Home Novel Thriller/Aksi PETAKA NYAWA
PETAKA NYAWA
Riduan Judin
12/1/2014 20:04:10
109,599
Kategori: Novel
Genre: Thriller/Aksi
BAB 17

Sempadan Pura

SHAFI melihat persekitaran yang kelam. Dia beristigfar berulang kali apabila mengalami kesukaran untuk bernafas. Dia memicing anak telinga apabila terdengar suara di sebelah hujung. Perlahan dia menapak. Langkah diatur dengan teliti dan mengikut naluri. Sedikit kecuaian pasti mengundang bahana.

Shafi memicing anak mata, kelihatan ada cahaya samar di depan. Dia perlahan mendekati dan mendapati ada seorang gadis yang berteleku dan sedang menangis. Shafi simpati namun tetap berwaspada agar andai diserang secara mendadak dia pasti akan berjaya menyanggah ataupun mengelak.

“Assalamualaikum.” Salam suci dihulur. Tangisan gadis itu terhenti. Perlahan dia mendongak. Dia sangat mengenali suara yang penuh santun itu. dia masih membisu, jauh sekali membalas salam kesejahteraan itu.

“Apa yang membuat kamu bersedih?” Shafi menundukkan pandangan setelah selesai berbicara. Sapaannya tidak berbalas.

“Kau?” Kelibat wanita itu bersuara. Perlahan Shafi mengangkat pandangan. Dia tergamam, antara percaya ataupun tidak - dia pernah melihat gadis itu sebelum ini. Shafi beristigfar berulang kali.

MASA seperti terhenti. Ternyata pertemuan singkat hari itu tidak berakhir di situ sahaja. Di ruang asing itu Shafi dan Puteri Irdina Farihin dipertemukan semula. Puteri Irdina Farihin menguntum senyuman manakala Shafi hanya meleretkan bibir begitu sahaja. Cukup sekadar memaniskan raut wajah.

Kerinduan Puteri Irdina Farihin sedikit terubat, bahagia seolah-olah bergayut-gayut menarik tali jantung. Ternyata penantiannya selama ini tidak sia-sia. Masa seperti beku apabila menatap wajah lelaki baik hati itu. Tanpa disedarinya, dia menatap wajah Shafi tanpa berkedip sekalipun.

“Usah merenung sedemikian rupa.” Shafi segera membetulkan suasana kerana kurang selesa dengan situasi itu.

“Indah sekali paras wajahmu.” Puteri Irdina Farihin terkedu. Pandangan masih tidak berkalih.

“Maha suci ALLAH. Tuhan yang menjadikan dan mematikan manusia. Hanya ALLAH yang Maha Indah.” Shafi lebih senang membalikkan segala pujian manusia kepada ALLAH kerana baginya hanya Dia yang layak dipuji dan dipuja.

“Kembalilah ke tempat asalmu.” Ini bukan dunia kita. Ini hanya sekadar mimpi. Puteri Irdina Farihin tarik muka. Rindunya selama ini seolah-olah tidak berbalas. Dia berasa seperti hanya bertepuk sebelah tangan.

“Kau tidak menyukai pertemuan ini?” Puteri kerajaan Langkasuka itu bertanya.

“Tiada pertemuan yang indah selain pertemuan dengan ALLAH.” Bukan menidakkan tetapi memberikan saranan kepada sesuatu yang lebih baik.

“Jauh sekali merindu?” Puteri Irdina Farihin sudah tidak berlapik ketika bertanya.

“Rinduku hanyalah untuk Nabi junjunganku – Muhammad S.A.W.”

“Siapa Muhammad? Apakah mencintai itu salah?”

“Muhammad itu pesuruh ALLAH – junjungan agung kita. Mencintai Tuhan dan rasul adalah cinta hakiki dan ia kekal dan abadi.”

“Adakah cinta yang lebih baik selepas itu?”

“Cinta dengan kebaikan itu juga cinta agung.” Shafi menjawab dalam bentuk dakwah. Sedari tadi dia mengamati suasana dan membaca peribadi gadis itu. menurutnya gadis itu pintar dan sangat bijak kerana berjaya memanipulasikan soalan-soalan. Shafi pula menjawab tanpa dusta.

SHAFI terbangun daripada tidur. Dia melihat-lihat di sekeliling – gelap. Dia bangkit dari pembaringannya lantas melihat ke langit. Waktu sudah memasuki sepertiga malam. Dia mengambil wuduk dan segera bertahajjud mengagungkan ALLAH. Setelah selesai, dia bermunajat memuji kebesaran-Nya. Memohon agar diberikan petunjuk ke arah kebaikan dan dijauhkan daripada segala kesempitan hidup, seterusnya disambung pula dengan zikrullah.

Setelah lama berkeadaan seperti itu, Shafi mengalunkan Asma-Al Husna. Setiap bait nama-nama suci yang dibacanya dihayati dengan penuh keinsafan. Penuh rasa kerinduan kepada yang Maha Pencipta. Setelah lama beribadah. Dia melelapkan mata untuk merehatkan badan kerana masih berasa letih setelah mengharungi pertarungan dengan Ratu Dewi pada malam sebelum itu dan akan bangun untuk menunaikan solat fardhu subuh kelak.

Shafi melabuhkan diri di atas alas yang disediakan. Dia ligat berfikir, mengerah nalurinya untuk menelaah mengenai kehadiran gadis itu secara tiba-tiba. Apakah itu jelmaan syaitan yang sekadar mengganggu tidurnya. Ataupun ada sesuatu yang tersirat melalui mimpi itu sahaja. Dan dirinya tidak terjangkau tadbir itu, dia segera menyerahkan kepada ALLAH tentang permasalahan itu. sesungguhnya hanya ALLAH yang Maha Mengetahui setiap sesuatu yang tersembunyi.

Shafi segera berehat. Dia berhasrat untuk berkunjung ke Istana Raja agung yang diuar-uarkan oleh utusan itu. dia segera terlelap setelah membaca doa tidur dan ayat-ayat lazimnya Seperti tiga Qul dan ayat kursi.

Tidurnya diulit malam, tidur dalam keadaan berzikir adalah sebaik-baik tidur. Dan di luar perkarangan rumah, sepasang mata yang merah menyala sedang memerhati rumah tempat dia berteduh.

PUTERI IRDINA FARIHIN duduk di birai katil. Selepas dia terjaga daripada tidur, dia sukar untuk melelapkan mata lagi. mimpi indah yang bertandang ternyata mengganggu jiwanya. Kerinduannya terhadap lelaki dalam mimpinya itu semakin mendalam. Sejak kebelakangan ini, dia menjadi seorang perindu dalam sepi. Mengingati insan yang entah wujud entah tidak sehingga membuatkan dirinya jatuh sakit.

Namun pertemuannya sebentar tadi dengan lelaki baik hati itu membungakan hatinya yang sedang layu dek dipanah rindu. Walaupun bersua dalam masa yang singkat, itu sudah cukup mengubati kedukaan yang berkurun – betapa dia sangat mendamba pertemuan kali kedua selepas pertemuan kali pertama mereka dahulu di alam lain.

Kerana mengalami kebejatan anggota, Puteri itu perlahan terbaring lesu sambil tersandar di birai katil. Sebentar tadi dia sangat berharap pertemuan kali ketiga akan berlaku.

SHAFI menolong Aki Baji menyediakan sarapan. Seawal pagi Shafi sudah bangun dan menunaikan solat subuh. Perlakuan itu sangat menarik hati penghulu kampung Nelayan itu kerana sangat mustahil untuk menemukan seorang anak muda yang mempunyai akhlak seperti Shafi.

Setelah selesai menyediakan makanan itu, mereka berdua segera bersarapan. Shafi hanya menjamah sedikit – sekadar untuk menguatkan tulang belakang. Cara makannya juga tampak berbeza dengan penduduk kampung itu. Selepas siap bersarapan, Shafi menolong Aki Baji membersihkan perkarangan rumah itu.

Mereka berdua terkejut apabila mendapati banyak cakaran dan tapak binatang buas yang menyerupai tapak kaki serigala di bahagian tepi pembaringan Shafi semalam. Dia segera beristigfar – memohon perlindungan yang jitu daripada ALLAH.

“Menyerah wahai orang asing.” Suara lantang Jali yang datang dari arah depan mengejutkan Shafi dan Aki Baji.

“Ada apa ini, Jali?” Aki Baji naik berang.

“Biarkan dia, Tok Penghulu.” Shafi menenangkan Jali yang tampak marah seperti kerasukan. Shafi hanya berdiri tenang dengan perasaan rendah diri yang cukup tinggi.

“Rupanya kau membawa agama baru, orang asing.” Jali merengus-rengus.

“Memang benar, saudara. Hamba membawa agama yang benar lagi diredhai.” Shafi bertutur dalam nada yang cukup tenang.

“Kami ada leluhur tersendiri, orang asing. Warisan nenek moyang kamilah pujaan kami.” Jali semakin galak meningkah.

“Astaqfirullah... Tiada Tuhan melainkan ALLAH, saudara. Itu syirik dan dosa syirik adalah dosa yang tidak diampunkan oleh ALLAH.” Shafi beristigfar dan mengucap dua kalimah syahadah untuk memperbaharui keimanan dan ketakwaan kepada yang Maha Kuasa.

“Kami selalu meminta kepada leluhur kami, penduduk di sini dilimpahkan dengan hasil laut yang banyak.” Jali bersuara lantang.

“Segeralah bertaubat, saudara. Sesungguhnya hanya ALLAH Tuhan yang kita sembah dan hanya kepada-Nya lah kita memohon pertolongan. Malah hidup dan mati kita adalah ketentuan ALLAH.” Shafi berusaha untuk berlembut dan menyampaikan dakwah dengan cara yang paling halus.

“Aku akan bunuh kau, orang asing.” Jali semakin marah dengan kenyataan Shafi tentang ketuhanan.

“Sesungguhnya, hidupku adalah ketentuan ALLAH dan matiku atas kehendak izin ALLAH.” Shafi tidak meningkah malah tidak berasa galau dengan ugutan Jali.

Jali yang rasa tercabar dengan kenyataan Shafi segera menghunus sebilah parang yang disisip di bahagian pinggangnya. Dia segera meluru sambil mengacu parang itu ke arah Shafi. Aki Baji yang terkesima dengan kejadian itu tidak mampu berbuat apa-apa tindakan.

Jali menetak Shafi. Parang itu berhenti tepat di urat bahagian leher Shafi kerana serangan dibekukan oleh Jali. Nyawa Shafi pasti melayang, dan yang paling menghairankan dia langsung tidak mengelak atau berganjak – menyerang balas adalah jauh sekali.

“Kau akan mati, orang asing. Sekarang siapa yang dapat menyelamatkanmu?” Jali sudah di luar sedar. Tindakannya pasti lari dari batas kemanusiaan.

“Hanya ALLAH yang dapat selamatkan nyawaku, Saudara.” Shafi tetap kaku dan tidak berganjak.

“Baiklah, mari kita tengok Tuhanmu itu dapat selamatkan nyawamu ataupun mata parang ini akan bermandi darah.” Jali menderam lalu mengayun parang itu sekuat hatinya. Kali ini Shafi sedang berada di ambang ILAHI.

Desiran angin yang lembut tiba-tiba menjadi kencang. Imbangan badan Jali menjadi hilang. Shafi segera menarik lengan Jali sebelum dia terjatuh. Senjata bertukar tangan, Shafi segera membalas pula acuhan di leher Jali.

“Sekarang siapa yang dapat selamatkan nyawamu?” Shafi tidak marah malahan tidak berniat pun untuk membalas perbuatan jahat Jali.

Jali terketar-ketar. Urat-urat leher terasa seram sejuk. Sedikit kelaran sahaja pasti menyeruakkan darah yang mengalir di pembuluh darah yang berwarna kehijauan.

Previous: BAB 16
Next: BAB 18

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.