Home Novel Seram/Misteri JAMPI
JAMPI
muRni aQiLa
16/3/2018 20:26:37
122,426
Kategori: Novel
Genre: Seram/Misteri
BAB 16

Lemah longlai Dahlia melangkah masuk ke dalam lif. Ditekan butang 11. Beberapa orang yang naik lif bersamanya tak dihiraukan. Seorang demi seorang keluar ke tingkat masing-masing.

Sedangkan dia tersandar ke tepi dinding sambil pandangan tunduk ke lantai. Fikirannya menerawang jauh. Buntu. Seharian dia berlegar-legar di kawasan sekitar kondominium itu. Langsung tak kelihatan jiran yang dicari. Puas mencari, dia menunggu. Bayang wanita itu langsung tak kelihatan.

Mengenangkan hari semakin dihanyut malam, dia ambil keputusan untuk pulang saja ke rumah. Dia akan cuba berjumpa dengan jirannya itu esok pula.

Pintu lif terbuka. Tapi tiada yang keluar atau masuk. Seketika Dahlia bagaikan tersedar. Lalu dia mendongak memandang ke atas pintu. Tertera nombor tingkat di situ. Tingkat 11! Kelam-kabut dia beredar keluar tanpa memandang yang lain-lain.

Setiba saja di hadapan pintu rumah, dia memandang pintu rumah jiran sebelahnya itu. Dia mengemam bibir. Nafas lemahnya terhembus perlahan.

Dia kemudian membuka jeriji pintu. Melolos masuk ke dalam rumah setelah menanggalkan kasut sarungnya. Rumah itu agak gelap. Hanya lampu di balkoni dapur saja yang menyala. Baru saja dia nak melangkah ke ruang tamu, deria pendengarannya menangkap bunyi dari arah dapur.

Dia kaku berdiri di situ dengan riak wajah mulai pucat. Serta-merta dadanya berdebar kencang.

Apa lagi kali ini? Gangguan apa lagi?

Tangan yang digenggam agak menggeletar. Payung yang berada di atas rak kasut dicapai. Ini saja yang dirasakan boleh dijadikan senjata. Dengan debaran yang menggila, lambat-lambat dia melangkah ke ruangan dapur. Bunyi berdentang-denting itu masih kedengaran. Sayup-sayup.

Semakin dekat dengan ruang dapur, semakin kencang dadanya berdebar. Membuatkan dia berhenti melangkah. Ragu-ragu sama ada mahu menjengah ke dapur atau tidak. Dia belum cukup berani nak berdepan dengan ‘sesuatu’ itu. Bunyi dentingan itu semakin kuat. Berdentang-denting. Tanpa henti.

Diberanikan diri. Dikuatkan semangat. Dia harus tahu apa yang berlaku di dalam rumah ini. Debaran menggila di dada membuatkan dia teragak-agak. 

Mata dipejamkan sambil nafas ditarik dalam-dalam. Ditenangkan perasaan gemuruh menggeletar dalam diri. Liur ditelan berkali-kali. Kerana terlalu berdebar, tekaknya terasa sangat kering.

Seketika, barulah dia membuka mata. Bunyi berdentang-denting masih kedengaran di dapur. Kedua-dua tangannya menggenggam payung dengan kuat. Apa saja yang bakal berdepan dengannya nanti, akan disesah dengan payung itu. Dengan hati yang nekad, dia menyergah masuk ke dalam dapur.

“Harghh!” Dia menjerit sekuat hati.

Tetapi yang berada di hadapannya ketika ini membuatkan dia terkejut. Tangannya yang mengayun payung terkaku.

Zairi yang mahu ke ruang tamu membulatkan mata melihat Dahlia. Dia terperanjat mendengar Dahlia menjerit. Tergamam dia memandang Dahlia sedang memegang payung. Bagaikan mahu membelasahnya. Wajahnya cuak kehairanan sambil mengacau sudu ke dalam mug yang dipegang. Milo panas yang kelihatan berasap nipis.

Dahlia memandang mug di tangan Zairi itu. Jadi, bunyi tadi datang dari mug yang Zairi sedang pegang berlaga dengan sudu?

“Bi... bi... bila... abang balik?” soalnya tergagap. Dadanya masih lagi tak hilang perasaan berderau.

Zairi tersenyum sinis. “Ingatkan dah sampai Kelantan.” Lalu dia beredar ke ruang tamu.

Dahlia memerhatikan Zairi yang duduk di sofa. Televisyen dibuka. Barulah rumah itu tidak lagi sunyi. Zairi menonton televisyen tanpa mempedulikannya.

Kecil hatinya dengan sikap Zairi itu. Dengan rajuk yang masih menjeruk di hati, dibawa diri ke dalam bilik. Mukanya memuncung. Kecewa.

 

 

Dahlia membuka mata perlahan-lahan. Kemudian, dia mengeluh panjang. Selimut yang membalut sampai ke dada dilurut ke bawah sedikit. Rimas.

Kelam malam semakin hanyut dibawa waktu. Namun, dia masih tak boleh lelapkan mata. Dia berpaling ke arah Zairi. Suaminya itu tidur membelakangkannya. Malah, jauh jarak dengannya. Seolah-olah nak menjauhkan diri. Tidak pernah Zairi sebegini selama ini. Dia mengeluh sekali lagi.

Disebabkan dia juga masih lagi mahu tunjuk rajuk pada Zairi, tak dihiraukan suaminya itu. Dia berpaling semula dan membelakangkan Zairi.

Sekali lagi dia cuba pejamkan mata. Mungkin sebentar lagi dia boleh lena.

Suasana hening, sehening-heningnya. Sunyi sepi. Dahlia sudah mula larut ke alam mimpi. Namun, telinganya menangkap bunyi sesuatu. Matanya terbuka semula perlahan-lahan.

Setiap malam dia akan dengar bunyi yang sama. Dia tak pasti bunyi apa. Dan tak tahu dari arah mana bunyi itu datang. Seolah-olah daun dari dahan pokok dihempas dengan sesuatu. Hmm... dihempas ke dinding mungkin.

Pap! Pap! Pap!

Bunyi itu sayup-sayup dan sedetik demi sedetik. Susah dia nak jelaskan bagaimana bunyi itu. Sesungguhnya, bunyi itu membuatkan bulu romanya meremang.

Orang kata, kalau bunyi menyeramkan itu kedengaran jauh dan sayup, sebenarnya ia sangat dekat.

Dahlia tak nak fikir yang bukan-bukan. Lantas ditarik selimutnya hingga menutupi kepala. Dia berpura-pura tak mendengar apa-apa. Dia mahu segera tidur agar bunyi itu tak mengganggunya lagi.

Kaku dia di dalam selimut. Langsung tak berkutik. Walau bunyi itu masih kedengaran, dia pekakkan saja telinga. Mata yang masih belum reti mengantuk cuba dipejam rapat-rapat.

Tiba-tiba, terasa hujung kakinya yang ditutupi selimut dipegang sesuatu. Buntang matanya terbeliak. Terasa ada tangan yang menyentuh kakinya ketika ini.

Tak mungkin tangan Zairi. Sebab Zairi berada di sebelahnya. Bukan di hujung katil. Habis tu, siapa yang sedang pegang kakinya ketika ini?

Serta-merta darah panas terasa menyimbah ke muka. Jantungnya berdegup kencang. Meremang bulu roma. Dia tak berani nak gerakkan kaki yang masih dipegang sesuatu itu. Di dalam selimut itu dia menggeletar. Merenik peluhnya walau bilik itu dipasang pendingin hawa.

Tapi dia nak tahu siapa yang memegang kakinya. Dia nak tengok dengan mata kepala sendiri. Dia nak berdepan dan bersemuka! Tak nak lagi bermain dengan perasaan. Dia mahu benar-benar yakin yang dia diganggu ‘sesuatu’ di dalam rumah itu. Bukan sekadar berimaginasi seperti yang Zairi sangkakan.

Lantas dia merentap selimut yang menutupi kepala dan terus duduk berlunjur.

Dia tergamam. Tiada sesiapa yang memegang hujung kakinya. Di hujung katil itu kosong. Juga gelap. Dia mula kebingungan.

Apa yang aku rasa tadi bukan imaginasi. Aku memang rasa dipegang. Sumpah!

Dadanya masih berdebar. Dia berpaling ke arah Zairi. Suaminya itu benar-benar tidur lena. Langsung tak terganggu dengan apa yang terjadi.

Dipandang ke hujung katil semula. Masih tiada apa-apa yang kelihatan. Jangan-jangan, benda itu menyorok di bawah hujung katil.

Memikirkan hal itu, jantungnya berdegup lebih kencang. Kering tekaknya apabila nafas bagaikan tersekat. Dia terlalu menggeletar.

Perlahan-lahan dia bergerak ke hujung katil. Dia mahu melihat di bawah katil itu. Mungkin yang memegang kakinya tadi menyorok di situ.

Dia merangkak dengan debaran yang menghentak dada. Darah bagaikan mengering dari tubuh. Sumpah, dia sangat takut. Hanya hati yang nekad membuatkan dia gagahkan keberanian untuk berdepan dengan semua ini.

Dia sudah hampir berada di hujung katil. Air liur ditelan walau terasa perit. Teragak-agak sama ada mahu melihat apa yang ada di hujung bawah katil ataupun tidak. Kepalanya perlahan-lahan menjengah ke bawah. Sedikit demi sedikit. Debaran dada makin menggila.

Namun, tiada apa-apa di situ. Dia tak nampak apa-apa. Walau bilik itu bercahaya suram, dia masih boleh nampak dengan jelas.

Lantas dia kembali ke pembaringan. Dia mengerekotkan badan agar kakinya tak berada di hujung katil. Selimut diselubung hingga menutupi kepala. Apa saja yang dia dengar dan akan berlaku selepas ini, dia takkan peduli!

Previous: BAB 15
Next: BAB 17

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.