Home Novel Thriller/Aksi PETAKA NYAWA
PETAKA NYAWA
Riduan Judin
12/1/2014 20:04:10
109,585
Kategori: Novel
Genre: Thriller/Aksi
BAB 10

Pinggir Kora Amuriah

SUHAIL curi-curi pandang ke arah Puteri Qaisara. Sudah hampir sejam puteri Kerajaan Mesir itu terlelap di bawah sepohon pokok yang rendang di halaman Istana. Dia mengamati setiap inci paras wajah majikannya. Kejelitaan Puteri Qaisara sangat mengagumkan. Justeru, hatinya terpaut dengan gadis itu.

Dia sebenarnya memendam rasa dengan Puteri Qaisara sejak pertama kali bersua. Dia menjadi tentera Kerajaan itu sejak empat tahun lalu, tetapi dijadikan sebagai pengawal peribadi oleh Raja Baytizan apabila dia merasakan keselamatan puterinya terancam. Kehandalannya memanah menjadi tali pengikat kepercayaan Raja Zalim itu. Lagipun Suhail seorang yang sangat dipercayai dan sifatnya yang bukan kaki perempuan.

Wajah puteri idamannya berkerut, kemudian terjaga daripada tidurnya. Suhail cepat-cepat mengalihkan wajahnya ke arah lain walaupun terasa sayang sekali untuk mengalihkan tatapannya.

“Sudah berapa lama beta tidur, Suhail?” Puteri Qaisara lantas bangun dan mengeliat.

“Sejam lebih, tuanku.” Suhail memandang wajah kesayangannya itu. Keanggunan Puteri Qaisara segera meresap di jiwa Suhail. Cintanya sudah lama tumbuh, tinggal tunggu untuk mekar sahaja.

“Hmm, rupanya agak lama juga beta terlelap.” Puteri Qaisara mengusai-usai helaian rambutnya. Seperti biasa, Suhail akan membisu seribu bahasa. Dia lebih suka berkata-kata apabila perlu sahaja.

“Suhail, bolehkah ajarkan Beta tentang bagaimana hendak membidik?” Puteri Qaisara memecahkan suasana sepi. Dia kemudiannya mendapatkan busur Suhail yang diletakkan di tepi pokok tempat mereka berteduh sebelum Suhail memberikan jawapannya.

“Baiklah Tuan Puteri.” Suhail setuju dalam keterpaksaan. Dia sangat mengenali majikannya itu, jika berkehendakkan sesuatu maka mesti ditunaikan. Suhail lantas bangun dan membetulkan cara Puteri Qaisara memegang busur tetapi amat payah untuk mengajarinya.

“Lain kali sahaja Tuan Puteri.” Suhail bukan menolak tetapi Puteri Qaisara perlukan persediaan yang rapi untuk mempelajarinya.

“Tolonglah Suhail, beta hendak belajar hari ini juga.” Puteri Qaisara mendesak. Suhail jadi serbah salah. Namun jauh di sudut hatinya, dia sebenarnya sangat berbesar hati kerana berpeluang mendekatkan dirinya kepada Puteri yang terkenal dengan gelaran rupawan itu. Tetapi, jika ayahandanya tahu, pasti akan marah kepadanya.

Suhail memimpin tangan Puteri Qaisara apabila busur itu bergerak-gerak. “Maafkan hamba kerana terpaksa menyentuh tangan Tuan Puteri.” Suhail serba salah.

“Tidak mengapa Suhail, beta yang teringin hendak belajar cara membidik.” Sasaran hujung anak panah tidak bergerak-gerak lagi seperti tadi. Bidikan disasarkan pada sebatang pokok.

“Sekarang tarik tali busur dengan perlahan, ingat jangan sesekali menggerakkan tangan kerana sasaran akan tersasar kelak.” Suhail memberikan serba sedikit penerangan mengenai cara untuk membidik. Puteri Qaisara menggangguk lalu menarik tali busur dan melepaskannya. Bidikan tersasar. Suhail hanya tersenyum. Puteri Qaisara tampak kecewa dengan hasil pencapaiannya yang kurang baik.

“Sangat bagus Tuan Puteri.” Suhail bernepuk tangan.

“Tersasar!” Puteri Qaisara mempamerkan wajah yang kurang puas hati.

“Boleh diperbaiki lagi Tuan Puteri.”

“Baiklah Suhail, nanti beta akan minta tunjuk ajar lagi.” Tidak semena-mena busur yang dipegang Puteri Qaisara terlepas tanpa disengajakan. Puteri Qaisara dan Suhail tergamam. Sesuatu telah berubah pada struktur busur itu. Mereka berdua terus memerhati. Suhail dihambat kejutan, tidak pernah dia mengalami kejadian seperti ini selama dia bersama dengan busur kesayangannya. Mata di picing dan memerhatikan setiap inci busur itu. Ia sedikit bergerak. Manakala tali busur itu bergetar seperti menyeru nama tuannya - Suhail.

PANGERAN ARING dan Bagaro. Ketawa terbahak-bahak sambil meminum arak yang disediakan oleh para pelayan Raja Mahadewa. Para wanita yang ditugaskan untuk melayani mereka berdua galak menuangkan arak putih apabila air syaitan itu habis diminum oleh mereka berdua. Penampilan para wanita di hadapan mereka yang mengenakan pakaian telus pandang membuatkan Pangeran Aring dan Bagaro tidak berkelip mata. Nafsu lelaki membius fikiran, ternyata syaitan sedang bermaharajalela dalam hati mereka.

Sedang mereka asyik berfoya-foya, pintu dikuak dari luar. Raja Mahadewa masuk dengan senyuman yang penuh makna. Dia mengisyaratkan sesuatu, sejurus itu para pelayan tersebut segera meninggalkan mereka bertiga.

“Kami sangat suka dengan suasana seperti ini, tuanku.” Pangeran Aring teroleng-oleng kerana pengaruh arak yang kuat. Fikirannya dibius nikmat dunia.

“Ini hanya sedikit daripada nikmat yang ada di dalam istana Beta ini, wahai saudagar Asary.” Raja Mahadewa ketawa terbahak-bahak. Sesungguhnya ketawa terbahak-bahak itu adalah cara syaitan ketawa. Adapun ketawa orang soleh sekadar menampakkan gigi.

“Apakah keinginan Tuanku?” Pangeran Aring separuh kehilangan pemikirannya yang waras, manakala Bagaro pula kelihatan lebih tenang. Arak adalah mainan sepanjang hidupnya.

“Beta hanya inginkan puteri Beta pulih seperti sedia kala, Saudagar.” Raja Mahadewa terlalu mengharap.

“Kami akan cuba untuk mengubatinya esok pagi, Tuanku.” Pangeran Aring tersenyum sinis. Raja Mahadewa lantas pergi. Para pelayan wanita itu menyambung tugas mereka.

PANGERAN Aring menabur bunga-bungaan yang telah dijampi di atas tubuh Puteri Irdina. Sedulang makanan yang terdiri daripada nasi pulut, dan pelbagai jenis makanan diletakkan di tepi katil tempat pembaringan anak raja itu. Akar kayu yang disediakan oleh Bagaro dibakar. Bau yang menusuk rongak hidung memenuhi ruang peraduan itu. Pangeran Aring terkumat-kamit melafazkan sesuatu. Menyeru satu kuasa yang bersifat kejahatan. Raja Mahadewa hanya melihat dengan perasaan yang bercampur baur.

Pangeran Aring membuka matanya. Air hasil daripada rendaman bunga-bungaan tadi diratakan di bahagian kepala dan kaki Puteri Qaisara. Pangeran Aring terkumat-kamit lagi, kali ini tangannya diarahkan di bahagian dahi Puteri Irdina Farihin. Air hasil daripada rendaman bunga-bungaan tadi direnjis-renjis, serentak dengan itu Pangeran Aring menyentak tangannya. Tubuh badan Puteri Irdina Farihin terikut ke hadapan. Seperti ada satu kuasa yang menolak dari belakangnya. Sejajar dengan itu, matanya terbeliak lantas rebah dan pengsan semula.

“Bagaimana keadaannya Saudagar.” Raja Mahadewa lantas menerpa ke arah puterinya.

“Dia akan sembuh, tuanku. Biarkan puteri tuanku beradu dulu.” Pangeran Aring berdiri lantas mengukir senyuman sinis. Muslihatnya berhasil. Sihir yang dia masukkan dalam tubuh puteri Raja itu telah dikeluarkan semula.

“Benarkah apa yang kau katakan Saudagar, bukankah kamu berdua hanya datang untuk berdagang di sini?” Raja Mahadewa masih ragu-ragu.

“Hamba berdua mempelajari ilmu perubatan untuk membuang sihir dari nenek moyang kami, tuanku.” Pangeran Aring ternyata bijak berdalih.

“Baiklah, kita semua beredar dari sini.” Raja Mahadewa berserta semua yang ada di dalam bilik Puteri Irdina Farihin menapak keluar, kecuali dayang-dayang yang ditugaskan menjaga puteri itu. Sebelum melepasi pintu, Pangeran Aring menghembus segumpal nafas halus lalu menyusur perlahan ke arah puteri itu.

FAJAR hampir melabuhkan tirai. Dayang-dayang yang ditugaskan untuk menjaga puteri itu terkejut apabila Puteri Irdina Farihin tiba-tiba sahaja terbangun dengan kakinya terlunjur ke depan.

“Tuan Puteri sudah sedar!” seorang daripada dayang itu bersuara. Mereka semua mengerumuni Puteri Irdina Farihin.

“Beta kenapa wahai dayang sekalian?” Puteri Irdina Farihin kelihatan bingung, Fikirannya kosong. Sekosong hati dan nuraninya.

“Tuan Puteri jatuh sakit, sudah empat hari.” Salah seorang daripada dayang itu menjawab.

“Benarkah?” Puteri Irdina Farihin memegang kepalanya walaupun tidak sakit. “ Lelaki itu?” dia teringat Shafi yang hadir di dalam mimpinya.

”Tuan Puteri rehatlah dahulu, biar kami maklumkan kepada tuanku.”

“Jangan dayang, Beta akan jumpa ayahanda kemudian.” Puteri Irdina Farihin meningkah.

Puteri Irdina Farihin baring semula. Dayang-dayang yang bertugas diarahkan keluar dari kamarnya. Puteri Irdina Farihin berusaha mengingat nama lelaki yang hadir di dalam mimpinya itu tetapi gagal. Hanya senyuman terakhir Shafi yang bermain di fikirannya. Ternyata rindu menggamit hatinya. Jiwa hawanya merudum. Tingkahnya tampak resah dan gelisah.

Previous: BAB 9
Next: BAB 11

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.