Home Novel Thriller/Aksi SERINGAI
SERINGAI
#mystrill
21/11/2019 19:04:47
32,367
Kategori: Novel
Genre: Thriller/Aksi
PROLOG
Novel ini merupakan karya yang bertanding dalam Pertandingan Menulis Novel Thriller anjuran Buku Prima.

Penulis : EMPEROR RIZAL

PROLOG

Matahari bersinar terik dilangit diiringi beberapa kepulan awan putih yang kelihatan seperti gula-gula kapas. Suhu pula pada paras 27° celcius. Cuaca tengahari seperti ini sebenarnya sangat sesuai untuk operasi yang disertai oleh Eddy, Fikri dan Taufik. Inilah kali pertama mereka menjejakkan kaki keluar dari zon selamat yang berada lebih kurang sejam perjalanan kereta dari tempat mereka berada sekarang. Selaras AK-47 kemas disandang di bahu Eddy.


Fikri berdiri di atas bumbung bas sekolah yang diparkir berhadapan dengan sebuah banglo usang. Mukanya berkerut menahan bahang panas walaupun dia sudah melindungi kepalanya dengan topi. Dia ditugaskan untuk meninjau jalan raya yang menghubungkan kawasan perumahan itu dengan jalan besar. Senapang penembak tepat Dragunov kesayangan Fikri sudah siap dipasang bipod dibidik ke arah jalan. Taufik pula selesa bersandar pada tempat duduk pemandu bas. Sebatangrokok yang belum dicucuh terselit dibibirnya. Ini rokok Taufik yang terakhir,walaupun dia masih ada dua kotak rokok yang disorok bawah tilam dibiliknya, dia berasa sayang untuk menghabiskannya sekarang.


Keadaan sekitar banglo tersebut sunyi sepi, melainkan alunan merdu lagu duet cengkerik dan unggas. Seekor burung gagak menggauk di atas dahan kayu berhampiran dengan bas. Taufik hanya memerhatikan gelagat burung hitam tersebut dengan penuh minat. Dia terasa seolah-olah gagak tersebut cuba menarik perhatiannya. Taufik menoleh kepalanya dan memandang banglo di belakang bas untuk beberapa saat. Kemudian dia berpaling semula ke arah dahan pokok dan menghalaunya. Gagak hitam tersebut terbang jauh ke atas.


Mereka bertiga dilahirkan dan membesar dalam sebuah koloni kecil, Zon Selamat Kosong Satu, sebuah penempatan manusia di tengah-tengah bandaraya KLyang dikelilingi tembok konkrit setinggi dua puluh kaki. Hampir tiga puluh tahun dahulu, koloni tersebut merupakan sebuah bandar besar yang pernah di diami oleh jutaan umat manusia, memenuhi setiap pelusuk hutan konkrit tersebut. Kini,hanya beberapa ratus buah keluarga sahaja yang tinggal dan hidup dalam ketakutan dan sentiasa berjaga-jaga. Setiap malam mereka terpaksa menghadapi risiko diserang hendap. Hanya pada waktu siang penghuni Zon Selamat Kosong Satu boleh bergerak bebas tanpa perlu risaukan apa-apa bahaya. Setiap penduduk mempunyai tanggungjawab masing-masing untuk memastikan koloni mereka sentiasa berada dalam keadaan yang selamat dan bekalan makanan tidak putus.

Kebanyakan wanita dan warga tua bekerja sebagai guru, pekebun dan tukang masak. Kanak-kanak dan golongan muda masih boleh bersekolah. Sebuah perpustakaan yang mempunyai lebih 10,000 naskah buku berjaya diselamatkan.Sebuah hospital juga masih berfungsi, mujur terdapat ramai doktor yang selamat dalam waktu kesusahan ini. Keselamatan koloni pula dijaga rapi oleh bekas-bekas tentera, polis, bomba, rela, pertahanan awam dan sesiapa sahaja yang sanggup memikul tanggungjawab tersebut. Semenjak koloni tersebut dibina, jumlah penduduk semakin meningkat. Para remaja, lelaki dan perempuan, yang sudah mencecah umur lapan belas tahun dibenarkan untuk menyertai pasukan keselamatan.

Setiap hari, berpuluh pasukan bersenjata akan berpecah keluar menyelongkar setiap pelusuk bandar usang ini mencari bekalan dan peralatan yang masih boleh digunakan. Rokok merupakan komoditi yang paling berharga. Ubat anti depresi sudah tidak wujud lagi, hanya nikotin, dan kadang kala, alkohol menjadi peneman sejati untuk kebanyakan penduduk koloni. Makanan dalam tin juga sudah hampir pupus.


Eddy dan dua rakan baiknya menyertai dengan sukarela salah satu pasukan penyelamat yang beroperasi pada hari ini. Mereka baru sahaja selesai latihan penggunaan senjata api beberapa hari yang lepas. Setiap penduduk koloni yang berumur lebih dari enam belas tahun diwajibkan untuk menjalani latihan tersebut. Tujuh orang anggota lengkap bersenjata bertolak keluar pada waktupagi dengan menaiki sebuah bas sekolah.


Empat anggota sudah berada dalam banglo tersebut selama lebih kurang setengah jam sekarang. Operasi ini diketuai oleh ketua koloni mereka, yang juga merupakan antara orang-orang terawal yang membina koloni mereka. Tentu ketuanya sudah menempuh pelbagai pengalaman ngeri sejak benda ini semua berlaku, fikir Eddy. Inilah kali pertama dia berinteraksi dengan lelaki veteran tersebut.Orangnya sangat dingin dan kurang bercakap. Eddy sering tertanya bagaimana rupa dan cara kehidupan masyarakat bandar tersebut sebelum zon Selamat kosong Satu wujud. Adakah mereka bersusah-payah untuk mencari kesenangan hidup seperti sekarang? Dia pernah terdengar veteran-veteran berbual tentang bagaimana mereka merindui kehidupan waktu malam, keluar minum dan berbual di restoran mamak hingga pagi. Eddy tidak dapat bayangkan apa yang dimaksudkan oleh mereka.


Lamunan Eddy diganggu oleh satu jeritan nyaring datang dari arah banglo tersebut. Semakin lama semakin nyaring.


“Jangan! Lepaskan dia! Jangan bawa dia keluar!” Satu suara wanita bertempik dari dalam. Pintu depan banglo terbuka luas. Eddy melihat ketuanya sedang mengheret kasar seorang budak perempuan yang sedang meronta-ronta untuk melepaskan diri. Dari tempat dia berdiri, Eddy boleh lihat dengan jelas rambut beruban ketuanya nipis dan jarang-jarang seperti janggutnya juga. Terdapat satu parut panjang dari kening mata kanan turun ke pipi. Kedua matanya tajam dan bengis.


Budak perempuan tersebut dicampak ke luar. Dengan serta-merta tubuh kecil itu disambar api dan semakin marak dalam hanya beberapa saat, membakar kulit dan bajunya. Jeritan kanak-kanak itu semakin nyaring dan menakutkan. Eddy dan Taufik kaku. Tubuh kecil budak perempuan tersebut ibarat kertas, laju menjadi abu dimamah api. Dalam beberapa saat sahaja isinya menjadi debu hilang ditiup angin dan tulang temulang kanak-kanak itu jatuh berderai. Tengkorak bersaiz bola takraw bergolek dan berhenti betul-betul dihujung kaki Eddy. Dia dapat lihat dua gigi taring tajam menyeringai ke arahnya. Tengkorak kecil itu masih berasap dan bunyi berdesis jelas kedengaran. Suara wanita tadi menjerit sekuat hati. Ibu kepada budak tadi agaknya, Eddy membuat kesimpulan. Dia dan ketuanya bertentang mata untuk beberapa saat sebelum orang tua tersebut berpaling dan masuk semula ke dalam banglo. Lutut Eddy terasa lembik dan jantungnya berdegup kencang. Dia menelan air liur.


Selang beberapa minit, seorang perempuan muda keluar tergesa-gesa. Zaza memegang kemas Steyr AUG dalam dakapan. Dia melindung matanya dari cahaya matahari dengan tangan. “Start enjin cepat! Kita jumpa tawanan.” Kemudian Zazaberpatah balik masuk ke dalam banglo.


Fikri mengemas semula senapang penembak tepatnya. Eddy memastikan kedua-duadaun pintu bas terbuka luas. Taufik membetulkan semula kerusi pemandu dengan kelam kabut. Enjin dihidupkan, begitu juga dengan rokoknya, inilah waktu yang sesuai. Dia menepuk bumbung bas berkali-kali. “Cepat! Cepat!” Fikri masih belums elesai mengemas.


Zaza muncul semula sambil mendukung seorang kanak-kanak lelaki dan memimpin seorang lagi budak perempuan yang lebih tua sedikit. Dibelakang Zaza,kelihatan beberapa orang remaja, wanita dan warga tua berlari-lari anak dalam satu barisan menuju ke arah bas. Mereka kelihatan penat dan sugul. Pakaian mereka compang-camping. Muka mereka calar-calar dan comot. Ada diantara mereka menitiskan air mata kegembiraan. Akhirnya mereka terselamat dari menjadi santapan makan malam. Zaza, Fikri dan Eddy membantu mereka naik dan mencari tempat duduk dalam bas. Air minuman dan makanan juga diagih-agihkan. Beberapa orang tua mengucup pipi Eddy dan berterima kasih padanya. Dia sebak.

Mereka dikejutkan dengan bunyi tembakan bertalu-talu dari dalam banglo.Dua lagi rakan mereka keluar dengan berlari-lari anak dari banglo dan diikuti oleh ketua mereka. Taufik memandu bas mereka masuk ke jalan besar dan terus meluncur laju ke arah lebuhraya Persekutuan. Lima minit kemudian, mereka dikejutkan dengan sebuah letupan kuat dari arah banglo yang mereka baru tingalkan tadi. Hari ini mereka berjaya menyelamatkan dua puluh tawanan dan bilangan kolonis Zon Selamat Kosong Satu semakin ramai.

 


Next: BAB 1

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh #mystrill