalam artikel yang dinyatakan setelah temubual secara langsung dilakukan. 

“Temu buallah sangat. Pandai menipu dia ni. Tapi tak apa. Asalkan semua maklumat tu betul dan bagus, I suka,” kata Eve sambil tersengih-sengih.

Muka Rayyan terus berkerut apabila melihat reaksi Eve. Lagilah dia pelik apabila melihat riak nakal pada wajah gadis itu. Dia positif yang Eve ingin lakukan sesuatu kepada si wartawan itu.

"May, you datang sini kejap. I ada kerja untuk you. Follow me," ujar Eve sambil melemparkan sengihan kepada Grace yang nampak asyik bermain telefon. Nampak tidak berminat menyertai perbincangan hangat mereka. Lantas tanpa menunggu lama, dia terus keluar dari pejabat Jabatan Sumber Manusia itu.

“Hah?” Grace pandang Eve yang sudah menjauh, dan kemudian Rayyan. 

Rayyan mengangguk, isyarat supaya ikutkan sahaja kehendak Eve. Melihat itu, tanpa membuang masa Grace juga keluar dari pejabat jabatan itu dan mengekori langkah Eve ke pejabat CEO.

Previous: BAB 7
Next: BAB 9

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Angel_k20