Taman Suria,
KLCC
MALIK hanya berdiri di kejauhan. Menara berkembar yang
tersergam indah tidak berjaya menawan hatinya. Dia melihat suasana di
perkarangan Taman Suria itu dipenuhi manusia yang pelbagai warna rambut dan kulit.
Ini menandakan, negara Malaysia begitu disukai pelancong. Wajahnya seperti
semalam, langsung tiada tanda-tanda yang dia akan hidup gembira selepas itu.
Matanya yang diselindungkan di sebalik kaca mata hitam berjenama tidak
berkedip.
Dia begitu asyik memandang ke arah seorang wanita
yang tersenyum manis bersama seorang rakannya. Jauh di sudut hati, dia juga
ingin hidup seperti mereka. Gembira, malah jauh daripada segala kemurungan yang
melampau. Dia terus mengamati wanita itu, kelihatan anggun menawan.
Intan terhenti ketawa apabila perasan mengenai
lelaki di depan mereka yang mengenakan kaca mata hitam. Dia percaya, lelaki itu
pasti sedang melihat gelagat dirinya bersama Maya, kawan karibnya dari bangku
sekolah lagi. Dia segera menghentikan tawa. Dia mula takut.
“Maya, kau perasan tak dengan sorang mamat di depan
yang pakai kaca mata hitam. Aku rimaslah.” Intan mengomel.
“Lelaki di Kuala Lumpur ni kau nak hairan apa,
Intan.” Maya menjawab selamba.
“Aku takutlah, macam pandang kita semacam aje.”
Intan mendekatkan bahunya ke bahu Maya.
“Alah, biasalah lelaki. Tengah cuci matalah tu.”
Maya berpura-pura melihat ke depan sebelah kanan. Hujung matanya diarahkan
kepada lelaki itu. ‘Sah, lelaki itu memang sengaja cuci mata.’ Hatinya
bermonolog. Mereka berdua pantas meninggalkan tempat itu.
Hotel Hilton
Petaling Jaya, Selangor
INSPEKTOR ROZMAN meneliti setiap penjuru bilik hotel
itu. Kehadirannya bersama beberapa orang pakar forensik di situ atas dasar
penyiasatan jenayah itu. Dalam kes pembunuhan itu, ia membabitkan pihak hotel dan
beberapa individu di bilik sebelah sebagai kaedah untuk mencari maklumat.
“Tiada
apa-apa yang ditinggalkan oleh pembunuh, tuan.” Laporan orang bawahan Rozman
teramat mendukacitakan. Wajahnya masam mencuka. Dia kelihatan agak serius.
‘Mustahil pembunuh itu tidak meninggalkan kesan.’ Hatinya berkata-kata.’
Matanya
difokuskan pada satu benda yang agak terselindung di sebalik permaidani
berwarna keemasan itu. Inspektor Rozman pantas menuju ke arah itu dan mencapai
sesuatu. Dia tersenyum sinis. Hatinya dilanda pelbagai persoalan.
“Subang
emas.” Manan agak terperanjat. Orang bawahan Inspektor Rozman itu kelihatan
terkial-kial kerana tidak menjumpai apa-apa semasa memeriksa tempat itu tadi.
“Adakah
ini milik pembunuh itu?” Inspektor Rozman yang bersarung tangan putih mendekatkan
subang itu ke matanya.
“Mungkin
juga, Tuan.” Ujar Manan. Beberapa orang unit forensik kelihatan khusyuk
menjalankan tugas masing-masing.
“Kita
ke lobi, ambil semua rakaman CCTV dan jalankan siasatan di bilik gerakan kita.”
Inspektor Rozman mengeluarkan arahan. Setakat ini, dia tidak mempunyai sebarang
bukti kukuh melainkan sebelah subang emas yang dijumpainya. Ini termasuk dalam
kes berat. Ada pembunuhan tetapi tiada bukti yang ditinggalkan.
“Mustahil
ini kerja hantu!” Inspektor Rozman segera beredar dari situ. Pagi ini, dia
gagal mencari tanda untuk menyelesaikan kes tersebut. Dia harus bekerja lebih
keras.
Bilik
yang disewa oleh Datuk Haris segera ditinggalkan. Maka, proses membersihkan
bilik itu akan dijalankan bagi mengelakkan bau hanyir darah yang mewarnai
permaidani lantai. Manan segera ke lobi untuk mendapatkan rakaman CCTV,
manakala Inspektor Rozman segera ke luar hotel untuk menghirup udara yang lebih
baik daripada udara di dalam hotel itu yang dirasakannya umpama bau darah yang
meloyakan.
INTAN menyelongkar beg tangannya. Purse yang dihadiahkan oleh ayahnya
tidak terdapat di beg tersebut. Mungkin tercicir. Dia teraba-raba dalam kalut.
Jiwanya berkecamuk. Dia mengeluh berulang kali. Baju yang sudah berada di
tangannya dibelek berulang kali.
“Kau
gunalah duit aku dulu, Intan. Tapi, jangan lupa bayar tau. Aku tengah kering ni.” Maya berseloroh.
“Keringlah
sangat. Habis yang ayah kau bagi duit ribu-ribu setiap bulan tu apa?” Intan
mencubit-cubit pinggang Maya. Mereka sama-sama ketawa. Mereka segera beredar
dari situ.
“Maaf,
rasanya purse ini milik kalian.”
Suara seorang lelaki kedengaran dari arah belakang. Intan dan Maya segera
menoleh. Mereka terperanjat bukan kepalang. Lelaki yang berdiri di depan mereka
semasa di Taman Suria mengunjukkan purse
berwarna kelabu. Mereka berdua tergamam tanpa kata. Intan segera mengambilnya.
“Terima
kasih.” Ujar Intan. Malik hanya mengangguk lemah kemudian berpaling dan beredar
dari situ. Mereka berdua hanya kaku membisu tanpa sempat berbuat apa-apa.
Mereka berdua rasa terpukul dengan prasangka buruk. Selepas itu, mereka berdua
segera