Home Novel Thriller/Aksi CATUR
CATUR
#mystrill
21/11/2019 21:23:18
34,036
Kategori: Novel
Genre: Thriller/Aksi
BAB 1
KETIKA itu, waktu semakin menghampiri senja. Namun, Shahrul tetap setia di situ sambil melayan perasaan. Keindahan pemandangan di Pantai Klebang sudah cukup memberikan Shahrul sebuah ketenangan yang dicari-cari. Lebih-lebih lagi jika dia sedang berhadapan dengan masalah seperti sekarang ini.

Telefon bimbit yang berbunyi sejak tadi tidak diendahkan. Pagi tadi, hampir satu jam juga dia berbual dengan Dato’ Rushdi di telefon. Sepanjang masa itu hanya dihabiskan dengan sebuah pertengkaran yang dianggap hanya membuang masa. Deringan telefon yang entah untuk kali ke berapa membuatkan Shahrul akhirnya mengalah.

“Helo?” sapanya perlahan. Pada masa yang sama, pandangan matanya mula tertumpu pada seorang remaja perempuan yang kelihatan lebih kurang sebaya umurnya sedang leka bermain istana pasir seorang diri. Macam budak-budak pun ada. Main pondok-pondok!

Seronoknya jadi ‘budak kecik’. Tak payah nak sibuk fikir benda lain. Fikir makan, tidur, makan lepas tu tidur semula. Itu sahaja, fikir Shahrul. Suara ayahnya yang kedengaran tenggelam timbul di hujung talian tidak diendahkan. Shahrul tergelak perlahan, namun suara itu kedengaran jelas di hujung talian.

“Shahrul!” sergah Dato’ Rushdi dengan suara yang lebih kuat. Dadanya mula berombak kencang menahan amarah. Terasa seolah-olah sedang dipermainkan oleh anak bongsunya itu.

Shahrul tersentak. Namun, perhatiannya masih tertumpu terhadap ‘kanak-kanak’ comel itu.

Sesekali remaja perempuan itu turut mengerling tajam ke arahnya. Kurang selesa ditenung begitu oleh sepasang mata anak teruna.

Shahrul tersenyum senang. Entah mengapa pandangan itu seolah-olah mampu mendatangkan sebuah ketenangan dalam jiwanya yang sedang dilanda ribut taufan.
“Dengar sini baik-baik, Shah! Ayah telefon kau bukan saja-saja, okay. Ayah nak beritahu yang ayah…”

Belum sempat Dato’ Rushdi menghabiskan kata-katanya, Shahrul pantas memotong. Dia sudah mampu mengagak apa yang mahu diperkatakan oleh lelaki itu. Lelaki yang sanggup meninggalkan ibunya yang sedang sakit semata-mata mahu berkahwin dengan seorang janda!


“Ayah, kalau betullah ayah nak kahwin dengan janda tu. Teruskanlah. Shahrul tak akan halang ayah lagi. Tapi satu aje Shahrul nak pesan, jangan sesekali lupa yang ayah ada seorang lagi isteri iaitu mama! Ingat tu.”

“Ayah tak pernah lupakan dia!”

“So, kenapa selama ni ayah tak pernah jenguk mama dekat rumah? Dia tengah sakit!” ujar Shahrul agak tegas. Berair matanya menahan sebak. Mengapa ayah bersungguh-sungguh mahu berkahwin dengan perempuan itu? Apa salah mama? Sebab mama sakit? Tak mampu melayan kehendak ayah seperti selalu. Sayang sekali, dia tidak mampunyai kekuatan untuk meluahkannya.

Serentak itu, Shahrul terus mematikan talian dan telefon bimbitnya diletakkan di dalam poket seluar. Dia bingkas bangun lalu menepuk-nepuk kuat seluarnya yang penuh dengan pasir melekat.

“Ambil ni,” ujar remaja perempuan tadi sambil tangannya menghulurkan sehelai sapu tangan bercorak bunga-bungaan kepada Shahrul. Entah sejak bila dia berada di hadapannya, Shahrul sendiri tidak perasan.

“Te… Terima kasih,” ucap Shahrul sedikit terpinga-pinga. Laju tangannya menyambut huluran sapu tangan tersebut. Senyuman yang dirasakannya paling manis dilemparkan kepada remaja itu. Walaupun, tidak seikhlas mana…

“Ha, macam tulah, cik abang oi. Senyum lebar lagi. Barulah nampak handsome. Ini tidak. Dahi tu kalau boleh asyik nak berkerut 24 jam.” Ada nada usikan dalam kata-kata remaja perempuan itu. Remaja perempuan itu tertawa manja.

 Shahrul sekadar membatu tanpa reaksi. Lesung pipit di kedua-dua belah pipinya nampak begitu manis sekali. Lebih-lebih lagi apabila dia sedang ketawa begitu. Terkesima Shahrul melihatnya.

“Nama?” tanya Shahrul ringkas.

Terus terangkat kedua-dua kening remaja perempuan itu sambil matanya tidak lepas-lepas memandang anak mata Shahrul. Kurang mengerti dengan maksud kata-kata itu. Nama? Nama siapa? Nama diakah? Nak tahu buat apa!

“Maksud saya, gelaran apa yang saya boleh gunakan untuk panggil awak. Miss? Auntie?” seloroh Shahrul. Kali ini, dia sudah benar-benar berasa selesa dengan keadaan mereka. Laju sahaja Shahrul memberi isyarat kepada remaja perempuan itu agar mereka bersama-sama mencangkung di atas tanah. Senang. Tak payahlah Shahrul membongkokkan badannya setiap kali dia menoleh ke arah perempuan itu yang hanya separas bahunya. Pendek betul!


“Medina. Panggil saya Ina sahaja pun boleh. Tak ada masalah. Cuma saya paling pantang kalau ada orang panggil saya Dina. Geli! Terlalu keperempuanan,” tegas Medina dengan mata yang mencerlung tajam.

Shahrul terus meletuskan tawanya tanpa mempedulikan wajah remaja perempuan itu yang telah berubah kemerahan. Suka sangat menjeling orang. Nanti mata naik juling. Baru menyesal. Sorry, masa tu cik abang tak dapat nak tolong!

“Emmm… Sedap nama tu. Semanis orangnya. Saya pula Shahrul. Tak kisahlah awak nak panggil saya apa. Asalkan jangan panggil saya abang sudahlah. Meremang bulu roma ni nanti.” Shahrul tersengih-sengih. Ada nada nakal dalam suaranya. Juga sengaja dia menekankan sedikit perkataan di penghujung ayatnya.

“Tak tanya pun!” Medina mencebik. Dia terus bercekak pinggang lalu berpaling ke tempat lain. Konon-kononnya tengah merajuk.

“Yalah, orang dah tak sudi. Tak boleh nak paksa.” Shahrul berpura-pura ingin beredar dari situ.

“Errr… Shah….”

Shahrul pantas menoleh. Ada riak senang terukir di wajahnya.

“Ya?”

Sekali lagi, mereka berbalas pandangan dan senyuman.
 
 Semenjak dari itulah Shahrul sering bertemu dengan Medina pada waktu petang kerana dia ada sesi persekolahan pada waktu pagi. Setiap kali bertemu, ada sahaja aktiviti yang mereka lakukan bersama-sama bagi mengisi masa terluang. Medina sendiri tidak kisah dengan perangai ‘gila-gila’nya. Mungkin disebabkan itulah mereka jadi serasi bersama.
Shahrul mengeluh perlahan. Dia tidak mampu menipu perasaannya lagi. Perempuan itu telah berjaya menakluki hatinya. Bukan setakat hati, tetapi fikirannya juga! Saat ini, yang mampu difikirkan hanyalah Medina. Bukan lagi Dato’ Rushdi. Mahupun, Datin Alia!

“Shah,” panggil Medina lembut.

    “Emmm…”

    “Saya hauslah. Takkan kita nak duduk sepanjang hari dekat bawah pokok kelapa ni. Dahlah cuaca tengah panas.” Sempat lagi Medina menjeling ke arah Shahrul yang masih khusyuk menelaah buku. Tengah panas macam ni masih ada hati nak baca buku sekolah. Kalau dialah, jangan harap!

    “Oh, ya. Saya ada sebotol air mineral yang belum dibuka. Ambillah.” Sekelip mata botol air tersebut sudah berada di tangan Medina.

    Medina mencebik.

    Shahrul masih lagi begitu. Tersandar di batang pokok kelapa sambil menikmati angin pantai. Cukup menenangkan. Namun, tidak bagi Medina!

    “Jom kita pekena cendol mak cik saya. Sedap tau! Gerai mak cik saya tu taklah jauh mana. Tak sampai 5 minit pun dari sini, sekejap aje dah sampai.”

    “Malaslah…”

    “Jomlah,” rayu Medina lagi.

Akhirnya Shahrul akur. Tak sampai hati ingin menolak ajakan gadis comel itu. Selesai memasukkan buku ke dalam beg, mereka bersama-sama menuju ke deretan gerai yang terletak di seberang jalan.

“Sedap ke air cendol mak cik awak tu?”

“Bukan mak cik! Tetapi, Cik Muna. Dia belum kahwin lagi. Jangan pula sesuka hati awak panggil dia mak cik ke apa. Kecil hati Cik Muna kesayangan saya tu tau. Kalau saya yang panggil dia macam tu, masih boleh diterima akal lagi. Sebab saya ni anak saudara dia!” tegas Medina. Wajahnya sudah bertukar kemerahan dek terkena cahaya matahari yang terik memancar.

“Emm… Memang tak adil,” balas Shahrul sambil kakinya laju melangkah bagi menyaingi Medina yang sudah jauh ke hadapan. Nampak betul yang dia benar-benar tidak sabar untuk merasa keenakan cendol hasil air tangan Cik Muna.

“Kenapa pula awak cakap macam tu?” tanya Medina lalu menghentikan langkahnya dan terus berpaling ke arah Shahrul.

“Sebab saya pun bakal anak saudara dia juga,” balas Shahrul selamba.

Terkulat-kulat Medina ditinggalkan oleh Shahrul di situ seorang diri. Dia kelihatan terkejut mendengar kenyataan yang keluar dari mulut lelaki itu.

Benar seperti yang diperkatakan oleh Medina sebentar tadi. Cik Muna seorang yang ramah dan tidak lokek untuk memberi Shahrul dua mangkuk cendol tanpa mengenakan sebarang bayaran. Sedang mereka leka berbual kosong, Shahrul menerima panggilan daripada orang gajinya, Kak Sarah. Dia mahu memaklumkan keadaan Datin Alia yang telah dimasukkan ke hospital kerana diserang darah tinggi.

“Kenapa ayah tak call Shahrul sendiri, Kak Sarah!” tanya Shahrul dengan nada suara yang cukup keras sekali.

Dia cepat-cepat bangun dari meja makan lalu bergerak sejauh yang boleh dari gerai Cik Muna. Pertanyaan yang bertalu-talu dari mulut Medina tidak diendahkan.

“Dato’ beritahu Kak Sarah, dia dah cuba telefon Shahrul banyak kali, tetapi Shahrul yang tak nak angkat.” Sharul terdiam. Rasa bersalah mula menguasai di segenap ruang hatinya. Tadi, dia memang sengaja membiarkan telefonnya berbunyi-bunyi kerana sudah tahu yang panggilan tersebut adalah daripada Dato’ Rushdi.

“Shahrul balik, ya. Lawat Datin dekat hospital. Dato’ beritahu tengah hari nanti Pak Cik Mad akan datang jemput Shahrul dekat rumah Puan Hanim,” pujuk Kak Sarah dengan suara yang penuh mengharap.

“Baiklah, kak. Nanti Shahrul beritahu Auntie Hanim. Kalau akak datang melawat mama nanti, sampaikan salam Shahrul sekali, ya.” Serentak itu talian terus dimatikan. Satu keluhan terus keluar dari mulutnya.

Semenjak Dato’ Rushdi berkahwin lagi, kesihatan Datin Alia semakin merosot. Sekelumit perasaan marah mula menghambat dadanya. Dato’ Rushdi tidak pernah sekali pun mempertimbangkan perasaan Datin Alia yang sanggup berkorban apa sahaja demi kebahagiaan mereka sekeluarga.

Pandangan Shahrul sempat tertumpu ke arah Medina. Gadis itu masih setia menunggunya di hadapan gerai Cik Muna. Nampak agak gelisah. Mata mereka mula bertaut. Telefon bimbit di tangan digenggam erat.

Sekarang ini, Shahrul benar-benar kesuntukan masa untuk berpatah semula ke sana. Sebuah penjelasan memerlukan tempoh masa yang panjang! Dia tidak akan sempat mengemas beg pakaian sebelum Pak Cik Mad sampai. Hatinya kuat mengatakan mungkin juga mereka tidak akan pernah bertemu lagi. Dia sendiri berasa sukar untuk berjauhan dengan gadis itu.

“Maaf, Dina. Shah terpaksa pergi. Maafkan Shah, ya,” bisiknya perlahan. Dia berpaling lalu melangkah laju meninggalkan Pantai Klebang. Suatu keputusan yang bakal dikesali untuk seumur hidupnya…

Kini, hampir 10 tahun berlalu. Namun, ingatan Shahrul terhadap gadis yang bernama Medina itu tidak pernah terpadam. Sehingga sekarang sapu tangan milik Medina masih disimpannya. Setiap hari juga tanpa jemu sapu tangan itu ditatapnya dengan penuh kerinduan. Setiap masa dan saat dia membayangkan dirinya dan Medina bertemu di tempat pertemuan pertama mereka dulu.

Mungkinkah Medina telah membesar menjadi gadis yang cantik? Mungkinkah sekarang ini dia masih lagi menuntut di kolej? Atau mungkin juga sudah memiliki kerjaya sendiri? Pelbagai persoalan mula menerjah masuk ke dalam kotak fikiran Shahrul. Dia bertekad ingin mencari gadis itu untuk menuntut janji yang telah dilafazkan suatu ketika dulu. Pantai Klebang telah lama menjadi saksi pertemuan mereka yang terlalu bermakna itu.

“Aku akan cari dia sampai dapat!” tekad Shahrul sambil mengusap lembut kotak berwarna merah yang berisi sapu tangan itu. Terasa menyesal pula kerana selama pertemuan mereka itu, dia tidak pernah sekali pun bertanyakan nama penuh Medina. Jika tidak, sekarang ini sudah tentu pencariannya akan lebih mudah.

Previous: PROLOG
Next: BAB 2

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.