Home Novel Seram/Misteri Fitrah
Fitrah
Hana Mizari
3/3/2018 23:49:01
122,128
Kategori: Novel
Genre: Seram/Misteri
BAB 7

KAMPUNG MAGIA

Stesen Kereta Api Maglev Bandar Medici.

Stesen itu penuh sesak dengan manusia yang terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat sejak dari awal pagi tadi. Masing-masing sedang sibuk dengan pelbagai urusan sementara menunggu kereta api untuk membawa mereka ke destinasi yang dituju.

Ilya menyaksikan pelbagai ragam manusia semenjak dia menjejakkan kakinya di stesen kereta api itu. Ada yang datang sekeluarga dan ada juga yang datang dengan rakan-rakan. Tidak kurang juga yang datang seorang diri tanpa teman. Antaranya termasuklah Ilya sendiri. Mungkin sebenarnya tidak, Ilya sebenarnya mempunyai seorang teman, teman yang istimewa. Teman yang hanya mampu dilihatnya seorang.

Ilya melabuhkan punggungnya di salah satu bangku kosong yang disediakan di stesen itu. Dia duduk di sebelah seorang wanita muda yang ralit bermain dengan telefon pintar miliknya. Wanita itu terlampau asyik bermain sehingga tidak sedar kehadiran Ilya di sebelahnya. Permainan yang dimainkan olehnya betul-betul membawa wanita itu hanyut dalam dunianya sendiri.

Hakikatnya itulah yang terjadi pada masyarakat zaman sekarang terutama sekali generasi muda. Mereka terlampau asyik dengan gajet masing-masing sehingga mengabaikan masyarakat di sekeliling mereka.

Ilya melepaskan keluhan berat sambil matanya melirik memerhatikan suasana di sekelilingnya. Sama seperti orang lain, dia juga menunggu kedatangan kereta api untuk membawanya pulang ke rumah moyangnya yang berusia 98 tahun. Rumah moyangnya terletak di sebuah kampung yang agak terpencil dan jauh dari Bandar Medici iaitu Kampung Magia.

Kampung Magia merupakan sebuah kampung yang agak jauh terpencil di kawasan pedalaman dan tertinggal dari arus pemodenan. Kebanyakan orang yang tinggal di kampung itu hanyalah terdiri daripada golongan warga emas sahaja. Jika ada pun golongan muda yang menetap di kampung itu, hanyalah atas sebab ditugaskan di kampung itu seperti pegawai perubatan dan para pendidik.

Hal ini kerana, generasi muda yang pada asalnya menetap di kampung itu telah berpindah ke bandar atas tujuan melanjutkan pengajian di universiti atau mencari pekerjaan yang bersesuaian dengan citarasa mereka. Lagipun, tiada apa pun yang boleh dibuat mereka sekiranya mereka terus lama menetap di kampung terpencil itu. Apa yang ada di kampung itu cumalah kemudahan asas sahaja cukup untuk menampung kehidupan penduduk kampung itu.

Namun begitu, berlainan pula dengan warga emas yang memilih untuk terus menetap di kampung itu. Suasana kampung itu yang dikelilingi hutan rimba nan menghijau berserta gunung-ganang menjadikan suasana di kampung itu tenang, aman, damai serta permai. Tidak hairanlah ia menjadi pilihan para warga emas untuk menghabiskan sisa kehidupan mereka di kampung itu.

***

Ilya sedang bersiap-siap untuk masuk tidur sebelum spirit bernama Zaf sekali lagi menjelmakan dirinya untuk mengganggu ketenteraman hidup Ilya seperti selalu. Walaupun malam itu malam minggu, namun Ilya memilih untuk masuk tidur awal kerana badannya terlampau letih setelah sehari-harian menguruskan pelbagai perkara. Masa yang terluang juga terisi dengan aktiviti menghabiskan bacaan novel-novel fantasi miliknya.

"Amboi kak, cepatnya kakak tidur! Malam kan masih muda lagi," tegur Zaf dengan lagak persis kanak-kanak riang. Sesuailah dengan tubuh badannya yang menyerupai kanak-kanak lelaki.

Ilya menjeling tajam Zaf yang tidak habis-habis menyakatnya sejak daripada awal pagi lagi. Zaf membuat muka polos seperti dia langsung tidak membuat sebarang kesalahan.

"Budak-budak kena tidur awal, kalau tak nanti evil spirit kacau," ujar Ilya selamba. Nadanya berbunyi dingin seperti biasa. Matanya kelihatan kuyu dek kerana menahan kantuknya. Dia berasa begitu panas hati kerana keinginannya untuk tidur terbantut kerana diganggu oleh makhluk yang tidak faham bahasa itu.

"Bahahahaha, kakak ni pandailah buat lawak. Dah lama Zaf tak dengar manusia cakap macam tu, sejak bangsa manusia berhenti mempercayai kewujudan kami." Zaf tergelak besar mendengar butir bicara yang dituturkan Ilya dengan penuh selamba.

"Oh, ya ke? Kakak ingatkan mereka saja je reka-reka benda tu. Kakak tahu pun sebab kakak baca dalam buku tu," kata Ilya sambil menudingkan jarinya ke arah sebuah buku fantasi kanak-kanak yang baru dibacanya siang tadi. Zaf terus memandang ke arah yang ditunjukkan Ilya.

Dia terbang ke arah buku yang dimaksudkan Ilya. Zaf menghulurkan sebelah tangannya berhampiran buku itu. Seraya itu, buku itu terapung di hadapan Zaf yang turut sama terapung di udara. Buku itu terselak dengan lajunya ibarat ditiup angin yang kencang. Walhal tiada angin pun yang bertiup di dalam bilik itu. Sebaliknya, Zaf yang bertindak menyelak helaian demi helain buku itu secara ghaib.

Ilya memerhatikan gelagat Zaf dengan riak wajah selamba. Oleh kerana dia sudah biasa dengan kelibat makhluk aneh di hadapannya, sedikit pun dia tidak berasa hairan dengan tingkah Ilya itu.

"Haha, manusia-manusia. Aku sangkakan kamu semua dah benar-benar lupa akan kewujudan kami, tapi tak sangka." Zaf melontarkan kata-kata itu sambil tersenyum sinis. Kepalanya digeleng perlahan sambil matanya tertancap pada buku itu.

Ilya mendengar setiap bait bicara yang dituturkan Zaf dengan teliti. Dia mengerutkan dahinya tanda tidak faham apa yang dimaksudkan Zaf sebentar tadi. Matanya masih lagi merenung tajam Zaf. Zaf yang sedari tadi ralit menyelak buku itu menyedari tingkah Ilya lalu memandangnya. Serentak itu, buku yang terapung di udara itu tertutup dengan pantas dan terjatuh ke atas lantai.

Gedebuk!

Buku itu terjatuh di atas lantai. Ilya tidak mempedulikan buku yang terjatuh itu sebaliknya terus merenung tajam Zaf menagih jawapan daripadanya.

Zaf tersenyum sinis melihat reaksi Ilya sebelum memulakan bicara, "Untuk pengetahuan kamu, manusia sebelum ni memang pernah cakap macam tu. Mereka memang betul-betul percaya kewujudan kami golongan spirit walaupun mereka tak nampak kami. Malah, mereka amat takut dan gerun dengan kewujudan kami sebenarnya. Kata-kata kamu tadi, Ilya tentang evil spirit sebenarnya pernah dibicarakan para ibu kepada anaknya sebagai peringatan sebelum mereka masuk tidur suatu masa dahulu. Ia bukan rekaan atau khayalan penulis cerita fantasi semata-mata, tau."

Ayat-ayat itu tadi dilontarkan dengan nada serius oleh Zaf. Riak wajahnya juga yang selalunya riang seperti kanak-kanak berubah serius seolah-olah seorang presiden sebuah negara sedang menyampaikan ucapannya. Tiba-tiba sahaja, Zaf kelihatan matang. Tidak seperti selalu yang mana lagaknya persis kanak-kanak riang.

Ilya mendengar ceramah yang disampaikan Zaf itu dengan tekun sekali. Entah kenapa kali ini dia berasa begitu tertarik untuk mendengar dengan lebih lanjut tentang spirit daripada Zaf. Selalunya dia tidak mengambil serius dengan apa yang dikatakan spirit itu dek perangai Zaf yang keanak-anakan.

"Oh, I see, jadi apa yang ditulis dalam buku tu memang digunakan para ibu zaman dahulu untuk memastikan anak mereka berkelakuan baik, kan?" Sinis sahaja bunyinya apabila ayat ini dilontarkan keluar dari mulut Ilya.

Zaf tertawa kecil sebelum terbang menuju ke arah Ilya.

"Bijak juga kamu ni ya, manusia," kata Zaf sambil meletakkan hujung jari telunjuknya di dahi Ilya. Ilya tidak memberi sebarang reaksi terhadap tingkah Zaf sebentar tadi.

Ilya memusingkan tubuhnya membelakangi Zaf lalu berjalan beberapa langkah. Dagunya diusap sebelum berkata, "Tapi, sekarang ni golongan spirit hanya muncul dalam cerita fantasi kerana kewujudan kamu semua dianggap mitos sahaja oleh kami semua, golongan manusia. Sekarang ni dah takda orang percaya dengan kewujudan spirit kecuali akulah. Itu pun sebab aku boleh nampak spirit, hmmm...."

"Adalah kak, orang lain yang boleh nampak spirit macam kakak ni." Zaf mengubah nadanya yang berbunyi serius kembali kepada nada kanak-kanak riang seperti selalu. Zaf telah pun muncul di hadapan Ilya secara tiba-tiba.

"Siapa?" tanya Ilya spontan.

"Moyang kakak, contohnya," jawab Zaf dengan nada riang sekali.

"Moyang? Hmmm...." Ilya melepaskan keluhan kasar sambil matanya memandang siling.

Tiba-tiba Ilya teringatkan sesuatu sebelum memandang semula Zaf. Air mukanya turut berubah. Zaf memandang Ilya pelik, tidak faham kenapa Ilya memandangnya sebegitu.

"Wait, Zaf kata hari tu moyang kakak tahu sesuatu pasal Dark Arts kan?" Nada Ilya kedengaran meninggi sedikit daripada kebiasaan. Dia kelihatan teruja. Zaf terus mengangguk sebagai jawapan kepada pertanyaan Ilya.

"Tapi ... moyang kakak tu duduk nun jauh dekat Kampung Magia sana. Macam mana kakak nak pergi?" gumam Ilya sambil melabuhkan punggungnya di atas katil.

"Kakak pergilah naik kereta api," cadang Zaf.

"Memanglah, tapi tiket dia mahal. Kakak bukannya ada duit sangat sekarang ni." Wajahnya berubah muram.

"Ha! Apa kata kakak pergi pakai tambang tiket kanak-kanak je. Kakak kan pendek, kakak boleh je menyamar jadi kanak-kanak masa nak beli tiket nanti. Boleh jimat duit." Zaf mengeluarkan idea yang cukup bernas.

Pam!

Ilya membaling bantal yang ada di sebelahnya ke arah Zaf. Dia berasa geram pula dengan cadangan bernas Zaf yang seolah-olah mengejek rupa paras fizikalnya. Namun begitu, Zaf sempat mengelak dan bantal yang dibalingnya sebentar tadi mengenai dinding sahaja.

"Woah! Kak jangan marah, jangan marah. Saya bergurau je tadi." Zaf menghulurkan kedua-dua tangannya ke hadapan dengan tujuan untuk menenangkan Ilya yang sudah naik angin itu. DIa berasa gerun pula dengan Ilya.

Ilya sebenarnya agak sensitif apabila orang menyentuh mengenai ketinggiannya. Ilya memang agak rendah iaitu cuma mempunyai ketinggian 148 cm sahaja. Tambahan pula, paras rupanya yang comel persis anak patung itu menambahkan lagi kecomelannya walaupun mukanya jarang menunjukkan sebarang ekspresi.

***

Lamunannya terhenti apabila kereta api yang ditunggunya telah pun sampai ke stesen itu. Tanpa membuang masa, dia terus memulakan langkahnya untuk menuju ke arah kereta api tersebut. Dia berjalan ke arah sebaris manusia yang sedang beratur di hadapan pintu masuk gerabak kereta api tersebut.

Di sebelah pintu gerabak itu terdapat sebuah alat pengimbas automatik untuk mengimbas tiket masing-masing. Tiket itu pula berupa seperti kertas keras bersaiz seperti kad kredit yang hanya boleh digunakan sekali sahaja. Ilya meletakkan tiket itu di atas sejenis skrin kaca di alat pengimbas itu. Sejenis cahaya laser berwarna biru dilalukan di atas tiket itu sebelum sebuah penghadang besi automatik di hadapannya terbuka untuk membenarkannya masuk.

Setelah mengambil tempat duduknya, Ilya melepaskan keluhan kasar.

"Akhirnya aku ikut jaga cadangan bernas si Zaf," desis Ilya di dalam hati.

"Kan, bagus kan cadangan saya ni, kak," sergah Zaf secara tiba-tiba yang keluar melalui cermin tingkap kereta api tersebut. Dia seperti boleh membaca apa yang difikirkan Ilya.

Secara spontan, Ilya terus mengetuk tingkap kaca itu dengan kuat sekali bertujuan untuk memukul Zaf. Namun begitu, Zaf telah terlebih dahulu menghilangkan dirinya dengan masuk semula ke dalam cermin tingkap itu. Ilya hanya berjaya mengetuk cermin itu sahaja. Penumpang yang duduk di sebelah Ilya melihat tingkahnya dengan pelik. Ilya pula mengalihkan pandangannya ke tempat lain dan tidak mempedulikan pandangan orang yang berada di sebelahnya.

***

Setelah melalui perjalanan yang agak panjang, akhirnya Ilya sampai juga di sebuah bandar kecil bernama Pekan Sahara. Pekan itu merupakan bandar yang paling hampir dengan kampung moyangnya iaitu Kampung Magia. Itu pun dia perlu menaiki teksi terlebih dahulu sebelum benar-benar sampai di Kampung Magia. Hal ini kerana, kampung itu terlampau jauh dari Pekan Sahara.

Ilya mengambil telefon pintar dari dalam kocek bajunya. Dia mengaktifkan GPS (Global Positioning System) dan data mudah alih untuk melayari Internet. Dia membuka satu aplikasi di telefon pintarnya iaitu sejenis aplikasi untuk memanggil teksi dan menghantarnya ke lokasi yang diingini. Dia menetapkan koordinat lokasi yang ingin ditujunya iaitu sebuah sekolah rendah yang terletak di Kampung Magia. Tempat itu merupakan POI (Point of Interest) yang paling hampir dengan rumah moyangnya.

Teksi itu merupakan sebuah dron berpenumpang yang hanya boleh memuatkan seorang penumpang sahaja dalam satu-satu masa. Rupanya menyerupai sebuah helikopter mini tetapi tiada ruang untuk pemandu. Perkhidmatan teksi dron dikendalikan beberapa syarikat swasta dan mereka perlu membayar tambang setiap kali mereka menggunakan perkhidmatannya. Tambang akan dibayar dengan menolak duit secara automatik melalui akaun bank masing-masing. Jumlah bayaran pula dikira mengikut sejauh mana jarak yang dilalui. Bayaran akan ditolak sejurus sahaja para pelanggan mengesahkannya.

Selepas Ilya memasukkan koordinat tempat yang ingin ditujunya, sejenis tetingkap keluar secara automatik untuk meminta pengesahan daripada Ilya. Ilya terus menekan butang YES yang tertera pada skrin telefon pintar miliknya. Sekarang, Ilya hanya perlu menunggu beberapa minit sahaja sebelum sebuah teksi dron sampai dan mengambilnya untuk dibawa ke lokasi yang dituju.

Sejurus sahaja teksi dron yang dinaikinya menurunkan Ilya, dia terus membuka kakinya untuk melangkah ke destinasi yang dituju. Jauh lagi perjalanan yang perlu dilaluinya sebelum benar-benar sampai ke rumah moyangnya.

Ilya menyusuri sebuah denai berliku-liku yang dikelilingi hutan rimba di kiri dan kanannya. Pepohonan nan menghijau yang tumbuh meliar di sekitar kampung itu menyebabkan suasana menjadi begitu nyaman dan damai sekali.

Angin sepoi-sepoi bahasa bertiup lembut sesekali menyapa pipi Ilya yang putih gebu. Rambutnya yang hitam pekat melambai-lambai ditiup angin. Dia menikmati angin yang bertiup lembut di sekelilingnya. Dia telah lama tidak merasai suasana damai ini sejak dia dan keluarganya menetap di Bandar Medici.

Setelah berjalan selama lebih kurang setengah jam, barulah Ilya ternampak sebuah kawasan perumahan di penghujung denai yang berliku itu. Rumah-rumah di situ diperbuat daripada kayu dan dibina dengan mengekalkan ciri-ciri tradisional, sesuailah dengan kedudukannya yang jauh terpencil dari arus kemodenan. Berlainan pula dengan rumah-rumah di Bandar Medici yang kebanyakannya bercirikan moden dan kontemporari.

Sampai sahaja di situ, Ilya hanya perlu berjalan beberapa langkah sahaja untuk mencari rumah moyangnya. Apa yang uniknya rumah di situ dengan rumah di kawasan bandar ialah kebanyakannya rumah bertiang tinggi. Selain itu, rumah-rumah di situ juga kebanyakannya berpagar walaupun pagarnya cuma berketinggian separas pinggang orang dewasa.

Ilya melewati sekumpulan kanak-kanak yang asyik bermain berhampiran dengan perkarangan sebuah rumah. Mereka begitu seronok berkejaran ke sana dan ke mari seperti tiada apa-apa masalah pun dalam kehidupan mereka.

Langkah Ilya dimatikan apabila melihat sekumpulan kanak-kanak yang kelihatan sedang mengejek seorang wanita tua. Wanita itu kelihatan amat tua, kulitnya sudah berkedut seribu, rambutnya pula yang diikat sanggul sudah beruban keseluruhannya. Namun begitu, dia kelihatan cergas sekali membuat kerja-kerja rumah. Kaki dan tangannya langsung tidak nampak tanda-tanda seperti orang yang uzur. Rumahnya penuh dengan segala jenis tanaman herba selain beberapa jenis tanaman hiasan.

Wanita tua itulah merupakan moyang Ilya iaitu Bidasari. Dia kelihatan sedang asyik mengerjakan pokok-pokok yang ditanam di perkarangan rumahnya, langsung tidak mempedulikan sekumpulan kanak-kanak yang sedang mengejeknya sedari tadi.


Previous: BAB 6
Next: BAB 8

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.