Home Novel Thriller/Aksi PENJARA MATI
PENJARA MATI
Riduan Judin
12/1/2014 13:52:37
66,472
Kategori: Novel
Genre: Thriller/Aksi
BAB 5
BAB 5

Ibu Pejabat Polis, Bukit Aman

INSPEKTOR ROZMAN meneliti perancangan melalui operasi yang dilakukan untuk menjejaki lelaki yang disyaki pembunuh bersiri itu. Dia berfikir sejenak, kenapa manusia sanggup melakukan perkara berdosa itu. Bukankah hidup dan mati manusia hanya urusan ALLAH. Dan manusia tidak berhak menentukannya. Mati dan jodoh sudah tertulis sejak azali – di Luh Mahfuz.

“Manan, tingkatkan rondaan dan sekatan jalan raya di sekitar ibu kota. Aku mahu lelaki itu diberkas secepat mungkin. Tambahkan juga unit yang bertugas di sekitar Petaling Street.” Inspektor Rozman mengeluarkan arahan tanpa berlapik lagi. Kes itu harus diselesaikan dengan segera.

“Baik, Tuan.” Manan kelihatan agak serius.

“Seperkara lagi, pastikan setiap pasukan menjalankan tugas dengan baik. Aku tidak mahu profesion kita dipijak-pijak oleh masyarakat!” Inspektor Rozman segera beredar dari situ. Manan pula hanya tunduk mengangguk. Dia akur dengan arahan.

Manan berdiri dari tempat duduknya dengan fikiran yang berat menghimpit kepala. Kalau terus begitu, dia boleh mati secara mendadak. Kalau tidak pun, dia akan terkena darah tinggi. Dan ini pasti bekal mengundang maut.

Taman Hartamas, Cheras

RUMAH BANGLO milik Datuk Haris yang berdiri agam kelihatan agak sunyi. Semenjak kematian Datuk Haris, rumah mewah itu umpama penjara. Kehidupan di dalamnya hanya berteman dengan air mata. Dan sudah pastinya, isterinya Datin Diana dan anak gadisnya Maria yang dihambat duka.

“Mama, tak sangka papa dah pergi dulu.” Maria teresak dalam pelukan ibunya.

“Sabar nak, mama masih ada untuk Maria.” Datin Diana membelai bahu Maria. Dia berusaha untuk memujuk hati muda anaknya yang kian terluka. Walhal, hatinya sendiri sedang berduka. Seperti kaca yang terhempas di batu berkecai, dan tidak mungkin dapat dicantum semula.

“Siapalah yang sampai hati berbuat khianat, mama?”

“Entahlah, Maria. Mama pun tidak tahu. Mungkin sudah takdirnya kita mendapat nasib sebegini.” Datin Diana menangisi pemergian suaminya itu saban hari. Hatinya seolah-olah telah mati dan terkubur bersama arwah datuk Haris di tanah perkuburan Islam.

Loceng pintu pagar berbunyi. Maria segera mengangkat wajah sembamnya dari bahu Datin Diana. Mereka saling berpandangan dan menuju ke arah tepi tingkap.

“Polis, mama.” Maria agak terperanjat dengan kedatangan drastik pihak Polis itu.

“Mungkin mereka ingin membuat siasatan. Mari, kita temui mereka.” Datin Diana seperti mendapat semangat baharu. Mereka berdua segera ke dinding pintu utama dan menekan sebuah tombol pagar automatik itu.

Pintu rumah banglo itu dibuka luas. Beberapa orang anggota Polis segera menuju masuk di perkarangan rumah agam itu. Inspektor Rozman yang ditemani orang kanannya Sarjan Mejar Manan. Bersama beberapa orang anggota Polis lain. Dalam pergaulan mereka seharian, mereka lebih senang memanggil panggilan ‘Manan’ berbanding namanya diapit dengan gelaran dan pangkat.

“Assalamualaikum, Datin.” Salam kesejahteraan dihulurkan.

“Waalaikumsalam.” Salam dijawab dengan suara lemah. “Maaf mengganggu, kami Polis dari Unit Bukit Aman. Saya Inspektor Rozman dan yang lain ialah pembantu saya. Kami ingin menjalankan sedikit siasatan. Boleh saya masuk?” Sebelum dipelawa, Inspektor Rozman sudah pun menawarkan diri untuk masuk. Biasanya begitulah cara pihak Polis untuk menjalankan siasatan. Datin Diana hanya mengangguk lemah.

“Maaf Datin, adakah Datuk haris mempunyai musuh?” Inspektor Rozman membuka permulaan bicara setelah melabuhkan diri di sofa berjenama.

“Setahu saya, dia tidak mempunyai musuh. Hatta dalam dunia perniagaan sekali pun. Sebelum ini, kami hidup tenang tanpa sebarang gangguan.” Datin Diana kelihatan berduka.

“Datuk Haris ditembak dengan tragis. Saya tidak berpendapat bahawa beliau tiada musuh. Kalau bukan musuh, siapa lagi yang sanggup berbuat sedemikian.” Hujah Inspektor Rozman sememangnya sentiasa berasaskan ilmu kepolisan. Dia dibunuh. Dan sudah pasti si pembunuh ingin mendapatkan sesuatu kebaikan selepas membunuh mangsa.

“Tapi kami tidak mempunyai musuh.” Datin Diana menegaskan hujahnya.

“Benarkah begitu?” Inspektor Rozman bertanya buat kesekian kalinya. Dia tahu, emosi Datin Diana masih agak rapuh.

“Benar. Cuma, sebelum Datuk Haris outstation, saya ada terdengar dia berbual dengan seseorang melalui telefon.” Datin Diana terkedu. Dia sebak.

Imbas kembali…

DATIN DIANA terjaga daripada tidurnya. Dia meraba-raba di sebelah pembaringannya - kosong. ‘Mungkin Datuk Haris juga ke bilik air’ fikirannya ligat berbaik sangka. Dia segera bangun dan menapak keluar dari kamar tidur mereka. Perutnya yang meragam memaksanya untuk mempercepatkan langkah.

Apabila sampai ke sebelah bilik bacaan, langkahnya terhenti serta-merta apabila melihat lampu di dalam bilik itu terpasang. Bilik itu terang benderang. Dia segera menekup telinga dan mendengar bunyi dari arah dalam.

“Aku tidak akan masuk campur dalam hal itu, aku dengan empayar business aku, dia dengan urusan dia. Aku tak nak ambil risiko!” Suara Datuk Haris agak meninggi. Datin Diana tersentap. Sebelum ini, tiada pula dia mendengar suaminya berperang lidah sebegitu.

Perut Datin Diana bagaikan terhenti meragam. Dia segera masuk ke dalam bilik dan berpura-pura melelapkan mata. Setelah beberapa minit berlalu, barulah kedengaran pintu dikuak dari luar. Dia hanya diam membisu. Dia takut untuk bertanya.

“Jadi Datuk Hari ada bertengkar melalui telefon bimbit. Sayangnya, semua peralatan peribadi seperti telefon bimbit tidak ditemui di tempat kejadian. Mungkin diambil oleh si pembunuh.” Inspektor Rozman memberikan andaiannya sendiri.

“Saya harap pihak Polis akan memberkas pembunuh sebenar dalam kes ini.” Datin Diana segera mengesat air matanya yang bergenang.

“Insya-ALLAH Datin, doakan kami agar cepat-cepat memberkas pembunuh itu. Dia mesti mati di tali gantung. Dia pasti tidak akan dapat lari daripada seksyen 302.” Inspektor Rozman membuat ikrar. Orang bawahannya pula hanya sebagai pemerhati. Andai ada sebarang cadangan, mereka akan mengutarakan semasa di ibu pejabat kelak.

DAUN-DAUN bunga di sebalik pagar rumah diselak. Mata yang sedari tadi mengintai rumah banglo itu sengaja disembunyikan di sebalik kaca mata hitam berjenama. Matanya terarah kepada Datin Diana dan sesekali kepada Maria. Yang menghairankan, Polis yang bertandang tidak pula menjadi perhatiannya.

Lembaga manusia itu akhirnya pergi apabila jenuh menjadi pemerhati. Yang pasti, dia akan kembali lagi. Motifnya? Hanya dirinya dan ALLAH sahaja yang tahu. Siapa dia sebenarnya? Kenapa mengintip rumah agam itu dengan cara sedemikian rupa?

Previous: BAB 4
Next: BAB 6

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.