Home Novel Thriller/Aksi PETAKA NYAWA
PETAKA NYAWA
Riduan Judin
12/1/2014 20:04:10
107,937
Kategori: Novel
Genre: Thriller/Aksi
BAB 5

Kota Amuriah, Mesir

RAJA BAYTIZAN berdiri di beranda istana. Pandangan matanya tajam memamah seluruh Kota Amuriah. Nama kota ini adalah sempena nama permaisurinya dahulu iaitu - Amuriah. Meninggal dunia ketika peperangan di antara Kerajaan Amuriah dengan Kerajaan Bastiyar. Dua buah kerajaan yang mempunyai kepercayaan yang sama. Menyembah patung. Namun mereka bersengketa kerana sifat tamak. Perebutan kuasa yang membuta. Kesannya pula ditanggung rakyat. Situasi yang sangat tidak adil.

Fikiran Raja Baytizan terimbau mendiang isterinya. Sekali gus mengundang memori silam bagaimana seorang panglima kerajaan Bastiyar menyelinap masuk melalui pintu belakang membejatkan otaknya.

Imbas kembali - Perang Kerajaan Amuriah-Bastiyar…

SUASANA perang di luar istana Kayangan, Kota Amuriah semakin membingit. Hari ini merupakan hari yang sangat menggemparkan bagi dua buah kerajaan besar yang saling tamakkan kuasa dan jajahan takluk. Puteri Amuriah sedang mengintai di sebalik jendela kaca di dalam kamar peraduannya. Hatinya kusut. Sekusut suasana di luar. Puteri Amuriah kemudiannya keluar ke beranda istana untuk menemani suami tercinta. Raja yang dianggap agung ketika itu. Namun Raja Baytizan tidak dapat menyertai perang kerana permaisurinya sedang gering. Puteri Amuriah memegang bahu suaminya.

“Kita akan menang dalam perang ini, wahai permaisuriku.” Raja Baytizan bermukadimah tanpa menoleh ke arah permaisurinya.

“Adinda risau, nama Kerajaan ini akan terkubur di tanah sendiri, kekanda.” Puteri Amuriah melahirkan rasa risaunya.

“Tentera-tentera kita sangat terlatih, dinda. Kita tidak akan kalah.” raja Baytizan mengepal buku limanya menjadi satu. Ketika inilah seorang panglima Kerajaan Bastiyar yang berjaya masuk melalui pintu belakang sedang membidik panah dari arah belakang Raja Baytizan. Puteri Amuriah yang melihat situasi itu segera memeluk suaminya dari belakang.

“Dush!” Anak panah terbenam di belakang sebelah kiri Puteri Amuriah. Darah pekat mengalir lesu dari lukanya. Raja Baytizan yang terkejut dengan kejadian tadi lantas membaling sebilah pisau ke arah panglima tadi. Balingannya tidak sia-sia. Mata pisau terbenam di sebelah bahu kiri. Panahnya terjatuh. Ketika inilah Raja Baytizan menerpa lalu menendang dan memijak panglima itu sehingga pengsan.

Darah menyeruak keluar setelah anak panah dicabut. Raja Baytizan memangku isterinya yang pucat lesi. Tangannya digenggam erat. Keegoannya hilang apabila air mata mula menuruni lekuk pipinya. Terbayang-bayang satu perpisahan besar akan berlaku sebentar lagi.

“Maafkan adinda, wahai kanda.” Suara Puteri Amuriah tersekat-sekat di rengkungan. Namun, dia masih mampu mengulas senyuman untuk suaminya.

“Tolong jangan tinggalkan kanda, dinda. Puteri Qaisara amat memerlukan adinda.” Raja Baytizan separuh meraung apabila nafas permaisurinya beransur hilang.

“Adinda sangat mencintai kekanda. Tolong jaga puteri kita sebaik mungkin.” Setelah mengucapkan kalimah itu, matanya terkatup perlahan. Kepalanya teroleng ke sebelah kanan. Secara perlahan badannya menjadi sejuk dan pucat.

“Adinda!” Raungan sayu Raja Baytizan menenggelamkan suasana hingar di luar yang sayup-sayup kedengaran. Dia memeluk erat jasad isterinya. Matanya segera berkalih ke arah Panglima tadi yang baru sahaja sedar. Gigi gerahamnya bergeseran. Fikirannya dikuasai amarah.

Raja Baytizan lantas bangun dan mengayunkan satu sepakan ke arah muka Panglima itu. Pedang yang tersisip kemas di dinding dicapai. Muka Panglima itu dituris hingga menimbulkan tiga garisan yang mengunjur ke bawah. Panglima itu meraung kesakitan.

“Kau akan beta seksa. Biar mati secara perlahan.” Raja Baytizan merengus kencang.

“Tolonglah, ja..jangan bunuh aku.” Panglima itu merayu-rayu.

Raja Baytizan memijak dadanya. “Baiklah, katakan apa kelemahan tentera kamu?” Raja Baytizan bijak mengumpan. Nyawa digadai dengan sebuah rahsia. Panglima itu sudah tidak peduli dengan ikrar yang pernah dilafaznya dulu. Demi harta yang paling berharga-NYAWA.

“Ba… baik, serang di bahagian Timur. Pertahanan di sana sangat lemah. Selepas itu hantar pasukan pemanah di perbukitan. Di sana adalah tempat peraduan Raja Bastiyar.” Panglima itu mengalami ketakutan yang teramat sangat.

“Ribuan terima kasih, panglima.” Zasss! Mata pedang menembusi dada sebelah kirinya. Serta-merta dadanya tidak berombak. Malaikat Izrail telah selesai menjalankan tugasnya iaitu – mencabut nyawa.

PERANG semakin sengit di sebelah utara. Raja Baytizan mengarahkan sebahagian daripada bala tenteranya ke arah yang disebutkan oleh Panglima itu. Taktik itu berjaya. Kawasan mereka berjaya ditawan, manakala Raja Bastiyar terbunuh. Mayatnya diheret dengan menggunakan kuda di seluruh kota. Sedikit-banyak, kemenangan itu telah mengubati kekecewaan hati Raja Baytizan. Namun, jauh di sudut hati, kehilangan permaisuri tercintanya membuatkan Raja itu rasa terlalu menderita.

“Ayahanda” Puteri Qaisara mengembalikan ingatan ayahnya di alam yang realiti. Raja Baytizan mengusap-usap mukanya.

“Minggu hadapan anakanda ingin mengikuti rombongan pelayar kerajaan kita menyelusuri Sungai Nil.” Puteri Qaisara memicit-micit bahu ayahnya.

“Baiklah, anakanda.” Raja Baytizan seolah-olah masih mamai dengan peristiwa perang yang membungkus fikirannya tadi. Fikirannya kusut, sekusut sarang burung tempua.

Previous: BAB 4
Next: BAB 6

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.