Home Novel Thriller/Aksi PETAKA NYAWA
PETAKA NYAWA
Riduan Judin
12/1/2014 20:04:10
107,933
Kategori: Novel
Genre: Thriller/Aksi
BAB 12

Kerajaan Langkasuka

PESTA besar-besaran yang diadakan oleh Raja Mahadewa sangat meriah. Rakyat jelata Kerajaan Langkasuka berpusu-pusu memasuki kawasan perkarangan Istana. Suasana hiruk-piruk itu membingit gegendang telinga. Majlis keramaian yang berlangsung ternyata sangat melalaikan hati. Pergaulan bebas, arak, judi dan sebagainya menjadi penghibur nombor satu para pemuja dunia itu. Pangeran Aring dan Bagaro sangat suka dengan suasana seperti ini.

“Pangeran, kita terlupa satu perkara.” Bagaro tiba-tiba sahaja bersuara. Pangeran Aring berhenti meminum air alah itu.

“Kenapa Bagaro?” Pangeran ligat berfikir.

“Cuba Pangeran tengok lelaki-lelaki itu.” Bagaro memuncungkan mulutnya ke arah sekumpulan lelaki yang sedang duduk di sebelah unggun api yang dinyalakan sambil meminum arak. Pangeran Aring mencebik.

“Kau betul, Bagaro. Pengawal-pengawal itu harus mati malam ini juga.” Pangeran Aring menghabiskan arak yang berbaki dalam gelasnya. Rupa-rupanya lelaki-lelaki yang dimaksudkan oleh mereka ialah para pengawal yang menahan mereka hari itu di pintu gerbang Kota Langkasuka.

“Mari kita berseronok sampai puas malam ini, Bagaro. Hahaha…” Pangeran Aring galak ketawa kemudian disusuli pula oleh Bagaro yang ketawa terbahak-bahak.

PARA pengawal itu terpegun apabila melihat dua wanita cantik sedang menuju ke arah mereka. Penampilan dua wanita itu nampak sangat berbeza dengan wanita-wanita yang ada di sekeliling mereka. Naluri kelelakian yang membuak-buak membuatkan mereka hilang kawalan diri. Nafsu menguasai akal fikiran. Dua wanita itu semakin mendekat, bau-bauan yang sangat harum menusuk kalbu dan jantung.

“Maafkan kami wahai tuan, bolehkah kami memanaskan badan sebentar?” Wanita yang berbaju telus pandang itu melirikkan mata sambil tersenyum.

“Dipersilakan, wahai gadis cantik.” Seorang pengawal lalu berdiri dan mendekati gadis itu. Mereka sama-sama seronok dan terhibur malam ini. Para pengawal dan wanita itu berbual-bual, sesekali kedua wanita itu merengek dan membuat gerakan badan yang manja. Panahan syaitan ternyata amat mudah menembusi hati tanpa iman.

“Wahai tuan sekalian, kami berdua akan pulang ke rumah sekarang, nanti kita berbual-bual lagi, ya.” Seorang daripada wanita itu berkata sambil berdiri.

“Kenapa begitu awal, wahai gadis cantik? Kita berseronoklah dulu.” Ketua pengawal itu memujuk.

“Orang tua kami pasti sedang menunggu, lagipun kampung kami agak jauh, tuan.” Gadis yang seorang lagi pula yang bersuara.

“Kalau begitu, biarlah kami menghantar kamu berdua pulang.” seorang pengawal bersuara.

“Terima kasih atas kebaikan tuan.” Kedua gadis itu berpaling lalu berjalan menuju ke luar perkarangan Istana. Para pengawal itu seraya berebut-rebut untuk berjalan seiringan dengan kedua gadis itu.

Para pengawal itu berasa lelah apabila merentasi hutan belantara, tetapi tidak pada kedua gadis itu. Selang melalui dua perkampungan, tidak ada lagi perkampungan di hadapan melainkan hutan belantara yang penuh dengan kesuraman.

“Masih jauhkan, wahai gadis cantik?” Ketua pengawal itu mengah.

“Kita berehat sebentar di sini.” Gadis itu berkata seraya duduk di seketul batu.

“Baiklah, semua duduk.” Kata ketua pengawal tersebut.

Kedua gadis itu berdiri lalu menghampiri lelaki-lelaki hidung belang itu. Para pengawal itu tidak tahu bahawa maut sedang mengintip nyawa mereka. Para lelaki itu bertolak-tolakan.

“Usah berebut wahai tuan sekalian.” Gadis itu perlahan merunduk. Pastinya ketua pengawal itu dahulu yang akan mengambil tugas.

Sedang mereka asyik berasmara, kedua-dua wanita itu tiba-tiba bersuara parau. Para pengawal itu terundur ke belakang. Tidak semena-mena, bentuk badan kedua gadis itu berubah menjadi lelaki. Kemudian menjelma pula yang empunya badan.

“Sa…saudagar!” Ketua pengawal itu terduduk sambil mengengsot ke belakang.

“Kalian akan mati malam ini, lelaki keparat!” Pangeran Aring tampak geram melihat para pengawal itu.

Pangeran Aring dan Bagaro lantas menyeringai. Bulu-bulu kasar tumbuh di badan dengan cepat, kuku mereka bak belati berkilau apabila disimbah cahaya bulan. Dalam sekelip mata sahaja dua manusia sumpahan itu sudah menjadi makhluk baharu yang menyerupai serigala. Deraman kedua makhluk itu sahaja telah membuatkan para pengawal itu terkencing dalam seluar.

Masa tidak dibazirkan. Pangeran Aring dan Bagaro lantas membuat lompatan tinggi lalu membenamkan gigi-gigi tajam lantas mengoyakkan daging di bahagian leher mereka. Darah merah pekat menyeruak. Cantasan kuku di bahagian perut mereka menyemburkan darah dan isi perut yang akan menyuburkan hutan belantara ini.

Kesepian malam yang bertandang berkecai dengan lolongan serigala itu. Bulan mengambang di langit bisu, seakan-akan merelakan pembunuhan itu dan menjadi pemerhati sahaja.

KERESAHAN Raja Baytizan semakin membalut hatinya. Kunjungan Lelaki yang pernah mengikat dirinya dengan perjanjian dahulu datang menagih janji. Kepalanya terasa berdenyut-denyut, ubun-ubun kepalanya seperti ditarik dari atas. Fikirannya benar-benar bercelaru sekarang.

Imbas kembali…

RAJA BAYTIZAN pernah jatuh hati dengan seorang gadis di Kota Amrah, yakni Kota Amuriah pada masa kini. Ketika itu, dia baru sahaja memegang tampuk pemerintahan kerana Ayahandanya mangkat. Namun gadis itu pula berperasaan sebaliknya kerana dia akan berkahwin dengan seorang lelaki pedagang di Kota itu. Dan situasi inilah yang tidak disukainya.

Sudah kian lama Raja Baytizan memakan hati sendiri. Kerinduannya terhadap gadis idamannya semakin mencengkam urat jantung. Kejelitaan gadis itu benar-benar membuatnya nekad untuk memilikinya. Keanggunannya merobek palung hati. Sesiapa sahaja yang melihat pasti akan terpesona dan Raja Baytizan termasuk dalam golongan itu. Dia kemudian mengupah beberapa orang untuk membunuh lelaki yang dicintai oleh Amuriah.

Namun cinta bukan paksaan. Amuriah tetap sahaja dengan perasaannya terhadap lelaki itu. Justeru, Raja Baytizan mencari cara lain namun gagal. Raja Baytizan kemudiannya menemui seorang tabib yang dipercayai boleh mengikat kasih antara mereka berdua.

“Tuanku akan terikat dengan janji.” Tabib itu merenjis-renjis air dalam kemenyan yang dibakar.

“Beta setuju.” Raja Baytizan menyatakan persetujuannya demi gadis yang dicintai.

“Tuanku sanggup bersumpah demi cinta?” Tabib itu berbolak-balik.

“Lakukan sahaja, orang tua. Beta akan beri ganjaran yang lumayan selain menepati janji yang Beta akan ikrarkan.” Raja Baytizan naik berang.

“Baiklah, Tuanku mesti bersumpah bahawa Taghut adalah Tuhanmu.” Tabib itu mengangkat tangan ke depan dan menggerak-gerakkan jarinya. Telapak tangan Raja Baytizan juga digores sehingga mengalirkan darahnya.

“Beta bersumpah taghut itu tuhanku. Itu sahaja?” Raja Baytizan hairan kerana begitu mudah dia memenuhi syarat.

“Itu sahaja tuanku. Tetapi setiap sumpah ada syaratnya.”

“Syarat apakah itu, orang tua?”

“Syaratnya adalah Tuanku mesti jaga gadis itu sebaiknya. Kalau gadis itu meninggal kerana dibunuh, maka sumpah itu akan terus menghantui Tuanku.” Tabib itu membaca-baca sesuatu yang berunsur seru.

“Baiklah.” Ikrar Raja Baytizan.

AMURIAH berasa sangat resah dan gelisah. Keinginannya untuk bersua muka dengan Raja Baytizan membuak-buak. Dia terlalu rindu untuk menatap wajah lelaki itu. Ternyata ilmu pengasih yang diturunkan oleh Tabib itu kepada Raja Baytizan berkesan. Dan mangsanya pula yang menderita. Mencintai seseorang dengan hati yang terpaksa.

Raja Baytizan kemudian mengahwini Amuriah. Nama Kota Amrah juga ditukar menjadi Kota Amuriah sempena nama permaisuri hatinya. Kehidupan mereka bahagia. Setahun kemudian, mereka dikurniakan seorang cahaya mata yakni Puteri Qaisara. Bertambah serilah Istana cinta mereka pada masa itu.

Hidup tidak semestinya selalu di atas, terkadang akan jatuh ke bawah juga. Peperangan yang tercetus antara Kerajaan Amuriah dengan Kerajaan Bastiyar telah mengakibatkan Puteri Amuriah terbunuh. Maka sumpah jadi galang ganti.

RAJA BAYTIZAN tersentak daripada lamunannya seiring dengan tusukan anak panah di belakang permaisurinya. Peristiwa hitam itu ternyata sukar untuk dikikis daripada memorinya.

“Kenapa baru sekarang, bukankah Puteriku sudah lama meninggal dunia?” Raja Baytizan bermonolog.

“Kerana setelah kematian permaisurimu, kau selalu berbuat kejahatan, Baytizan. Itu adalah salah satu syarat yang aku tidak beritahu” Satu suara tiba-tiba sahaja kedengaran dari belakang.

“Ka… kau orang tua!” Raja Baytizan terkejut lagi. Tempoh hari dia juga didatangi oleh tabib itu.

“Aku makhluk bernyawa panjang, Baytizan!” Dia kemudiannya menukarkan bentuknya kepada yang asal. Berselubung hitam dan penampilannya kusut-masai.

“Siapa kau sebenarnya. Apa yang kau mahu?” Raja Baytizan terundur ke belakang.

“Aku adalah taghut, Baytizan. Aku datang menagih sumpah dan janji yang kau pernah ikrarkan dahulu.” Taghut menukarkan dirinya kepada seorang lelaki yang menyerupa seorang Raja yang hebat.

“Hanya tabib itu yang layak menagih janji daripadaku.”

“Aku ialah tabib itu, Baytizan. Dan aku juga sumpahanmu.”

“Apa yang kau mahu, taghut?”

“Hahaha… untuk merungkai sumpahanmu, sebarkan kuasamu di serata negeri Baytizan. Tumpahkan darah.”

“Apakah aku akan bebas daripada sumpahanmu?”

“Kebebasan untuk selama-lamanya, Baytizan.” Taghut galak ketawa. Raja Baytizan hanya merengus kencang. Taghut itu pula terus menghilang di sebalik kepulan asap hitam.

Previous: BAB 11
Next: BAB 13

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.