Home Novel Thriller/Aksi PETAKA NYAWA
PETAKA NYAWA
Riduan Judin
12/1/2014 20:04:10
109,591
Kategori: Novel
Genre: Thriller/Aksi
PROLOG

                                                                        PROLOG

Tanah Nusantara, Abad ke-14

SHAFI di ambang ketewasan. Kudratnya seolah-olah terlucut apabila sebilah badik tajam berjaya menusuk bahagian perut kanannya. Dia tersungkur bertongkatkan kedua lututnya. Dalam sekelip mata, tubuh lelaki baik hati itu rebah menyembah bumi di tengah medan perang bersaksikan ribuan tentera Siam yang mula mara ke arahnya.

“ALLAH menjanjikan dua kebaikan kepada orang mukmin yang berjihad. Antara menang ataupun syahid. ” Dalam kesakitan, Shafi sempat mengungkapkan kalimah itu.

Pejuang kebenaran yang tidak pernah tunduk dengan kejahatan. Rencam hidup yang dilaluinya terlalu berliku. Hambatan demi hambatan menujah kudratnya. Demi sebuah cinta – dia ikhlas dan pasrah menerima segala kesudahan. Demi cinta juga dia rela mati.

Utara Pinggir Dar’a, Syria- Sekarang

AL-FATEH menekap luka di dada kirinya dengan kain tebal. Lidahnya tidak henti melafazkan kalimah-kalimah suci yang mengagungkan ALLAH. Luka di bahu kirinya terasa menggigit. Pernafasan dikawal dengan perlahan agar darah tidak membuak keluar daripada luka yang terbuka. Ternyata tusukan peluru yang menebak badannya melemahkan kudrat. Perlahan dia mengengsot di sebelah kanan untuk melindungkan dirinya daripada dikesan oleh bala tentera rejim Basyar Laknatullah.

“Ya RABBI, berikanlah kesabaran dan kekuatan dalam hati hamba-Mu ini. Selamatkan bangsa dan agama kami demi cinta-Mu yang suci. Dan, sesungguhnya aku telah mengambil iktibar daripada kisah-kisah terdahulu yang engkau turunkan melalui pemimpin agung kami – Nabi Muhammad s.a.w. Ikhlaskan hati ini dalam menegakkan syiar Islam. Aku hanya mengharap rahmat-Mu dan mendamba syurga-Mu. Berilah hamba petunjuk.” Doa terakhir yang dilafaznya penuh syahdu.

Fateh menggenggam ketulan batu di sisinya. Kepedihan semakin menjalar. Kesakitan yang dia alami terlalu tragis. Terasa nyawa yang ditakung badan melangkah ke hujung ajal. Pandangan matanya semakin jauh, darah luka di dadanya pula semakin membuak. Gelap – kala ini, dia merasakan badannya bergerak-gerak. Seolah-olah ingin menuju ke suatu tempat yang baharu bagi hidupnya - Tempat yang kekal dan abadi.

HospitalTal Shihab, Syria

ALLAH yang mencipta manusia. Justeru, ALLAH jugalah yang berkuasa menghidupkan dan mematikan. Ajal Al-Fateh belum tiba, dia yang dihantar ke hospital itu telah menjalani satu pembedahan bagi mengeluarkan peluru yang menerobos daging dada kirinya dan mengenai selang seinci dari jantungnya.

Dia membuka matanya. Dada lelaki itu berombak perlahan yang menandakan dia masih hidup. Sudah lima tujuh hari dia berkeadaan begitu. Badannya terasa lemah. Luka di dada kirinya terasa sakit. Luka itu masih ‘bernyawa’.

Al-Fateh mencapai sebuah buku di sebelahnya. Hari itu, seorang pegawai tentera yang berada di bawahnya telah menyerahkan buku itu. Namun, atas kekangan kesakitan yang menjalar ke seluruh tubuh, dia mengabaikannya. Dan hari in dia seolah-olah terpanggil untuk menguak lembaran buku itu.

Dia terpempan melihat tulisan lama yang ditulis dalam bahasa Melayu. Dia percaya buku itu merupakan sebuah kisah yang diepisodkan dalam ‘catatan’. Kisah itu menarik minatnya. Kisah perjuangan seorang lelaki yang mendamba syahid. Lelaki itu sama sepertinya, Cuma cara perjuangan saja yang agak berbeza.

Dalam kesabarannya yang terbatas, pembacaan diteruskan tanpa mengira luka di dada kirinya yang berdenyut kencang. Seolah-olah mencari sekelumit nafas agar luka itu tidak segera mati dan terus bernyawa sekali gus memberikan hambatan kesakitan.

Next: BAB 1

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.