ROSMARIA
Pintu bilik Ilya dikuak dengan kasar oleh Airis. Airis yang sedari tadi mendengar bunyi bising dari bilik Ilya bergegas ke biliknya untuk menyelidik keadaan yang sedang berlaku. Airis ingin mengetahui apakah yang sedang berlaku sehingga boleh jadi begitu bising.
Sejurus sahaja pintu itu dibuka, Ilya memandang kakaknya dengan muka tidak bersalah. Buku-buku yang baru dibelinya dibiarkan berterabur di atas lantai. Airis yang terjongol di muka pintu bilik membeliakkan matanya apabila melihat keadaan bilik yang bersepah ibarat baru lepas dilanda taufan. Zaf telah pun menghilangkan dirinya serta-merta kerana takut dengan kehadiran Airis secara tiba-tiba itu. Muka Airis ketika itu bengis ibarat singa betina kerana menahan marah.
"Ilya! Apa yang kamu buat sampai sepah-sepah satu bilik ni?" tengking Airis sambil merenung tajam muka Ilya.
"Ada taufan mini tadi," jawab Ilya selamba separa berbohong. Ilya malas menerangkan keadaan yang sebenarnya kerana dia tahu kakaknya pasti tidak akan mempercayainya.
"Taufan? Jangan nak merepek. Mana ada taufan boleh serang satu bilik je. Dah, baik kamu kemaskan cepat bilik ni," arah Airis sebelum menoleh untuk meninggalkan bilik itu.
"Baiklah, Kak Airis." Ilya akur dengan arahan kakaknya.
"Oh ya, Ilya sebelum kakak lupa. Esok Rosmaria nak datang sini. Dia nak menumpang sementara di rumah kita sebelum dia dapat sewa rumah. Pastikan kamu tak buat hal nanti depan dia, tau," kata Airis setelah teringat tujuan sebenar dia datang ke bilik itu.
"Eh, Kak Rosmaria? Dia pindah sini?" tanya Ilya pula.
"Dia dapat posting mengajar di sini. Tapi kakak tak ingatlah sekolah mana. Nanti kamu tanyalah dia nanti," balas Airis.
Ilya mengeluh berat mendengar pemberitahuan kakaknya. Sejujurnya Ilya berasa agak kurang selesa dengan saudara-maranya yang lain. Sejak kecil lagi dia memang kurang rapat dengan mereka semua. Saudara-maranya selalu menganggap dirinya pelik dan mengalami sakit mental kerana selalu dilihat bercakap seorang diri. Walhal dia sebenarnya sedang berkomunikasi dengan spirit yang tidak boleh dilihat oleh manusia lain. Dia pasti sepupunya Rosmaria juga memberi tanggapan lebih kurang sama terhadap dirinya.
***
Ting tong! Ting tong! Ting tong!
Loceng di rumahnya berbunyi sebanyak tiga kali menandakan ada tetamu yang bertandang. Ilya pada ketika itu sedang asyik membaca novel fantasi yang baru dibelinya di ruang tamu. Mendengarkan bunyi loceng itu, dia bingkas bangun untuk melihat siapakah yang datang ke rumah mereka.
Dia membuka pintu hadapan rumahnya untuk membenarkan tetamu itu masuk. Sejurus sahaja pintu itu dibuka, meluru masuk seorang gadis berusia awal 20-an untuk memeluk Ilya. Ilya pula terpinga-pinga sahaja apabila tetamunya itu memeluknya secara tiba-tiba. Dia tidak sempat melihat wajah tetamu itu kerana kecepatan langkahnya.
"Ilya! Dah lamanya tak jumpa awak. Kakak rindu betul dengan awak," kata gadis itu dengan ceria. Ilya amat mengenali suara itu.
"Oh, Kak Rosmaria rupanya. Terkejut saya dibuatnya," kata Ilya walaupun riak wajahnya menunjukkan sebaliknya.
"Maafkan kakak. Kakak terlampau excited tadi. Kakak betul-betul tak sabar nak jumpa awak, Lico," kata Rosmaria lagi sambil menggenyehkan pipinya dengan pipi Ilya yang gebu itu. Ilya berasa agak rimas diperlakukan sebegitu oleh sepupunya.
"U ... lepaslah Kak Rosmaria. Saya rimaslah." Ilya menolak tubuh Rosmaria daripada terus memeluknya.
"Dahlah, Kak Rosmaria. Jom masuk. Ke kakak nak bermalam di luar je? Boleh juga kalau macam tu," ujar Ilya selamba sambil melangkah ke ruang tamu.
"Hahaha, awak ni Ilya. Masih tak berubah. Masih dingin macam dulu." Rosmaria tersengih sambil menggaru kepalanya yang tidak gatal. Dia terus membawa beg pakaiannya dan mengikuti langkah Ilya.
"Ilya, Airis mana?" tanya Rosmaria setelah mendapati Airis tiada di rumah itu.
"Kak Airis kerja. Petang nanti dia baru balik," jawab Ilya.
"Oh, lupa pula kakak. Airis busy dengan kerja. Awak seorang je ke? Lily mana? Dia tak balik? Kan cuti semester sekarang ni." Rosmaria menanyakan pula keadaan kakaknya lagi seorang.
"Kak Lily? Dia tu tunggu dunia nak terbalik barulah nak balik rumah. Kalau tak bayang pun tak nampak," balas Ilya selamba.
"Okey, sorry. Lupa pula kakak." Rosmaria menjelirkan lidah sedikit sambil mengetuk kepalanya sendiri.
"Kak Rosmaria dapat posting di sekolah mana?" tanya Ilya ingin tahu.
"Sekolah mana? Hehe rahsia. Kamu tahulah nanti." Rosmaria mengenyitkan matanya apabila ditanya soalan itu kepadanya. Ilya melirikkan matanya ke atas sebelum memandang semula ke bawah. Satu keluhan dilepaskan. Dia berasa menyampah pula dengan perangai sepupunya yang kebudak-budakan itu.
Tanpa membuang masa, Ilya terus memimpin sepupunya ke sebuah bilik kosong. Bilik itu asalnya bilik kakaknya Lily sebelum dia melanjutkan pelajarannya ke menara gading dan tinggal di asrama. Rosmaria akan tinggal sementara di bilik itu sebelum dia dapat menyewa sebuah rumah untuk diduduki. Setelah Ilya menguruskan bilik itu untuk diduduki Rosmaria, dia terus bergegas menuju ke bilik ibunya. Rosmaria pula mengekori Ilya.
Puan Kamiliya masih terlantar di atas katil. Dia sedang tidur dengan begitu lena, ibarat puteri beradu. Ilya melutut di sebelah katil ibunya. Rosmaria juga turut melakukan perbuatan yang sama. Mereka berdua merenung lama wajah Puan Kamiliya tanpa mengeluarkan sebarang suara.
"Ilya, kakak nak tanya sedikit boleh tak?" Rosmaria memecahkan kesunyian di bilik itu.
"Tanya jelah," balas Ilya malas.
"Kenapa awak bawa Makcik Kamiliya balik tanpa kebenaran doktor?" tanya Rosmaria dengan nada serius.
"Sebab saya rasa mama dah tak boleh baik dah dengan rawatan di hospital. Rawatan tu dah tak berkesan lagi dah pada badan mama," jawab Ilya mendatar.
"Macam mana awak tahu, Ilya?" tanya Rosmaria semula.
"Kakak tak ingat ke apa yang dah jadi pada saudara-mara kita yang lain. Semuanya sama je. Sakit-sakit bawa pergi hospital, lepastu tak baik-baik. Dah macam-macam rawatan bagi pun masih tak baik lagi. Lama-lama mati juga akhirnya." Ada nada putus asa pada kata-kata yang dilemparkan Ilya.
Rosmaria melepaskan keluhan berat. Dia tidak tahu apa yang perlu dia katakan kepada Ilya pada saat ini. Dalam hatinya, dia bersetuju dengan kata-kata Ilya. Selama ini, usaha mereka berikhtiar merawat ahli keluarga mereka dengan perubatan moden cuma sia-sia sahaja.
Dia pernah juga berasa putus asa sebelum ini semasa dia berhadapan dengan kematian bapanya. Dia juga pernah berniat melakukan perkara yang sama seperti Ilya. Walau bagaimanapun, dia tidak mahu apa yang terjadi pada sepupu mereka Indera juga terjadi pada dirinya.
Indera pernah cuba membawa balik bapanya yang sedang sakit tenat tanpa kebenaran doktor seperti yang dilakukan Ilya. Namun begitu, Ilya pasrah juga akhirnya dan membawa bapanya semula ke hospital. Tindakannya itu mengundang reaksi negatif daripada banyak pihak terutamanya sekali masyarakat.
Akibatnya, Indera mengalami masalah depresi yang teruk dek tidak tahan dengan tanggapan negatif yang dilemparkan masyarakat terhadap keluarganya. Akhirnya Rosmaria mengambil keputusan untuk pasrah sahaja menunggu kematian bapanya di hospital.
"Ilya," panggil Rosmaria dengan lembut. Dia memegang erat kedua-dua tangan Ilya. Mata Ilya direnung sedalam-dalamnya. Ilya hanya membalas dengan renungan kosong.
"Ilya, maafkan kakak, Ilya. Kakak faham perasaan awak. Kakak faham apa yang awak cuba sampaikan Ilya. Kakak janji kakak akan tolong jaga Makcik Kamiliya. Lagipun kakak dengan Airis kan rapat. Kami kan kawan baik. Kakak janji akan tolong kamu Ilya." Tanpa Rosmaria sedari, air matanya sudah jatuh berlinangan di pipi. Rosmaria memang seorang yang mudah menangis. Tambahan pula, dia sendiri pernah menerima nasib yang sama.
"Maafkan saya juga Kak Rosmaria. Saya selama ni pun pentingkan diri sendiri dan tak pernah fikir pasal perasaan orang lain. Maafkan saya kerana menyusahkan kakak. Tak pasal-pasal je kakak kena tolong jaga mama," balas Ilya mendatar.
"Eh, takpa-takpa Ilya. Kakak sebenarnya tak kisah pun. Kakak tahu Airis sibuk. Awak pun sekolah lagi, kan? Awak mesti sibuk dengan pelajaran awak. Kakak sebenarnya datang ni memang nak bantu keluarga awak pun," balas Rosmaria semula.
"Eh, saya ingatkan Kak Rosmaria memang sengaja nak menumpang sementara di sini?" Ilya berasa pelik.
"Memang pun, tapi kakak boleh je tumpang rumah kawan kakak. Ehehe. Tapi bila dengar je Lico sedang jaga Makcik Kamiliya di rumah, kakak terus ambil keputusan untuk tolong awak sekeluarga. Shhh jangan bagitahu Airis tau." Rosmaria tersenyum nakal sambil mengenyitkan matanya.
Ilya tidak memberi sebarang reaksi terhadap pengakuan sebenar Rosmaria itu. Dia memang boleh mengagak ada sesuatu yang disorokkan sepupunya itu terutamanya sekali berkenaan dengan tempat dia mengajar nanti.
***
Ilya menguap beberapa kali sementara menunggu kereta yang lalu-lintas di hadapannya lengang dan memberinya laluan untuk melintas jalan itu. Setiap hari, dia akan berjalan kaki sahaja ke sekolah kerana jarak dari rumahnya ke sekolah tidak berapa jauh. Dia masih lagi berasa agak mengantuk kerana pada malam sebelumnya dia tidur lewat. Ilya menunggu di sisi ibunya sambil menghabiskan bacaan novel yang tergendala pada petang sebelumnya.
Sekawan burung terbang untuk mencari rezeki pada pagi yang indah itu. Keadaan yang sama juga turut berlaku pada penduduk Bandar Medici. Mereka semua bersiap-siap untuk ke tempat kerja masing-masing demi menjalani rutin seharian. Hari itu sama sahaja seperti hari-hari yang lain, tiada apa yang bezanya.
Ilya memerhatikan setiap kenderaan yang lalu di hadapannya. Dia menanti dengan sabar waktu lampu isyarat untuk pejalan kaki bertukar hijau bagi membolehkan dia melintas. Apabila lampu isyarat itu bertukar hijau, Ilya mula mengatur langkahnya untuk melintas jalan itu.
Ilya mula berjalan satu langkah, dua langkah, dan tiga langkah. Selepas Ilya meletakkan sebelah kakinya untuk langkah yang keempat, dia dapat merasakan ada sesuatu yang tidak kena. Dia dapat rasakan ada suatu garisan aneh yang melintasi tubuhnya dan menukarkan suasana di sekelilingnya. Langkah Ilya terhenti. Dia memerhati kiri dan kanannya, mencari apa-apa perubahan di sekelilingnya.
Apabila dia melihat di sekelilingnya, suasana di bandar itu tetap sama melainkan beberapa makhluk aneh kelihatan berlegar-legar di seluruh bandar itu. Ada yang sedang terapung, ada yang sedang bergayut di tiang-tiang lampu dan ada pula yang hanya berjalan di jalan raya dan kaki lima bersama-sama manusia. Manusia yang ada di bandar itu tidak menyedari kehadiran makhluk-makhluk aneh itu.
Di tiang lampu jalan, Ilya dapat melihat ada makhluk kelihatan seperti kain perca berwarna putih separa lutsinar bergayut di situ. Makhluk itu mempunyai kepala yang ditutupi hampir keseluruhannya dengan rambut berwarna hitam pekat yang panjang mengurai. Rambut yang menutupi seluruh wajahnya itu cuma menampakkan sebelah matanya yang kelihatan terjojol keluar, menambahkan lagi keseraman makhluk itu.
Sementara itu, pelbagai rupa makhluk aneh dapat dilihat di sepanjang jalan raya dan kaki lima bersama-sama manusia yang tidak menyedari kewujudan mereka. Ada yang berjalan dengan dua kaki, ada yang merangkak dan ada pula yang hanya terapung kerana tubuhnya hanya separa sahaja tanpa kaki.
Tambah menyeramkan, ada sebahagian makhluk separa badan itu dapat dilihat seperti organ dalaman terjuntai daripada tubuhnya. Makhluk yang berjalan itu pula terdiri daripada pelbagai rupa dan ketinggian. Ada yang mempunyai satu mata, dan ada yang mempunyai tiga mata. Malah ada juga makhluk yang bertanduk.
Di kiri dan kanan Ilya kelihatan beberapa makhluk aneh bersaiz kanak-kanak berkejar-kejaran ke sana ke mari. Beberapa meter dari Ilya, sejenis makhluk sama tinggi tiang lampu sedang berjalan di sekeliling bandar itu. Kakinya yang panjang dan kurus seperti lidi itu melangkah dari satu bangunan ke bangunan yang lain.
Beberapa ekor makhluk yang kelihatan seperti manusia tetapi bertubuh separa lutsinar berlegar-legar memenuhi ruang udara. Sesak dibuatnya pemandangan di sekitar bandar itu dengan makhluk separa lutsinar itu.
'Oh, mata aku ni boleh tengok spirit lagi ke? Dah lama dah aku tak aktifkan kuasa mata aku ni. Kali terakhir masa aku kecil-kecil dulu. Itu pun takda siapa pun nak percaya dengan apa yang aku boleh lihat ni. Kalau aku tak aktifkan kuasa mata ni biasanya aku cuma boleh lihat spirit kalau mereka nak munculkan diri mereka je. Macam kes Zaf dengan Mimi. Sebenarnya aku pun tak tahu macam mana nak kawal kebolehan aku ni. Hmmm...,' kata Ilya sendirian di dalam hati.
Ilya terus berjalan melewati beberapa ekor spirit di sekelilingnya. Ilya tidak peduli dengan kewujudan mereka. Dia sebenarnya sudah biasa dengan semua itu. Dia juga tidak mahu spirit itu mengetahui bahawa dia boleh melihat spirit. Jika tidak, dia pasti akan menarik perhatian golongan spirit dan akan mengundang masalah yang lebih besar lagi.
Kali terakhir dia menjadi seperti itu, semasa dia berusia tujuh tahun. Masa itu dia baru sahaja sedar selepas pengsan akibat dirasuk oleh spirit bernama Mimi. Sedar sahaja dia melihat begitu banyak makhluk aneh sedang berlegar di ruang udara. Dia berasa amat terkejut apabila melihat spirit buat kali pertama. Dia cuba memberitahu ibu dan kakak-kakaknya namun mereka semua tidak mempercayai kata-kata Ilya. Akibatnya, Ilya disangka mengalami halusinasi visual. Ilya didiagnos mengalami Skizofrenia oleh doktor psikiatris yang merawatnya.
***
"Mama cuba tengok tu mama, kenapa mata kakak tu ada satu je?"
"Apa yang kamu merepek ni Ilya? Mama tengok takda apa pun kat situ!"
"Mama, mama, saya takutlah! Makhluk hijau tu kata dia nak kawan dengan Ilya. Ilya taknak, mama."
"Dah, Ilya! Kamu jangan nak macam-macam pulak. Mama takda masa nak layan kamu."
"Mama, apa benda tu mama? Ilya tengok macam kain selimut je? Tapi kenapa dia terapung? Kenapa kain selimut tu ada muka? Menakutkan pulak tu."
"Dah, tak payah nak merepek. Mulai hari ni mama taknak dengar lagi Ilya reka-reka cerita lagi. Faham?"
Ilya mengeluh berat mengingatkan semula kenangan silamnya semasa kanak-kanak dahulu. Semua orang tidak pernah mempercayai kata-katanya termasuklah ibunya sendiri. Lama-kelamaan dia sendiri pun sudah malas untuk menceritakan apa yang dilihatnya kepada orang lain. Dia sendiri sudah terbiasa melihat kelibat menyeramkan dengan mata kepalanya sendiri sehingga dia tidak lagi berasa takut. Dia termenung sendirian di tempat duduknya di kelas itu.
"Ilya! Apa yang awak menungkan tu?" Teguran Layla mengejutkan lamunan Ilya. Secara spontan Ilya terus memandang Layla yang telah pun berada di sebelahnya.
"Takda apalah," jawab Ilya malas.
"Betul ke ni?" tanya Layla prihatin.
"Hmmm." Ilya malas melayan Layla lalu mengalihkan pandangannya ke tingkap kelas yang berada di sebelah kirinya. Layla berhenti mengajukan soalan kepada Ilya. Dia faham benar jika Ilya bertindak sebegitu maksudnya dia tidak mahu diganggu.
Tidak berapa lama selepas itu, masuk seorang guru wanita untuk memulakan sesi pembelajaran pada hari itu. Semua pelajar di kelas itu terus kembali ke tempat masing-masing. Ilya masih memandang tingkap di sebelahnya, tidak mempedulikan apa yang berlaku. Subjek yang pertama pada hari itu ialah Biologi. Ketua kelas terus meminta pelajar di kelas itu untuk bangun dan memberi hormat kepada guru itu.
Setelah para pelajar dibenarkan duduk, guru itu terus memperkenalkan dirinya memandangkan dia guru baru yang menggantikan guru sebelum ini.
Guru itu menulis namanya di papan putih sebelum memperkenalkan dirinya, "Nama saya Rosmaria. Saya bakal mengajar awak subjek Biologi. Sila beri kerjasama ya."
Perkenalan daripada guru itu disambut dengan sorakan daripada pelajar di kelas itu terutamanya sekali pelajar lelaki. Rosmaria mempunyai paras rupa yang menawan.
Ilya yang sedari tadi memandang tingkap menoleh ke hadapan sambil berkata, "Dah agak dah."