Home Novel Seram/Misteri JAMPI
JAMPI
muRni aQiLa
16/3/2018 20:26:37
120,255
Kategori: Novel
Genre: Seram/Misteri
BAB 7

"Selamat bertugas, Zairi,” ucap Razak sambil berjabat tangan Zairi.

Lelaki yang sudah hampir separuh abad itu melirik senyuman penuh mesra. Dia masih kelihatan segak mengenakan kot hitam dan kemeja putih walaupun sudah berusia.

“Terima kasih, Encik Razak...” ucap Zairi masih malu-malu. Apatah lagi apabila menjadi perhatian semua staf di cawangan itu. Dilepaskan tangannya yang berjabat seketika kemudian.

“Mulai hari ini, Encik Zairi akan menjadi assistant saya. Disebabkan dia baru kat sini, saya harap kita semua beri kerjasama pada dia. Dia akan memantau semua bahagian. Dia jugak orang pertama yang saya cari dan persalahkan kalau jadi apa-apa kat sini,” ujar Razak dengan nada serius.

Semua ketawa apabila melihat Zairi membulatkan mata. Mereka sudah ‘masak’ dengan gurauan Razak.

Zairi fikir Razak seorang yang sangat tegas. Tetapi apabila melihat staf di situ ketawa, dia mula dapat mengagak yang Razak mungkin hanya mengusiknya. Mungkin juga memberi amaran dalam berlawak.

Razak melihat jam tangannya. Sudah hampir waktu untuk bank itu beroperasi.

“Okey... kalau tak ada apa-apa lagi, kita bersurai. Bersedia semua. Sekejap lagi kita beroperasi macam biasa.”

Lalu semua yang berkumpul di situ mula beredar ke tempat masing-masing.

Handsomenya dia.”

Zairi terdengar bisikan seorang staf perempuan yang berjalan di belakangnya.

“Yalah... handsome.” Seorang lagi staf perempuan berbisik sesama staf perempuan yang lain.

“Tapi dengar cerita dia dah kahwin,” ujar salah seorang daripada mereka.

“Ya ke?”

Bisikan-bisikan itu sampai ke telinga Zairi lagi.

“Aduh... melepas,” keluh staf-staf perempuan itu.

“Dah, dah... tak payahlah mengharap. Lelaki kalau handsome tak pernah single okey?” Seorang lagi staf perempuan mengingatkan staf-staf perempuan yang lain.

Mereka ketawa sembunyi-sembunyi.

Zairi nak tergelak, tapi ditahan dalam hati. Apatah lagi tinggal dia berdua saja dengan Razak. Terasa kekok pula. Dikerling Razak sekilas.

“Kat sini sama macam branch kat Tanah Merah, Zairi. Cuma kat sini lebih besar, staf lebih ramai. Pelanggan yang datang pun lebih ramai.” Razak memecah kesunyian antara mereka.

Zairi mengangguk-angguk. “Ya, kat sini lagi banyak kaunter.” Dia sudah mula terasa perbezaan skop kerja apabila berada di sini. Apatah lagi, jawatannya kini lebih tinggi. Sudah tentu beban tugas yang perlu dipikul lebih banyak.

Razak tersenyum. “So, faham-faham ajelah.”

Sekali lagi Zairi mengangguk. Ya, dia faham benar. Masalah tunai tak seimbang atau berlaku shortage akan sering terjadi.

“Jom saya tunjukkan bilik kamu.” Razak beredar dari situ.

Zairi sekadar menurut. Mereka menaiki tangga menuju ke tingkat atas.

“Kat sini, kamu tinggal kat mana?” Razak sekadar berbasa-basi ketika mereka berjalan beriringan.

“Kat Premier Residence.”

“Oh... kondo tu.” Razak mengangguk tahu. “Berhantu kan kat situ?” soalnya pula.

Serta-merta dada Zairi berderau. Tergamam dia memandang Razak. Razak tahu ke apa-apa cerita tentang kondominium tu? Memang berhantu seperti yang sering Dahlia takutkan ke?

Lantas, ingatan terbang terkenangkan Dahlia. Dia mula rasa risau.

Razak kemudian ketawa. “Taklah... saya bergurau aje. Zaman sekarang ni mana ada hantu.” Ditepuk-tepuk bahu Zairi menenangkan. “Kat KL pulak tu.”

Senyuman Zairi terukir sedikit, lega mendengarnya. Ingatkan betullah apa yang Razak cakap tadi.

Mereka sampai di tingkat atas. Di situ penuh dengan beberapa buah kubikal. Razak membawa Zairi ke sebuah bilik yang terbuka pintunya.

“Ni bilik kamu,” beritahu Razak tanpa masuk ke dalam bilik tersebut. Mereka berdiri di luar pintu saja.

Zairi mengangguk-angguk. Tertera di dinding pintu tanda nama dan jawatannya.

“Kat luar ni kubikal untuk pegawai. Kat hujung sana ada pantri. Bilik meeting kat tingkat atas,” jelas Razak.

Zairi mengangguk lagi. Bangunan ini sederhana besar dan mempunyai tiga tingkat. Lebih cantik dan selesa berbanding cawangan tempatnya bekerja sebelum ini. Dilihat beberapa orang staf yang berada di kubikal sedang menghadap komputer masing-masing.

“Kita berbual dulu dalam bilik saya.”

Zairi patuh dengan arahan Razak. Bilik Razak agak berdepan dengan biliknya. Di luar bilik Razak pula ada sofa seperti ruang untuk tetamu atau staf duduk berbincang.

Mereka masuk ke dalam bilik Razak yang lebih luas. Razak mempersilakan Zairi duduk di kerusi berhadapan mejanya. Zairi duduk setelah melihat Razak turut duduk bersama.

“Saya nak setiap pukul 9.30 pagi, kamu datang bilik saya dan bentangkan report kerja-kerja semalam padasaya. Boleh?”

“Boleh, Encik Razak.” Zairi sudah mula dapat merasa ketegasan Razak dalam hal-hal kerja. Dia tak boleh main-main atau buat kerja sambil lewa.

Razak mengambil sebotol air mineral yang diletakkan di sudut meja berdekatan dinding. Gelas kosong yang ditelangkupkan ke piring diterbalikkan. Air mineral itu dituang ke dalam gelas.

“Nah... minum dulu sebelum kita bincang pasal kerja.” Razak menolak gelas itu di hadapan Zairi.

“Pagi-pagi, elok minum banyak air kosong. Bagus untuk otak, untuk penghadaman dalam perut. Boleh awet muda. Habiskan satu botol tu,” tunjuknya pada botol air mineral 500 ml itu.

Zairi tersenyum sambil mengangguk. Disebabkan bosnya yang mengarah, dia ikutkan saja. Diteguk air itu separuh gelas.

Razak mengambil sebotol air mineral yang lain dan menuangkan ke dalam gelas untuknya pula.

“Kamu kena monitor bahagian cash custodian, current account dan service ambassador. Kalau kamu kena siapkan kerja sampai balik lewat malam, tak apa ke?”

“Tak apa, Encik Razak... saya faham.”

Razak tersenyum puas hati. Lalu, dia mula menerangkan tentang skop tugas yang Zairi perlu lakukan untuk membantunya menguruskan bank cawangan itu.

 

 

Semua pakaian yang sudah diletakkan dengan penyangkut, penuh bersusun di atas katil. Diambil satu per satu sebelum dimasukkan ke dalam almari. Bajunya dan Zairi diasingkan dalam almari yang lain. Susunannya pula mengikut kedudukan warna. Nampak kemas dengan tona warna yang teratur.

Akhirnya, semua pakaian selesai dimasukkan ke dalam almari. Dahlia tersenyum puas. Dia menutup pintu almari dan menggeliat ke kiri dan kanan meregangkan otot. Siap juga kerja-kerja menyusun pakaian.

Jam menunjukkan hampir pukul 3.00 petang. Ketika ini barulah dia rasa tersangat lapar.

Lantas dia ke dapur. Dibuka peti sejuk dan bungkusan plastik ayam dikeluarkan. Turut dikeluarkan sayur kubis. Dibawa ke singki.

Paip dipulas. Curahan air paip mengalir ke daging ayam yang sudah dimasukkan ke dalam mangkuk besar. Curahan air itu dibiarkan walau sudah melimpah-limpah supaya ayam itu cepat dinyah beku. Dia lupa nak keluarkan ayam itu awal-awal tadi.

Dahlia memotong sayur. Pisau yang agak panjang dan runcing diambil dari dalam laci. Pisau itu kelihatan bersinar tajam. Berkilat.

Air paip terus mencurah danmencurah.

Kubis bulat yang sudah bersedia di atas papan hiris menanti dipotong. Dengan sekali hiris saja, kubis itu terbelah dua.

Curahan air paip melimpah-limpah ke dalam singki.

Dahlia biarkan saja. Dihiris pula bahagian yang sudah terbelah. Dihiris hirisan demi hirisan dan...

“Aduh!” Dahlia terjerit hingga terlepas pisau dari tangan.

Jari telunjuk tangan kiri diangkat setentang dengan mata. Darah meleleh dari celah-celah luka yang sedikit terbelah. Terasa pedih di situ. Berkerut mukanya.

Lalu dialirkan jarinya di bawah air paip yang mengalir. Makin bertambah pedih. Darah masih mengalir seakan tak mahu berhenti. Berkerut mukanya hingga terpejam mata.

Saat ini, terasa angin agak kuat berhembus hingga mengibarkan rambutnya. Dahlia terdiam. Wajahnya berhenti berkerut. Angin itu yang dirasakan agak sejuk. Angin apa begini? Dari mana datangnya?

Perlahan-lahan Dahlia membuka mata. Jarinya masih di bawah aliran air paip. Angin yang tadi berhembus tak terasa lagi. Dia berpaling ke sekeliling. Tiada kipas di mana-mana.

Kepala paip segera ditutup. Rumahnya kembali sunyi tanpa bunyi curahan air. Dia mahu mencari plaster buat menutup lukanya. Namun, baru saja dia keluar dari ruang dapur, kedengaran bunyi pintu rumah digendang. Dia menoleh.

Pintu itu digendang dari luar dengan agak kuat. Rentaknya berbunyi satu per satu.

Tak semena-mena, bulu roma Dahlia meremang. Terasa seriau mendengar bunyi begitu.

Siapa yang ketuk pintu? Tak mungkin Zairi. Zairi ada kunci sendiri. Lagipun, belum tiba masa Zairi pulang dari pejabat. Jadi... siapa?

Bam!

Senyap.

Bam!

Senyap lagi.

Bam!

Sekali lagi senyap.

Dahlia merenung pintu itu. Pintu itu digendang tanpa henti dari tadi. Dia pelik. Kenapa pintu itu dihentak kuat-kuat? Di luar ada butang loceng. Kenapa tak tekan butang loceng tu? Kenapa pintu rumah yang digendang?

Dia masih tercegat memandang pintu rumah itu. Dadanya berderau. Jantungnya berdegup kencang. Hingga berombak laju dadanya. Nafas terasa tersekat di kerongkong tak mampu dihembus. Mukanya pucat.

Kemudian senyap. Pintu itu tak lagi digendang. Hingga terasa hening suasana di dalam rumah itu. Mata Dahlia masih melekat ke arah pintu rumah. Dia mula rasa lega tidak mendengar pintu digendang lagi. Tapi...

Bam! Bam! Bam!

Tiba-tiba pintu digendang berterusan tanpa henti. Bunyinya membingitkan telinga.

Dada Dahlia berderau semula. Jantungnya makin kencang berdegup. Dia memberanikan diri melangkah menghampiri pintu itu.

Selangkah demi selangkah. Makin dekat dia dengan pintu itu, makin kuat bunyi pintu digendang pada pendengarannya. Jantungnya makin kuat berdegup.

Dia mahu mengintai dari peeping hole pintu, mahu melihat siapa yang mengetuk sejak tadi. Namun langkahnya bagai diheret-heret kerana terlalu menggeletar. Dan ketika ini dia sudah berdiri lebih kurang satu meter dari pintu rumah.

Degupan jantungnya makin bertambah kuat. Gendangan di pintu itu bagaikan turut menggendang dadanya yang berderau. Seluruh badannya seolah-olah tak berdarah dan mengering.

Dahlia menelan liur. Tangan diangkat mahu menyentuh peeping hole. Menggeletar tangannya. Dan pintu itu masih dihentak-hentak dari luar. 

Previous: BAB 6
Next: BAB 8

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.