Home Novel Thriller/Aksi INFERNO BODYGUARD
INFERNO BODYGUARD
Angel_k20
11/5/2020 15:51:47
248,269
Kategori: Novel
Genre: Thriller/Aksi
BAB 12

HANA, ada pos untuk kau,” kata seorang wartawan seraya menghulurkan sehelai sampul surat kepada Hana. 

Menungan Hana terhadap pertemuan dengan Eve, Rayyan, Ren Hau dan Grace pada malam semalam terus lebur. Pertemuan yang membuatkan dirinya terkejut tahap petala ketujuh. Tak sangka mereka boleh tahu identitinya yang sebenar.

Betul, dia sebenarnya polis dalam penyamaran. Keberadaannya di syarikat akhbar ini adalah untuk menyiasat kes jenayah melibatkan sebuah mafia yang dikenali sebagai Mafia Death. 

Kumpulan mafia itu dikehendaki oleh pihak polis dan juga pihak Interpol kerana kes dadah yang dikenali sebagai Blue Rose. Informasi yang diperoleh oleh pihak polis mengatakan bahawa kumpulan mafia itu mempunyai kaitan dengan syarikat akhbar ini. 

Jadi, dia ditugaskan menyamar sebagai wartawan memandangkan kepakarannya adalah dalam bidang komunikasi dan media. Dia juga tidak berapa mahir bergasak, jadi bekerja sebagai wartawan lebih sesuai baginya.

‘Pos?’ Hana menjongketkan kening. Pelik. 

Tanpa bersuara, Hana terus mengambil sampul surat dari tangan wartawan tersebut lalu segera berlalu ke tempat duduknya. Surat itu tiada nama pengirim. Setelah melabuhkan punggungnya di kerusi, dia mencapai pisau lipat yang berada di dalam bekas pen lalu menghiris cermat hujung sampul. Dengan berhati-hati, dia mengeluarkan isi dalamnya.

“Daripada siapa?” Tiba-tiba, satu suara menyergah dari belakang.

Hana yang mendengar suara sergahan tersebut serta-merta terkejung. Geram menerpa diri apabila isi sampul surat yang ditariknya sehabis baik tadi tak pasal-pasal tertarik keluar dengan kasar sehinggakan terkeronyok. Lagi haru, “sesuatu” yang disertakan sekali di dalam sampul tersebut turut terjatuh ke bawah.

“Fahmi!” Hana menarik muka bengang. 

Melihatkan raut wajah Hana ketika itu, Fahmi ketawa berdekah-dekah. Suka betul hatinya apabila sekali sekala dapat menyakat Hana, si wartawan yang dirasakannya amat comel ketika marah. Lagipun, bukannya selalu dia dapat tengok gadis itu menyinga. 

“Kau ni memang tak ada kerja ke?” sembur Hana pula.

“Mana footage interview Cik Eve hari tu? Bagi sini,” pintanya dengan geram masih bersisa. 

Sebenarnya, dia sengaja mahu mengelak daripada menjawab soalan Fahmi. Surat daripada siapa? Entahlah, dia pun tak tahu. Tak sempat dia nak menengok isi kandungan surat, Fahmi si jurukamera ini datang mengacau. Dasar pengganggu ketenteraman orang betullah. Dalam sehari, memang tak sah kalau tak dikacaunya orang di dalam pejabat itu!

“Nah, nah. Ambil. Nak kacau sikit pun tak boleh. Garang betul. Macam gorila.” Fahmi menjuihkan bibir seraya menghulurkan pendrive kepada Hana.

“Kau kacau aku lagi, aku hempuk kau pakai kamera tu,” ugut Hana. Matanya tajam menikam mata Fahmi. ‘Cis, kemain segak lagi aku hari ni, gorila jugak yang kau panggil aku!’

Ui, tachod!” Fahmi membuat muka takut lalu segera berlalu pergi dari situ.

Melihatkan Fahmi sudah beredar meninggalkannya, cepat-cepat Hana menunduk ke lantai lalu mengambil “sesuatu” yang dibungkus dengan kertas. Kedudukannya agak terselindung di bawah meja, maka selamatlah ia daripada ternampak oleh lelaki itu. 

Sudahnya, tanpa mempedulikan lagi wartawan lain yang turut sama lalu-lalang di kawasan kubikelnya, dia meneliti semula isi kandungan kertas di dalam sampul tersebut. Semuanya adalah keratan artikel akhbar yang berkaitan dengan peristiwa kemalangan ayahnya pada 15 tahun lepas. Kemudian, “sesuatu” yang disertakan sekali itu juga dibuang pembalutnya.

Pendrive?’ Hana mengerutkan wajah. Peliknya berganda-ganda!



BOSS,” panggil Syafiq.

“Apa?” soal Rayyan lalu berpaling ke arah Syafiq. 

Itu dia, Syafiq dengan muka baru bangun daripada tidurnya menguap panjang. Sesekali, dia menggeliat bagi membetulkan tulang-belulang serta otot-ototnya. Serius keadaan pekerja bawahannya yang seorang ini sangat sememeh. Berserabai sungguh pakar IT sekali gus ketua sekuriti siber Campbell Corporation ini.

“Boss baru balik dari jogging ke?” tanya Syafiq sambil tersengih-sengih. Dia perasan saja Rayyan masih tidak menukar tracksuit walaupun ketika ini, bosnya itu sedang khusyuk meneliti fail laporan kemajuan pekerja. 

“Habis, takkan baru bangun tidur. Aku bukan macam kau. Penyimpan lemak kolesterol yang berjaya,” bidas Rayyan. 

Syafiq kembali tersengih lalu menggaru-garu kepalanya. Dia tahu kenapa dirinya dibidas oleh Rayyan. Semalam dia membahan majikannya itu apabila ternampak berat badan Rayyan hampir melebihi BMI. 

“Mana May dan Ace?” tanya Rayyan pula sambil meneguk air mineral.

“Tak tahu, Boss,” jawab Syafiq sambil menguap sekali lagi. 

“Kau pergi mandi sekarang. Busuk aku tengok kau.” Melihatkan reaksi Syafiq, Rayyan melepaskan keluhan.

“Okey, Boss,” jawab Syafiq perlahan lalu menuju ke biliknya.

Melihatkan Syafiq sudah menghilang ke biliknya, Rayyan kembali menumpukan perhatian kepada fail-fail yang bertimbun di atas meja kerjanya. Namun, dalam dia sibuk meneliti dokumen tersebut, satu senyuman kecil terbit jua dari mulutnya. Aduhai, teringat betullah dengan ulah keanak-anakan Syafiq.

Betul, pejabat Jabatan Sumber Manusia syarikat ini memang sudah menjadi seperti rumah apartmen. Ini semua dia punya idealah. Disebabkan bahagian sekuriti khas ini hanya ada tiga orang staf, maka setiap seorang diberikan bilik kerja dan ruangan rehat peribadi. 

“Boss!” Tiba-tiba, Syafiq menjerit.

“Ya, nak apa lagi?” Berasa terganggu, Rayyan berpaling kepada empunya suara.

“Nak syampu.” Syafiq dengan hanya bertuala tersengih-sengih di sebalik pintu.

“Ambil ajelah,” jawab Rayyan separa melaung seraya membaling botol air mineral kosongnya ke arah Syafiq.

“Love you, Boss!” jerit Syafiq lalu kembali menghilangkan diri.

Sekali lagi, Rayyan menggeleng melihatkan keletah Syafiq. Perangai macam budak-budak biarpun umur sudah mencecah 23 tahun! Sudahnya, dia kembali menyambung kerja sebelum tiba-tiba, deringan telefon sekali lagi mengganggu konsentrasinya.



SETELAH dipujuk berkali-kali oleh Eve supaya menemankannya ke Honey Bunny Ice Cream tadi, maka di sinilah dia berada sekarang. Katanya keluar dating sebagai kawan. Padahal tunangnya busy tak boleh teman. Kesian...

Sampai giliran Eve, gadis itu memintanya membayar aiskrim itu. Tanpa banyak soal, dia layankan saja permintaan tersebut. Namun ketika dia hendak menghulurkan wang kepada juruwang, tiba-tiba bahunya dilanggar oleh seseorang sehingga menyebabkan duit yang dipegangnya terjatuh ke atas lantai. Cepat-cepat dia mengutipnya. Kalau hilang rugilah dia. Namun, ketika bangun, dia ternampak satu susuk tubuh yang dikenalinya di seberang jalan. 

“Hana? Apa dia buat kat sini?” Rayyan dipagut hairan.

Gadis itu sedang berjalan dengan langkah yang agak laju seperti mengejar sesuatu. Pelik. Bahasa tubuh gadis itu kelihatan seperti ada sesuatu yang buruk sedang berlaku. Matanya kekal tertancap ke arah Hana di seberang jalan sehinggalah suara Eve yang memintanya membayar aiskrim memecahkan konsentrasinya.

“Boss, bayar,” tegur Eve.

“Oh, okey. Maaf.” Cepat-cepat Rayyan menghulurkan duit kepada juruwang.

Namun, ketika dia berpaling sekali lagi ke seberang jalan, kelibat Hana sudah tidak kelihatan. Sudahnya, dia kembali menumpukan perhatian kepada Eve yang dengan riangnya memakan aiskrim. 

Gadis itu ada menawarkan kepadanya aiskrim, tetapi dia menolaknya dengan baik.  Entah kenapa tiba-tiba saja dia risaukan keadaan Hana.



JAM di dashboard kereta Myvinya menunjukkan pukul 11.55 malam. Suasana di East Jaya Warehouse nampak agak menyeramkan. Maklumlah, gudang lama yang sudah lama terbiar. Mengikut maklumat yang diterimanya, gudang ini dahulunya adalah tempat penyimpanan alat gantian kereta. 

Namun, sejak kes tembak-menembak yang melibatkan kumpulan mafia berlaku di sini, operasi gudang telah dipindahkan ke tempat lain. Siapa saja yang mahu meneruskan operasi di tempat keras yang dipenuhi dengan bekas darah. Jika gudang ini dijual sekali pun, harganya tidak berbaloi dek kerosakan total yang dialami.

Hana kemudiannya mencapai beg yang mengandungi duit RM 200 ribu yang terletak di kerusi penumpang hadapan lalu turun dari kereta. Lampu keretanya sengaja tidak dimatikan dan kereta juga tidak dikunci. Kamera pengintip dan alat pengesan GPS turut diletakkan pada kereta. Sebagai langkah berjaga-jaga, fikirnya.

Sejujurnya, dia berasa pelik dengan syarat si penculik. Kenapa dia yang diminta menyediakan wang tebusan? Padahal, orang yang diculik adalah Maira, iaitu anak Cik Kiah. Tetapi, apabila mengenangkan ugutan bunuh terhadap gadis cilik tersebut, dia terpaksa akur. Nyawa seorang gadis yang tidak bersalah menjadi taruhan.

Walaupun ketika ini jantungnya berdebar hebat, dia perlu berani. Demi menyelamatkan Maira, dia perlu mengambil risiko ini. Lagipun, Maira diculik pagi tadi ketika dalam perjalanan untuk menemuinya bagi menyerahkan fail penting yang mengandungi hasil liputan terhadap kes pecah amanah syarikat perakaunan terkenal East Legacy.

Hana yakin yang Maira betul-betul diculik kerana dia nampak dengan mata kepalanya sendiri Cik Kiah menangis-nangis siap merayu lagi kepada seseorang di telefon. Dan… Cik Kiah juga yang menelefon dan bercerita kepadanya mengenai hal Maira diculik.

“Ingat Hana. Penculik tu mungkin tahu identiti kau. Sebab tu kau yang disuruhnya hantar duit. Apa-apa perkara berkait nyawa, kita tak boleh ambil mudah. Jadi, seboleh-bolehnya kau buatlah tindakan bijak. Kau ambil tempoh 20 minit pertama. Lepas tu, pasukan aku take over.” 

Ketika ini, Hana teringat arahan ketuanya yang dipanggil DSP Haireen Jamilah. Walaupun jelas si penculik memberikan arahan kepadanya petang tadi supaya jangan beritahu sesiapa, tetap saja dia ingkar.

Gila ke apa nak bertindak seorang diri. Dia polis kot. Pasukan polis adalah bijak, itu yang dipegangnya. Jadi harap-harapnya, rancangannya berjaya. Kalau tak, dengan dia sekali melayang nyawa pada malam ini. 

Dengan lafaz basmalah, dia menggenggam erat beg berisi duit lalu menapak masuk ke dalam gudang. Matanya tajam merenung setiap inci ruang gudang tersebut sambil otaknya ligat berfikir tindakan seterusnya yang perlu diambil. Langkah kaki diatur dengan penuh berwaspada agar tidak berlaku sesuatu yang membuatkan rancangannya gagal. 

Previous: BAB 11
Next: BAB 13

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Angel_k20