Home Novel Thriller/Aksi INFERNO BODYGUARD
INFERNO BODYGUARD
Angel_k20
11/5/2020 15:51:47
248,272
Kategori: Novel
Genre: Thriller/Aksi
BAB 4

BUNYI ketukan pintu bertalu-talu dari luar menyedarkan Rayyan daripada tidur lenanya. Kantuk menguasai diri ditambah lagi dengan terasa tidur lenanya diganggu. Dengan mata terpisat-pisat, dia mencapai telefon pintarnya yang diletakkan di atas meja di tepi katilnya. 

‘Dah pukul 4.39 pagi,’ detik hatinya.

Dia terlupa yang semalam dia balik ke rumah nenek, bukan kondominium miliknya di Mont Kiara. Jadi, memang patutlah awal pagi lagi biliknya berketuk. Pasti nenek yang mengejutkannya memandangkan nenek tiap-tiap hari bangun awal untuk bertahajud dan berqiamullail. 

Nenek selalu berpesan yang tahajud inilah masanya untuk seorang hamba mengadu kepada Sang Pencipta. Ada permintaan? Mintalah kepada-Nya. Sedih? Mengadulah kepada-Nya. Susah hati? Berbicaralah dengan-Nya. Allah tidak pernah meninggalkan hamba-Nya, tetapi hamba-Nya yang selalu melupakan-Nya. 

“Ryan... bangun!” jerit suara tua dari luar biliknya.

“Ya, nek. Ryan dah bangun ni...” sahut Rayyan dengan suara serak. 

Sang kantuk masih membeliti dirinya. Matanya bagai digam dengan gam cap gajah. Sukar sangat dia nak bangun kerana badannya letih macam baru lepas berperang. Tetapi disebabkan nenek semakin kuat mengetuk pintu bagai nak roboh dan menjerit seperti soprano memanggil namanya, dia terpaksa bangun dari pembaringan.

Gebarnya dicampak ke tepi. Lantas, dia bangun lalu menuju ke bilik air untuk berwuduk. Usai solat tahajud, taubat, hajat dan witir, dia mencapai mushaf al-Quran. Hari ini dia sudah di juzuk 20 dan lagi 10 juzuk untuk khatam al-Quran kali kedua untuk tahun ni. 

Bacaan al-Qurannya ditamatkan sejurus azan subuh kedengaran. Setelah laungan azan subuh tamat, Rayyan mengangkat takbir untuk solat sunat subuh. Selesai solat sunat, dia terus mengimamkan solat subuh secara berjemaah bersama neneknya.

“Nek, Ryan minta maaf kalau selama ni Ryan ada buat salah kat nenek,” kata Rayyan seraya mencium tangan dan pipi neneknya.

Nenek Hasnah tersenyum manis lalu mengusap kepala cucunya dengan penuh kasih. Rayyan adalah anugerah daripada Allah SWT yang tidak ternilai harganya. Itu sahajalah pengubat rindunya kepada arwah anak dan menantu yang disayanginya. Siapa sangka, sungguh cepat masa berlalu dan cucunya kini sudah besar panjang. 

“Kamu tak ada buat salah apa-apa pun. Terima kasihlah sebab datang jumpa nenek minggu ni. Ni nak masuk kerja pukul berapa?” tanya Nenek Hasnah.

“Macam biasalah nek, pukul sembilan pagi. Kejap lagi Ryan nak keluar jogging. Nenek nak oder apa-apa tak? Ryan belikan,” balas Rayyan disusuli dengan tawaran.

“Ish... nak beli buat apanya? Tu nenek dah masak nasi lemak, tinggal makan aje,” jawab Nenek Hasnah sambil tersenyum lebar.

Terdengar sahaja perkataan nasi lemak, terus bersinar-sinar mata Rayyan. Kecur air liurnya! Nasi lemak buatan neneknya memang terbaik.

“Nek.... Ryan makan sekarang boleh eh?” tanya Rayyan dengan tidak sabar lalu tanpa menunggu jawapan si nenek, terus dia berjalan laju ke dapur.

“Amboi, tak menyempat. Jadi ke tak jogging lepas ni?” sakat Nenek Hasnah dengan suaranya naik seoktaf. 

Rayyan kalau bertemu dengan nasi lemak buatannya, memang tidak berpaling ke kiri kanan. Lagi haru, kalau orang rompak rumah ini pun dia tak perasan. Faktanya, kejadian ini memang betul-betul berlaku! Untung saja cucunya tidak diapa-apakan oleh mereka. 

“Nasi lemak nenek paling umphhh atas dunia ni!” Rayyan melaung dari dapur tanpa menghiraukan usikan Nenek Hasnah. 

Nenek Hasnah ketawa senang hati mendengar ulah Rayyan. Hati kecilnya berdoa semoga Allah SWT mengekalkan keluarga kecilnya ini dengan kebahagiaan di dunia dan akhirat serta golongkan mereka semua dalam golongan orang yang sentiasa mendapat perlindungan-Nya.



DARI rumah neneknya, Rayyan terus memandu ke ibu pejabat Campbell Corporation tanpa singgah terlebih dahulu di kondomiumnya. Setelah memarkir keretanya di lobi bangunan, dia terus keluar dari lalu menghulurkan kunci kereta kepada pengawal keselamatan yang bertugas pada pagi itu. Tundukan hormat daripada pengawal keselamatan yang berusia dalam lingkungan 55 tahun itu dibalas dengan anggukan dan senyuman mesra.

Thanks, Pak Ajib,” ucap Rayyan sambil tersenyum.

Pengawal keselamatan yang selesa dipanggil Pak Ajib tersengih-sengih bagaikan kerang busuk. 

“Parkir dekat mana, tuan?” tanya Pak Ajib.

“Parkir biasa aje. Hari ni saya ada tugasan di luar. Maaflah terpaksa susahkan Pak Ajib pulak hari ni,” jawab Rayyan sambil menepuk mesra bahu Pak Ajib.

“Baik, tuan. Menurut perintah!” balas Pak Ajib sambil membuat tabik hormat. Tabikannya itu mengundang tawa Rayyan dan beberapa orang staf pejabat yang kebetulan lalu-lalang di lobi pejabat.

Tidak mahu terus menerus masanya terheret dengan ulah kelakar Pak Ajib, dia terus bergerak menuju ke lif untuk naik ke pejabatnya di tingkat 13. Ruangan di depan lif sesak dengan staf-staf yang ingin naik ke pejabat jabatan masing-masing. 

Ting! 

Pintu lif di depannya terbuka. Namun, tiada seorang pun staf yang berani masuk ke dalam lif itu sebelum dia masuk. 

“Boss masuk dululah,” pelawa salah seorang staf.

“Tak, tak, kamu semua dah lama tunggu lif ni. Naik dulu. Saya naik next lif,” tolak Rayyan dengan baik sambil roman mukanya dimaniskan. 

“Baik Boss, terima kasih,” jawab staf tersebut lalu diikuti oleh semua staf yang berada di situ. 

Rayyan melihat jam tangan berjenama Vivoactive HR yang terletak elok di tangan kirinya. Automatik dia terketawa kecil. Memang jam hampir menginjak ke angka sembilan pagi pun. Patutlah semua staf yang berada di sebelahnya tadi semuanya berwajah cuak dan pucat bagai ayam terberak kapur. 

Tidak menunggu lama, lift kedua sampai dan setelah menekan butang 13. Dia terus bersandar di dinding lif sambil merenung imej dirinya sendiri yang terbentuk di dinding lif yang diperbuat daripada cermin. 

Dirinya hanyalah seorang anak yang berasal daripada keluarga sedang-sedang. Kini dia mampu memegang jawatan Pengarah Sumber Manusia di Campbell Corporation, iaitu syarikat pembinaan yang paling gah di Malaysia.

Dalam diam, dia juga mensyukuri nikmat kehormatan yang diberikan oleh Allah SWT kepadanya. Sama seperti Pak Ajib, semua staf di sini menghormatinya sebagai salah seorang ahli lembaga pengarah walaupun dia adalah pengarah termuda dan boleh dikira masih mentah dalam dunia perniagaan. 

Ini semua berkat dia berkawan baik dengan Eve. Sejarah persahabatannya dengan Eve agak panjang. Namun dia masuk ke syarikat tersebut bukan kerana kabel tetapi bakat dan idea gilanya. Kerana itu Dato' Campbell memberikan kepercayaan kepadanya untuk sama-sama meneraju syarikat. Dalam masa yang sama, dia juga dilantik oleh usahawan itu untuk mengiringi Eve ke mana sahaja CEO muda itu pergi atas urusan rasmi syarikat. Disebabkan itulah, jawatan ketua bodyguard pun dia yang pegang.

“Selamat pagi, Boss!” Ren Hau, Grace dan Syafiq serentak mengucapkan selamat pagi kepada Rayyan ketika dia memunculkan diri di muka pintu pejabatnya. Sapaan selamat pagi daripada anak buahnya disambut dengan senyuman dan ucapan balas selamat pagi.

Pemandangan di dalam ruang pejabatnya terbentang luas apabila dia membuka pintu. Reka bentuk moden menjadi pilihannya kerana dia sukakan pejabat yang minimalis tetapi stylo. Tetapi itulah, pejabat dah cantik, ruang dah luas, tetapi sayang mejanya penuh dengan fail-fail penting yang perlu disemak. Dia mengeluh seketika melihat pemandangan yang menyakitkan mata tersebut. 

“Hari ni kita ada sidang media dan aku harap kau bertiga ketatkan kawalan kepada Eve,” arah Rayyan kepada Ren Hau, Grace dan Syafiq yang kini masuk ke pejabatnya untuk melapor tugas sambil menyusun fail yang bertimbun di atas mejanya. 

Syafiq, Ren Hau dan Grace mesti melaporkan tugas kepadanya secara bersemuka pada setiap pagi sebelum memulakan apa-apa aktiviti. Ren Hau dan Grace adalah bodyguard lapangan manakala Syafiq pula bodyguard dalaman.

“May, pergi tengok Eve dah sedia ke tak. Kita ada lagi 20 minit sebelum sidang media,” kata Rayyan lagi seraya menghalakan pandangannya kepada Grace.

“Okey,” jawab Grace lalu terus keluar dari pejabat dan menapak laju ke bilik CEO.

Setelah Grace hilang daripada pandangan, Rayyan menghalakan pula pandangannya kepada Ren Hau yang masih setia berada di depannya. 

“Ace, aku nak kau check senarai nama wartawan yang datang,” arah Rayyan lalu menghulurkan sebuah fail kepada Ren. 

“Okey, tak ada masalah,” jawab Ren lalu menyambut huluran fail itu. Buka saja fail tersebut, automatik Ren Hau tergelak kecil.

“Ramai juga ya wartawan yang datang. Popular betul Cik kita ni,” kata Ren Hau sambil tergelak. Fail di tangannya dibelek-belek sepintas lalu.

Rayyan menepuk bahu Ren Hau dan memberikan isyarat “good luck”. Ren Hau kembali ketawa lucu dengan isyarat tersebut sebab sememangnya dia faham benar ulah bosnya. Rayyan dan wartawan biasanya tidak sebulu. Acap kali juga dia terpaksa menjadi decoy jika Rayyan malas menguruskan hal wartawan. 

“Falcon, semuanya dah ready? CCTV, line all clear?” tanya Rayyan kepada Syafiq melalui interkom yang terletak di atas mejanya.

“Jamin beres, Boss.’ Syafiq yang lengkap berhoodie hitam melaung dari sebalik beberapa skrin komputer. Laungan si burung helang itu disambut oleh Rayyan dengan anggukan berpuas hati dengan persediaan daripada pihaknya.

Previous: BAB 3
Next: BAB 5

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Angel_k20