Home Novel Thriller/Aksi INFERNO BODYGUARD
INFERNO BODYGUARD
Angel_k20
11/5/2020 15:51:47
248,252
Kategori: Novel
Genre: Thriller/Aksi
BAB 5

PANCARAN flash kamera menyerbu muka Eve sebaik saja dia melangkah masuk ke dalam bilik sidang media. Dia dengan muka penuh senyuman manis terus berdiri di hadapan mikrofon lalu salam pembukaan diberi. 

Seusai memberikan ucapan serta penerangan berkaitan hal-hal pembidaan yang dimenanginya semalam, dia kini membuka ruang kepada hadirin untuk bertanyakan soalan. Setiap soalan dijawab baik sehinggalah tiba pertanyaan daripada seorang gadis bertudung merah. Gadis itu mengangkat tinggi tangannya lalu dengan suara penuh lantang, dia melontarkan satu soalan.

“Cik Eve, adakah benar pesaing Campbell Corporation cuba menggunakan cara kotor semalam untuk merebut bidaan ni?” tanya wartawan yang memakai tag “Akhbar Nadi Kota” itu.

Mendengar sahaja soalan itu terpacul keluar dari mulut wartawan itu, suasana yang pada mulanya aman di bilik sidang media itu terus bertukar menjadi kecoh dan hingar-bingar. Cakap-cakap serta bisikan mula kedengaran seolah-olah bilik itu dipenuhi lebah yang menghurung. 

“Saya tak tahu dari mana kamu dengar berita tu tapi percayalah, semuanya baik-baik saja. Majlis pembidaan semalam berjalan lancar tanpa ada sebarang permainan kotor,” jawab Eve dengan tenang.

“Cik Eve. Adakah betul desas-desus yang mengatakan bahawa kes kemalangan 15 tahun dulu melibatkan Campbell Corporation?” tanya wartawan itu lagi. Kali ini, suaranya bertanya dengan lebih lantang lagi.

“Woi, Hana! Apa bendalah kau ni. Soalan tu tak ada kaitanlah.” Fahmi, si jurukamera akhbar Nadi Kota mencerlung tajam memandang Hana.

Namun, Hana tidak mempedulikan amaran Fahmi lalu terus mengasak soalan demi soalan kepada Eve. Semuanya berkaitan kes kemalangan kereta di Jalan Pahang pada 15 tahun lepas. Air mukanya serius menanti jawapan daripada Eve walaupun dia menyedari suasana menjadi semakin tidak terkawal dan sidang media yang sepatutnya berlaku dalam keadaan aman tiba-tiba berubah suasana. 

Eve yang berada di pentas termati kata. 

‘Eh minah ni dah kenapa? Tak ada angin tak ada ribut tiba-tiba tanya benda lain. Apa masalah dia hah?’ Eve bengang sendiri.

Dia terus memberi isyarat kepada Grace agar mengawal keadaan sambil matanya meliar mencari susuk tubuh Rayyan. Panjang lehernya meninjau keberadaan ketua bodyguard itu.

“Alah, hilang pula,” keluhnya.

“Minta maaf, soalan tu tiada kaitan. Saya rasa sidang media kita tamat setakat ni je. Terima kasih kerana sudi datang,” kata Eve lantas menamatkan majlis. 

Dengan tergesa-gesa, dia keluar dari bilik itu dengan diiringi oleh Ren Hau dan Grace. Suasana semakin tidak terkawal dan jika dia tidak menamatkan sidang media itu dengan segera, reputasi syarikatnya boleh jatuh!

“Ace, mana Boss?” Eve bertanya dengan nada tidak puas hati sambil kakinya laju melangkah untuk naik ke tingkat 13.

“Boss kena uruskan perkara penting, Cik,” jawab Ren Hau dengan perlahan.

“Huh!” Eve mendengus geram dengan Rayyan yang tiba-tiba saja menghilang. Sudah jatuh tertimpa tangga pula nasibnya hari ini!



RAYYAN dan Syafiq masing-masing berada dalam keadaan tekanan mental. Satu berita online yang muncul ketika sidang media sedang berlangsung cukup membuatkan mereka berdua naik gila. 

Mana tidak gilanya jika baru sahaja lima belas minit berita itu dimuat naik ke portal, sudah bertebaran dalam dunia maya berita palsu mengenai Campbell Corporation yang dikatakan menjadi dalang kes kemalangan di Jalan Pahang. 

Berita itu setakat ini mendapat 1000 view dan 48 perkongsian. Jadi, siapa saja yang tak naik hantu? 

Campbell Corporation Disyaki Menjadi Dalang di Sebalik Pembunuhan Anggota Polis 15 Tahun Lalu di Jalan Pahang.

Besar terpampang tajuk ini di paparan muka hadapan berita. Berita terkini yang disiarkan oleh Portal Gosip Panas itu ditenung tajam oleh Rayyan. Syafiq di sebelahnya pula masih tidak menang tangan dek sibuk mendapatkan maklumat melalui carian di laman sesawang lain. 

Jika mereka berdua di sini sibuk untuk menyekat berita tersebut daripada terus berleluasa di alam maya, mereka yang berada di pejabat lagilah teruk dikerjakan. Panggilan telefon tidak berhenti berdering menyebabkan mereka tidak menang tangan melayan ulah si pemanggil. Berita palsu tersebut berjaya membuatkan seisi bangunan tidak senang duduk.

“Boss, teruk kita kena tadi ni.” Tiba-tiba, Rayyan mendapat laporan daripada Ren Hau melalui panggilan telefon. Suaranya kedengaran amat tertekan.

“Apa yang berlaku, Ace? Aku tengah sibuk ni,” jawab Rayyan penuh stres. Dahinya dipicit lembut dan tali leher yang dipakainya dilonggarkan sedikit. 

“Wartawan. Ada wartawan perempuan ni tiba-tiba tanya isu panas yang kita sendiri pun tak tahu,” beritahu Ren.

‘Ya Allah...’ 

Rayyan memicit dahi. Bala apa lagi yang datang? Telefon yang masih berada di dalam genggamannya dilekapkan kembali ke telinga.

“Eve macam mana? Minta May kawal keadaan dan pastikan benda ni tak bocor ke pihak luar. Pasal wartawan tu, biar aku sendiri yang settle. Siapa nama dia?” tanya Rayyan sambil tangannya buat kali kedua memicit dahi. Berdenyut-denyut!  

“Namanya Hana Mikayla dan dia wartawan dari akhbar Nadi Kota,” jawab Ren Hau dengan pantas selepas dia meneliti rekod kehadiran pihak media.

“Okey.  Aku dan Falcon tengah usaha settle masalah lain dulu. Ace, terima kasih untuk info,” kata Rayyan lalu menamatkan perbualannya. Lantas, dia berjalan menuju ke arah Syafiq yang masih setia dengan komputernya. Hatinya membengkak. 

“Falcon. Cari maklumat pasal wartawan ni. Hana Mikayla dari akhbar Nadi Kota. Aku gerak dulu, apa-apa roger,” arah Rayyan seraya meletakkan sekeping nota bertulisan tangan yang tertera nama Hana Mikayla di atas meja Syafiq.

“Baik, Boss,” akur Syafiq. Pantas dia memulakan kerjanya menggodam maklumat berkaitan wartawan bernama Hana Mikayla, pencetus kekecohan di sidang media Campbell Corporation.



SETELAH mendapat alamat lengkap tempat kerja wartawan tersebut, Rayyan terus menghalakan keretanya ke ibu pejabat akhbar Nadi Kota. Keadaan jalan raya yang lengang pada jam 11.30 pagi melancarkan lagi perjalanannya untuk mencari wartawan muda tersebut.

Setengah jam memandu, dia memberhentikan keretanya di lot parkir bangunan akhbar Nadi Kota yang gah tersergam sesuai dengan reputasinya yang popular melebihi syarikat akhbar lain. Sempat dia menilik jam tangannya sebelum masuk ke dalam bangunan syarikat akhbar tersebut. 

Angka sudah menginjak ke pukul 12 tengah hari. Tanpa membuang masa, dia melajukan kayuhan langkahnya lalu berhenti di hadapan seorang staf yang ketika itu sedang duduk di kerusi dan ralit menulis di kaunter pertanyaan.

“Assalamualaikum cik. Boleh saya nak jumpa wartawan yang bernama Cik Hana Mikayla?” Rayyan memberi salam dengan disulami senyuman mesra kepada staf yang masih tidak menyedari kehadirannya 

“Waalaikumussalam...” jawab staf wanita si penjaga kaunter. Perlahan-lahan dia mengangkat wajah memandang sang pemberi salam tersebut.

Matanya bagaikan digam apabila terpandangkan figura seorang lelaki tinggi lampai 180 cm dengan senyuman manis menghiasi bibir. 

“Er... helo!” Rayyan memetik jari. Terus staf tersebut tersedar daripada lamunannya. 

“Aa... ya ya. Apa encik cakap tadi?” tanya staf itu sambil tersengih. Kepalanya yang tidak gatal digaru bagi menutup rasa malu. 

“Saya nak jumpa wartawan yang bernama Hana Mikayla, Pembantu Ketua Editor bahagian Isu Niaga dan Kewangan.” Dia mengulang sambil menambah info terperinci lagi. Bukan apa, takut staf tersebut banyak tanya pula.

“Oh, okey, sekejap saya beritahu pihak sana,” balas staf itu dengan kalut-kalut.

Melihat kepada lirik mata staf wanita yang memandang ke arahnya, Rayyan sengaja memasukkan tangannya ke dalam poket seluar lalu berpaling ke arah lain. Disebabkan sidang media hari ini, dia terpaksa memakai sut yang lebih kemas daripada kebiasaan. Jadi, mungkin dia terlebih kacak pada pagi ni. Alamak, tiba-tiba aje puji diri sendiri!

“Encik!” panggil si staf wanita dengan tersengih-sengih dan tersipu-sipu.

Panggilan itu menyedarkan Rayyan daripada lamunannya. Segera dia berpaling semula kepada suara halus yang memanggilnya tadi dan senyum-senyum siput dihadiahkan buat staf wanita itu.

“Cik Hana Mikayla ada di tingkat tiga, di pejabat Bahagian Isu Niaga dan Kewangan,” kata staf wanita itu. Dia turut membalas senyuman Rayyan dengan senyuman lagi lebar.

“Baik, terima kasih.” Rayyan terus berjalan menuju ke lif untuk ke tingkat tiga.


Previous: BAB 4
Next: BAB 6

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Angel_k20