Home Novel Thriller/Aksi INFERNO BODYGUARD
INFERNO BODYGUARD
Angel_k20
11/5/2020 15:51:47
229,038
Kategori: Novel
Genre: Thriller/Aksi
BAB 6

DALAM berjalan, sempat matanya melirik ke sekeliling kawasan syarikat akhbar terkemuka itu. Sesuai dengan gahnya syarikat itu, pekerja-pekerja di situ juga nampak berdedikasi menjalankan tugas masing-masing.

Setelah beberapa ketika, dia menekan punat lif dan melangkah masuk ke dalam lif yang kosong dan menunggu dengan sabar ketibaan lif ke tingkat tiga. 

Sebaik sahaja sampai di situ, terus kakinya melangkah keluar dari lif. Dengan mengikut papan arah panduan ke pejabat yang dikehendaki, akhirnya dia berhenti melangkah di depan sebuah kubikel. Terdapat seorang perempuan bertudung merah sedang bercakap di telefon.

‘La.... bukan ke dia ni yang aku nampak semalam?’ Rayyan kaget. Takdir sungguh dirasanya. Dia berkira-kira mahu menegur, tetapi akhirnya mengambil keputusan untuk memberi waktu kepada si wartawan itu menjawab telefon.

Akhirnya setelah beberapa minit, perempuan itu menamatkan panggilan. Tetapi yang membuatkan dia sedikit geram ialah wartawan itu tidak mempedulikan kehadirannya di situ. Kemain lagi dia sabar menunggu, wartawan di hadapannya itu boleh pula mencapai pen dan khusyuk menulis seolah-olah dia tidak wujud di depannya!  

“Cik Hana Mikayla?” tegur Rayyan.

Mendengar namanya dipangggil, si gadis berhenti menulis. Terus dia mengangkat kepala dan memandang ke arah Rayyan. Namun, pandangannya tidak lama. Terus dia kembali menyambung kerja menulisnya yang tergendala tadi.

Melihat reaksi si wartawan yang bagai acuh tidak acuh dengan kehadirannya di situ, dia ketawa perlahan. Jujur, dia tercabar. Minah ini memang nak kena.

“Kenapa kau rosakkan sidang media tadi?” tanya Rayyan. Perlahan saja, tidak mahu orang lain yang berada berhampiran kubikel Hana dengar. Ini adalah urusannya dengan Hana, bukannya orang lain. Jadi, orang lain tidak perlu tahu perbualan mereka berdua.

“Salah ke?” jawab Hana.

Kali ini, dia memandang tepat ke mata Rayyan. Pen di genggaman dilepaskan di atas meja. Lantas, dia menyandar ke kerusi lalu menyilang kedua belah tangan ke dada.

Rayyan yang melihat reaksi berlagak Hana sekali lagi menarik senyuman, tetapi kali ini lebih lebar. Terbias riak sinis di hujung bibir. Jujurnya lagi, dia semakin tercabar dengan ulah perempuan itu. Memang bukan biasa-biasa seorang Hana Mikayla ini!

“Tak salah. Sangat tak salah, Cik Hana Mikayla. Itu hak kau untuk bertanya. Tapi…” 

Hana yang melihat Rayyan seolah-olah cuba menarik perhatiannya segera tertawa sinis. Dari tadi dia sudah mengagak pasti Campbell Corporation akan menghantar wakil untuk menemuinya. Tapi, tak sangka pula orang kuat Eve Campbell sendiri yang datang berjumpa dengannya.

“Tapi apa? Dahlah datang main redah macam tu je. Tak ada etika profesional langsung. Encik wakil Campbell Corporation, sila belajar tatacara dalam bekerja terlebih dahulu sebelum datang sini. Ada aku jemput kau masuk ke pejabat ke?” Hana menentang tajam mata Rayyan.

Melihat Hana menentang tajam matanya, Rayyan turut membalas tentangan tersebut dengan pandangan lagi tajam. Seolah-olah ada arus elektrik yang keluar dari tentangan mata mereka. Masing-masing tak mahu mengalah hinggalah seorang wartawan muncul di situ sekali gus meleraikan perang senyap tersebut.

“Tuan Rayyan Razien?” Fahmi segera mencapai tangan Rayyan dan menjabatnya penuh mesra.

“Tuan buat apa datang ke sini?” tanya Fahmi.

“Ah, mesti sebab dia ni tadi kan? Tuan, saya minta maaf banyak-banyak bagi pihak Hana. Dia memang macam tu, mulut tak carum insurans. Otak letak kat lutut,” kata Fahmi sambil menjegilkan matanya kepada Hana yang membuat muka geram apabila dikutuk.

“Aku datang bukan sebab hal tadi. Tapi ni.” Rayyan menghulurkan telefon pintarnya kepada Hana dan Fahmi.

“Memang aku tak pasti siapa yang tulis berita ni. Jadi, aku terpaksa syak kau,” kata Rayyan kepada Hana.

Hana terus ketawa apabila mendengar kata-kata Rayyan, tapi roman wajahnya menunjukkan riak bengang. Terus dia kembali menyilang tangan dan kali ini, pahanya turut disilang. 

“Kenapa kau syak aku? Walaupun memang aku buat hal tadi, tak semestinya aku yang tulis berita tu,” tanya Hana. Kali ini, pandangannya lagi tajam menikam muka Rayyan. 

“Sebab tu aku terus direct jumpa kau, Cik Hana Mikayla. Aku nak dapatkan kepastian daripada kau sendiri kenapa kau bangkitkan isu tu. Padahal, Campbell Corporation tak pernah kenal pun dengan inspektor polis yang kau sebut tu,” jawab Rayyan.

Mendengar jawapan Rayyan, Hana melepaskan keluhan kasar. Tangannya dileraikan daripada silangan dan kemudian, dia mencapai pen. Tanpa berkata sepatah kata keluar dari mulut, dia menulis sesuatu di atas kertas nota lalu menghulur kertas itu kepada Rayyan.

“Aku minta maaf cetuskan kontroversi tadi, tapi aku ada alasan sendiri. Berita tu pula, bukan aku yang tulis. Betul, bukan aku!” tegas Hana.

Nada Hana memang betul-betul tegas. Auranya juga bukan biasa-biasa sekarang.  Rayyan yang melihatnya turut merasakan sesuatu yang abnormal. Sesuatu yang sukar dideskripsikan dengan kata-kata.

“Okey.” Sepatah saja Rayyan menjawab setelah melihat isi nota.

Dia memasukkan kertas nota yang diberikan oleh Hana ke dalam poket kot. Lantas, tanpa berkata apa-apa, dia segera mengorak langkah pergi dari situ tanpa mempedulikan panggilan Fahmi yang sayup-sayup kedengaran di telinga.

Hana menghantar langkah Rayyan dengan pandangan tajam. Dengusan kecil akhirnya terluah buat lelaki itu.

‘Huh! Dasar lelaki tak ada adab. Dahlah terjah masuk pejabat jumpa aku macam tu, lepas tu main tuduh-tuduh orang pula. Banyak cantik muka kau.’ Ingin saja dia menjerit untuk menyuruh bodyguard itu belajar etika dalam bekerja sebelum bertemu dengan orang lain.

Sambil melihat langkah Rayyan yang kian menjauh, dia menaikkan bola matanya ke atas sambil mengomel dalam hati rasa tidak puas hatinya terhadap bodyguard Eve Campbell. Lebih tepat lagi, dia membuat muka menyampah!



LOCENG yang bergantungan di pintu bergemercingan bunyinya apabila pintu restoran ditolak dari luar. Serentak dengan bunyi loceng, kedengaran suara pelayan mengucapkan selamat datang kepada pelanggan yang masuk ke situ. Bau semerbak makanan yang dihidangkan di restoran tersebut menerpa hidungnya. Matanya melilau mencari seseorang yang boleh memberi petunjuk baharu dalam menyelesaikan kes 15 tahun lepas.

Seketika, pandangan matanya dengan seseorang yang dicari bertembung dan tanpa membuang masa, Hana melangkah laju menuju ke arah tersebut. Hana mengambil tempat di depan seorang wanita yang berusia dalam lingkungan umur akhir 40-an yang berada di meja sedikit tersorok daripada pandangan pelanggan-pelanggan yang lain. 

“Maaf ya Puan Gayah, lambat pula saya datang,” kata Hana kepada wanita itu.

Sejujurnya, dia agak kesal kerana lambat sampai. Ini semua salah si bodyguard Cik Eve yang mencuri masanya tadi. Bodyguard bukan sebarang bodyguard, itu yang Fahmi beritahunya. Ah, lantaklah. Bukan dia peduli pun!

“Tak apa. Saya pun baru sampai,” jawab Puan Gayah.

Hana melemparkan senyuman manis kepada wanita itu. Kemudian, setelah memesan minumannya kepada pelayan yang datang mengambil oder, dia kembali menumpukan perhatian kepada Puan Gayah. 

“Cik Hana, saya ni sebenarnya takut nak share maklumat. Kotlah tiba-tiba ada orang cari saya. Saya dah simpan lama perkara ni,” kata Puan Gayah. 

Terasa galau hatinya. Kembalinya ke Malaysia setelah lama bermastautin di luar negara adalah semata-mata untuk memberitahu perkara tersebut. Namun, habislah dia dan anak-anaknya jika keberadaannya di Malaysia diketahui oleh pihak musuh.

“Tak apa, jangan takut. Maklumat ni saya rahsiakan. Pertemuan kita pun rahsia. Saya takkan dedahkan kepada sesiapa pun,” balas Hana.

"Isy betul ke ni? Cik yakin ke? Saya takutlah." Wanita itu membalas kurang yakin.

Matanya meliar ke kiri dan ke kanan. Wajahnya kelihatan takut-takut. Entah apa yang ditakutkan sangat, tidaklah Hana tahu. Apa yang dia tahu, hari ini dia mesti dapatkan keterangan wanita itu yang menjadi saksi kes pembunuhan ayahnya. Penat dia jejak keberadaan wanita ini, peluang sedang terbentang di depan mata kot. Takkan dia nak sia-siakan?

“Puan, kita mulakan ya.”

Siapa saksi lain kes kemalangan di Jalan Pahang 15 tahun lepas?

Betul ke bukti kukuh masih ada dalam simpanan saksi itu?

Di mana dia sekarang?

Soalan-soalan itu ditanya dengan berhati-hati kepada Puan Gayah. Mujurlah wanita itu memberi kerjasama yang baik walaupun ada ketikanya berkerut-kerut muka ketika menceritakan apa yang berlaku. Walaupun kejadian tersebut sudah berlaku 15 tahun lepas, katanya peristiwa tersebut masih segar dalam kotak memorinya. 

Dalam bercerita, sesekali nafasnya ditarik untuk menghilangkan perasaan galau dalam hati. Walaupun takut dengan ancaman yang bakal diterima, dikuatkan hatinya untuk menceritakan peristiwa tersebut. Baginya, kejahatan tidak boleh berleluasa dan kebenaran harus diungkapkan walaupun perit untuk diterima. Yang lebih penting, keadilan mesti ditegakkan buat suaminya yang tercinta.

Previous: BAB 5
Next: BAB 7

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Angel_k20