Bella Rosa II
Dzar menoleh mengangkat mata supaya
Izz mengulangi soalannya semula.
“ Kau nak buat apa sekarang ni?”
Pagi itu mereka bertemu lagi. Izz mahupun Adni seperti
tidak mahu membiarkan dia duduk bersendirian. Takut dia melarikan diri dalam
keadaan senyap-senyap mungkin. Jadi tidak hairanlah apabila sesudah subuh
sahaja Izz sudah terpacak di depan pintu biliknya. Dia hanya mengangguk sahaja
apabila Izz memberi alasan mahu mengajaknya melihat matahari terbit. Mereka
berjalan kaki hampir sepuluh minit untuk tiba di menara puncak. Menara yang
sememangnya disediakan untuk pengunjung datang melihat keindahan alam ciptaan
ALLAH itu.
Dzar hanya ketawa mendengar soalan itu. Selama lapan
bulan ini dia berusaha melakukan apa sahaja untuk mencari rezeki sesuap nasi.
Dia sanggup melakukan apa sahaja pekerjaan asalkan halal rezekinya namun
setelah lapan bulan, dia masih bergelar penganggur. Masih belum ada insan yang
sanggup berkata iya. Masih ramai yang memandangnya dengan hina hanya kerana dia
pernah menjadi penghuni tirai besi.
“ Aku tak rasa mana yang lucunya
soalan aku tu.” Izz bersuara sekali gus mematikan tawanya.
Dzar mengeluh panjang. Tidak tahu macam mana hendak
diterangkan gelodak jiwanya menghadapi dugaan yang satu ini.
“ Payah Izz. Tak ada seorang pun yang sanggup nak beri
peluang kepada aku. Bekas banduan masih lagi menjadi satu stigma dalam
masyarakat kita ni. Yang buruk dan hitam tu tetap buruk dan hitam pada
pandangan mereka,” keluhnya kesal memikirkan nasib diri. Mereka tidak melihat
ijazah yang diperolehinya dari Universiti luar negara. Mereka tidak melihat
sumbangan dan pengalaman yang pernah dilaluinya. Semua itu tidak bermakna
apabila dia menyandang gelaran banduan Universiti penjara. Jangan kata untuk
temu duga...mengisi borang permohonan sahaja dia sudah gagal segala-galanya.
“ Kalau kau datang jumpa aku dulu, kau dah ada kerja
tetap dah sekarang.” Izz memulangkan paku buah keras mengenangkan keengganan
Dzar mencarinya selepas dibebaskan dahulu. Apabila Dzar tidak menjawab, dia
menyambung kata-katanya semula.
“ Dzar...aku tak
nak bercakap fasal benda yang dah lepas. Dan aku tak nak bercakap tentang ‘what if’, tapi pintu rumah aku sentiasa
terbuka untuk kau. Selama-lamanya,” tegasnya mahu Dzar memahami kata-katanya.
Dia faham apa yang sedang dialami oleh Dzar dan
sesungguhnya dia pernah merasainya. Dia pernah berada di tempat yang sama.
Namun mujurlah dia masih ada keluarga yang masih mahu menerima dirinya. Dan
syukurlah dia masih ada Adni yang setia menanti. Ada Adni di sisi menjadikan
hidupnya lebih bermakna.
“ Apa jadi dengan Belle Rosa di PD?” Dzar pantas menukar
topik. Dia tidak suka bercakap mengenai dirinya. Apatahlagi sesuatu yang
membuatkan dia berasa seperti lelaki yang lemah dan putus harapan.
“ Masih ada. Aku tetap ‘base’ dekat sana. Bila semua di
sini dah settle...aku pindah ke sana
semula,” balasnya sambil merenung keindahahan panorama di depan mata. Matahari
yang malu-malu mula menampakan sirnanya. Indah! Satu perasaan yang sukar
diungkap. Menyaksikan matahari terbit merupakan aktiviti wajib dilakukannya
setiap pagi. Adni sendiri sudah maklum akan sikapnya itu dan kadangkala Adni
turut menyertainya bersama.
“ Adni cakap kau nak buat renovation...aku tahu mungkin kau dah ambil pekerja...” Dengan
sedikit teragak-agak Dzar bersuara. Dia tahu dia mungkin sudah terlambat
mengenangkan Izz mungkin sudah punya rancangannya sendiri. Jika Izz menolak
sekalipun dia tidak akan menyalahkan lelaki ini. Izz sudah terlalu baik untuk
dia yang selalu menimbulkan masalah di mana-mana.
“ Ok..you’re in,”
Potong Izz sebelum sempat Dzar menghabiskan kata-katanya. Izz tidak terkejut
apabila Dzar kelam sahaja wajahnya. Dia tahu Dzar tidak memahami kata-katanya.
Dia menepuk bahu Dzar perlahan.
“ There’re always
room for family, Dzar.Bila-bila masa. Selama-lamanya. Aku dah anggap kau
macam adik aku sendiri.” Dan dia ikhlas ketika melafazkan kata-kata itu. Dia
sudah menganggap Dzar seperti darah dagingnya sendiri.
“ Aku tak nak menyusahkan kau Izz. Dan banyak sangat kau
tolong aku.” Dzar terharu. Lelaki ini lelaki yang mulia. Sanggup menerimanya
tanpa syarat. Tanpa ada tuntutan dan permintaan sembunyi sebagai balasan.
“ Renovation
sebenarnya tak banyak lagi yang tinggal. Tapi memandangkan aku tahu kau suka
laut, aku ada tugas tambahan yang aku rasa kau mesti suka...”
“ Apa saja,” sahut
Dzar pantas. Dia tekad sanggup melakukan apa sahaja untuk membalas budi baik
lelaki ini. Dia tidak akan tinggal di sini secara percuma. Selagi kudrat masih
ada, dia akan terus berusaha.
“ Kalau kau perasan, selain dari keindahan dia, tarikan
kat pulau ni sebenarnya aktiviti diving dan snorkeling. Kalau kau tengok
chalet-chalet lain memang gigih dok promote pakej-pakej macam ni. Kitaorang pun
masih baharu kat sini, so belum sempat nak ‘set up’ benda alah ni. Peralatan,
bot semua lengkap. Orang nak incharge
yang tak ada. Aku ingat lagi kau dulu
giler diving kan? Lesen pun dah tahap pro. Aku ingat nak buat pakej scuba dan
diving kat sini...so..aku..”
“ Okay...I’m in,”
sampuk Dzar sepantas kilat. Dia sudah mula tersenyum apabila mendengar saranan
yang belum sempat dinyatakan itu. Ini sudah cukup baik untuknya. Lagipun sudah
beberapa tahun minat dan hobi nan satu itu terkubur begitu sahaja. Namun dia
akan pastikan selepas ini kemahiran yang hampir berkubur itu digilap semula.
Dalam kelam jiwa, entah mengapa dirasakan bias cahaya mula menginjak tiba. Dzar
menggeleng perlahan mengutuk dia sendiri. Sejak bila dia mula berlembut hati
macam ini sekali?
Kg Sg
Akar, Batu Kurau
Diana
meneliti kertas yang dibawa. Semua bahan yang diminta oleh emak sudah dicari
melainkan satu sahaja. Dia menjenguk di antara rak-rak yang terdapat dikedai
itu. Hati berdoa biarlah ada semua bahan yang diperlukan. Jika tiada,
terpaksalah dia mencari di pekan Batu Kurau ataupun ke bandar Taiping. Walaupun
pekan itu tidaklah jauh, namun jika tiada apa yang mustahak, memang
seboleh-bolehnya dia lebih rela membeli di kedai ini.
“ Cari
apa, Dian?” Ajak yang sedang membaca suratkhabar menegur apabila menyedari
gadis itu seperti mencari sesuatu.
“
Coklat masakan ada tak bang? Dua hari lepas tengok macam ada.” Diana malu-malu
bertanya. Walaupun abang Ajak itu sudah dianggap seperti abang sendiri namun
semenjak dia makin dewasa, semakin segan dia bila berhadapan dengan lelaki itu.
“ Ada.
Semalam Dila dengan abang susun balik semua barang-barang kat kedai ni. Senang
sikit nak cari dari dok berterabur je. Nak yang coklat ke yang putih?” Ajak
sudah bergerak dari kaunter untuk mengambil bahan yang diperlukan.
“
Dua-dua.” Balasnya perlahan.
“
Mehlah tengok. Ada banyak jenis ni. Nak yang mana satu?” laung Ajak memanggil
Diana ke lorong belakang. Mahu tidak mahu Diana terpaksa menuruti. Secepat
mungkin dia memilih dan laju sahaja langkahnya menuju ke kaunter untuk
membayar.
“ Beli
bahan ni nak buat kek ke?” tegur Ajak melihat kesemua barang yang terhimpun di
atas kaunter.
Dian
mengangguk. Entah mengapa tiba-tiba sahaja tekaknya ini mahu menjamah kek.
Diajukan cadangan kepada emak, mujur emak rela membantu sama. Untuk membakar
sendiri, dia masih kurang pandai.
“
Nanti dah siap, bolehla beri abang Ajak sikit,” usik Ajak yang sengaja mahu
mencari reaksi daripada Diana. Jika dahulu, Diana orangnya peramah. Suka
tersenyum namun kini untuk melihat senyuman Diana cukup susah. Jangankan
senyuman, suaranya pula seperti ada emas sahaja. Ajak faham...apa yang membuatkan
Diana berubah laku seperti ini. Dia tahu segala-galanya. Tetapi perkara itu
sudah lama berlalu, sampai bila Diana mahu mengasingkan diri daripada mereka
yang menyayanginya?
“
Nanti dah siap...Dian hantar ke rumah. Dian balik dulu, abang.” Diana meminta
diri namun Ajak menghalang. Ada sesuatu yang dia hendak cakapkan kepada Diana.
“
Minggu lepas, abang pergi KL. Singgah kejap kat Sg. Buluh. Ingat nak lawat
Dzar. Tapi terkejutnya abang bila dapat tahu, Dzar dah dibebaskan.”
Beg
plastik di tangan terlepas ke bawah. Mendengar nama abangnya disebut serentak
perkataan dibebaskan itu membuatkan dia benar-benar terkejut. Wajah Ajak
dipandang untuk mendapatkan kepastian. Ajak mengangguk. Wajahnya sedikit muram
kerana berita yang bakal disampaikan akan lebih meresahkan. Dia tidak mahu
menjadi orang yang menyampaikan berita buruk itu tetapi dia tahu Diana lebih
rela mendengar daripada mulutnya sendiri.
“ Tapi
Dian...bukan itu saja. Abang dapat tahu Dzar dah dibebaskan sejak 8 bulan lalu.
Dia tak pernah beritahu? Dia tak telefon?” soal Ajak lembut. Tidak sanggup
melihat kedukaan yang begitu jelas terpancar pada mata Diana. Mendengar Dzar
keluar satu hal, apatah lagi pembebasan itu langsung tidak diceritakan kepada
mereka.
Diana
menggeleng perlahan. Wajahnya bingung mendengar apa yang disampaikan. Semenjak
abangnya menghalang mereka datang melawati, dia hanya akur kerana memikirkan
itu permintaan Dzar sendiri. Jarak mereka yang agak jauh juga menjadi punca
kenapa mereka menerima keputusan Dzar itu. Hati rasa tersayat mengenangkan
perbuatan Dzar.
Sampai
hati abang. Diana tunduk mengutip semula barang yang berterabur di lantai.
Bibirnya bergetar menahan tangis yang sedang menunggu masa untuk membuak-buak
keluar. Dia tidak akan menunjukkan kelemahan di hadapan orang lain. Dia tidak Dia
tidak akan menangis. Dia sudah puas menangis. Dengan sisa kekuatan yang masih
ada, dia bangun menghadap Ajak kembali.
“
Terima kasih abang Ajak. Dian balik dulu.”