Home Novel Thriller/Aksi CATUR
CATUR
#mystrill
21/11/2019 21:23:18
5,892
Kategori: Novel
Genre: Thriller/Aksi
Bab 5

“Aduh!” Bedebuk tubuh Syafiqa berguling jatuh dari atas katil. Kepalanya yang terhentak di atas lantai diusap-usap beberapa kali. Matanya mula melilau memandang ke sekeliling.

Sah! Dia hanya bermimpi. Namun, mimpi itu bukan sekadar mimpi biasa. Ia adalah kenangan sewaktu dirinya masih kanak-kanak lagi. Kenangan ‘ngeri’ yang Syafiqa mahu lenyapkan dari kotak memorinya buat selama-lamanya.

Selesai membersihkan diri, dia bergegas turun ke bawah untuk bersarapan sebelum ke kelas pagi ini. Dari dalam bilik lagi dia sudah mendengar suara Puan Ana dan Encik Mohd berbual di ruang makan. Sesekali turut kedengaran gelak-tawa mereka. Syafiqa turut senang dengan keadaan itu.

“Sarapan dulu, Iqa,” ujar Puan Ana sambil tersenyum ke arahnya.

“Haruslah, ibu,” balas Syafiqa tersengih-sengih. Perutnya digosok-gosok tanda lapar. Tak menunggu lama. Sebaik punggungnya dilabuhkan di atas kerusi, gelas yang berisi air oren dicapai lalu diteguk rakus.

‘Iqa…’

Syafiqa yang sedang leka meneguk air oren terus tersedak. Tersembur air dalam mulutnya sehingga turut mengenai makanan. Begitulah keadaan dirinya setelah pulang dari rumah Tok Mah. Kerap sekali dia mendengar suara halus memanggil-manggil namanya. Sengaja Syafiqa merahsiakan perkara tersebut dari pengetahuan sesiapa. Nanti dikatakan terlebih berhalusinasi pula!

Menggeleng-geleng kepala Encik Mohd melihat kelakuan anaknya yang kelihatan agak kurang sopan di meja makan. Syafiqa terlalu gelojoh. Gaya gadis itu mengalahkan orang tak makan setahun! Pantang nampak makanan, terus tak pandang kiri dan kanan. Bab selera makan tak payah disentulah…Tengok tuan punya badan pun dah cukup.

Puan Ana menepuk-nepuk lembut belakang Syafiqa. Dalam diam, dia tertawa seenaknya. Tak sampai hati mahu mentertawakan gadis itu yang agak kebudak-budakan. Padahal, umurnya sudah hampir memasuki 21 tahun. Mungkin saiz badan Syafiqa yang agak berisi membuatkan anak gadisnya itu kelihatan lebih matang berbanding dengan usianya yang sebenar.Namun, kulit Syafiqa yang putih melepak membuatkan Puan Ana sentiasa mahu mencuit-cuit pipinya. Geram sangat!

“Hati-hati, Iqa. Jangan makan nasi dan minum air sekali gus. Tercekik nanti. Mama juga yang susah,” pesan Puan Ana. Nadanya kedengaran cukup lembut sekali.

Syafiqa sekadar menganggukkan kepalanya tanda faham. Tercungap-cungap mulutnya menahan lelah. Wajahnya pula kelihatan kemerah-merahan seolah-olah baru lepas selesai menyertai pertandingan larian dipadang sekolah.

“Ana, malam ni kita anak-beranak terpaksa gerak ke Negeri Sembilan. Meeting abang mungkin habis lewat petang. Sebelum abang sampai, pastikan semua beg pakaian dah siap-siap letak dalam bonet kereta. Kita guna kereta yang lagi satu,” ujar Encik Mohd dengan nada suara tegas.Namun, dalam ketegasan tetap ada sayangnya.

“Kenapa tergesa-gesa sangat, bang? Tak bahaya ke bawa kereta malam-malam?” soal Puan Ana sedikit gusar.

“Betul! Lagipun, malam ni Iqa tak dapat balik ke rumah awal. Lepas habis kelas nanti, cadangnya Iqa nak singgah ke bilik hostel kawan. Ada study group dengan dia orang. Minggu ni penuh dengan kuiz, ayah. So,tak bolehlah kalau Iqa tak baca buku,” beritahu Syafiqa cukup berhati-hati. Hatinya semakin gusar melihat wajah Encik Mohd yang sudah berubah keruh.

“Emm…Boleh kamu ulang sekali lagi, Iqa,” pinta Encik Mohd sambil tersenyum sinis.

“Err…Malam ni....” Syafiqa terdiam. Tidak jadi meneruskan kata-katanya. Wajah Encik Mohd yang bagai singa kelaparan berjaya membuatkan tubuhnya bergetar ketakutan. Sikit masa lagi memang kena terkam terus dengan encik singa!

“Tak boleh. Malam ni semua orang mesti ada. Kalau Iqa langgar perintah ayah, jangan haraplah hujung bulan ni kamu dapat elaun. Ayah terus potong,” tutur Encik Mohd separuh mengugut. Surat khabar yang telah selesai dibaca dilipat kemas lalu diletakkan di hadapannya.

“Ana, abang nak kamu pastikan malam ni semua orang dah ada dekat rumah. Tak tinggal walau seorang pun. Faham.” Serentak itu, Encik Mohd terus berlalu meninggalkan Syafiqa yang masih termangu-mangu di meja makan.

Puan Ana turut mengikut langkah Encik Mohd sambil membawa beg bimbit ditangan. Sempat lagi dia membuat isyarat jari telunjuk pada Syafiqa.

“Ingat tu. Balik awal!”

Previous: BAB 4
Next: Bab 6

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.