Home Novel Seram/Misteri JAMPI
JAMPI
muRni aQiLa
16/3/2018 20:26:37
120,250
Kategori: Novel
Genre: Seram/Misteri
BAB 15

Dahlia berdiri di hadapan pintu rumah jirannya itu. Teragak-agak dia. Serba tak kena. Sama ada mahu teruskan niat atau batalkan saja dan pulang ke rumah semula. Tapi nalurinya kuat menyuruh supaya teruskan saja apa yang dia dah rancang.

Tangan diangkat mahu menekan butang loceng. Agak menggigil tangannya. Dada pula berderau bagaikan mahu pecah. Ditelan liur yang memberat di tekak.

Ditekan juga butang loceng tu. Dia tak dengar bunyi loceng dari luar rumah. Tak tahu sama ada berbunyi atau tak. Tak tahu sama ada loceng itu berfungsi ataupun sebenarnya rosak.

Ditekan sekali lagi. Kali ini ditekan lebih kuat. Ditekan dua kali. Mungkin tadi tak berbunyi kerana tak ditekan betul-betul. Tapi masih sama. Dia tak dengar bunyi apa-apa loceng.

Atau yang sebenarnya bunyi loceng itu tak boleh didengar dari luar?

Dahlia menekan butang loceng itu berkali-kali. Dia tak kira! Dia nak jumpa dengan wanita itu hari ini juga! Ditekan lagi dan lagi dan lagi. Masih tiada tanda-tanda pintu akan dibuka.

Dia mahu menekan butang loceng sekali lagi, namun tangannya terhenti. Telinganya menangkap bunyi berdentum dari dalam rumah jirannya itu. Seakan ada benda yang jatuh.

Bam!

Berkerut dahi Dahlia. Maknanya, ada orang di dalam rumah! Tapi kenapa pintu masih tak dibuka? Agaknya loceng itu dah rosak.

Lalu dia tak jadi menekan butang loceng. Dia mengetuk pintu rumah itu pula. Diketuk kuat-kuat.

“Kak...”

Bam!

Telinganya sekali lagi menangkap bunyi seperti ada sesuatu yang berdentum lagi di dalam rumah itu.

“Kak! Kak!” panggilnya sambil mengetuk-ngetuk pintu itu lebih kuat. “Buka pintu, kak. Saya ni, jiran akak!”

Tapi pintu tetap tak dibuka. Dahlia memandang ke kiri dan kanan koridor. Kosong. Tiada sesiapa.

Diketuk lagi pintu rumah itu. “Kak! Kak!”

Senyap.

Terdiam Dahlia. Bunyi di dalam rumah itu tak kedengaran lagi. Mungkin memang tak ada sesiapa di rumah itu. Tapi bunyi yang dia dengar tadi bunyi apa?

Terhempas keluhannya. Dia salah dengar agaknya tadi. Memang jirannya itu tiada di rumah. Dia ambil keputusan mencari jirannya itu di sekitar kawasan kondominium ini asalkan dapat bertemu dengan tuan empunya badan. Banyak yang dia nak tanya. Banyak yang perlu dia tahu.

Baru saja dia mahu melangkah, bunyi berdentum kedengaran semula.

Bam! Bam!

Dahlia berpaling memandang pintu rumah jirannya itu. Serta-merta dadanya berderau. Darah seolah-olah mengering dari badan. Telinganya tak pekak lagi. Bunyi itu memang datang dari dalam rumah itu!

Dia menelan liur. Walau tangan menggeletar, dia mengetuk lagi pintu itu bertubi-tubi.

“Kak! Kak! Saya ni, kak.” Suaranya bergetar.

Dan masih seperti tadi, pintu rumah masih bertutup rapat. Tak ada tanda-tanda akan dibuka. Dia melepaskan nafas panjang. Mula ragu-ragu dengan bunyi berdentum yang dia dengar tadi. Aku salah dengar ke?

Tak mahu mengharap lagi, lalu dia meninggalkan rumah jirannya itu. Dia melangkah ke ruangan lif. Mahu mencari ketenangan di pekarangan kondominium. Dia berdiri tegak sementara menanti lif terbuka.

Tanpa dia sedar, ada yang sedang memerhatikannya dari arah tangga kecemasan. Mengintip pergerakan Dahlia dari situ sembunyi-sembunyi.

Tapi naluri Dahlia dapat merasakan ada sesuatu di situ. Bulu romanya meremang. Dia melilaukan pandangan ke sekitar ruangan lif itu, namun tak nampak apa-apa. Dia menggelisah. Lif itu bagaikan terlalu lama pula bergerak.

Dia cuba berlagak seperti tiada apa-apa kelainan yang dirasakan. Tetapi ekor matanya spontan mengerling ke sana sini. Seolah-olah sedang berjaga-jaga.

Dia mendongak memandang nombor yang tertera di atas lif. Masih jauh lagi dari tingkatnya.

Ketika itu, bagaikan ada bayang hitam melintasi belakangnya. Dan dia nampak melalui ekor matanya!

Perasaan seriau mengocak hati. Dadanya kembali berderau. Lambat-lambat dia menoleh.

Tatkala dia berpaling, ruang lif itu tetap tiada sesiapa. Hanya dia seorang berada di situ. Sedangkan tadi dia seolah-olah terasa ada angin berlalu. Dia menelan liur. Dadanya berdebar tak tentu arah.

Dia berpaling menghadap pintu lif semula. Tak mahu fikir apa yang dirasakan ketika ini.

Seketika, dia terasa mahu menjengah ke rumah jirannya itu. Perlahan-lahan dia melangkah keluar dari ruangan lif. Berhati-hati dia melangkah ke koridor.

Bulat matanya apabila terpandang sesusuk tubuh memasuki rumah jirannya dan hilang di sebalik pintu. Dia cuma nampak sedikit saja. Apatah lagi sesusuk tubuh itu serba hitam. Dan kedudukan dari tempat dia berdiri dengan rumah jirannya itu agak jauh.

Mukanya berkerut kehairanan. Berdasarkan susuk tubuh, dia amat yakin itu bukan jiran yang dia jumpa sebelum ini. Walaupun tak nampak muka, dia yakin itu bukan jirannya.

Jadi, siapa yang aku nampak tadi? Tiba-tiba saja muncul tak tahu dari arah mana.

Maknanya, perempuan tu ada di rumah. Tapi kenapa tak nak keluar bila aku ketuk pintu?

Tercegat dia berdiri di situ. Masih terpinga-pinga. 

Previous: BAB 14
Next: BAB 16

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.