Home Novel Thriller/Aksi OBSES
OBSES
SYASYA BELLYNA
9/12/2012 20:57:46
47,505
Kategori: Novel
Genre: Thriller/Aksi
Bab 33

Sound House

HAMIKA memerhatikan gerak tari Emily sejak satu jam yang lalu. Selebriti itu masih mengingati gerak langkah yang tepat. Bagi Hamika, tiada apa yang perlu diperbetulkan.

“Okey!” Hamika menghentikan Emily.

“Tak ada apa yang perlu diperbaiki dan tak ada apa yang perlu ditokok tambah. Semuanya sempurna. Cuma kau kena hafal setiap gerak tari tu sampai hari konsert nanti,” pesan Hamika.

Emily mengangguk.

“Jom kita balik ke Castlebury,” ajak Hamika.

“Kau pulanglah dulu. Aku nak bersantai sekejap.”

Hamika meninggalkan Emily seorang diri di Sound House yang agak suram. Emily menyeka peluh di dahinya. Dia menarik dan menghembuskan nafas. Emily rasa semput kerana kepenatan. Dia duduk melunjurkan kaki. Kedua belah tangan ke belakang dan menampung tubuhnya yang hampir terbaring.

Pandangannya menuju ke arah kerusi-kerusi merah yang disusun makin meninggi. Bagaikan kerusi di panggung wayang.

Menurut penjaga istana, Sound House tidak pernah sunyi kerana golongan bangsawan suka berhibur. Setiap minggu pasti ada acara. Emily dapat membayangkan suasana meriah di Sound House walaupun tempat ini sudah dipenuhi dengan sawang. Banyak pula labah-labah. Cuma atas pentas saja yang bersih. Itupun kerana Emily meminta penjaga istana mengemas pentas itu minggu lepas.

Emily mencapai diari Bridget Khursheed yang diletak berhampiran dengannya. Sejak dia menjumpai diari itu, Emily dan buku tersebut tidak pernah berenggang melainkan ketika waktu cabaran berlangsung atau jika ada aktiviti yang menuntut Emily menumpukan perhatian pada calon-calon soulmate. Setiap kali ada kelapangan, pasti dia akan membaca coretan pengasuh Cik Puan Kiara.

Genap sebulan cik puan dan tuan besar bergaduh, barulah aku dapat melihat keceriaan cik puan hari ini. Namun keceriaan itu tidak datang kerana dia sudah menerima segalanya tetapi kerana mendapat berita mengenai kedatangan seniman terkenal, Christian Slater ke Castlebury atas jemputan tuan besar. Tuan besar ingin makan malam bersama seniman itu.

Cik Puan Kiara berhias cantik. Dia memakai gaun terbaik yang jarang dipakai pada hari-hari biasa. Sekejap saja bersiap, cik puan berlari ke King Paradise. Apabila mereka bertemu muka, Christian Slater terus menghulurkan sejambak bunga ros merah jambu kepada cik puan. Untuk pertama kalinya aku melihat pandangan yang berbeza di mata Cik Puan Kiara.

Krekkk... Emily mendongak muka dan menegakkan badan. Dia tertoleh ke kiri dan ke kanan. Tab... tab... seperti tapak kasut berlaga dengan lantai. Ada orang ke?

Hello!” Emily menyapa. Namun, beberapa minit menanti, tiada sesiapa menyahut.

“Siapa tu?” soal Emily lagi.

Tab... tab... langkah deras seperti mendaki tangga. Emily bingkas bangun. Dia berpusing setempat, 360 darjah. Pandangannya mendongak ke atas. Anggapan Emily dari awal, ada 'seseorang' bersamanya sekarang. Emily berjalan perlahan menghala ke belakang pentas. Langsir yang menutup bahagian belakang pentas diselak. Ada sebuah tangga yang agak tersembunyi. Emily memutuskan untuk ke tingkat atas.

Sekarang, Emily berdiri di tengah-tengah lorong sempit. Sudut penglihatan memacu seluruh kawasan. Ada banyak pintu di kiri dan kanan lorong ini. Melihat keadaan reka bentuk, disebelah kanan, pasti ada balkoni kecil. Balkoni adalah ruang khas untuk tetamu VVIP jika mereka ingin menonton persembahan. Bertentangan dengannya adalah bilik persalinan, stor dan bilik pekerja berehat.

Hello!”

Emily melangkah perlahan. Dia percaya bunyi tapak kaki itu menghala ke salah sebuah bilik kerana lorong ini tidak menghubungkan ke mana-mana laluan. Jika ingin ke tingkat bawah, hanya tangga yang dinaiki Emily tadi perlu dilalui.

Satu persatu pintu bilik dibuka dan dijengah. Akhirnya, Emily memasuki bilik persalinan terakhir yang agak suram. Emily mula berasa lega. Mungkin perasaannya saja. Apabila realiti bergabung dengan fantasi, mulalah Emily berfikir yang bukan-bukan. Kornea mata Emily meneroka persekitaran.

Tidak dinafikan, ada banyak tinggalan lama yang berharga tersimpan di sini. Barang antik, jika dijual di pasaran pasti laku keras.

Tapak tangan kanan Emily mendarat di atas salah sebuah meja solek. Namun, tindakkan refleksmenjauhkan anggota tubuhnya daripada ancaman. Emily memegang ibu jari. Setitik darah menitis. Cepat-cepat sepasang matanya menerpa ke arah meja solek.

“Bunga ros merah jambu?” jari Emily tercucuk duri. Sekuntum bunga segar terletak elok di atas meja solek yang sudah berhabuk.

Tidak semena-mena Emily rasa berdebar-debar. Dia teringatkan kisah Bridget Khursheed. Emily tahu tempat ini dipenuhi memori Kiara. Aduhai, meremang bulu roma. Di jemalanya menerjah perbagai andaian. Bukan andaian yang indah tapi tanggapan yang menyeramkan.

Emily bergegas meninggalkan bilik tersebut. Tab... tab... Langkah kaki terhenti. Emily menoleh ke belakang. Tidak ada sesiapa. Sepi... Emily meneguk air liur. Tanpa berlengah lagi, Emily menuruni tangga. Dia mencapai baju panas yang terletak di sudut pentas dan berlari keluar dari Sound House ke istana Castlebury.

Sesekali Emily menoleh ke belakang. Penyesalan menyelubungi diri. Entah kenapa dia begitu berani duduk seorang diri di sana.


Kamar Lady Kiara

EMILY berdiri kaku di depan tingkap. Sound House boleh dilihat dari jendela kamarnya. Emily menggigit kuku jari telunjuk kanan. Peristiwa beberapa jam yang lalu kerap bermain difikirannya. Adakah bunga ros itu hanya imaginasinya? Tapi, luka di jari adalah bukti kewujudan.

“Emily...” Adila tercengat di depan pendiangan. Dia mencempung dulang yang terisi secawan kopi dan sepinggan biskut.

Selebriti itu berjalan longlai ke arah Adila sambil menghela nafas berat. Emily belum menukar pakaian pentasnya. Dia amat keletihan namun tidak berminat untuk berehat. Fikirannya berserabut menyebabkan Emily sukar untuk merehatkan minda. Emily duduk bersila di lantai mengadap pendiangan. Kedua belah tapak tangan dilayang-layang berdekatan api yang sedang memamah bahan bakar. Jari Emily yang berbalut menarik perhatian Adila, namun tidak pula dia bertanya.

Dulang diletakkan di atas meja kopi. Lalu, Adila melabuhkan punggung di atas kerusi. Riak muka Adila tidak pernah berhenti berkerut. Semuanya gara-gara Dira. Kalaulah Emily tahu tentang kewujudan akaun itu dan Diralah dalangnya, pasti hati selebriti ini terluka.

"Aku rasa tak sedap hatilah."

Adila meneguk air liur. “Kenapa?’

Adila resah. Adakah rasa tidak aman itu hadir kerana Dira?

“Apa kata kita teruskan ‘pencarian soulmate’ kat Malaysia?”

“Masalah nanti, Emily. Kita kena fikirkan fasal penaja, kos tersembunyi, kos nyata, lokasi dan privasi kau. Kat sini tak okey ke?” Emily tidak bereaksi. Kebisuan Emily yang sebentar menggalakkan rasa bimbang di hati Adila.

Emily mengeluh. Mungkin rasa tidak sedap hati itu menimbulkan sedikit ketakutan. Segala-gala yang ada di sini memang sempurna. Seperti yang Adila katakan, bermasalah jika pengambaran dipindahkan ke Malaysia.

“Rindukan Mak cik Mazira ke?” Adila sekadar meneka.

Emily tertunduk. Hari-hari dia rindukan Mazira. Tapi, dia tidak mahu Mazira ada disekitarnya ketika menjalankan aktiviti bersama calon-calon soulmate. Mazira akan mengganggu pengambaran dan Emily khuatir Mazira akan menjadi penyebab kepada kecenderungan Emily ke arah calon yang disukai Mazira sedangkan Emily perlu adil dan saksama. Mazira orang yang paling berpengaruh dalam hidupnya. Jangan Mazira meminta, nanti Emily tunaikan walaupun hatinya berat. Pencarian soulmate ini contohnya.

"Kalau pengambaran dilakukan di Malaysia, Mak cik Mazira mesti ikut." Adila seakan dapat membaca apa yang terkurung dijemala Emily. Sebenarnya, Adila masih dirusuh ketakutan. Kalau Emily balik ke Malaysia sekarang, lagi cepat Emily mengesan kewujudan akaun yang direka Dira. Adila belum bersedia untuk menjawab tujahan soalan Emily dan dia pasti lebih tertekan kerana tersepit di antara sahabat yang banyak berbudi kepadanya dan adik kandung.

Emily mengerling Adila sebelum bangkit. Laci meja tepi menjadi sasaran mata. Bakul kecil yang berisi berbotol-botol ubat dikeluarkan. Berbiji-biji pil dari pelbagai jenis makanan tambahan dituang ke tapak tangan. Jag air diangkat dan disuakan ke mulut gelas. Bekas air yang sentiasa penuh itu ditenggekkan di atas meja semula. Emily menelan semua pil sekaligus.

Emily duduk di birai katil. Pandangannya menunduk ke dinding. Udara disedut perlahan-lahan.

“Sejak kebelakangan ni aku cepat sangat mengantuk. Kadangkala, tak fasal-fasal aku rasa macam nak pitam. Bila aku rasa penat, tubuh badan aku jadi terlalu lemah nak bergerak. Macam lumpuh pun ya. Migrain pulak datang sesuka hati. Aku bukannya buat kerja berat sangat. Kebanyakkan masa, aku cuma baca buku, jalan-jalan...” Emily merebahkan badan.

“Atau ini tanda-tanda penyakit aku datang balik?”

“Jangan nak mengarutlah Emily. Doktor dah beri jaminan, kan. Penyakit kau tak akan datang balik.”

“Aku rasa tak bertenaga.” Emily menghela nafas.

Adila merenung wajah sahabatnya. Tidak pucat namun dia nampak lesu.

“Mungkin tubuh kau terlampau letih tapi otak kau masih cergas. Baik kau berehat." Adila bingkas bangun. Dia menapak keluar dari kamar Lady Kiara.

Emily bangun perlahan-lahan dari pembaringan. Langkahnya menghala ke sudut bilik. Pintu almari ditolak. Serta merta dahi Emily berkerut. Jari jemari berselang seli dengan busana yang bukan miliknya! Mana pakaian harian Emily? selebriti itu mencekak pinggang sambil berfikir.

"Ni baju dari penaja kot." Jika Hanisah menerima baju tajaan, selalunya hal itu tidak dikhabarkan pada Emily. Dia hanya tinggal pakai dan bergaya di depan kamera. Tapi, mustahil sampai baju hariannya dipunggah keluar tanpa diberitahu dahulu. Di mana Hanisah simpan pakaiannya?

Serentak kedua-dua belah tangan menekan kepala. Kesakitan datang menerpa. Urat kepala bagaikan dicengkam, berdenyut-denyut sampai ke leher. Emily menyandarkan tubuh ke dinding almari. Dia terbatuk-batuk, keras. Sakitnya datang secara mengejut.

Tiba-tiba tubuhnya terasa lemah longlai. Tidak semena-mena pandangannya berganda. Emily tidak mampu berdiri, lalu jatuh terjelupuk dan terbaring di atas lantai. Beberapa saat kemudian, Emily tidak sedarkan diri.

Previous: Bab 15
Next: Bab 41

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh SYASYA BELLYNA