Home Novel Thriller/Aksi PENJARA MATI
PENJARA MATI
Riduan Judin
12/1/2014 13:52:37
66,454
Kategori: Novel
Genre: Thriller/Aksi
BAB 6
BAB 6

Mid Valley, Kuala Lumpur

MARIA berjalan keluar dari panggung wayang yang terletakt di tingkat 3 kompleks membeli-belah agam itu. Dia sengaja berjalan seorang diri untuk menghilangkan tekanan mentalnya. Tadi, dia menonton filem Pacific Rimtetapi meninggalkan panggung dengan lebih awal apabila berasa jemu. Dan sekarang ini dia hendak pulang segera.

Maria mempercepatkan langkahnya menuju ke arah parking kereta miliknya. Apabila sampai, dia pantas mengeluarkan kunci kereta BMW 320i berwarna putih dan menghidupkan enjinnya. Maria segera menutup pintu, namun terhenti apabila pintu keretanya tiba-tiba disangga dengan tangan kekar.

“Kau nak ke mana, Maria?” Satu suara parau kedengaran di sebelah kanannya. Dia segera berpaling. Maka kelihatanlah satu wajah bertopeng yang melindungi wajah sebenarnya. Maria segera menjerit namun terhenti di halkum apabila tangan lelaki itu terlebih dulu singgah di mulutnya. Kemudian dia ditampar dan diacu pisau.

“Kau menjerit dan leher kau akan aku kelar!” Lelaki asing itu mengugut. Maria hanya mampu menangis dalam keadaan matanya dipejamkan. Dalam fikirannya, dia akan mati.

Lelaki itu segera mengikat pergelangan tangan Maria dan menekup mulut gadis itu dengan pita pelekat. Dia pasrah. Kalau tidak, lehernya pasti bersemburan darah. Dia akan dibunuh dengan cara mengelar lehernya yang mulus. Maka, jalan terbaik adalah menyerah tanpa melawan.

“Rasanya, ini bukan penggambaran sambungan filem KL Gangster kan?” Satu suara menyapa itu dari belakang. lelaki itu segera berpusing dengan tangan kanannya yang dilibas sama. Dia hendak menyerang lelaki yang mengganggu kerjanya. Maria tersentak, kala ini timbul sedikit sinar di jiwanya.

Malik pantas mengelak. Dia tunduk sedikit dan melepaskan beberapa tumbukan di perut lelaki itu, namun berjaya disanggah. Serangan Malik berbalas apabila satu tendangan padu mengenai bahunya. Malik terundur beberapa langkah ke belakang.

“Yang pasti, aku bukan Aron Aziz atau Adi Putra!” Balas lelaki bertopeng itu.

“Mungkin watak Zizan!” Sindir Malik sambil melancarkan serangan bertubi-tubi. Lelaki itu menyangga dan mengelak.

Kerana berkesempatan, lelaki bertopeng itu melancarkan satu tumbukan padu. Mujurlah Malik sempat menepisnya. Kalau tidak, wajahnya mungkin akan cedera. Selepas itu, Malik mencapai pergelangan tangan kanannya dengan pantas. Pisau di tangan lelaki bertopeng itu dirampas lalu mengenakan satu serangan gaya Muay Thai di hulu hati lelaki itu.

Lelaki bertopeng itu terbaring lesuh. Kudratnya terlucut setelah menerima hambatan demi hambatan yang tidak bertali arus. Dia tewas. Malahan, dia tidak mampu bangun kerana hulu hatinya terlalu pedih sehinggakan memaksanya untuk baring terlentang. Di sebalik deretan kereta, seorang lelaki yang bersembunyi di sebalik cermin gelap keretanya hanya senyum hambar. Dia kecewa dengan kekalahan anak buahnya.

Malik tidak menunggu lama. Dia segera masuk ke dalam kereta milik Maria dan menghidupkan enjinnya. Selepas itu, dia memacu pacuan empat roda itu menuju ke jalan keluar bangunan Mid Valley dan menuju ke lebuh raya Wilayah Persekutuan. Kereta mewah itu meluncur laju.

Malik memperlahankan kelajuan kereta. Tangan kanannya mengawal stereng kereta dan tangan kirinya membuka pita pelekap yang menutupi mulut Maria. Dia tercungap-cungap mencari nafas. Selepas itu, ikatan yang menambat pergelangan tangannya pula yang dibuka sambil mengawal kereta.

“Terima kasih.” Maria masih kelihatan agak takut tetapi berusaha untuk bertenang. Tadi, nyawanya di ambang maut. Dia hampir mati. Mujurlah Malik telah menyelamatkan dirinya.

“Jangan keluar seorang diri, terlalu bahaya.” Malik hanya bersahaja tanpa menjawab ucapan terima kasih daripada Maria.

“Namaku, Maria.” Maria menghulurkan tangannya. Malik hanya memandang wajah gadis itu dengan pandangan kosong, perlahan- lahan dia menyambut genggaman itu. Tangan mereka bertaut, antara sejuk dan panas. Tangan Maria sejuk sebab ketakutan dan tangan Malik agak panas sebab baru selesai berkelahi.

“Saya Malik.” Lelaki itu segera melepaskan genggaman tangannya.

“Saya berhutang nyawa dengan kamu, Malik.” Maria memandang lelaki itu. Dia bersyukur sangat-sangat kerana terselamat daripada musibah.

“Nyawa terlalu mahal, Maria. Berhati-hatilah setiap masa.” Malik sekadar menasihati.

“Em… kita nak ke mana ni?” Barulah Maria perasan yang mereka sedang menuju ke tempat yang dia tidak ketahui.

“Lari dari buruan penjahat itu.” Malik menjawab ringkas.

“Oh… destinasi?” Kali ini Maria inginkan kepastian. Dia tidak ingin kejadian tadi berulang kembali.

“Rumahmu di mana, Maria?” Tanya Malik.

“Taman Hartamas, Cheras.” Sepatah Maria menjawab.

“Kediaman orang-orang elit. Rupanya kamu orang berada.” Malik hanya memberikan tindak balas biasa berdasarkan pengetahuannya mengenai tempat itu.

“Tetapi tempat itu penuh luka. Ibarat penjara dalam sejarah hidupku.” Kali ini, Maria hanya terkedu. Kereta yang dipandu oleh Malik dan membuat pusingan ‘U’ langsung tidak disedarinya. Kala ini, memori silamnya mula tersingkap.

“Ibarat penjara?” Malik hairan.

“Ya, di tempat itulah keluargaku menerima khabar kelukaan mengenai ayahku Datuk Haris yang mati dibunuh di Hotel Hilton seminggu lalu.” Secara tiba-tiba Maria menceritakan kisah hidupnya. Walhal, dia baru sahaja mengenali lelaki itu.

Malik seperti disambar halilintar. Jadi, dia sedang bersama dengan anak gadis Datuk Haris yang telah mengundang malapetaka dalam hidupnya. Dia difitnah membunuh Datuk Haris. Dan sekarang, dia berkenalan pula dengan anaknya, Maria. Hatinya bergoncang kencang. Jantungnya berdegup dengan lebih kencang. Dia terpempan. Kali ini, Malik membisu panjang.

“Saya minta maaf Maria. Saya tak dapat hantar kamu balik. Saya akan berhenti di Kerinchi dan kamu pulanglah ke rumah.” Malik membuat keputusan drastik. Dia tidak ingin bersua muka dengan keluarga arwah Datuk Haris yang dikaitkan pembunuhan dengan dirinya.

“Tapi kenapa? Saya takut untuk pulang seorang.” Ujar Maria. Dia terkejut dengan tindakan drastik itu.

“Lambat laun, saya akan ceritakan kepadamu, Maria.”

“Saya nak bagi hadiah denganmu, Malik. Jadi, berkunjunglah ke rumahku walau sebentar.”

“Saya ikhlas menolongmu, Maria. Maaf kerana saya memang tidak akan ke rumahmu.” Malik tetap dengan pendiriannya.

“Kalau begitu, saya pasti akan mati jika ditemui lelaki tadi.” Maria jadi kecut kembali. Dia takut peristiwa hitam sebentar tadi berulang kembali. Malik terdiam lagi. Kali ini, dia bersimpati dengan nasib yang menimpa keluarga Maria.

“Baiklah, kita akan pulang bersama-sama.” Malik meneruskan perjalanan. Dia sengaja melencongkan perjalanan di sebelah Universiti Malaya yang bersebelahan dengan Institut Bahasa, agar pemanduannya tidak melewati lebuh raya yang berada di tepi bangunan membeli-belah Mid Valley. Sebaik-baiknya, dia akan mengelakkan sebarang masalah.

Selepas melewati menara TM, kereta mewah milik Maria terus meluncur ke arah jalan yang menuju ke KL Sentral. Di sana, mereka akan keluar mencari jalan untuk pulang ke Taman Hartamas, Cheras. Dan hal ini begitu menggembirakan hati Maria. ‘Terima kasih, Malik’, bisik hati hawanya.

Previous: BAB 5
Next: BAB 7

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.