Home Novel Seram/Misteri JAMPI
JAMPI
muRni aQiLa
16/3/2018 20:26:37
107,630
Kategori: Novel
Genre: Seram/Misteri
BAB 1

Beberapa bulan kemudian...

 

Zairi menghirup kopi O panas sedikit demi sedikit. Terasa nyaman menjengah ke tekak. Dahlia memerhatikan suaminya itu dengan senyuman sambil menyapu mentega kacang pada sekeping roti. Lalu, diletakkan di atas piring di hadapan Zairi.

“Hari ni abang balik lambat sikit.” Zairi mencapai roti yang diletak Dahlia tadi, kemudian mengunyahnya.

Dahlia memandang suaminya itu. Berwajah seakan kacukan Pakistan dengan hidung mancung, bulu mata yang lentik dan seiras wajah penyanyi, Harris Baba. Jambang dan misainya sangat nipis terjaga rapi.

“Sebelum maghrib rasanya dah sampai rumah,” sambung Zairi.

Terangguk-angguk Dahlia. Dia faham tugas Zairi sebagai pegawai di bank. Adakala perlu balik lewat.

Roti yang siap disapu dengan mentega kacang disuapkan ke mulut. Awal pagi itu mereka menikmati sarapan yang ringkas saja. Jam pula sudah ke angka 8.00 pagi. Tak sempat Dahlia nak sediakan sarapan lain.

Selesai menghabiskan kepingan roti yang kedua, Zairi menghirup kopi O sekali lagi sehingga habis sebelum dia bingkas berdiri.

“Dah ke?” Dahlia tercengang. Sikit sangat Zairi makan.

Zairi memandang jam tangan. “Tak sempatlah, sayang. Pagi ni abang ada meeting. Nanti kelam-kabut pulak.”

Dahlia turut berdiri mengiring isuaminya ke muka pintu. Zairi kelihatan segak berbaju kemeja lengan panjang warna biru cair, bertali leher warna biru tua dan seluar slack hitam.

“Duduk rumah elok-elok,” pesan Zairi sambil menyarungkan kasutnya yang hitam berkilat itu.

Dahlia menghulurkan salam. Sejurus, dia tunduk mencium tangan Zairi dan Zairi pula mencium dahinya. Terasa kumis Zairi yang nipis menyentuh dahinya. Senyumannya menguntum.

“Hati-hati drive, bang.”

Zairi terus berlalu ke arah kereta Honda Accord warna putih dan menghidupkan enjinnya. Seketika, kereta itu mula keluar dari pagar yang automatik terbuka.

Dahlia melambai-lambai dari muka pintu sehinggalah kelibat kereta Zairi hilang dari pandangan. Pagar kayu itu tertutup sendiri. Lantas dia beredar semula ke meja makan. Dia masih mahu makan lagi. Dua, tiga keping roti yang disapu mentega kacang menjadi santapannya. Sesekali dia menghirup kopi O.

Tak semena-semena, ketika itu ekor matanya menangkap seakan-akan ada kelibat lalu di tepi tingkap. Terhenti dia mengunyah.

Perlahan-lahan dia berpaling ke arah tingkap di ruang tamu itu. Dia diam memerhati. Tak nampak apa-apa pun. Hmm...perasaannya saja kot.

Dia kembali menghabiskan roti yang terakhir sebelum bangun dan mula mengemas meja itu. Semua dibawa ke dapur. Roti dan mentega kacang disimpan dalam kabinet. Piring dan cawan-cawan dibasuh disingki. Air paip mencurah-curah. Span berbuihkan sabun digosok-gosok pada cawan-cawan kotor itu.

Tiba-tiba dia bagaikan terdengar bunyi sesuatu di ruang tamu. Pergerakannya terhenti. Dahinya berkerut. Cuba memastikan bunyi apa yang dia dengar, tapi tak kedengaran apa-apa. Mungkin dia tersalah dengar tadi. Malas dia nak hiraukan. Dia kembali mencuci.

Namun, sekali lagi dia terdengar bunyi itu. Cepat-cepat dia menutup pili paip. Air yang mencurah-curah segera berhenti. Suasana sepi seketika. Dia berpaling supaya dapat mendengar dengan lebih jelas. Dahinya makin berkerut. Terfikir-fikir bunyi apa yang dia dengar tadi.

Seketika, bunyi itu sudah tak kedengaran. Dia mendengus.

“Perasaan aku aje kot.” Dia kembali membasuh cawan-cawan yang kotor. Kepala paip dibuka. Mencurah-curah air ke dalam singki itu. Dibasuh semuanya sehingga selesai.

Sambil membasuh, telinganya masih menangkap bunyi sesuatu. Dia tak tahu bunyi apa. Tapi seolah-olah bunyi itu datang dari arah ruang tamu.

Namun apabila dia menutup paip, bunyi itu hilang daripada pendengaran. Tangan yang basah dilap dengan sehelai tuala kecil yang disangkut di tepi dinding kabinet.

Dia mahu ke ruang tamu. Mahu melihat bunyi apa yang kedengaran pelik tadi. Seakan-akan bunyi berderap.

Perlahan-lahan dia melangkah. Di sebalik dinding yang memisahkan dapur dengan ruang tamu, dia menghendap. Tiada sesiapa. Atau tiada apa-apa yang membuatkan sesuatu berbunyi.

Terjengkit-jengkit dia berjalan supaya langkah yang diatur tak berbunyi. Dia mahu melihat ke laman rumah pula. Mungkin bunyi itu datang dari situ.

Tak semena-mena, dadanya berdebar. Bergemuruh seluruh tubuh. Selangkah demi selangkah dia menghampiri pintu rumah. Makin kencang jantungnya berdegup.

Dengan berhati-hati dia menjengah ke luar pintu. Perlahan-lahan dan takut-takut. Tapi tiada apa-apa di situ. Dia menghempas nafas lega. Dada yang masih berderau diurut-urut.

Terdiam dia berfikir. Rasanya, memang dia dengar bunyi sesuatu. Bunyi yang tak boleh dijelaskan bagaimana bunyi itu. Telinganya tak menipu.

“Bunyi apa tadi?” bisiknya pada diri sendiri. Hatinya kembali berbolak-balik.

Tergeleng-geleng dia kemudian. Walau kehairanan, tapi dia tak mahu terlalu memikirkannya sangat. Anggap saja itu semua mainan perasaan.

Dia berpaling mahu masuk semula ke dalam rumah. Serentak itu, satu lembaga hampir merempuhnya. Membuatkan dia terjerit dan memejam mata.

“Arghh!”

“Hei...”

Dahlia membuka mata perlahan-lahan. Mukanya pucat memandang tubuh yang berdiri di hadapannya itu. Dadanya berderau. Berdebar.

“Kenapa ni? Macam nampak hantu aje.” Zairi berkerut memandang Dahlia yang turun naik nafasnya.

Dahlia menelan liur. Masih terkejut melihat suaminya itu masih ada di rumah. “Ma... macam... mana abang...”

“Abang tertinggal ni kat dalam bilik.” Zairi mengangkat briefcase yang sedang dijinjing.

“Tapi... tadi...” Dahlia keliru.

“Kereta abang parking kat luar. Malas nak masuk dalam. Okeylah, abang pergi dulu. Dah lambat ni. Bye!” Bersegera Zairi mencium dahi Dahlia dan kelam-kabut memakai kasut.

Pintu pagar terbuka dan kemudian tertutup sendiri. Kelibat Zairi sudah tak kelihatan.

Dahlia menghempas keluhan panjang. Bunyi yang dia dengar tadi disebabkan Zairi balik ke rumah rupa-rupanya.

 

 

Suasana di ruang legar bank cawangan Tanah Merah itu agak riuh. Selesai saja waktu pejabat dan semua pelanggan sudah keluar, pintu utama dikunci. Makanan ringan sudah tersedia. Semua staf berkumpul di situ.

Zairi berdiri di tengah-tengah ruang itu dengan perasaan sayu. Dipandang semua yang berada di hadapannya. “Ya... hari ni hari terakhir saya berkhidmat di sini. Tugas saya sebagai head officer cash custodian pun berakhir pada hari ni.”

Semua diam.

Seketika Zairi bersuara semula. “Dah tujuh tahun saya di sini. Dah rasa sayang. Tapi demi masa depan dan kerjaya, saya harus terima keputusan ini. Walau apa pun, saya doakan semuanya akan terus sukses. Terima kasih kerana meraikan saya. Meraikan bukan kerana hari ni hari terakhir saya, tapi kerana saya dinaikkan pangkat sebagai assistant managerdi branch Sungai Besi. Terima kasih, semua...”

Ruang pejabat itu bergemuruh dengan tepukan. Walau ada riak sedih, mereka tetap berbangga dengan Zairi. Seorang ketua yang sangat bertanggungjawab dan pekerja yang baik.

Setelah Ghaffar yang merupakan pengurus cawangan itu menyampaikan cenderahati kepada Zairi sebagai penghargaan, mereka mula menjamu selera. Hidangan yang sangat ringkas. Roti jala bersama kuah kari ayam dan kuih-muih Melayu.

“Lepas ni, susahlah nak jumpa. Orang dah duduk KL. Dah jadi orang bandar,” tegur seorang rakan sepejabat Zairi ketika mereka sedang mengambil makanan.

“Bila raya aku baliklah sini.” Zairi tahu rakannya itu sekadar bergurau.

“Mesti orang rumah kau seronok dapat jadi orang KL,” ujar seorang lagi rakan.

Zairi ketawa. “Dia tak tahu lagi aku kena transfer ke KL.”

Terlopong semua yang mendengar. Macam tak percaya.

“Sejak tahu kena transfer bulan lepas, aku tak beritahu wife aku langsung. Balik ni baru aku nak beritahu dia.”

Masih lagi mereka terdiam. Tak terfikir Zairi akan buat begitu.

“Hisy, kau ni... biar betul.” Salah seorang kawan Zairi susah nak percaya apa yang Zairi katakan.

“Takkan aku nak tipu pulak.”

Mendengar Zairi berkata dengan nada serius, masing-masing tergamam.

“Surprise!” Zairi teruja sendiri. Itulah yang dia ingin katakan kepada Dahlia nanti.

Barulah yang lain-lain senyum. Mungkin baru faham niat Zairi nak buat kejutan untuk si isteri.

Zairi mengerling bosnya sedang berbual dengan staf yang lain dari jauh. “Encik Ghaffar punya idealah ni. Dia tak bagi aku beritahu wife aku. Buat surprise dia kata. Perempuan kan suka surprise,” beritahunya pula.

Yang lain-lain berpandangan sesama sendiri. Kehairanan. Perkara macam ni pun nak buat surprise ke?

“Ohh... sebab tu kau tak beritahu Dahlia yang kau nak pindah KL?” soal kawan yang lain.

Zairi mengangguk dengan perasaan bangga. “Confirm dia melompat-lompat bila tahu aku kena transfer ke KL.” Dia ketawa sambil membayangkan reaksi gembira Dahlia nanti. Tak sabar dia nak balik.

Previous: PROLOG
Next: BAB 2

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.