DARK ARTS
"Pokok boleh bercakap?" tanya Ilya semula hampir tidak percaya. Bidasari hanya mengangguk perlahan untuk mengiakannya.
"Nenek, macam mana pokok boleh bercakap? Ke selama ni pokok memang boleh bercakap cuma hanya orang tertentu sahaja boleh mendengarnya macam kebolehan melihat spirit juga? Adakah ia ada kaitan dengan spirit juga?" Bertalu-talu soalan diajukan Ilya kepada Bidasari.
Ilya sudah mendekatkan kepalanya dengan kepala moyangnya. Dia kelihatan begitu teruja. Lagaknya saling tidak tumpah kanak-kanak yang baru mengenali dunia di sekelilingnya, sarat dengan sifat ingin tahu.
"Sabar-sabar Ilya, nenek akan terangkan satu-satu ya?" Bidasari mengusap lembut kepala cicitnya. Ilya akur lalu menganggukkan kepalanya.
"Ya, betul Ilya. Nenek memang ada kebolehan istimewa. Nenek boleh dengar pokok tu semua bercakap dengan nenek. Cuma orang tertentu saja diberi keistimewaan macam nenek. Ada kaitan dengan spirit atau tak? Hmmm...." Bidasari melirikkan matanya ke atas sebelum memandang semula Ilya dan menyambung bicaranya, "Ia betul, ia juga salah. Kalau nenek nak terangkan sekarang pun mungkin Ilya tak faham. Suatu hari nanti Lico pasti akan faham."
Sekali lagi Ilya mengusap lembut kepala Ilya yang begitu tekun mendengar sedari tadi.
Ilya mengerutkan dahinya. Dagunya diusap perlahan seperti memikirkan sesuatu.
'Adakah apa yang nenek lakukan ni yang dikatakan sebagai Dark Arts?' getus Ilya di dalam hati.
"Dark Arts? Lico nak tahu pasal Dark Arts ya? Kebolehan ini bukan Dark Arts tapi ia ada kaitan dengan Dark Arts," balas moyangnya secara tiba-tiba seolah-olah dia boleh membaca apa yang Ilya fikirkan.
Ilya terkejut. Dia sendiri pun hairan bagaimana moyang dia mengetahui apa yang Ilya fikirkan.
"Nenek, boleh terangkan lebih lanjut tentang Dark Arts? Kalau nenek tak keberatanlah," tanya Ilya sedikit serba salah.
"Boleh, takda masalah. Dark Arts ni sebenarnya suatu ilmu yang digunakan oleh manusia untuk menguasai alam fizikal, spiritual dan kadangkala mental melalui pertolongan suatu makhluk yang dinamakan sebagai spirit."
"Nenek, macam mana manusia boleh kuasai ilmu Dark Arts? Setahu Ilya, Dark Arts ni bukan ilmu biasa-biasa kan?" sampuk Ilya.
"Ha, manusia ada tiga cara untuk mendapatkan kuasa daripada spirit iaitu penyeruan, peminjaman dan penyatuan. Yang pertama, penyeruan. Manusia yang ingin menguasai Dark Arts akan menyeru spirit yang diinginkan. Spirit yang diseru pula bergantung kepada kemahuan si penyeru itu sendiri serta apa tujuan Dark Arts itu digunakan. Sebab spirit ni ada macam-macam spesies. Si penyeru hendaklah melakukan pelbagai ritual, melukis bulatan magis dan menyediakan pelbagai pengeras untuk menyeru spirit."
"Kenapa kena buat macam tu nenek?" soal Ilya ingin tahu.
"Sebagai ganjaran kepada spirit selepas kita meminta tolong kepada mereka."
"Ganjaran?" Ilya memiringkan kepalanya sambil meletakkan hujung jari telunjuknya di bibir.
"Ya, ganjaran. Spirit ni tak bagi bantuan percuma kepada kita manusia. Ganjaran ni senang cerita macam bayaranlah kepada perkhidmatan mereka," balas Ilya pada pertanyaan cicitnya.
"Oh, selama ni Ilya ingatkan mereka bagi bantuan macam tu ikhlas nak tolong, rupa-rupanya ada udang di sebalik mi." Ilya memicingkan matanya.
"Ya, maafkan kami kerana perangai kami semua yang agak menjengkelkan ni," sampuk Maria yang muncul secara tiba-tiba di hadapan mereka berdua.
"Takpa, saya faham. Yang saya maksudkan, hmmm...." Ilya melirikkan matanya ke kanan dan kirinya untuk mencari kelibat seseorang. Dalam hatinya teringat akan perangai menjengkelkan Zaf dan Mimi. Ilya amat pasti bahawa Zaf mesti menyorok berhampiran dengan mereka bertiga.
Bidasari menyambung semula penerangannya, "Yang kedua pula dengan cara peminjaman. Kuasa spirit itu dipinjam oleh golongan manusia bagi membolehkan mereka menggunakan Dark Arts. Dengan cara ni manusia tak perlu menyeru spirit seperti kaedah pertama tadi. Kaedah ini amat susah. Sebab tulah hanya pengguna Dark Arts yang betul-betul handal sahaja tahu menggunakan kaedah ini."
Sedang asyik mereka berbual, Ilya menyedari ada dalam kalangan jiran-jirannya berbisik-bisik sesama mereka tatkala mereka melewati berhampiran perkarangan rumah moyangnya. Ilya berasa agak jengkel dengan tingkah buruk mereka itu. Dia dapat mengagak bahawa mereka semua sedang mengata tentang moyangnya. Dapat dilihat dengan cara mereka memandang Bidasari dengan penuh prejudis. Manakala bibir mereka pula mencebik dengan jari yang ditudingkan ke arah pangkin tempat mereka bersantai.
"Nenek, jom kita masuk rumah, nek. Ilya tak selesalah kat luar ni," ajak Ilya. Dia sudah bangun daripada pangkin itu.
"Baiklah, Ilya. Jom." Bidasari memimpin tangan cicitnya. Dia faham benar perasaan yang dialami cicitnya itu. Namun begitu, dia sudah biasa dicemuh sebegitu oleh jiran-jirannya. Malah, dia telah menerima pandangan jelik daripada masyarakat sejak di bangku sekolah lagi.
Mereka berdua terus berjalan beriringan untuk masuk ke rumah. Maria pula membuntuti langkah dua orang manusia yang berada di hadapannya.
Langkah mereka tidak berhenti di ruang sorong rumah itu, sebaliknya mereka berdua terus berjalan ke ruang tengah untuk menuju ke ruang dapur.
"Nenek, macam mana pula dengan kaedah ketiga?" Ilya meminta Bidasari menyambung penerangannya yang tergendala sebentar tadi.
"Oh ya, lupa pula nenek. Kaedah ketiga ialah dengan cara penyatuan. Manusia akan bersatu jiwanya dengan spirit supaya mereka dapat mengubah diri mereka menjadi lebih hebat selain dapat menguasai alam fizikal dan spiritual. Tapi kaedah ketiga ni selalunya orang panggil perjanjian."
"Perjanjian?" celah Ilya mengajukan pertanyaan. Entah kenapa perkataan perjanjian itu benar-benar menarik perhatiannya.
"Ya, perjanjian. Sebabnya manusia akan memeterai sejenis perjanjian atau kontrak dengan spirit melalui kaedah ini. Perjanjian ini sebenarnya ialah ritual penyatuan antara manusia dan spirit," balas Bidasari pada pertanyaan cicitnya.
"Oh, kenapa kena buat perjanjian pula nenek?" celah Ilya lagi sekali.
"Sebabnya kaedah ini rumit sikit dan berat. Ia tak sama macam kaedah yang lain-lain."
"Apa yang beratnya?" tanya Ilya lagi.
Bidasari tidak mahu menjawab soalan itu sebaliknya dia memandang Maria untuk memintanya menyambung penerangan itu tadi.
"Sebab kaedah ni melibatkan tubuh manusia tu sendiri. Ritual ni memerlukan jiwa manusia bersatu dengan spirit. Spirit pula tak boleh suka-suka je nak masuk dalam tubuh manusia. Mestilah atas persetujuan antara dua belah pihak terlebih dahulu. Disebabkan kaedah ini berat, alang-alang tu manusia terus minta spirit untuk jaga tujuh keturunan terus," terang Maria dengan panjang lebar.
"Tujuh keturunan?" Ilya mengerutkan dahinya. Dia memandang tajam Maria. Otaknya ligat memikirkan sesuatu.
"Maksud kamu, keturunan dia yang seterusnya akan mewarisi kuasa dari spirit tu ke macam mana?" tanya Ilya semula inginkan kepastian.
"Ya. Tepat sekali. Manusia yang telah melakukan ritual penyatuan dengan spirit akan mewariskan kuasa magis mereka pada keturunan mereka. Secara automatik, spirit yang telah melakukan ritual penyatuan dengan manusia akan pergi kepada pewarisnya jika tuannya yang asal telah mati," sambung Maria lagi.
"Tapi, pewaris yang bakal menerimanya perlu melakukan ritual terlebih dahulu untuk memperbaharui perjanjian mereka dengan spirit. Barulah para pewarisnya boleh menggunakan kuasa magis dan menguasai Dark Arts," sambung Bidasari pula.
"Jadi, apa yang berlaku jika pewaris seterusnya tak mahu menerima spirit tu atau ... melanggar perjanjian?" tanya Ilya teragak-agak. Dia mungkin telah menanyakan tentang suatu yang tidak sepatutnya.
Maria hanya mampu mendiamkan diri. Dia berasa tidak sanggup untuk menjawab soalan itu. Bidasari pula membeliakkan matanya, berasa terkejut dengan soalan yang diajukan cicitnya. Kedua-duanya diam membisu.
"Padah akan menimpa!" Tiba-tiba ada satu suara garau menjawab dari arah belakang. Nadanya berbunyi serius dan menakutkan. Berbaur amaran serta ancaman.
Mereka bertiga terkejut lalu berpaling serentak ke arah datangnya suara garau itu tadi. Mereka semua menyangkakan makhluk yang kelihatan menakutkan telah menyampuk perbualan rancak antara mereka bertiga. Namun begitu, cuma tubuh kecil Zaf sahaja yang sedang terapung di situ. Dia menyeringai menunjukkan sebaris giginya yang tajam bak gigi ikan jerung.
Ilya hanya melihat dengan ekspresi tiada perasaan. Bidasari memfokuskan pandangannya ke arah Zaf yang sedang terapung itu. Sementara itu, Zaf hanya tersengih tanpa rasa bersalah. Maria pula telah menghilangkan dirinya. Entah ke mana dia pergi.
"Aduh!" Tiba-tiba sahaja Zaf berteriak kesakitan. Mukanya berkerut seribu.
Maria yang menghilangkan diri sebentar tadi telah muncul di sebelah Zaf untuk menarik telinganya.
"Aduh! Sakitlah kak!" ujar Zaf separa merayu. Maria masih lagi menarik telinga Zaf. Mukanya yang penuh kelembutan sebelum ini bertukar bengis secara tiba-tiba.
"Kan kakak cakap jangan menyampuk orang tua bercakap!" jerkah Maria ke telinga Zaf.
"Kakak?" Ilya membeliakkan matanya.
Maria yang menyedari tingkahnya diperhatikan Ilya dan moyangnya terus menghentikan perbuatannya. Dia kembali dengan wajah asalnya, seorang gadis yang penuh kelembutan dan kesantunan.
"Oh, lupa nak bagitahu kamu Ilya. Zaf ni sebenarnya adik saya." Maria menyimpulkan senyuman yang manis. Amarahnya terus hilang dalam sekelip mata.
"Maafkan saya Ilya. Adik saya ni memang nakal sedikit," ujar Maria sambil menepuk belakang badan Zaf dengan kuat. Zaf terdorong sedikit ke hadapan dek tepukan yang diterima daripada kakaknya begitu kuat.
"Ha'ah memang nakal pun." Ilya mengiakan pernyataan Ilya. Dia memicingkan matanya.
"Mari kita pergi ke dapur. Nenek nak tunjukkan sesuatu pada Ilya," pelawa Bidasari yang telah pun menuruni tangga rumahnya untuk ke ruang dapur.