Home Novel Thriller/Aksi PENJARA MATI
PENJARA MATI
Riduan Judin
12/1/2014 13:52:37
66,478
Kategori: Novel
Genre: Thriller/Aksi
BAB 7
BAB 7

Kota Kinabalu, Sabah

MAHAIRAHmelihat panorama bandar raya negeri di bawah bayu itu dengan perasaan teruja. Agak lama dia tidak tinggal dalam masa yang lama di kota ini. Dahulu, semasa dia melanjutkan pelajaran di Kuala Lumpur, dia hanya singgah sekejap sahaja untuk menunggu transit penerbangan dari lapangan terbang Kota Kinabalu menuju ke Kuala Lumpur.

Banyak sekali perubahan yang berlaku di kota ini. Bandarnya semakin dipenuhi dengan pelbagai bangsa manusia. Tidak kurang juga dari segi pembangunannya yang semakin pesat dan maju. Ibu negeri Sabah bukan lagi seperti dulu. Sekarang, bandar raya Kota Kinabalu dipenuhi cahaya neon yang gemerlapan dan bangunan yang tinggi-tinggi.

“Ira mahu makan?” Tanya ibunya, Rosiah. Mereka baru sahaja tiba di pusat bandar raya Kota Kinabalu.

“Ira masih kenyanglah, mama.” Jawabnya spontan.

“Tapi bapa lapar ni.” Hamid mencela seraya tergelak kecil.

“Bah, kalau begitu kita makanlah dulu. Lepas zohor kita bertolak ke Pusat perubatan Islam itu.” Ujar isterinya, Rosiah.

Mereka terus berjalan melepasi kompleks membeli-belah Centre Point setelah memarkir kereta di bahu jalan yang dikhaskan untuk parking kereta. Selepas itu, mereka melalui jalan Sinsuron 2 dan menuju ke Pasar Filipin. Masyarakat Sabah menyebut nama tempat itu ‘Pasar Filipin’ kerana kebanyakan peniaga di situ dipelopor oleh orang-orang Suluk.

“Macam di KK.” Ujar Mahairah yang berjalan beriringan dengan ibunya. Rosiah tergelak kecil.

“Bah, kupi-kupi dulu lepas kita siap makan.” Ujar Hamid yang separuh berseloroh. Mereka bertiga tergelak serentak.

Di Sabah, masyarakatnya penuh dengan pelbagai trademark.Justeru, orang luar yang masuk ke negeri bawah bayu tidak seharusnya berasa janggal kerana itu merupakan cara masyarakat Sabah bergurau senda dan menunjukkan keakraban persahabatan ataupun perhubungan. ‘Macam di KK’, ‘kupi-kupi dulu bah’ dan ‘bulilah kampung-kampung’merupakan trademarkterkenal dan diguna pakai di seluruh Sabah.

Bangsar South, Kuala Lumpur

DATUK MARJAN duduk di ruang tamu banglonya sambil menonton aksi thriller di Astro. Kerana berasa bosan dengan siaran Astro yang berulang-ulang setiap hari, lelaki itu menutup televisyen dan bersandar di sofa mewah. Sebenarnya, fikiran lelaki itu hanya tertumpu pada laporan analisis bursa saham syarikatnya yang agak kurang memberangsangkan sejak kebelakangan ini.

“Datuk.” Satu suara menyapanya dari arah pintu depan.

“Orang bawahan kau ditewaskan, Faizal?” Muka Datuk Marjan agak berkerut.

“Hanya orang bawahan saja, Datuk.” Faizal melabuhkan punggungnya di sofa berjenama yang berhadapan dengan Datuk Marjan.

“Ini mengenai duit, Faizal. Kau gagal dan kau mati kebulur di bumi Kuala Lumpur yang harga barang-barangnya semakin melangit ni.” Datuk Marjan memandang Faizal dengan mata yang menyingga. Dia kelihatan agak kurang gembira.

“Ini semua sebab lelaki tu, datuk.” Faizal membela diri.

“Ya, aku nak kau hapuskan Malik. Aku takut dia akan terlepas begitu sahaja.”

“Aku akan pastikan Malik mati, Datuk. Kalau tidak, dia pasti akan berlagak hero.” Faizal merengus kencang.

“Aku bagi kau tempoh, Faizal. Cuma kalau dapat diselesaikan dengan lebih cepat, itu lagi bagus. Dan kita akan bermandi duit.” Seiring itu Datuk Marjan galak ketawa diikuti oleh gelak ketawa Faizal. Mereka bersekongkol. Manusia tunggangan nafsu dunia semata-mata.

Taman Hartamas, Cheras

DATIN DIANA memeluk erat satu-satunya anak perempuannya tatkala mendengar bencana yang hampir membawa malang kepada gadis suntinya itu. Dia begitu bersyukur dengan pertolongan yang dihulurkan oleh Malik. Walaupun lelaki itu agak serius orangnya, tetapi wajahnya kelihatan bersih dan suci.

“Terima kasih banyak-banyak, Malik. Kalau bukan kamu, saya tak tahulah apa yang akan terjadi dengan anak saya ni.” Datin Diana tidak henti-henti membelai anak kesayangannya itu.

“Sama-sama. Cuma, seeloknya kalian tidak ke mana-mana buat sementara. Keadaan di luar sangat bahaya dan tidak terjangka.” Malik memandang sekeliling. Rumah itu terlalu mewah. Justeru, mereka akan selamat jika berdiam buat seketika. Rumah itu pun dilengkapi dengan sistem keselamatan yang tinggi.

“Memang seeloknya begitu, cuma Syarikat Sama Sepakat Sdn.Bhd tu tiada yang menguruskannya.” Datin Diana risau mengenai perjalanan syarikat yang agak tergendala sejak beberapa hari lalu.

Malik terdiam. Dia sememangnya akur dan faham dengan situasi itu. Mereka tiada pilihan. Dikhuatiri syarikat peninggalan Datuk Haris akan lingkup jika tidak diuruskan dengan bersungguh-sungguh. Maka, jalan terbaik adalah berserah sepenuhnya kepada ALLAH Taala. Dia sebaik-baik perancang dan pelindung. Maha Suci ALLAH.

“Kamu tinggal di mana, Malik?” Datin Diana pantas mengubah topik.

“Saya hanya insan biasa, tinggal di kawasan rumah kos sederhana di Damansara.” Jujur Malik.

“Rasanya kau tidak keberatan untuk tinggal beberapa waktu di rumah ini.” Maria mencela. Malik tersentak. Datin Diana merenung tajam wajah Maria. Pandangan mereka bertaut.

“Terima kasih, tapi tidak elok tinggal di rumah yang hanya dihuni oleh wanita.” Malik bukan tidak sudi, Cuma situasi sebegitu agak berat baginya.

“Tapi kita bertiga.” Ujar Maria.

“Benar, tetapi pekerjaan saya pasti akan tergendala. Saya boleh dibuang kerja. Jika itu berlaku, saya pasti mati kebulur di kota ini.” Malik menolak dengan cara baik.

“Baiklah, tapi kalau kamu ada masa senggang, datanglah ke rumah ini.” Akhirnya, Datin Diana membuat satu kenyataan yang menyokong pendirian Malik.

“Insya-Allah. Saya akan kembali lagi. Justeru sekarang saya hendak minta diri. Kereta saya masih tertinggal di Mid Valley.” Ujar Malik. Datin Diana dan Maria hanya tersenyum.

“Tunggu sekejap, Malik.” Datin Diana segera berdiri dan menuju ke meja tulis. Di situ dia mencoret sesuatu di atas sekeping kertas.

“Ini hadiah untuk kamu, Malik. Ambillah.” Datin Diana menyerahkan sekeping cek berjumlah lima puluh ribu ringgit. Malik terkedu.

“Jumlah ini sangat banyak, Datin. Saya keberatan untuk menerimanya.” Malik Ikhlas.

“Ambillah, kalau tidak… kami berdua akan kecewa dan berasa terhutang nyawa yang dengan kamu, Malik.” Datin Diana segera memasukkan cek itu ke dalam poket baju kemeja yang dipakai oleh Malik.

“Kala begitu, terima kasih. Cuma duit ini akan mengganggu kehidupanku. Saya tidak pernah hidup mewah.” Malik tetap merendah diri. Dia sedar siapa sebenarnya dia. Sejarah hidup, termasuk sala-sila keluarganya.

Dalam hati dia berkata ‘ Bukankah hutang emas boleh dibayar, dan hutang budi dibawa hingga ke mati’. Itulah ungkapan agung pujangga Melayu. Adab sopannya begitu teratur. Namun, kerana ingin menjaga perasaan mereka, Malik menyambut juga pemberian itu.

Selepas itu, Malik meminta diri untuk pulang. Maria tidak terlupa untuk mengambil maklumat perhubungan lelaki itu termasuk nombor telefon dan alamat rumah. Kalau ada kecemasan, maka dia akan meminta bantuan.

Previous: BAB 6
Next: BAB 8

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.