Home Novel Seram/Misteri JAMPI
JAMPI
muRni aQiLa
16/3/2018 20:26:37
122,388
Kategori: Novel
Genre: Seram/Misteri
BAB 12

Terkebil-kebil mata Dahlia walau malam sudah larut. Dia asyik terbayang-bayang apa yang jirannya beritahu tempoh hari. Kata-kata itu menghantuinya. Dia dapat rasakan ada sesuatu yang tak kena. Tapi apa?

Nak bertanya, wanita itu sudah tak muncul lagi di hadapannya. Lagipun, dia tak ada daya nak berdepan dengan wanita yang menyeramkan itu. Renungannya saja sudah buat dia seriau. Apatah lagi rupanya.

Dalam kelam malam itu dia berbaring sambil merenung siling. Rasanya sudah terlalu lewat malam, namun dia masihbelum mahu tidur. Kata-kata wanita itu masih bermain di fikiran.

“Nak tinggal kat sini... hati-hati.”

Dahlia mengeluh. Itu amaran atau nasihat? Dengan suara garau wanita itu, kedengaran seperti amaran. Amaran apa ya? Pening dia memikirkannya.

Dia menoleh ke sisi. Zairi sudah lena dibuai mimpi. Lelaki itu tidur mengiring membelakanginya. Dibiarkan saja Zairi tidur. Dia tahu Zairi sangat penat. Pukul 10.30 malam barulah suaminya itu sampai di rumah. Lepas mandi, Zairi terus tidur.

Dicapai telefon bimbit di sebelah bantal. Jam menunjukkan hampir pukul 3.00 pagi. Sekali lagi dia mengeluh. Matanya masih tak rasa mengantuk. Susah hati pula dia dibuatnya. Dia ambil keputusan mahu pejamkan mata saja sehingga terlelap sendiri.

Namun dalam keadaan sunyi sepi itu, telinganya menangkap bunyi sayup-sayup. Dia cuba mengamati bunyi itu. Berkerut-kerut mukanya.

Tak pasti apa, tapi bunyi itu seperti datang dari dapur atau ruang tamu. Bunyi dentuman seakan-akan mengetuk lantai.

Mata Dahlia terbuka semula. Bunyi itu kedengaran lebih kuat. Darahnya berderau. Dia terduduk berlunjur. Zairi dilihat tak berganjak. 

Tak! Tak! Tak!

Bunyi itu masih kedengaran tanpa henti. Membuatkan bulu romanya meremang. Menggeletar tubuhnya.

“Bang... bang...” Dahliamenggoyang-goyangkan bahu Zairi. Mahu mengejutkan lelaki itu.

Zairi tak bergerak. Tetap kejur dalam tidur.

“Abang... bangunlah. Bunyi apa tu?” Digoncang lagi tubuh Zairi. Tetap tak sedar juga.

Tak! Tak! Tak!

Bunyi itu menggetarkan jiwa. Dahlia bingkas duduk di birai katil. Dia tetap ingin tahu apa yang berlaku di dalam rumah itu. Lantas, langkah diatur menghampiri pintu bilik walau terasa berat. Teragak-agak dia mahu memegang tombol pintu.

Dipejamkan mata seketika mengerah semangat yang ada. Tombol sudah dipegang. Dipulas perlahan-lahan dan pintu terbuka sedikit. Saat itu bunyi yang dia dengar tadi terus senyap!

Dia memasang telinga menanti andai bunyi itu kedengaran semula. Beberapa ketika dia tak dengar bunyi apa-apa. Lalu, dia membuka pintu dan perlahan-lahan melangkah keluar. Retina matanya membesar dalam kegelapan.

Matanya meliar ke sana-sini dengan debaran yang menggila. Di ruang tamu itu dilihat tiada apa-apa yang mencurigakan. Walau agak kelam, dia masih mampu melihat. Maknanya, bunyi tadi bukan datang dari ruang tamu itu.

Dia bergerak ke dapur pula. Sambil tubuh disandar di dinding, dia melangkah dengan berhati-hati. Tak dipedulikan dadanya yang bagai nak pecah kerana terlalu berdebar.

Sehinggalah dia tiba di sebalik dinding yang memisahkan antara ruang tamu dengan dapur. Dia masih tersandar di dinding. Tak bersedia mahu menjengah ke dapur lagi. Ada rasa takut yang menyelit di hati. Teragak-agak dia di situ.

Meremang bulu romanya apabila terdengar bunyi sesuatu yang berat diseret di lantai. Terus dia menjengah ke dapur.

Dan ketika itu juga dilihat ada bayangan kehitaman dengan wajah tanpa muka berlari menerjah ke arahnya.

Terbeliak Dahlia kerana terlalu terkejut sehingga dia rebah terlentang. Kepalanya terhentak ke lantai agak kuat. Membuatkan dia mengaduh menahan sakit. Kepalanya mula berasa pening dan berpinar. Sakit sangat!

Saat mata hampir tertutup, bayangan kehitaman itu menerjah seperti mahu menerkamnya. Tapi matanya sudah terpejam rapat dan tak sedarkan diri.

 

 

Terpisat-pisat Dahlia dengan mata yang masih terpejam. Dahinya berkerut-kerut. Agak lama barulah perlahan-lahan matanya terbuka.

Dia cuba mengingati apa yang terjadi padanya. Ya, dia tak lupa. Malam tadi dia nampak dengan jelas bayangan kehitaman tanpa muka berlari mahu menerkamnya. Membuatkan dia terjatuh dan terbaring pengsan di atas lantai.

Syukur tak terjadi apa-apa padanya. Dan dia masih lagi bernyawa. Dia menghempas nafas lega. Lalu dia bingkas duduk. Saat itu barulah dia sedar yang dia berada di atas katil. Bukan di atas lantai! Makin berkerut-kerut mukanya tak faham.

“Macam mana aku boleh ada kat atas katil?”

Dia berpaling ke sisi. Zairi sudah tiada. Lantas dia menoleh ke arah jam di dinding. Lama dia merenung jam itu. Macam tak percaya. Sudah pukul 10.20 pagi. Maknanya, dia tak sedar yang Zairi mendukungnya masuk ke dalam bilik semula. Dan dia tak sedar langsung Zairi bersiap-siap untuk ke pejabat.

“Abang Zairi ke yang dukung aku masuk dalam bilik?” soalnya yang masih waswas.

Dia diam berfikir lagi.

“Tak mungkin! Takkan aku tak sedar langsung?”

Sedangkan dia seorang yang paling mudah terjaga daripada tidur walau sekadar dicuit.

“Habis itu?”

Dipegang kepala yang menguraikan rambut lurus panjangnya. Dia tak berasa sakit kepala seperti malam tadi. Bertambah kehairanan dia dibuatnya. Tapi mungkin apabila dia pengsan, sakit kepalanya hilang sendiri. Entahlah... pening dia nak fikirkan semua itu.

Selimut diselak ke tepi. Dia turun dari katil dan keluar dari bilik. Ketika langkahnya sudah hampir tiba di ruangan dapur, dia terhenti. Terbayang semula apa yang jadi malam tadi.

Dadanya berdebar semula. Dia menelan liur. Ditarik nafas dalam-dalam dan menghembusnya perlahan.

“Jangan takut. Kau kena berani, Dahlia...” bisiknya pada diri sendiri.

Lantas dengan bersahaja dia melangkah masuk ke dalam dapur. Berpura-pura tak pernah jadi apa-apa malam tadi. Namun sebaik saja dia melangkah masuk, ada bayangan kehitaman berlari dan menerjah ke mukanya.

“Arghh!” Kuat Dahlia menjerit sambil mengangkat tangan menghadang mukanya. Matanya terpejam rapat.

Beberapa ketika, suasana sunyi sepi. Teragak-agak Dahlia mahu menurunkan tangan. Dari celah tangannya itu, tak kelihatan bayangan tadi. Lalu tangan dijatuhkan perlahan-lahan. Matanya melilau ke seluruh ruang itu. Tiada apa-apa. Bayangan kehitaman tadi lesap. Tak pasti sama ada dia benar-benar nampak atau cuma imaginasinya saja.

“Nak tinggal kat sini... hati-hati.”

Terngiang-ngiang semula kata-kata jirannya itu. Dia menghembus nafas lemah. 

Previous: BAB 11
Next: BAB 13

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.