FARIS menongkat dagu sambil menyelak
helaian akhbar di atas meja itu. Air di dalam gelas sudah tinggal hampir
separuh. Bayang Asmida masih tidak kelihatan. Adakah gadis itu sudah tidak sudi
bertemu dengan dia? Tidak sudi mendengar keluh-kesahnya lagi? Tidak sudi
berkawan dengannya? mungkin juga Asmida sedang sibuk atau tersangkut dengan
kesesakan lalu-lintas Faris membuat tafsiran sendiri. Asmida
mungkin kelihatan seorang gadis yang agak pelik tetapi firasatnya mengatakan
gadis itu seorang yang boleh dipercayai. Gelagat Asmida yang kelam-kabut itu
selalu mencuit hati Faris. Faris tersenyum sendiri. Namun hanya seketika. Faris
mengerling lagi jam di pergelangan tangan. Jika 10 minit lagi Asmida tidak
tunjuk muka, dia akan meninggalkan restoran mamak itu.
“Assalamualaikum…”
Suara lembut yang memberikan salam itu mengembalikan senyuman di bibir Faris. Asmida
sudah terpacak berdiri di hadapannya. Asmida menyapu manik-manik peluh di dahi
dengan sapu tangan.
Kematu
punggungnya di atas skuter tadi. Kemalangan yang berlaku menyebabkan jalan raya
mengalami kesesakan. Biasalah orang Malaysia ini, mereka hanya melihat dan
mengambil gambar untuk dimuat-naik di laman sosial. Mereka bukannya mahu
membantu mangsa kemalangan.
“Waalaikumusalam…”
Faris bangun dan menarikkan kerusi untuk Asmida.
“Terima
kasih.” Mata Asmida tidak memandang ke arah wajah Faris. Dia seakan memandang
sesuatu di belakang Faris. Hatinya menarik nafas lega. Tiada bayang-bayang
menyeramkan itu kelihatan di belakang Faris.
Mujur
saja tingkahnya itu tidak disedari oleh Faris.
“As
orderlah. Saya belanja.”
Asmida
melirik senyuman lalu memandang ke arah pinggan Faris yang hanya berbaki sisa
makanan.
“Saya
order air saja.” Perutnya masih
kenyang. Dia jarang makan di luar. Dia lebih senang masak sendiri di rumah.
Jimat.
“Tak
lapar?”
Asmida
laju menggeleng.
“Okaylah
kalau begitu.”
Asmida
sekadar memesan segelas laici ais. Selama berkenalan dengan gadis itu, Faris
tidak pernah bertanya akan pekerjaan Asmida. Asmida seperti berahsia.
“As
bekerja di perpustakaan itu ke? Kita selalu bersua pun di sana.” Faris sengaja
bertanya.
Asmida
menggeleng lagi.
“Saya
seorang penulis.” Balas Asmida malu-malu.
“Penulis?”
Asmida
mengeluarkan sebuah novel dari beg sandangnya lalu dihulurkan kepada Faris.
Sebuah novel seram.
Faris
terkesima. Dia tidak menduga sekali yang gadis pelik ini adalah seorang penulis
novel. Tidak ramai novelis yang diminati oleh Faris. Faris seorang yang cerewet
memilih bahan bacaannya. Dia agak suka juga melayan novel berunsurkan seram dan
mistik ini. Cuma dia belum pernah membaca karya-karya yang ditulis oleh Asmida.
Penulis biasanya menggunakan nama pena dari nama sendiri.
Matanya
terpaku pada nama pena yang tertera di atas novel tersebut.
“Awak
Asmiranda Adnan.”
Asmida
angguk. Mukanya masih merah. Dia hanya seorang penulis bilis. Namanya tidak
segah penulis-penulis popular di Malaysia ini.
“Ya,
saya penulis sepenuh masa. Nama pena itu adalah nama kembar saya.” Asmida
mengabadikan nama kembarnya itu sebagai nama penanya.
“Awak
ada kembar?” Tidak di duga Asmida mempunyai saudara.
Asmida
angguk lagi.
“Kami
kembar seiras. Tapi kembar saya meninggal dunia ketika kami berusia 12 tahun.”
Wajah Asmida sayu bila teringatkan arwah kembarnya itu. Mereka sejak dari kecil
agak rapat dan tidak pernag berenggang. Minat mereka juga sama.
“Maaf.
Dia sakit apa?” suara Faris sedikit mengundur.
“Tidak
mengapa. Dia ada masalah jantung.”
Mereka
diam sebentar.
“Awak
percaya ada hantu?” Tiba-tiba sahaja Faris lari dari topik perbualan. Itu topik
yang sepatutnya dibicarakan dengan Asmida.
“Makhluk
halus itu ada. Hantu hanya gelarannya saja.” Golongan Jin sentiasa ada bersama
manusia. Hanya mata kita yang berhijab tidak dapat melihat mereka. Mereka ada
pelbagai rupa. Malahan mereka juga boleh menyerupai manusia.
“Saya
takut awak tidak percaya apa yang saya lalui. Saya sendiri menjadi takut. Saya selalu
dengar suara berbisik pada telinga saya.” Faris membuka ceritanya. Dia berharap
Asmida akan mempercayai cerita-ceritanya itu.
“Suara?”
Tidak berkelip mata Asmida. Ditenung wajah Faris lama. Adakah suara itu ber-
kaitan dengan bayang-bayang hitam yang
mengikut lelaki itu?
“Ya,
suara. Saya juga mengalami mimpi aneh. Mimpi-mimpi tersebut seperti menjadi realiti.
Dan beberapa kali saya bangkit dari tidur pakaian saya berlumuran dengan
darah.” Faris takut mimpi ngeri itu akan berterusan mengganggui tidurnya dan
mungkin juga akan mempengaurhi emosinya kelak.
Hati
Asmida berdebar-debar. Barangkali ada orang yang dengki atau iri hati dengan
Faris. Mereka menghantar ‘sesuatu’ untuk mengganggui lelaki itu? Itu hanya
andaian Asmida.
“Awak
ingat apa yang berlaku dalam mimpi awak?”
Faris
menghela nafas kecil. Kepalanya digelengkan.
“Saya
tidak ingat apa-apa. Langsung tidak ingat.” Mata Faris bertaut dengan mata
Asmida. Lelaki itu tidak menipu.
“Emmm…”Asmida
memengang dagu.
“Awak
percaya pada cerita-cerita saya?” Faris cuba memancing reaksi Asmida.
“Tiada
yang mustahil. Saya sudahkan katakan atas bumi Allah ini bukan hanya dihuni
oleh kaum manusia. Makhlus alus itu ada. Faris, awak kena berhati-hati.”
Bola
mata Asmida membulat besar melihat bayang di belakang Faris yang sedang
menyeringai ke arah dia itu. Tergamam dia seketika. Asmida tahu yang
bayang-bayang hitam itu tidak menyenangi dia.
“As…
awak seakan berpeluh. Awak tak apa-apa?”
“Oh,
cuaca sekarang panas. Air condpula
tak kena pada kita.” Asmida berdalih. Dia masih tidak ada keberanian untuk
bercerita tentang bayang-bayang hitam itu kepada Faris.
“Faris!”
Nadia
muncul secara tiba-tiba. Faris dan Asmida tersentak.
“Nad…”
“Patutlah
I callyou tak dapat. You ada date dengan perempuan nerd ni!” Nadia mula melenting. Bukan
main mesra lagi Faris bersama Asmida. Api cemburunya terus meledak.
“You
jangan salah sangka. Tak baik you membuat tuduhan melulu pada I dan As.”
Kedua-dua belah lengan Nadia dipaut. Faris cuba menenangkan Nadia. Pandangan
mata mereka bersatu. Asmida diam tidak berkutik.
Nadia
tidak makan pujukan. Kalau diterangkan seribu kali pun, dia masih mengikut rasa
cemburu buta tidak bertempatnya itu.
“I
sudah berikan warning pada you jangan
rapat dengan perempuan ni. And you…
You tak malu ke nak rampas boyfriend
I. Cermin muka you dulu. Kalau you takde
cermin di rumah, I boleh pinjamkan cermin I pada you untuk you lihat diri you
itu!” Nadia menundingkan jari telunjuk runcingnya pada muka Asmida.
Asmida
terkilan dengan cemuhan Nadia.
“Stop it, Nad!” Faris sudah makin jelak
dengan sikap cemburu buta Nadia tidak habis-habisnya itu. Tiada sekelumit pun
perasaan untuk Asmida.
“You
tengking I kerana perempuan ni.” Terjegil biji mata Nadia apabila Faris
mempertahankan Asmida.
Asmida
masih tidak mencelah. Dia hanya membiarkan maki-hamun Nadia dihamburkan
kepadanya.
“Nad,
jika macam ini sikap you, kita break-up!”
Faris hilang sabar. “As… mari saya hantar awak balik.” Faris menarik lengan
Asmida. Terkocoh-kocoh Asmida menuruti langkah panjang Faris.
Nadia
menghentak kaki tanda protes.
ASMIDA tidak dapat menghabiskan
baris-baris ayat pada manuskrip yang sedang ditaip itu. Otaknya sudah habis
diperah buat masa ini. Dia bersandar pada kerusinya dengan wajah lesu. Dia agak
keletihan sedikit. Asmida bingkas bangun dan menuju ke dapur mengambil segelas
jus oren. Sekembalinya semula di ruang tamu, Asmida mencapai majalah di atas
meja tamu lalu membeleknya. Gelas jus orennya sudah terletak di dada meja. Televisyen
sengaja dibiarkan terpasang tanpa ditonton. Cantik wanita yang menjadi penghias
utama depan majalah itu. Seorang model yang sedang meletup dan penuh dengan
kontroversi. Kontroversi dengan skandal dengan orang-orang kaya. Terutamanya di
kalangan suami orang.
Apa
yang hebat sangat bercinta dengan suami orang? Sedangkan lelaki bujang masih
bersepah-sepah di luar sana. Dengan tidak semena-mena wajah model di muka
majalah itu berlumuran dengan darah. Asmida terkejut lalu dia melemparkan
majalah tersebut di atas meja. Entah kenapa bulu romanya meremang. Asmida berasa
seolah-olah ada sesuatu di belakangnya. Dia menoleh. Tiada sesiapa. Mungkin
mainan perasaannya.
Asmida meloncat dari sofa
apabila terasa bahunya disentuh dari belakang. Matanya liar memandang
sekeliling. Asmida hampir menjerit melihat perempuan yang sedang
merangkak-rangkak di lantai ruang tamunya itu. Perempuan itu mengangkat
wajahnya memandang Asmida. Wajah perempuan itu sudah cukup membuatkan jantung
Asmida berombak kencang. Asmida memenjamkan matanya saat tangan perempuan itu
mencengkam kakinya. Dia kuatkan semangat membaca ayat Kursi. Seketika kemudian,
Asmida tidak lagi terasa kakinya dicengkam oleh perempuan itu. Dia membuka
matanya. Tiada bayangan perempuan tadi. Asmida terduduk di lantai.
Nafasnya turun naik. Dia
mengurut dada. Apa petanda pula kali ini? dia tidak bermimpi. Asmida mencapai semula
majalah yang dilemparkan tadi.
“Adakah
kau mangsa seterusnya?” bisik hati kecilnya.
Mimpi?
Bayang-bayang menyeramkan? Pembunuhan misteri? Gangguan-gangguan pelik ini
semuanya menjadi tanda tanya. Asmida tidak dapat menghuraikan misteri di
sebaliknya. Adakah semua ini berkaitan dengan seseorang?