Home Novel Seram/Misteri Fitrah
Fitrah
Hana Mizari
3/3/2018 23:49:01
122,124
Kategori: Novel
Genre: Seram/Misteri
BAB 18

SUPRANATURALE

Arya membuang pandang ke jendela yang terletak di sebelah tempat duduknya. Pemandangan langit nan membiru ditemani awan-awan putih bak kapas menjamu pandangan mata. Nafasnya dihela kasar. Dagunya ditongkat sambil menikmati pemandangan di luar kelas lalu keluhan berat dilepaskan.

Kebanyakan pelajar Kelas Satu Beta sudah pergi ke kafe sekolah pada waktu itu. Sementara itu, sebahagian pelajar yang lain pula hanya menjamu selera di tempat masing-masing. Mereka tidak perlu ke kafe untuk membeli makanan kerana masing-masing membawa bekal. Arya pula mengambil keputusan untuk mengikat perutnya pada hari ini. Entah kenapa dia berasa kurang berselera pula pada hari ini.

"Arya!" Panggilan itu benar-benar membuatkan jantung Arya hampir gugur.

Lamunannya termati serta-merta. Lautan imaginasi yang dilayarinya sudah hilang lesap entah ke mana. Arya berpaling ke belakang serta-merta, memandang ke arah punca suara. Susuk tubuh pelajar lelaki berambut coklat sedang menayangkan seringai di sebelah mejanya. Lelaki itu merupakan Zhafril, sahabat baik Arya. Arya memandang sahabatnya itu dengan lirikan malas.

"Ada apa?" soal Arya mendatar.

"Macam mana?" Satu soalan dilemparkan Zhafril dengan penuh keterujaan. Amat bertentangan dengan nada yang dilontarkan Ren.

"Macam mana apa?" Soalan dibalas dengan soalan. Arya tidak faham soalan itu yang kedengaran tergantung bunyinya.

"Date kau hari tulah," sambung Zhafril tanpa berkias. Dia lupa bahawa Arya memang agak lembab apabila melibatkan soal cinta.

"Date?" Arya mengerutkan dahinya, masih tidak faham apa yang dimaksudkan lelaki berambut coklat itu.

"Kau ni malu-malu pula. Bukan ke hari tu kau ada date dengan red eye fairy tu?" seloroh Zhafril lalu mengukirkan senyuman nakal.

"Red eye fairy? Oh, Ilya ke? Kau dah salah faham. Kami bukan dating."

Ilya diberi gelaran sebegitu kerana warna anak matanya berwarna merah. Warna anak mata sebegitu memang amat jarang ditemui. Oleh sebab itulah mereka yang mempunyai warna anak mata seperti itu akan dikenali ramai. Ada juga yang menyisihkan mereka kerana terlampau pelik dengan ciri-ciri itu.

Arya cuba menjelaskan hal yang sebenarnya kepada Zhafril tetapi dia masih tetap dengan persepsinya itu. Baginya, sahabat karibnya itu cuma malu-malu atau dia tidak pandai mengekspres perasaannya sahaja.

Sama sahaja Zhafril dengan Layla. Mereka berdua sudah salah faham dengan hubungan Arya dan Ilya. Jika mereka berdua bertemu pasti boleh menjadi sahabat akrab.

"Arya Shaputra!" Kedengaran suara seorang gadis memanggil nama penuh Arya menghentikan perbualan mereka berdua.

Arya dan Zhafril menoleh serentak ke arah si pemanggil. Seorang gadis mungil bercermin mata kelihatan malu-malu berdiri berhampiran meja Ren.

"Kenapa?" soal Zhafril kedengaran mesra. Zhafril memang mudah mesra dengan semua orang. Selalunya dialah yang bertindak sebagai orang perantara kepada Arya kerana sikap sahabatnya yang kurang bercakap itu.

"Ada seseorang nak jumpa awak, Arya. Dia tunggu kat luar kelas," terang gadis itu terus kepada pokok persoalan.

"Ha! Siapa? Dia dari kelas mana?" soal Zhafril teruja. Wajahnya didekatkan ke arah gadis itu, ingin mengetahui lebih lanjut.

"A ... ah, dia dari Satu Alpha. Budak yang mata merah tu," jelas gadis itu sedikit gagap, terkejut dengan Zhafril yang mengasak soalan secara tiba-tiba.

"Oh! Kan aku dah kata!" Zhafril membeliakkan matanya kerana teruja. Kemudian dia berpaling ke arah sahabat baiknya.

"Arya, girlfriend kau panggil tu. Pergilah. Nanti merajuk pula dia tunggu lama-lama kat luar," tutur Zhafril cuba menyakat Arya. Sebelah tangannya menyiku tubuh Arya yang masih dengan riak wajah kosongnya itu.

"Terima kasih," ucap Arya sebelum berlalu pergi meninggalkan tempat duduknya.

Zhafril menghantar Arya pergi dengan pandangannya lalu tersenyum nakal. Dalam hatinya sudah memikirkan bermacam-macam perkara mengenai hubungan baik antara Arya dan Ilya.

Ilya sedia menanti di luar kelas. Tubuhnya disandarkan ke pintu. Matanya dijamu dengan pemandangan beberapa orang yang lalu-lalang di koridor di hadapannya.

"Ilya, ada apa awak cari saya?" soal Arya yang telah pun berada di sisinya.

Ilya berpaling untuk menghadap wajah Arya. Masing-masing menayangkan riak kosong, tanpa perasaan.

"Arya, maaf mengganggu. Saya ada sesuatu yang menarik nak tunjuk kat awak," tutur Ilya mendatar.

"Ah, saya pun sama. Saya pun ada sesuatu yang menarik nak tunjuk kat awak." Arya tiba-tiba teringatkan sesuatu.

"Kawan awak yang rambut biru tu mana?" soal Arya setelah mendapati tiada Layla bersamanya.

"Oh, Layla ke? Dia ada hal sikit tadi. Kejap lagi dia menyusul. Jomlah ikut saya. Saya nak bawa awak jumpa seseorang," ajak Ilya lalu mula mengatur langkahnya.

"Tapi saya ingat nak tunjuk awak forum yang saya cakap hari tu." Arya turut menyatakan hasratnya.

Kaki yang diatur Ilya terhenti serta-merta. Pandangannya dikalihkan semula ke arah Arya yang berada di belakang.

"Forum?" soal Ilya sambil mengerutkan dahinya.

"Oh, yang tu. Nantilah. Saya nak ajak awak jumpa lagi seorang yang boleh tengok spirit macam kita berdua."

Ilya menarik tangan Arya dengan selamba, tidak menyedari bahawa mereka menjadi perhatian semua orang yang berada di koridor itu. Sebahagian pelajar perempuan yang berada di koridor itu sudah mula bergosip sesama mereka. Arya pula hanya akur diperlakukan sebegitu. Sedikit pun dia tidak membantah.

***

Zahara menghidangkan teh kepada tiga orang ahli baru Kelab Petani Muda itu. Nasib baiklah hari ini dia telah menyediakan teh cukup banyak kepada bakal ahli-ahli barunya itu. Keahlian mereka masih belum rasmi selagi mereka tidak mengisi borang dan menghantarnya kepada penasihat kelab.

Ilya menikmati bau aroma teh yang semerbak harum sebaik sahaja teh itu dituang ke dalam cawan. Dua piring sandwich turut disediakan Zahara cukup untuk mereka berempat.

"Ehm, nama saya Zahara Darvisha. Kelas Satu Gamma." Zahara memulakan bicara.

"Perkenalkan. Ni Arya Shaputra, seorang lagi kawan saya. Layla awak dah kenalkan?" Ilya memperkenalkan Arya kepada Presiden Kelab Petani Muda itu.

"Pokok-pokok ni semua awak tanam ke?" soal Arya sambil matanya melilau memerhatikan persekitaran bilik itu.

"Taklah. Pokok-pokok tu ada yang bekas member kelab ni tanam dan ada yang saya tanam. Antaranya pokok Mandrake tulah." Zahara menunjukkan ke arah pokok yang baru ditanamnya itu.

"Mandrake?" Wajah Layla menjadi pucat tanpa darah serta-merta tatkala mendengar nama pokok itu disebut. Gambaran tumbuhan yang mengerikan itu kembali terimbau di mindanya.

"Mandrake? Pokok yang jarang ditemui tu ke? Macam mana awak boleh jumpa?" soal Arya hairan.

"Saya jumpa kat dalam semak semalam. Sebab saya terdengar Mandrake tu berbicara," jelas Zahara seolah-olah itu adalah perkara yang normal.

"Ha?" Layla yang tidak tahu apa-apa itu pula mula melopong.

'Alamak! Susah kalau nak bincang pasal Dark Arts ni depan Layla. Mahu je disoal siasat macam polis nanti,' desis Ilya di dalam hatinya.

"Ah, Arya!" Ilya cuba mengalih topik perbualan.

"Ya?" sahut Arya tatkala mendengar namanya dipanggil.

"Apa yang awak nak tunjuk tadi?" Ilya mengajukan soalan sebagai permulaan kepada topik baru.

"Oh, yang tu."

Arya mengeluarkan telefon pintarnya. Dia membuka forum yang diceritakannya sebelum ini melalui telefon pintarnya. Dia ingin menunjukkannya pada Ilya. Jarinya dilarikan di atas skrin sesentuh untuk menaip nama forum tersebut di bar carian.

Forum Internet yang dimaksudkan ialah SupraNaturale. Ia sebuah platform untuk menghubungkan semua orang yang mempunyai kebolehan melihat spirit seperti Ilya, Arya dan Zahara. Ahli di dalam forum itu sangat ramai. Ada juga desas-desus mengatakan bahawa sebahagian pemilik akaun di forum itu adalah daripada golongan spirit sendiri. Sejauh mana kebenaran dakwaan ini tidak dapat ditentukan kesahihannya.

Dalam forum tersebut, mereka akan bertukar-tukar pelbagai maklumat dan berbincang mengenai pelbagai topik seperti alam spirit, Dark Arts, Light Arts, pengalaman masing-masing berserta pelbagai lagi perkara yang berkaitan spirit.

Arya menunjukkan forum itu kepada semua orang yang berada di bilik kelab itu termasuk Lazulee. Keadaan ini menimbulkan pelbagai reaksi daripada mereka bertiga.

"Kenapalah aku baru jumpa forum ni kat Internet? Kenapa sebelum ni aku tak pernah jumpa ya?" soal Ilya kepada dirinya sendiri.

"Woah! Tak sangka ramai betul orang yang macam saya ya," luah Zahara teruja. Dia menepuk kedua-dua belah tangannya tanda teruja dengan apa yang dilihatnya.

Layla yang tidak tahu hujung pangkal pula hanya terpinga-pinga.

"Eh, eh, eh. Apa yang korang semua bincangkan ni?" soal Layla sambil memandang ketiga-tiga rakannya silih berganti.

'Oh, ya! Macam manalah aku boleh terlupa pasal kawan aku yang seorang ni. Kesian dia tak tahu apa-apa,' ucap Ilya di dalam hati. Matanya menjeling ke arah gadis berambut biru itu.

Ilya memberi isyarat kepada Arya untuk pergi ke suatu sudut. Arya hanya menuruti permintaan Ilya.

"Kenapa?" soal Arya membuka bicara dengan nada separa berbisik. Dia faham benar akan isyarat Ilya bahawa ada perkara sulit yang harus dibincangkan mereka berdua sahaja.

"Kawan saya Layla tu, takda kebolehan lihat spirit macam kita. Malah, dia tak tahu apa-apa pun pasal spirit," jelas Ilya akan masalah yang dihadapi mereka.

"Oh, macam tu ke? Macam manalah aku boleh terlupa pasal tu." Arya menepuk dahinya. Bengang kerana dia buat kesilapan yang besar.

"Sorry-lah. Mungkin saya tak patut ajak dia ke kelab ni. Tapi macam tak sampai hati nak tinggalkan dia seorang-seorang tadi." Ilya menzahirkan rasa serba salahnya.

"Bagusnya. Bila awak cakap macam tu, baru saya ingat yang saya dah tinggalkan kawan saya seorang diri di kelas." Arya tiba-tiba teringatkan Zhafril.

"Lagipun, dia tak patut tahu tentang this side of the world. Dia bukan macam kita. Keluarganya sangat menitik beratkan ilmu Sains. Dia tentu tak boleh terima apa saja yang bertentangan dengan logik akal." Ilya menyambung bicaranya.

"Jadi, macam mana sekarang ni?" Arya meminta pendapat daripada Ilya.

"Entahlah." Ilya mengangkat bahunya.

Tanpa mereka berdua sedari, perbualan mereka diperhatikan Layla. Dalam otaknya mula membayangkan mengenai pelbagai perkara berkaitan cinta. Dia benar-benar menyangka bahawa Ilya dan Arya sedang bercanda bersama. Zahara pula hanya terpinga-pinga. Dia sama seperti Arya, agak lembab berkaitan soal cinta.

"Macam ni, kita sambung jelah perbincangan kita pasal spirit ni bila lepas habis sekolah nanti. Kita berdua je. Macam mana?" Arya mengusulkan cadangan.

"Tak, kita bertiga, dengan Zahara sekali." Ilya menambahkan seorang lagi ahli dalam kumpulan pelik mereka.

"Okey. Tempat macam biasa dekat kawasan bangunan lama sekolah. Bagitahu Zahara sekali." Ren memperincikan rancangannya.

"Kawasan lama sekolah? Tak bahaya ke, waktu senja macam tu. Lagipun, saya kena balik cepat. Nanti kakak saya marah." Ilya memberitahu alasannya.

Arya hanya mampu membalas kata-kata Ilya tadi dengan satu keluhan. Buntu sudah memikirkan apa yang patut mereka lakukan agar dapat mengelak daripada berbincang soal spirit di hadapan Layla.

"Psst, Zahara!" panggil Ilya dengan membuat isyarat untuk memanggil gadis berambut hijau itu.

Zahara terus berjalan menghampiri Ilya dan Arya di sudut itu.

"Apa yang serius sangat ni?" soal Zahara setelah mendapati kerutan di wajah masing-masing.

Ilya menerangkan masalah yang sedang dihadapi mereka kepada Zahara.

"Oh, kalau macam tu, takpalah. Awak berdua datanglah ke bilik kelab ni di hujung minggu. Memang saya buka bilik kelab ni hari-hari sebab nak tengok-tengokkan pokok ni semua." Zahara pula mengusulkan cadangannya.

"Ya tak ya. Kalau tak siapa nak jaga pokok tu semua?" Tanpa disuruh Ilya turut memberi ulasan.

"Okey. Noted. Tapi awak tak perlu ajak Layla sekali. Kalau tak defeat the purpose kita berbincang sejauh ni. Lagi satu, saya ada akaun di forum tu, username saya Arya179. Kalau kamu berdua nak bolehlah join sekali berbincang dalam forum tu," sambung Arya lagi.

"Okeylah kalau macam tu." Zahara mengakhiri perbincangan mereka berdua.

"Apa yang okeynya? Apa yang korang semua bincangkan? Kenapa saya ditinggalkan dalam perbincangan ni? Saya pun ahli kelab ni juga, walaupun masih tak rasmi." Tiba-tiba sahaja Layla datang menyampuk perbincangan mereka bertiga.

Kehadirannya benar-benar mengejutkan Arya dan Ilya. Hanya Zahara tidak terkejut dengan kehadiran gadis itu. Dia seperti tidak memahami akan situasi yang dihadapi mereka sekarang.

"Kitorang nak jumpa huj...." Zahara hampir-hampir memecahkan rahsia sebelum sempat ditutup mulutnya oleh Licorice.

"Takda apa-apalah. Hal tak penting pun," beritahu Arya mendatar dengan riak wajah kosong.

Nasib baiklah wajah lelaki berambut kelabu itu kontang daripada sebarang ekspresi, dapatlah mereka sembunyikan kerisauan di hati mereka berdua. Kenapa berdua? Gadis bernama Zahara itu tidak mampu menghadam situasi yang sedang dihadapi mereka sekarang.

***

Ilya mengambil tablet yang ada di atas meja. Jari-jemarinya menari-nari di atas imej papan kekunci pada skrin tablet tersebut. Pada bar carian, dia menaip SupraNaturale, iaitu nama forum yang disebutkan Arya siang tadi. Dalam masa beberapa saat, pautan Forum SupraNaturale terpapar pada pilihan pertama hasil enjin carian Googel. Pautan seterusnya pula memaparkan pautan ke artikel yang menerangkan tentang sejarah penubuhan dan asal-usul forum tersebut.

Tanpa teragak-agak, Ilya menekan pautan ke forum tersebut. Terdapat pelbagai tajuk yang dibincangkan di situ. Kebanyakannya berkaitan spirit dan Dark Arts. Beberapa tajuk menarik perhatian Ilya. Dia bercadang untuk mendaftar akaunnya di forum tersebut agar memudahkan dia untuk berbincang bersama mereka selain ingin berkenalan dengan orang yang mempunyai kebolehan sama seperti dirinya.

Nama Pengguna: Ilya209

Kata Laluan: ************

Butang 'REGISTER' ditekan maka rasmilah dia sebagai ahli baru forum tersebut.


Previous: BAB 17
Next: BAB 19

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.